Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKota Kinabalu – Lima buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengungguli Hadiah Sastera Sabah (HSS) 2022/2023 bagi kategori novel remaja, novel kanak-kanak, kumpulan puisi, kumpulan cerpen dan buku bergambar kanak-kanak.
Kemenangan tersebut membuktikan kualiti dan keupayaan DBP dalam penerbitan buku dan seterusnya secara tidak langsung menyemarakkan dunia penulisan dan kesusasteraan negara.
Antara karya yang memenangi HSS 2022/2023 tersebut termasuklah novel Kaysa Kesateria dan Tekad Sumayyah (Lailah Elok), kumpulan puisi Kata-kata Sebelum Makna (Sharifah A. M. Noordin), kumpulan cerpen Cawan Odin (Ruhaini Matdarin), dan buku bergambar kanak-kanak, Kisah Sang Puyuh dan Sang Katak (Yap Ah Yin@Florence dan Jainal Amambing).
Karya sastera yang berkualiti mampu membentuk jati diri dan membina keintelektualan bangsa selain melestarikan penulisan berbahasa Melayu di negara ini. Karya yang memenangi HSS 2022/2023 pada kali ini, terutamanya karya terbitan DBP membuktikan hal tersebut apabila diiktiraf menerusi penganugerahan sastera negeri.
Selain itu, dua karya eceran dalam majalah Dewan Sastera turut memenangi HSS 2022/2023 pada kali ini. Dua karya tersebut ialah puisi “Migrasi” (Nasiruddin Hassan) dan cerpen “Pembuat Boneka dari Manchester” (Witer Gunik).