Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sasterawan Negara (SN) Dato’ Rahman Shaari merupakan seorang tokoh akademik yang konsisten memasyarakatkan nilai ilmu dengan jiwa menerusi karya kreatifnya.
YBrs. Profesor Madya Dr. Ghazali Din menyatakan hal demikian dalam sesi pembentangan Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Rahman Shaari yang diadakan di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), semalam.

Menurutnya, selain seorang pengarang prolifik, SN ke-15 itu juga telah berjaya mencorakkan identiti tersendiri sehingga muncul sebagai pemikir puisi yang kekal menghidupkan sajak komunikatif dalam dunia penciptaan karya.
“Bagi saya, Dato’ Rahman mencipta sajak dengan ikhlas. Sajak daripada naluri seorang pendidik.
“Beliau menyampaikan amanat, ilmu dan perutusan sosial melalui sajak-sajaknya,” jelasnya.
Beliau berkata, sajak-sajak Rahman Shaari bukan sekadar berupaya mengangkat keindahan bahasa tetapi menyemai nilai murni dalam jiwa pembaca dengan berkesan sekali gus mendidik masyarakat menerusi pendidikan sastera yang efektif.
Justeru jelasnya, karya SN itu kekal relevan sebagai wadah pembentukan sahsiah dan pemikiran generasi akan datang.
Mengulas lanjut, Ghazali berkata, sepanjang masa pelibatan Rahman dalam bidang kepengarangan, beliau telah menunaikan tanggungjawabnya dengan ikhlas, jujur, prihatin, serta merenung jauh nasib anak bangsa, bukan sahaja daripada isi hati pengarang atau pendidik tetapi dari sudut seorang penulis kreatif yang berhemah.
“Keikhlasan, kejujuran serta keprihatinannya itu telah memberikan wajah kepada dunia sastera. Maka, kita perlu memperkukuh subjek Kesusasteraan Melayu Komunikatif sebagai suatu yang menentukan peradaban bangsa dan negara,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau meneyeru pihak berkenaan agar memandang serius tanggungjawab mendidik melalui sastera dapat diperkasakan pada peringkat sekolah yang sekarang dilaporkan semakin berkurangan.
Untuk rekod, kajian mendedahkan pada tahun 2002, sebanyak 40 buah sekolah menawarkan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif, malah bilangannya terus berkurang kepada 15 buah sekolah pada tahun 2011.