12 April 2022, 11:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Baru-baru ini industri buku negara dilanda polemik yang mengundang pelbagai pandangan terhadap harga buku nadir dan antikuarian yang dikatakan bersifat melampau. Harga buku yang terlalu mahal ini memberi impak besar kepada pengumpul buku, khususnya bagi yang baharu sahaja mahu berjinak-jinak dengan dunia perbukuan.

Pelita Dhihin mengambil langkah proaktif dengan mengadakan diskusi bertajuk “Perniagaan Buku Nadir dan Antikuarian: Wajarkah Harga Melampau?” melalui pelantar FB secara langsung Pelita Dhihin. Tercetusnya idea penganjuran diskusi tersebut bertitik tolak daripada artikel yang ditulis oleh Wan Nor Azriq dalam akhbar Berita Harian bertajuk “Harga Buku Terpakai Karya Sasterawan Sangat Melampau”. Penganjur diskusi tersebut mengharapkan agar pandangan daripada kedua-dua pihak iaitu penjual buku dan pengumpul buku dapat diketengahkan.

Antara ahli panel diskusi tersebut ialah Muhammad Nazreen, Pengasas Bukuku Press dan Penjual Buku Nadir serta Nik Li, Pentadbir FB Group Kolektor Buku-Buku Semalaysia yang juga bertindak sebagai moderator.

Menurut Muhammad Nazreen, trend pembelian buku di Malaysia terbahagi kepada empat segmen dalam pasaran. Pertama ialah buku yang bersifat umum iaitu buku yang senang dicari dan dijumpai dalam pasaran seperti yang terdapat di kedai buku DBP, MPH dan Kinokuniya. Dua kategori buku yang berada dalam pasaran ini ialah buku berbahasa Melayu dan berbahasa Inggeris. Harga buku-buku tersebut tidaklah terlalu mahal dan tidak juga terlalu murah. Anggaran harga bagi buku berbahasa Melayu ialah sekitar RM 20.00 hingga 60 ringgit. Manakala bagi harga buku berbahasa Inggeris pula sekitar RM 50.00 hingga 120 ringgit.

Keduanya ialah buku bersifat “niche”, iaitu buku bersifat ilmiah terbitan penerbit khusus seperti Routledge Publisher dan Palgrave Macmillan yang mensasarkan jualan kepada penyelidik, pengkaji dan sarjana. Harga pasaran buku kategori ini agak mahal iaitu sekitar RM 1000 ringgit. Malah, harga buku paling murah pula ialah RM 500 ringgit.

Ketiga ialah buku bersifat hobi atau “niche market” seperti buku seni bina dan grafik. Harganya mahal namun tetap dijual kerana masih ada tempat dalam pasaran. Jenis buku ini sering dicari oleh individu yang meminatinya dan berbentuk “koleksi bidang” (subject collections).

Keempat ialah buku terpakai yang pembeliannya bersifat pukal. Buku tersebut dibeli dan dijual semula. Buku-buku kategori ini diperoleh daripada hasil lelongan perpustakaan yang mahu melupuskan buku-buku tersebut. Segmen pasaran telah menjadikan harga buku ini agak mahal.

Timbul persoalan ialah mengapa harga buku-buku ini melampau, khususnya buku terpakai dan nadir? Faktor-faktor yang mempengaruhinya ialah kemajuan teknologi berasaskan internet yang telah mengubah paradigma pasaran buku, lalu menjadikan pengumpulan buku sebagai hobi. Sebelum kewujudan internet, harga buku ditentukan oleh peniaga atau perniagaan berbentuk pesta buku.

“Selepas kewujudan internet, buku-buku terus dijual kepada pasaran terbuka dan tidak lagi melalui penjual buku. Oleh itu, bagi penjual baharu, mereka bermain dengan harga siling. Dalam dunia perniagaan, apabila ada permintaan terhadap sesuatu dan jika jualan boleh mendatangkan untung, maka mengapa tidak boleh menjualnya dengan harga tersebut?” Ujar Nazreen.

Bagi seorang penjual, buku ialah perniagaan. Sebaliknya khalayak umum pula melihat buku sebagai sesuatu yang istimewa dan tidak melihatnya dari sudut pasaran. Oleh itu, mereka cenderung untuk mempertikaikan ekosistem buku tersebut. Sebelum kewujudan teknologi internet khususnya, tiada siapa pun pernah mengambil tahu tentang harga buku kerana ditentukan oleh penjual dan pihak yang terlibat secara khusus dengan dunia perbukuan sahaja. Tiada campur tangan banyak pihak dan penjual buku berfungsi sebagai orang peniagaan.

Sekarang, dengan kelebihan kemajuan teknologi, maka buku boleh dilihat dan dibida oleh sesiapa sahaja, khususnya para peminat dan pengumpul buku. Pandangan Nazreen ini turut dipersetujui oleh Nik Le yang memperakui bahawa bidaan sering menjadi faktor utama kenaikan harga buku di Malaysia. Namun begitu, buku-buku tersebut tetap dibeli oleh pengumpul buku. Bagi pengumpul lama, hal tersebut bukanlah suatu masalah kerana mereka telah melalui pelbagai fasa kenaikan harga dan dapat membuat perbandingan. Bagi pengumpul baharu, hal tersebut umpama “leher yang dijerut tali” kerana pengalaman dalam industri perbukuan masih mentah.

Selain itu, sesebuah buku juga tidak dianggap sebagai nadir andainya tidak signifikan dengan zaman. Sebagai contoh, karya-karya Richard Olaf Winstedt tentang orang Melayu. Meskipun karya tersebut telah lama diterbitkan, namun masih relevan diperkatakan dan dibaca oleh masyarakat sekarang. Tambatan sejarah juga turut mengklasifikasikan sesebuah buku dianggap sebagai nadir. Misalnya ialah buku-buku sebelum Perang Dunia Kedua. Walaupun mungkin tidak relevan di baca ketika ini, namun dianggap nadir kerana tidak akan dicetak semula.

Ujar Nazreen lagi, ada banyak cara untuk memastikan jualan sesebuah buku nadir mendapat kepuasan daripada pembeli. Antaranya penjual boleh sahaja menerangkan status buku tersebut sama ada daripada khazanah pustaka, tidak pernah disentuh, atau berkulit keras. Pemilikan sesebuah buku bukanlah kerana jasad buku itu semata-mata, namun perlu dilihat dari sudut kepentingan karya dan hayatnya.

Kredit Foto: Eugenio Mazzone/Unsplash

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.