Oleh Marsli N.O
14 Jun 2024, 08:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Marsli N.O bermonolog dengan diri tentang asam garam menjadi penulis dan nilai pengalaman yang tidak terhingga jika naskhah buku diterbitkan dan dijual.

Hidup tidak memadai berkiblatkan emosi. Logik dan benar perlu sentiasa dipertimbangkan. Tidak diabaikan bacaan dan buku. Bacaan yang terpilih turut mematangkan fikiran. Segala berbaur merencahkan hidup menuju dewasa.

Siapa sahaja yang hari ini usia dirinya bermula dengan angka enam ke atas dan telah berjaya menjadikan cita-citanya sebagai penulis suatu kenyataan, pasti bersetuju jika dikatakan betapa kepayahan dan kekurangan diri tidak perlu dijadikan alasan untuk mencapai sesuatu yang dicita-citakan.

Sebagai pemula yang menyedari siapa dirinya sebagai peribadi yang mendatangi daerah sastera di negerinya, tanpa mengenal dan dibantu oleh sesiapa, dalam keadaan diri serba kekurangan, cuma semangat untuk terus bertahan dan gigih berusaha menjadi bekalan dirinya menuju ke gerbang kejayaan, hal itu merupakan suatu pencapaian.

Kepayahan telah mengajar dirinya agar tidak mudah mengalah dan menyerah. Kekurangan diri mesti segera diatasi dengan pelbagai cara serta ikhtiar.

Ilmu, sebagai manusia yang memilih untuk bergulat hidup secara langsung di tengah-tengah hiruk-pikuk kehidupan, mesti dicari dan ditambah dengan pelbagai cara. Otak yang kosong juga demikian dan tidak boleh selamanya dibiarkan sentiasa kosong dan ringan.

Sedar akan kekurangan diri, rasa malu dan hina untuk berguru walau dengan sesiapa pun dibuang jauh-jauh. Sedikit demi sedikit, sejajar dengan peningkatan usia, pengalaman dan ilmu kian dihimpun serta dicerna. Orang berilmu dimuliakan dan dihormati dan yang lebih lama hidup dan berpengalaman disantuni.

Pancaindera dianugerahi oleh Tuhan untuk diguna dan dimanfaatkan. Sedar diri dan ruang. Melihat dan mendengar, bertanya jika benar-benar perlu atau memilih diam yang lebih bermakna. Segala yang didengar dan dilihat dicerna dengan akal segala buruk atau baiknya, untuk dijadikan batas dan sempadan.

Hidup tidak memadai berkiblatkan emosi. Logik dan benar perlu sentiasa dipertimbangkan. Tidak diabaikan bacaan dan buku. Bacaan yang terpilih turut mematangkan fikiran. Segala berbaur merencahkan hidup menuju dewasa.

Diri menulis tanpa rasa jemu. Belajar dan berguru daripada sesiapa sahaja yang pandai dan tahu. Tanpa rasa malu dan terhina. Nasihat yang baik dan benar jadikan panduan.

Demikianlah proses dan perjalanan seorang yang bercita-cita menjadi penulis dan ingin pada suatu waktu melihat karyanya diterbitkan sebagai sebuah buku.

Mempercayai dan meyakini nasihat teman penulis yang lebih berusia dan berpengalaman, demikian saya secara peribadi berusaha menurut dan mematuhi.

Kata mereka, untuk membuktikan kesahihan nilai dan mutu sesebuah karya yang dihasilkan untuk diterbitkan, saya mesti dan perlu mengirimkannya ke badan penerbitan yang bererti dan berwibawa.

Kepercayaan dan keyakinan itu, mendorong saya tanpa rasa jemu menghimpun karya demi karya yang telah dihasilkan sebagai sebuah manuskrip dan mengirimnya ke sana.

Tentu sahaja dengan harapan akan lulus penilaian dan menepati kehendak serta piawai yang mereka tetapkan. Turutan setelah itu, tentu sahaja saya berharap akan mereka luluskan untuk diterbitkan sebagai sebuah buku dan saya pun dapat sama-sama “memperagakan” di depan kawan-kawan atau mereka yang selama ini memperkecil kehadiran seorang anak desa yang turut sama bercita-cita menjadi seorang penulis dengan kata gurauan, “Selagi buku kau tidak mereka terbitkan, kau tidak layak mengaku sasterawan Malaysia!”

Sikap serta semangat tidak mudah berasa dikalahkan yang jadi pegangan diri dan sikap tidak berasa malu dan terhina untuk menimba ilmu daripada sesiapa sahaja ternyata banyak manfaat serta kebaikan.

Ditambahi pula dengan pelbagai ruang, peluang dan galakan yang diberikan oleh pihak yang berkenaan dan berwajib kepada sesiapa sahaja pada kurun waktu itu untuk mempertingkatkan ilmu. Pelbagai nama projek penggalakan dan penerbitan disediakan. Pihak penganjur, tanpa mengira, bangsa kasta atau hubungan persaudaraan, memberikan peluang serta bimbingan kepada sesiapa sahaja yang rajin dan sungguh-sungguh berusaha. Kerananya, siapa sahaja yang memang serius dan bersungguh-sungguh berusaha tidak diabaikan serta ditinggalkan.

Sebagai seorang peribadi yang bertahun-tahun menyimpan cita-cita murninya ingin melihat karyanya diterbitkan dalam bentuk buku, kejayaan ini disambut dengan rasa gembira yang tidak tergambarkan dengan kata-kata.

Pasti sahaja setiap kejayaan tidak datang bergolek. Adat manusia tidak semua memiliki akal dan kebijaksanaan yang pantas. Di samping yang bijak dan berupaya pantas menanjak menuju puncak, pasti jugalah hadir insan lain yang lambat dan tidak sepantas yang diharapkan.

Bukan salah pihak yang menyediakan ruang bimbingan serta memberikan peluang. Daripada sekian jumlah yang telah diasuh dan diberikan ruang, tidak sedikit pula yang mengalah, kecundang dan merajuk pergi di pertengahan perjalanan cita-citanya hendak menjadi penulis serta melihat karyanya diterbitkan

Pasti sahaja yang berjaya ke garis penamat hanya siapa yang memiliki jiwa kental dan semangat untuk terus bertahan. Kalangan mereka inilah yang terus-menerus berlari, meskipun lambat dan terdengkut-dengkut, mereka terus berusaha berkarya dan membaiki kelemahan karya masing-masing dengan cara dan keyakinannya sendiri. Sehingga akhirnya, karya mereka berjaya diterbitkan dalam bentuk buku untuk pertama kalinya.

Sebagai seorang peribadi yang bertahun-tahun menyimpan cita-cita murninya ingin melihat karyanya diterbitkan dalam bentuk buku, kejayaan ini disambut dengan rasa gembira yang tidak tergambarkan dengan kata-kata.

Apatah lagi setelah karyanya diterbitkan dalam bentuk buku, oleh penerbit yang bererti dan berwibawa itu, sekitar tahun 1980-an, penulis atau pengarangnya dibayar royalti sepenuhnya, tanpa mengira apakah buku yang telah diterbitkan tersebut hasil terjual atau tidak. Ketika inilah juga, kegembiraan seorang penulis menjadi berganda.

Sebagai tanda berterima kasih, pihak penulis pula membalas jasa penerbit dengan turut membeli bukunya yang telah diterbitkan dengan harga ptongan 33% untuk dijual sendiri atau dihadiahkan kepada kawan-kawan. Sekitar waktu 1980-an itu, setiap kali ke kedai buku yang bernaung di bawah institusi itu, setiap judul buku para pengarang yang telah mereka terbitkan, diletakkan di rak jualan dan jika ingin membeli dalam jumlah melebihi lima naskhah, jika tiada di rak, penulisnya boleh membuat tempahan di kaunter bayaran.

Atau jika pun belum punya kemampuan kewangan untuk membelinya sendiri, penulis boleh menunjukkan kepada rakan dan taulannya yang sama berkunjung ke kedai buku berkenaan agar sudi membeli buku karyanya yang telah diterbitkan itu. Selalunya, saranan ini jarang-jarang ditolak oleh rakan dan taulan penulis. Mereka turut membeli dan meminta penulisnya menandatangan dan mencatat sesuatu sebagai tanda kenangan!

Hal itu sekitar tahun 1980-an. Memasuki tahun 2015 dan ke atas, amalan meletakkan buku penulis yang telah diterbitkan di rak jualan seperti kurang menjadi amalan. Setiap kali ke sana, saya jenuh mencari buku saya yang diterbitkan oleh penerbit yang bernaung di bawah institusi ini. Terakhir, selepas berjarak lapan tahun, pada akhir bulan Oktober 2023, saya kunjungi lagi kedai buku yang berkenaan. Berniat untuk membeli sebanyak satu naskhah setiap judul buku saya yang telah diterbitkan. Namun tiada satu pun buku saya yang telah diterbitkan oleh mereka, meskipun yang paling terkini mereka terbitkan, tidak kelihatan diletakkan di rak untuk jualan. Saya mengeluh dan berasa kecewa.

Memang saya boleh bertanya dan menempah. Namun sebagai penulis, setelah semalaman tidur di dalam bas sejauh 200 kilometer lebih, setibanya di kedai buku berkenaan, saya berasa terkilan tidak melihat adanya buku (terkini) saya yang telah mereka terbitkan di rak jualan.

Saya sedar dan insaf diri. Saya memang bukan sesiapa pun sebagai penulis. Hanya penulis yang kecil, kerdil dan bukan pun lulusan mana-mana universiti. Jika pun buku saya yang telah mereka terbitkan itu tidak mahu dipajang di rak jualan, saya maklum, faham dan memilih untuk diam.

Sebagai penulis yang bukan sesiapa, saya mesti sentiasa sedar dan insaf diri. Jangan banyak mulut atau mengomel. Nanti dituduh celupar dan suka mencari salah pula.

Akhirnya, jika buku yang telah diterbitkan sukar dilihat di rak jualan dan tidak dibeli pembaca atau pembeli, kesalahan jangan dihalakan sepenuhnya kepada penulis. Pihak yang menerbitkan wajar juga berikhtiar untuk berbuat sesuatu.

Kredit Foto: Syazwan Zakariah/Facebook

_________________________

Marsli N.O kini penulis sepenuh masa. Beliau telah menerbitkan beberapa buku dan memilih berjalan sendirian. E-mel beliau: [email protected].

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.