Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangN. Nur Nasuha menyoal masa depan sastera dan subjek Kesusasteraan Melayu Komunikatif di sekolah.
Kesusasteraan Melayu Komunikatif tiada buku teks rasmi, lalu guru terpaksa bergantung pada sumber alternatif dan kreativiti mereka sendiri.
Selaku pelajar sastera, saya melihat seandainya sastera dipinggirkan, apakah lagi yang tinggal untuk memaknakan jati diri bangsa?
Kesusasteraan Melayu Komunikatif (KMK, dulu disebut sebagai Kesusasteraan Melayu) suatu ketika dahulu ialah mata pelajaran yang menjadi medan untuk menyuburkan minda dan jiwa pelajar. Para guru memetik bait dan ungkapan daripada karya hebat seperti Salina, Ranjau Sepanjang Jalan, Sulalatus Salatin, atau Awang Sulung Merah Muda untuk membina empati, semangat dan kecintaan terhadap bahasa serta budaya bangsa. Namun begitu, kenyataan semasa menunjukkan realiti yang semakin membimbangkan.
KMK kini dilihat semakin dilupakan dan semakin sunyi. Melalui sebuah wawancara yang telah saya jalankan (untuk satu tugasan kursus) dengan guru sastera, iaitu guru yang mengajar saya sewaktu tingkatan enam dahulu, jelas tergambar bahawa walaupun guru itu bersungguh-sungguh memperjuangkan subjek tersebut, tetapi realiti di sekolah-sekolah tidaklah seindah idealismenya.
Banyak sekolah kini juga sudah semakin tidak menawarkan subjek KMK. Bahkan, ada sekolah yang terus mencadangkan agar para pelajar memilih subjek lain yang lebih popular, seperti subjek-subjek sains (yang lebih selari dengan tujuan pemerkasaan STEM atau Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dan sebagainya. Sama juga isu pelajar sastera yang ditempatkan di kelas belakang.
Para guru sastera pada hakikatnya sedang bergelut dalam diam—mengajar teks berat seperti Sulalatus Salatin kepada pelajar yang lebih cenderung terhadap aplikasi TikTok daripada sejarah bangsa sendiri. Namun begitu, mereka tetap tabah. Mereka tetap percaya bahawa melalui sastera, jati diri pelajar akan terbentuk dan pemikiran secara kritis dan kreatif turut terasuh.
Itulah isu yang berlaku di peringkat sekolah. Kita boleh lihat pula sejauh manakah ada sinar dalam masa hadapan sastera Melayu melalui platform seperti Dewan Sastera, Tunas Cipta dalam JendelaDBP. Kemunculannya secara tidak langsung menjadi cerminan selera bagi generasi baharu.
Namun begitu, berapa ramaikah yang benar-benar menelaahnya atau pergi mencari majalah bercetaknya? Berapa ramaikah pensyarah, guru dan pelajar sastera, di universiti, institut atau sekolah yang membelinya secara dalam talian (bentuk digital PDF ataupun bercetak)? Dalam pada itu, adakah majalah fizikal tersebut (jika tidak dilanggan) mudah didapatkan di mana-mana seperti sebelumnya, yang pernah kita temui suatu masa dahulu di kedai stesen gas tertentu dan toko-toko buku yang tertentu? Dalam hal ini, jelas bahawa sastera bukan lagi suara arus perdana. Sastera kini perlahan-lahan ditolak ke pinggir, seolah-olah tidak lagi relevan dengan realiti semasa. Namun begitu, adakah benar sastera tidak lagi relevan, atau kita sendiri yang membiarkan generasi baharu menjauhinya, tanpa usaha yang sebenar dan jitu?
Sebenarnya, salah siapa jika pelajar kini makin jauh daripada sastera? Berdasarkan sesi borak santai antara saya dengan beberapa guru yang pernah mengajar ketika di tingkatan enam dahulu, mereka menekankan bahawa masalah besar pendidikan hari ini bukanlah pada sistem semata-mata, tetapi juga pada sikap pelajar itu sendiri. Pelajar datang ke sekolah tanpa tahu mengapa mereka perlu belajar. Tambahan lagi, KMK tiada buku teks rasmi, lalu guru terpaksa bergantung pada sumber alternatif dan kreativiti mereka sendiri.
Bayangkan, dalam dunia pendidikan yang sangat berstruktur, masih ada mata pelajaran seperti KMK yang dibiarkan seolah-olah “mandiri”. Guru menjadi segala-galanya—pencari bahan, penggubal, pengilham, pemudah cara—semuanya.
Rentetan daripada segala isu yang berbangkit itulah yang membuatkan saya terfikir, ke manakah arah sastera Melayu selepas ini? Dengan KMK tidak lagi ditawarkan secara menyeluruh, maka ke mana arah sastera Melayu akan dibawa?
Sudah tiba masanya kita berhenti menyalahkan pelajar semata-mata. Sastera harus dihidangkan semula dengan wajah baharu, tanpa kehilangan roh asalnya. Sebagai contoh, mungkin antara tindakan yang boleh diambil adalah dengan menyuntik KMK melalui konteks semasa yang relevan, dengan menjadikan majalah Dewan Sastera dan Tunas Cipta sebagai bahan sokongan pembelajaran KMK. Untuk itu juga, seeloknya, diperkenalkan harga diskaun khas buat para pelajar sekolah mahupun institusi pengajian tinggi dengan harga yang berpatutan, agar tidak membebankan para pelajar yang kini terbeban dengan pelbagai perbelanjaan untuk pengajian.
Hal itu dapat dilaksanakan jika ada pihak yang bertanggungjawab dapat menyediakan insentif kepada pihak sekolah untuk mengekalkan kelestarian subjek ini, dan melibatkan golongan muda sebagai penyumbang, pelanggan serta pengguna kandungan sastera digital.
Sebagai kata penutup untuk penulisan kali ini, saya amat berharap agar sastera Melayu tidak mati dalam sunyi. Jika KMK mati di sekolah, dan jika majalah sastera yang kita sudah ada berpuluh tahun dibiarkan tidak terbeli oleh peminat dan pemerhatinya, kita bukan sekadar kehilangan satu subjek atau satu majalah, kita kehilangan satu ruang tamadun bangsa. Dan lebih tragis, kita membiarkannya mati dalam sunyi yang kita cipta sendiri.
_________________________
N. Nur Nasuha, siswi Universiti Pendidikan Sultan Idris. Berasal dari Pasir Puteh, Kelantan. Beliau aktif menulis berita dalam talian Jendela DBP, selain artikel dan puisi.