Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Tiada masa atau gaya hidup serba pantas hari ini bukan lagi alasan untuk seseorang itu tidak mampu untuk menikmati sebuah buku yang baik. Hal ini kerana, penjualan buku tidak lagi terhad di kedai buku sebaliknya boleh berlaku dalam sebuah mesin automatik yang berada di lokasi tumpuan ramai.
Terbaharu, kaedah jualan sebegini membolehkan anda memiliki dan menikmati sebuah buku menerusi konsep BookPod, iaitu mesin penjual buku daripada peruncit buku tempatan, Twigs Bookstores.
Diasaskan oleh Donald Kee, Pengarah Urusan GR8 Retail Group Sdn. Bhd., BookPod, seperti yang dilaporkan oleh Vulcantpost.com menawarkan penyelesaian kepada anda yang ingin membaca tetapi tersepit dalam gaya hidup moden.
Sebenarnya, mesin penjual buku bukanlah konsep baharu. Sebelum ini, BookXcess sudah melancarkan mesin penjual buku mereka sendiri yang dikenali sebagai BookBots. Pada tahun 2011, MPH Bookstores pernah cuba memperkenalkan mesin penjual buku di Malaysia, tetapi tidak begitu mendapat sambutan.
Kali ini, Twigs Bookstore memperkemas idea berkenaan dengan mengambil kira tahap kesukaran seseorang pembaca untuk memiliki dan menikmati sebuah buku.
Vulcantpost dalam laporan itu menyebut, Kee dengan 24 tahun pengalaman dalam perniagaan runcit omnichannel buku dan hadiah, menyedari satu trend yang semakin berkembang: orang lebih banyak menghabiskan masa dalam perjalanan atau menunggu daripada menikmati kecintaan mereka terhadap membaca.
Justeru, pemerhatian itu membawa kepada BookPod—sebuah mesin penjual buku untuk mereka yang tidak berkesempatan meluangkan masa membeli buku secara konvensional. Lebih menarik, penempatan mesin buku BookPod juga adalah di lokasi tumpuan awam, misalnya stesen MRT dan LRT. Pada masa ini, terdapat 12 BookPods di pelbagai stesen dengan trafik tinggi.
Antaranya termasuklah MRT Sungai Buloh; MRT TRX; MRT Putrajaya Sentral; LRT Wangsa Maju;LRT Masjid Jamek;LRT Pasar Seni;LRT KL Sentral; LRT Abdullah Hukum;LRT Subang Jaya; dan LRT USJ7.
Kredit Foto: Kata-Pilar Books