Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangOsman Ayob menampilkan andaian siapa dalam kalangan penulis kontemporari yang sesuai diangkat sebagai Sasterawan Negara ke-16.
Tidak ada ertinya kita mempunyai Sasterawan Negara yang uzur atau kurang keterampilan diri.
Baru-baru ini, novelis Faisal Tehrani telah menulis dengan panjang lebar dalam sebuah portal tentang pemilihan Sasterawan Negara ke-16. Dalam tulisan tersebut, beliau telah membuat andaian beberapa nama penulis terkenal yang dijangka akan dipilih untuk menerima anugerah berkenaan..
Mendahului andaiannya ialah Azmah Nordin, seorang penulis wanita dari Sabah yang banyak menghasilkan novel dan cerpen. Novelnya pula pernah terpilih menjadi teks KOMSAS dan ada antaranya mengundang kontroversi beberapa tahun lalu.
Selain Azmah Nordin, turut disenaraikannya ialah nama besar seperti Johan Jaaffar, Zaen Kasturi, S.M. Zakir, Zainal Rashid Ahmad, dan beberapa nama lagi, termasuk Abu Hassan Morad, Lim Swee Tin, dan Jasni Matlani.
Tidak dapat dinafikan bahawa nama-nama yang disebutnya mempunyai kelebihan tersendiri dan menyumbang banyak jasa bakti, bukan sahaja dalam melahirkan karya kreatif bermutu tinggi tetapi mereka juga banyak menyumbangkan tenaga dalam kegiatan memartabatkan sastera dan memajukannya sebagai wadah mengembangkan pemikiran dan akal budi masyarakat.
Nyata di sini bahawa pemilihan Sasterawan Negara ke-16 amat sengit dan sedang ditunggu-tunggu oleh masyarakat, terutama para penulis dan peminat kesusasteraan kebangsaan.
Hal yang pasti, Sasterawan Negara ke-16 nanti bukan calang-calang orang, sebaliknya seorang yang berwibawa dan mempunyai wawasan perjuangan yang kukuh ke arah mengembangkan dan meletakkan karya kesusasteraan kebangsaan di tempat yang selayaknya, selaras dengan matlamat negara MADANI Jiwa Merdeka yang menjadi slogan yang dominan dalam kerajaan sekarang.
Tegasnya, Sasterawan Negara ke-16 bukan sahaja akan berganding bahu dengan semua Sasterawan Negara yang ada sekarang, tetapi mempunyai idea dan keberanian luar biasa dalam usaha memberi nafas baharu bagi memartabatkan bahasa Melayu dan karya sastera kebangsaan, selain cukup berdaya untuk menjiwai hati nurani masyarakat majmuk yang kompleks di negara kita yang tercinta.
Soalnya, siapa yang bakal dinobatkan bagi memikul tanggungjawab yang tiada timbangan beratnya ini?
Azmah Nordin mempunyai karya besar tetapi beliau tidak mempunyai kelayakan akademik yang tinggi untuk berhujah dan bersyarah di pusat pengajian tinggi, sedangkan ciri-ciri ini perlu ada pada seorang Sasterawan Negara yang berkaliber dan berprestasi tinggi.
Tidak ada ertinya kita mempunyai Sasterawan Negara yang uzur atau kurang keterampilan diri. Tepat seperti pendapat yang pernah ditekankan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak lama dulu bahawa walaupun iklan dan pencalonan dibuka kepada khalayak, tetapi panel penilai tidak semestinya terikat membuat pemilihan jika tidak ada penulis yang layak untuk diberi anugerah yang tinggi dan berprestij itu. Hal ini bermakna, untuk pemilihan kali ini, panel boleh membuat keputusan mengejut dan di luar jangkaan sebelumnya, bahawa tiada siapa yang didapati layak untuk dianugerahkan Sasterawan Negara ke-16.
Sebenarnya, selain nama yang disentuh oleh Faisal, ada lagi nama lain yang sebenarnya telah dikemukakan oleh persatuan penulis untuk anugerah tersebut. Tanpa perlu menyebut persatuan mana, namun wajarlah disebut nama-nama yang turut berada dalam senarai pencalonan yang dikemukakan. Antaranya termasuk Datuk Haji A. Aziz Deraman, bekas Ketua Pengarah DBP. Selain bergerak cergas dalam persatuan sastera dan budaya dari dulu hingga sekarang, beliau ialah penyair yang telah banyak menghasilkan buku puisi yang bermutu. Beliau pejuang bahasa, pembentang kertas kerja dalam banyak acara sastera, termasuk di pusat pengajian tinggi di dalam dan luar negara.
Seorang lagi penyair terkenal dan penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) yang khabarnya dikemukakan pencalonan oleh sebuah badan budaya yang berwibawa ialah Rejab F.I. Beliau bukan calang-calang orang. Beliau menulis ratusan novel kanak-kanak, remaja dan dewasa. Karyanya pernah menjadi teks KOMSAS dan masih digunakan hingga sekarang. Beliau yang terkenal sebagai penyair veteran, masih giat menulis dan sajak-sajaknya sering menghiasi dada akhbar dan majalah hingga kini.
Seperkara yang perlu disentuh dalam konteks Kerajaan MADANI sekarang, hingga kini, belum ada seorang penulis bukan Melayu yang dinobatkan sebagai Sasterawan Negara. Penulis mendapat makluman, Datuk Dr. Lim Swee Tin berada dalam senarai pencalonan. Jika hal ini diambil kira, beliau merupakan calon yang layak dan sesuai dengan aspirasi Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri sekarang.
Oleh itu, janganlah terkejut jika Lim Swee Tin dipilih sebagai Sasterawan Negara ke-16. Bersama-samalah kita menanti saat pengumuman yang saspens serta memiliki sejarah yang tersendiri ini.
_________________________
Osman Ayob ialah penerima SEA Write Award (Malaysia) 2022. Beliau juga penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 bagi kumpulan cerpen Bayangan Silam (DBP, 2009). Antara kumpulan cerpennya termasuklah Bayangan Rindu (1981), Musim itu Telah Berlalu (1984), Detik yang Tergugat (1988), Di Pinggir Kesedaran (1993), Melamar Rindu (2001), Perginya Seorang Srikandi (2011), Tembok Masih Tinggi (2014), dan Gila Tak Gila (2017). Selain menulis cerpen, beliau juga menghasilkan lebih 30 buah novel. Novel remajanya, Meniti Impian menjadi teks KOMSAS tingkatan dua di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan bagi tahun 2016–2020.