Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuching – Dr. Abang Patdeli Abang Muhi diraikan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Sarawak ke-6 dalam majlis penyampaian Anugerah Sastera Sarawak yang disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua (YDP) Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri Sarawak pada malam tadi.
Pemberian anugerah ini merupakan satu pengiktirafan kepada penulis Sarawak dan disifatkan sebagai besar ertinya dalam sejarah perkembangan sastera kebangsaan di negeri tersebut secara khususnya.
Hal ini turut membuktikan kesungguhan dan komitmen Kerajaan Negeri Sarawak untuk bersama-sama memantapkan sastera kebangsaan di negeri ini.
Anugerah ini juga diberikan kepada penulis yang telah memberikan sumbangan cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan kebangsaan khususnya di Sarawak bagi satu tempoh atau jangka masa tertentu dan dinilai oleh panel hakim melalui saringan yang ketat.
Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi dilahirkan di Kampung Sebangan, Simunjan, Sarawak. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Psikologi di Universiti Kebangsaan Malaysia dan melanjutkan pengajiannya pada peringkat Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Seni di City University, London dan menamatkan pengajiannya pada peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Pendidikan Sultan Idris serta mendapat pentauliahan sebagai Munsyi Bahasa sejak November 1995 hingga kini.
Jawatan terakhir beliau di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah sebagai Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera. Beliau juga merupakan mantan Pengarah Jabatan Penerbitan DBP. Beliau pernah bertugas sebagai pensyarah sambilan di Fakulti Kreatif dan Sains Gunaan suatu ketika dahulu.
Beliau mendedikasikan penganugerahan yang diterimanya untuk isteri, ahli keluarganya dan semua pihak serta rakan-rakan yang dipercayai telah banyak membantu melahirkan dirinya menjadi penulis.
“Rakan wartawan juga banyak membantu diri saya dalam usaha untuk berkembang menjadi penulis selama ini,” jelas beliau.
Ketika diajukan pertanyaan tentang harapan beliau terhadap dunia kesusasteraan Malaysia, beliau menyatakan bahawa dunia sastera pada hari ini semakin berkembang dan tidak pernah pudar terutamanya di Sarawak.
“Saya berharap agar penulisan ini tidak hanya tertumpu dalam kalangan sasterawan Melayu, namun usaha ini perlu dibangkitkan oleh pelbagai suku kaum yang terdapat di negeri ini,” ujar beliau.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada penulis muda sama ada yang sedang bergiat ataupun telah mengukir nama dalam bidang persuratan di negara ini agar terus berkarya demi pembangunan minda dan ketamadunan masyarakat.
Ujar beliau lagi, banyak peluang diberikan oleh pelbagai pihak terutamanya oleh DBP untuk mana-mana pihak yang berhasrat mengembangkan bakat kesusasteraan sehingga mereka berjaya dalam berkarya termasuklah peluang untuk melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan kesusasteraan di negara ini.
“Insya-Allah, mereka mampu melakukannya,” ulas beliau apabila melihat potensi besar penulis muda pada hari ini.
Dr. Abang Patdeli kini dalam rangka menyiapkan projek manuskrip terbaharu beliau dalam penerbitan cerpen dan puisi.
“Satu manuskrip juga sedang giat dilakukan hasil daripada kajian tesis Ijazah Doktor Falsafah saya yang berjudul Peribahasa Melayu Sarawak: Analisis Genre dan Akal Budi. Pada masa yang sama, saya sedang menyiapkan buah tangan terbaharu, iaitu novel,” ujar beliau tentang projek terkini yang sedang diusahakannya.
Beliau turut menyifatkan keupayaan sastera berkembang dengan sendiri sama ada menerusi bantuan oleh pihak berwajib atau sebaliknya.
“Ada atau tidak sebarang bantuan, mereka tetap menulis dan berkarya,” demikian tegas beliau.
Beliau berpandangan bahawa dunia kesusasteraan kini lebih menonjol dalam kalangan masyarakat termasuklah dalam kalangan individu yang tidak bergiat aktif dalam dalam bidang ini.
“Harapan saya semoga dunia kesusasteraan di negara ini lebih disanjungi, lebih-lebih lagi penggiat sastera sendiri perlu meningkatkan martabat sastera dalam usaha meningkatkan kewibawaan masing-masing,” ujar beliau.