30 Jun 2022, 16:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Ketua Pengarang IBDE (Institut Buku Darul Ehsan), Al-Mustaqeem Mahmod Radhi bersama-sama penulis dan penggiat seni, Fazleena Hishamuddin menjadi pembicara bagi program “Platform 2.0: Perihal Buku & Membaca di Era Digital” di Dos.cafe, Shah Alam anjuran Team Selangor dan Imani.

Umumnya, kedua-dua pengarang itu mengupas fenomena digitalisasi dalam dunia penulisan negara. Dapat dilihat bahawa berlaku peningkatan pola dalam kalangan pembeli buku sastera dan malah peminat sastera sendiri pasca-PKP.

Menariknya, pola pergerakan paling jelas dilihat berlaku dalam media sosial yang didominasi generasi digital sendiri seperti Twitter, TikTok dan Instagram. Penglibatan pelayar media sosial ini meningkat sama ada dalam penganjuran bicara buku mahupun penjualan secara dalam talian oleh rumah penerbitan tempatan.

Menurut Mustaqeem fenomena digital ini diibaratkan sebagai pintu untuk khalayak masuk ke dalam dunia buku.

Kandungan yang dikongsikan melalui media sosial ini seperti sebuah pintu gerbang untuk masuk ke dalam dunia buku dan penulisan dengan lebih luas. Katakan jika kita sebagai penulis, penjual dan penerbit buku buat tidak endah sahaja dengan fenomena digital, maka laman-laman ini akan dipenuhi dengan perkara yang sebaliknya. Kalau kita lihat fenomena digital sebagai suatu unsur yang berlawanan dengan matlamat kita, akhirnya ia tidak akan menguntungkan sesiapa.

Manakala bagi Fazleena pula, beliau melihat fenomena digital ini sebagai suatu ruang acah (teaser). Walaupun kandungannya tidak menyeluruh, tetapi ia akan menarik perhatian pembaca untuk mengetahui karya atau dunia sastera dengan lebih mendalam.

Kepentingan fenomena digital dalam dunia buku ini lebih besar berbanding dengan kelemahannya. Kelemahannya memang ada, tetapi untuk konteks komersial dan kelangsungan hayat industri buku, fenomena tersebut merupakan suatu tujuan yang murni.

Fazleena Hishamuddin.

Beliau selanjutnya menyatakan bahawa tanpa media sosial ataupun penglibatan digital oleh penerbit buku dalam tahun kebelakangan ini, dunia buku tidak akan serancak sekarang. Beliau mentafsirkan bahawa generasi digital sebagai generasi yang tidak akan terlepas daripada media sosial. Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa bidang kesenian lain turut terlibat dalam fenomena digitalisasi ini.

Penulis Masuk Bakul Angkat Sendiri?

Melalui bicara ini, Fazleena berkongsi perihal fenomena digital yang sebenarnya mendidik penulis berkongsi dan mengangkat karya mereka sendiri kepada khalayak. Beliau menyebut nama penulis seperti Wafa Awla yang mutakhir ini aktif mengeluarkan buku puisinya.

Beliau ialah salah seorang penulis yang menggunakan dan memanfaatkan fenomena digital sepenuhnya untuk menarik minat pembaca awam terhadap karyanya seperti perkongsian video, selain turut melibatkan diri dalam sesi audio siar (podcast).

Seterusnya beliau melihat usaha penulis untuk mempromosi karya melalui media sosial sebagai suatu usaha yang murni dan bijak dalam mengambil peluang. Media sosial yang tidak memerlukan pengeluaran kos yang banyak adalah antara sebab penulis perlu mempromosikan karya sendiri dalam era digital kini. Penulis sudah tidak perlu bergantung seratus peratus kepada penerbit sahaja serta perlu memanfaatkan teknologi digital untuk memperkenalkan karya kepada khalayak.

Namun demikian, Mustaqeem mengutarakan pula persoalan bahawa penulis ini sebagai suatu “spesis manusia” yang unik kerana mereka memang ingin mengumpul peminat dan pengikut, tetapi biasanya mereka akan bersikap “primadona”.

Mungkin penulis yang mempromosikan karya mereka sendiri ini akan dilihat sebagai penulis yang “masuk bakul angkat sendiri”? Daripada suatu sudut, ada masalah dan persoalan dalam kalangan penulis juga. Mungkinkah wujud kenyataan penulis yang mempromosikan karya mereka sendiri ini sebenarnya bukan penulis? Mungkin kerana hasil karyanya tidak bagus

Fazleena menjawab persoalan tersebut dengan berkongsi perbualannya dengan penyair Indonesia, Joko Pinurbo.

Saya tidak melihat ini sebagai masalah. Saya pernah berbual dengan Joko Pinurbo. Dia yang sudah berumur itu masih lagi aktif dalam media sosial. Katanya kepada saya, ‘sebagai seorang penulis kita mesti mempromosikan karya kita sendiri’. Dia membawa karya-karyanya sendiri dalam begnya dan akan dikongsikan kepada rakan atau orang yang dia jumpa (untuk menjual karyanya). Dia sendiri mendekati khalayak awam.

Bagi Fazleena, isu ini tidak semudahnya dilihat melibatkan ego penulis itu sendiri, tetapi lebih kepada sikap penulis. Sikap seorang penulis seperti Joko Pinurbo yang memperlihatkan kemahuan yang tinggi agar karyanya dibaca lebih ramai orang perlu dicontohi.

“Memang ada penulis yang bersikap sebaliknya. Tetapi saya sendiri lebih suka dengan penulis yang bersikap terbuka dalam mempromosikan karya mereka. Tidak kiralah dia penulis yang besar atau mapan pun, jika ada platform, lebih-lebih lagi dalam era digital sekarang, ceritakanlah perihal karya itu kepada orang awam.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.