Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Hikayat Hang Tuah: Manuskrip Terawal Tahun 1758 yang dialih aksara oleh Sasterawan Negara Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh menduduki tangga kedua terlaris di reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang baru lalu.
Naskhah itu yang dialih aksara daripada versi asalnya, Cod. Or. 1762, yang tersimpan di Leiden, bertarikh 1758. Naskhah ini merupakan sebahagian daripada 30 naskhah salinan Hikayat Hang Tuah yang tersimpan di serata dunia.
DBP dalam perkongsian di media sosialnya menyenaraikan 50 judul paling laris usai PBAKL pada 2 Jun lalu. Tangga pertama dimiliki oleh buku 100 Pantun Teka-teki Kanak-kanak oleh Masriyah Misni.
Berdasarkan perkongsian itu, jelas terlihat DBP sebagai penerbit buku berkualiti dalam pelbagai genre yang menyaksikan didominasi oleh buku kanak-kanak, buku sastera sama ada fiksyen atau bukan fiksyen, buku ilmiah, dan sejarah.
Turut berada dalam senarai ialah Sulalatus Salatin di tangga keempat, novel Sampah tulisan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad menduduki tangga ke-20 dan novel Ayahanda tulisan Azizi Haji Abdullah.
PBAKL kali ke-41 tahun ini mencatat pengunjung seramai 1.8 juta orang dan dianggap sebagai antara edisi PBAKL terbaik yang pernah dianjurkan.
Kredit Foto: DBP Niaga/Facebook