Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutraery Ussin memperkenalkan alternatif dalam pengajian sastera di Malaysia – secara dalam talian.
ODL membuka ruang yang serba luas tanpa halangan kepada khalayak untuk meneroka dunia sastera dengan lebih fleksibel dan interaktif …
Kemerosotan kelas yang menawarkan subjek sastera di sekolah semakin kritikal. Bukankah sastera umpama pelengkap pada kehidupan rohaniah seseorang? Kenapa perkara sebegini berlaku? Di manakah silapnya? Adakah kerana mata pelajaran sastera sudah tidak diminati oleh rakyat Malaysia? Mungkinkah, sudah cukup apabila sekadar penerapan aspek sastera (serba sedikit) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, iaitu Komponen Sastera (KOMSAS) sudah memadai? Persoalannya, bagaimanakah cara yang berkesan untuk mengembalikan pengajian sastera yang relevan dan diminati oleh generasi masa kini? Dalam hal ini, usaha mengembalikan kegemilangan pengajian sastera di Malaysia, seperti pada era tahun 1990-an, mungkin beberapa pendekatan yang efisien perlu dilakukan dengan segera dan drastik, bak peribahasa “membujur lalu melintang patah”.
Dalam dunia yang semakin pesat dengan teknologi dan inovasi, sistem pendidikan juga perlu mengalami transformasi yang signifikan, terutama dalam mata pelajaran Kesusasteraan. Banyak perubahan berlaku di sekeliling kita, sama ada secara perlahan mahupun secara drastik. Subjek sastera tidak boleh terus dibiarkan tenggelam. Lama-kelamaan, pasti akan hilang dan dilupakan. Sehubungan dengan itu, Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh atau Open Distance and Learning (ODL) menjadi antara mekanisme penting untuk mendemokrasikan ilmu kepada masyarakat. Beberapa buah universiti tempatan seperti Universiti Sains Malaysia (USM) terutamanya melalui Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) dan Open Universiti Malaysia (OUM), memperkembangkan pendekatan ODL dalam bidang kesusasteraan. Hal ini membuka ruang yang serba luas tanpa halangan kepada khalayak untuk meneroka dunia sastera dengan lebih fleksibel dan interaktif.
Terdapat beberapa sebab memilih ODL untuk mempelajari sastera pilihan yang terbaik: ODL memperluas akses kepada ilmu sastera yang tiada batasan. Tradisi pengajian sastera sering dikaitkan dengan kuliah fizikal dan pembacaan teks klasik di dalam bilik darjah. Namun begitu, dengan adanya sistem ODL, peluang untuk mempelajari sastera kini terbuka kepada sesiapa sahaja, tidak kira lokasi atau latar belakang. Keadaan ini amat bermanfaat bagi individu yang bekerja, suri rumah atau mereka yang ingin meningkatkan ilmu dalam bidang sastera tetapi terhalang oleh kekangan masa dan tempat serta tawaran yang terhad ketika di sekolah. Malah barangkali terhalang lagi ketika di peringkat institusi penggajian yang tidak menawarkan bidang sastera. Jadi dengan adanya ODL, peluang ini datang semula untuk digapai.
Pada masa sekarang, PPPJJ USM menjadi pelopor dalam membawa pengajian sastera ke platform digital. Dengan adanya kuliah rakaman, webinar interaktif, forum perbincangan dalam talian, dan bahan bacaan digital, pelajar dapat mendalami karya sastera, memahami teori kesusasteraan serta mengasah kemahiran kritis mereka secara fleksibel. Maka, tiada alasan untuk kita tidak meneruskan minat yang tertangguh suatu ketika dahulu. Sebagai perbandingan, Universiti Terbuka Malaysia (OUM) turut menawarkan pendekatan ODL dalam pengajian sastera dengan menggunakan modul dalam talian yang interaktif. Di peringkat antarabangsa, The Open University, United Kingdom, juga menggunakan pendekatan serupa dengan kursus sastera dalam talian yang merangkumi sesi tutorial maya dan perbincangan berstruktur. Selain itu, Harvard Extension School juga menawarkan kursus sastera secara fleksibel dengan akses pada sumber akademik berkualiti tinggi. Tuntasnya, mahu seribu daya dengan segala yang sudah berada di hadapan mata.
Seterusnya, ODL juga menawarkan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif. ODL bukan sekadar menggantikan kuliah tradisional dengan video dan nota dalam talian semata-mata, tetapi juga mengubah cara sastera diajar agar difahami. Antara pendekatan inovatif yang diterapkan dalam pengajian sastera di institusi yang menawarkan ODL termasuklah:
Analisis karya sastera berasaskan teknologi. Pelajar boleh menggunakan aplikasi anotasi digital seperti Hypothesis atau Google Docs untuk berkongsi pendapat dan melakukan analisis teks secara kolaboratif. Selain itu, penggunaan Voyant Tools membolehkan pelajar mengenal pasti corak perkataan dalam teks sastera secara mendalam. Semua ini sudah pasti memberi pengalaman yang berbeza dan menarik untuk mendalami ilmu sastera.
Selain itu, terdapat forum perbincangan dan blog akademik. Melalui platform seperti Moodle, Google Classroom dan Padlet, pelajar dapat bertukar pendapat mengenai tema, gaya penulisan dan konteks sosial dalam karya sastera. Sebagai contoh, blog akademik yang membincangkan novel, cerpen dan puisi tempatan turut menjadi medium yang menggalakkan refleksi kritis. Istilah jemu atau lapuk pasti tidak akan kedengaran lagi.
Seterusnya, adaptasi digital dan persembahan kreatif. Sastera tidak lagi hanya terbatas pada teks bercetak; pelajar boleh menghasilkan audio siar (podcast) sastera, video analisis dan adaptasi digital karya sastera dalam bentuk interaktif. Sebagai contoh, penggunaan media sosial dan laman penulisan seperti Wattpad dan Medium membolehkan pelajar berkongsi karya mereka kepada khalayak yang lebih luas.
Sehubungan dengan itu, jika dilihat lebih jauh di University of Southern Queensland (USQ) telah mengaplikasikan kaedah “gamifikasi” dalam pembelajaran sastera melalui aplikasi pembelajaran interaktif, manakala University of London menawarkan kursus pengajian sastera dalam talian yang menggabungkan sesi kuliah langsung dan rakaman untuk fleksibiliti maksimum. Maka tepuk dada tanya selera untuk tekadkan kemahuan mempelajari sastera yang sudah mengalami perubahan yang drastik dan interaktif ini.
Tuntasnya, pendekatan ODL dalam pengajian sastera di semua institut pengajian perlu lebih progresif dalam memastikan ilmu sastera terus relevan dan berkembang seiring dengan perubahan zaman.
Namun begitu, usaha untuk menarik minat masyarakat terhadap dunia sastera merupakan salah satu cabaran utama dalam dunia penuh material ini. Hal ini terutamanya untuk menarik minat generasi baharu dan masyarakat umum. Tambahan pula, minat mereka terhadap sastera sudah disekat ketika di sekolah apabila kekurangan penawaran terhadap subjek sastera. Begitu juga dengan mentaliti peluang pekerjaan dalam bidang sastera. Dengan menerapkan kaedah ODL, sastera dapat ditampilkan dengan lebih elegan, segar, dinamik, dan mudah diakses. Malah, dengan kepakaran yang pelbagai itu, sudah pasti banyak ruang kerja yang boleh diceburi oleh pemilik akademik dalam bidang sastera.
Jadi, usaha yang berterusan tanpa prejudis dan pandangan yang jauh ke hadapan sahaja yang boleh mengembalikan sastera ke landasan yang gemilang. Semua pihak, bermula daripada ibu bapa, guru, masyarakat, dan seterusnya pihak kerajaan perlu menggembleng tenaga. Berikut terdapat beberapa pendekatan yang boleh menghidupkan kembali minat terhadap sastera dalam kalangan generasi muda:
Tuntasnya, pendekatan ODL dalam pengajian sastera di semua institut pengajian perlu lebih progresif dalam memastikan ilmu sastera terus relevan dan berkembang seiring dengan perubahan zaman. Dengan kaedah yang lebih fleksibel, interaktif dan kreatif; sastera bukan sahaja dapat difahami dengan lebih mendalam tetapi juga menjadi lebih menarik kepada masyarakat umum.
Justeru, bagi mereka yang ingin menyelami dunia sastera dengan cara yang lebih inovatif dan mudah diakses, terdapat beberapa institusi pendidikan di negara kita yang menawarkannya, termasuklah PPPJJ USM dan OUM. Jadi, peluang yang datang bergolek seperti ini tidak harus dilepaskan. Sastera bukan sekadar catatan biasa tetapi medan yang sentiasa hidup dan berkembang, malah kini lebih mudah untuk diterokai dengan cara baharu melalui ODL.
______________________________
Putraery Ussin ialah nama pena Dr. Husairi Hussin. Beliau pensyarah sastera di Universiti Sains Malaysia. Beliau juga penulis kreatif yang banyak menghasilkan cerita kanak-kanak, cerpen dan novel, termasuk Kempeitai (DBP, 2021).