Oleh Nazmi Yaakub
19 Disember 2024, 17:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hentian Buku Selangor yang bakal dilancarkan pada 21 Disember 2024 Sabtu ini merupakan evolusi daripada pasar buku yang digerakkan oleh pengarang, pembaca dan pengumpul buku di Bandar Baru Bangi. Ikuti rentetan sejarah dan harapan Nazmi Yaakub terhadap masa depan pasar buku terpakai.

Jadi apa kurangnya ketamadunan Melayu yang melalui era animisme dan Hinduisme serta diberikan akal sangat bermakna daripada nafas Islam hingga muncul khazanah keilmuan tinggi di Alam Melayu?

Konon, azimat keramat yang dipegang oleh pedagang buku di pasar buku Jalan al-Mutanabbi (Syarie’ al-Mutanabbi) di tengah-tengah denyutan kota Baghdad adalah begini: “Pembaca tidak mencuri, pencuri tidak membaca.”

Justeru, tidak hairanlah pedagang buku dikatakan membiarkan sahaja “barang dagangan” mereka itu pada waktu malam, lalu pulang ke rumah untuk beradu dan kembali semula keesokan harinya untuk berdagang.

Mungkin sahaja betapa keramatnya azimat itu, pasar buku yang dikenali sebagai suuq thaqafi (pasar budaya ilmu) juga bukan hanya kebal daripada kejahatan pencuri, bahkan tak lut bom dan peluru.

Manakan tidak, pasar buku itu melalui pelbagai era dan peristiwa sejak Jalan al-Mutanabbi dirasmikan oleh pemerintah Iraq, Raja Faisal I pada tahun 1932 daripada tiga kali kudeta dalam tempoh 10 tahun, iaitu nasionalis Brigadier Jeneral Abdul Karim Qasim, pemimpin kumpulan serpihan ideologi Ba’ath (penyatuan Arab), Kolonel Abdul Salam Arif, dan rampasan kuasa Parti Ba’ath pimpinan Ahmad Hassan al-Bakr, yang kemudiannya diambil alih oleh Saddam Hussein.

Tentunya, pasar buku itu juga menyaksikan bagaimana gabungan tentera Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) secara unilateral menceroboh serta menjarah Iraq, sekali gus menumbangkan rejim Saddam.

Lebih tragik, pasar buku itu pernah dibom apabila sebuah kereta membawa bahan letupan merempuh kedai buku pada tahun 2007 sehingga menyebabkan 26 jiwa terkorban.

Walau bagaimanapun, semua itu tidak melumpuhkan, jauh sekali mematikan pasar buku Jalan al-Mutanabbi. Sebaliknya, pemimpin datang dan pergi atau digulingkan, rejim silih berganti dan tentera penceroboh “sampai bersalam, pulang berterajang”, tetapi gedung budaya buku itu terus hidup.

Malah, pasar buku Jalan al-Mutanabbi itu bukan sahaja menghidangkan pelbagai menu intelektual yang mengasyikkan, bahkan kini turut menadah pameran seni, galeri, pesta buku, dan festival.

Tambah lagi, premis ini turut sinonim dengan kafe-kafe yang menjadi titik pertemuan golongan penyair dan intelektual, ahli falsafah serta pemikir yang mewacanakan idea dan pemikiran serta analisis sambil mencicip kopi hitam.

Inilah maksud sebuah pasar buku sebenar kerana ruangnya tidak hanya menjual buku, bahkan menjadi buaian tamadun yang daripadanya lahir tidak kira apa-apa sahaja gelombang daripada tradisi dan keilmuan hingga reformasi serta revolusi.

Saya kira, setiap pasar buku pasti memiliki sejarah tersendiri dan unik serta jutaan anekdot menarik daripada pedagang dan pelanggan yang kedua-dua kelompok ini adalah dalam kalangan pembaca seperti azimat keramat penjual buku di Jalan al-Mutanabbi, iaitu “pembaca tidak mencuri, pencuri tidak membaca”.

Baik pasar buku terpakai di Les Bouquinistes yang menyusur Sungai Seine di Paris sejak abad ke-16 atau bazar buku Daryaganj di kota lama New Delhi yang hidup sejak tahun 1964, yang khabarnya turut menyediakan juadah makanan enak yang cukup untuk melepaskan hela lelah membelek buku (daripada sarapan kepada minum petang). “Mercu tanda” ini wajib ada bagi negara yang memiliki tradisi dan sejarah keilmuan serta ketamadunan.

Baghdad tentu dengan peradaban Abbasiyah yang terkenal dengan Baitul Hikmah serta wacana penting keilmuan daripada akidah dan falsafah hingga fiqh serta tasawuf dan sufi, juga kemajuan sains dan teknologi yang menjadi sumber mata air pada kebangkitan Eropah daripada lena panjang pada Zaman Gelap.

Dari situ, maka antara lain muncul Paris menyaksikan Zaman Pencerahan dan Revolusi, sedangkan India pula tentunya dengan Indus, Veda, Maurya, dan Gupta, sebelum dijejaki Mughal; semuanya memiliki pasar buku sebagai memento kepada sejarah panjang bumi yang mengendongnya.

Hal ini membawa kepada persoalan sangat penting untuk kita fikirkan bersama: Jadi apa kurangnya ketamadunan Melayu yang melalui era animisme dan Hinduisme serta diberikan akal sangat bermakna daripada nafas Islam hingga muncul khazanah keilmuan tinggi di Alam Melayu? Apakah hal ini tidak meninggalkan memento dalam bentuk pasar buku?

Penulis pernah mengikuti aktiviti jual buku di Bandar Baru Bangi.

Hal ini pasti menghairankan bagaimana satu tamadun yang tidak sangat meninggalkan artifak dalam bentuk binaan besar, sebaliknya mewariskan gedung ilmu dalam bentuk manuskrip dan tradisi ilmu, tidak pula memunculkan satu pasar buku yang dapat bertahan.

Sudah tentu kita tidak boleh menyalahkan tamadun, sebaliknya manusia yang lahir daripada ruang yang disediakan oleh sejarah panjang itulah yang bertanggungjawab untuk memastikan setiap satu ciri yang membentuk masyarakat berilmu bukan sahaja ada, bahkan dipelihara dan diperhebat.

Dalam hal ini, mungkin ada yang menganggap bahawa pasar buku ialah ciri kecil sahaja, tetapi saya mahu menyanggah dengan mempersoalkan: Apakah ciri utama yang kita ada?

Malah, saya juga ingin menjentik: Kalaulah tanda kecil masyarakat berilmu seperti pasar buku pun tidak mampu untuk kita lestarikan, jangan harap kita dapat hidupkan isyarat besar yang lain, seperti wacana ilmiah yang tumbuh bermakna.

Dalam konteks inilah, saya kira evolusi pasar buku di Bandar Baru Bangi yang mula muncul pada pertengahan dekad 2010-an ialah memento signifikan kepada apa-apa yang saya tulis dari awal.

Hembusan angin pembangunan menyebabkan ‘api kecil’ itu hampir-hampir terpadam tetapi pedagang buku dengan kudrat yang ada cuba menahannya …

Amat malang sekiranya Lembah Klang tidak memiliki pasar buku yang konsisten meskipun kita ada banyak universiti dan institusi penting berkaitan pendidikan, kesusasteraan serta keagamaan, belum masuk lagi Lembah Klang ialah pusat perdagangan dan pentadbiran Persekutuan.

Maka, pasar buku di Bandar Baru Bangi boleh dianggap sebagai usaha pengarang, pembaca dan pengumpul buku yang menjaga api kecil di tengah-tengah pekat malam dengan angin pembangunan keras menghembus, yang ironinya seolah-olah mahu memadam salah satu sumber cahaya.

Hal ini boleh dilihat bagaimana usaha ini menjadi “nomad”, bermula di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Hulu Langat pada tahun 2016 atau 2017 dan terpaksa berpindah kerana memberi laluan kepada projek penaiktarafan pada tahun 2019.

Beberapa peserta pasar buku berpindah ke Bazar Karat Streetmall Bangi Gateway yang menyediakan ruang niaga, termasuk GMS Buku, Nusa Centre, Komikkita, dan Lepau Buku Nasurry (ketika itu, Koleksi Bonda Zaleha sudah ada menjual buku lama).

Di sini, usaha ini berubah nama, seperti mencuba-cuba panggilan yang serasi seperti “lambak buku” dan “buru buku”, sebelum menjadi Kota Buku Bangi yang diformalkan melalui penubuhan Pertubuhan Kota Buku Bangi yang kini dipimpin oleh Syed Mohd Zakir Syed Othman atau lebih dikenali sebagai S.M. Zakir.

Seperti pasar buku Jalan al-Mutanabbi dan pasar buku lain di dunia yang turut terjejas akibat pandemik COVID-19, pasar buku atau kota buku itu turut ditutup, susulan penutupan sektor ekonomi dan sosial.

Walau bagaimanapun, pedagang buku terbabit tidak mengalah, sebaliknya meneruskan jualan buku secara dalam talian yang turut menyaksikan peningkatan mendadak, sebelum apabila sektor ekonomi mula dibenarkan, jualan buku kembali diadakan walaupun tidak serancak prapandemik.

Semacam yang saya sebutkan tadi, hembusan angin pembangunan menyebabkan “api kecil” itu hampir-hampir terpadam tetapi pedagang buku dengan kudrat yang ada cuba menahannya.

Justeru, sekali lagi mereka berpindah dengan lokasi terbaharu di Hentian Kajang apabila Koleksi Bonda Zaleha dan GMS Buku mula membuka kedai masing-masing di aras dua hab bas terbabit, diikuti oleh Komikkita (Ongkoi), Lepau Buku Nasurry, Nusa Centre, Biblio, Bistro Pustaka, dan Coretan Buku Terpakai.

Namun begitu, kali ini nampaknya pedagang buku berpayung di bawah Pertubuhan Kota Buku Bangi tidak hanya menyerah pada takdir, bahkan cuba melukis garis mereka sendiri apabila berbincang dan bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Anak kecil sudah dipupuk untuk berminat dengan buku di pasar buku.

Hasilnya, evolusi pasar buku di Bangi menyaksikan perubahan signifikan apabila Hentian Buku Selangor bakal dilancarkan Sabtu ini, 21 Disember 2024.

Nama ini sangat penting kerana namanya tidak lagi diikat dengan lokaliti daerah semata-mata, sebaliknya mengambil nama negeri dengan sokongan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Diharap usaha ini akan menjadi batu loncatan pada keprihatinan kerajaan negeri untuk memastikan memento peradaban agung, tanda masyarakat berilmu dan petunjuk budaya membaca ini bukan sahaja dapat kekal, bahkan berkembang.

Hal ini kerana, selepas menyaksikan – dan turut ikut serta menjual buku daripada bahagian kutubkhanah peribadi secara sambalewa – evolusi pasar buku di Bangi kepada Kota Buku Bangi dan kini Hentian Buku Selangor, saya menyedari kerajaan sama ada pada peringkat Persekutuan, negeri mahupun “kerajaan ketiga” seperti MPKj, perlu turut sama menggalas tanggungjawab itu.

Hal ini demikian kerana, berbeza daripada pasar buku yang sudah mapan seperti Jalan al-Mutanabbi, Les Bouquinistes atau Daryaganj, kita mempunyai kumpulan pembeli yang sangat kecil dalam masyarakat yang terdedah pada cabaran kos sara hidup dan harga barang.

Bagi penjual buku secara sambalewa yang memiliki pekerjaan tetap, sudah tentu realiti menggigit tidak terasa dalam konteks ini, berbanding pedagang buku sepenuh masa.

Apatah lagi dalam keadaan hembusan angin pembangunan yang kuat menyebabkan pasar buku terpaksa berpindah sehingga memerlukan tangan yang lebih kuat untuk turut menjaganya daripada dipadamkan.

Jadi, Hentian Buku Selangor boleh juga dianggap sebagai hembusan baharu pasar buku yang secara kebetulan, seirama dengan namanya, bukan lagi membiarkan “api kecil” dihembus oleh pembangunan, tetapi menghembuskan angin perubahan ke dalam masyarakat.

Apa yang kita impikan adalah agar pasar buku di Bangi daripada namanya Pasar Buku Bangi, Kota Buku Bangi dan kini Hentian Buku Selangor terus menyusur perjalanan yang lebih panjang sehingga dapat merakamkan episod penting negara, selain menyimpan ribuan anekdot pedagang buku, pembaca buku dan pengumpul buku seperti Syarie’ al-Mutanabbi dengan azimat keramatnya: “Pembaca tidak mencuri, pencuri tidak membaca.”

_________________________

Nazmi Yaakub ialah wartawan dan pengarang akhbar yang menyusun kata, serta cerpenis, novelis dan eseis mengasah pena.

Kredit Foto: Nazmi Yaakub
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.