Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuching – Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua (YDP) Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar dijangka akan menyempurnakan majlis penyampaian Anugerah Sastera Sarawak ke-11, hujung bulan ini.
Pengerusi Panel Penilai Anugerah tersebut, Datuk Dr. Adi Badiozaman Tuah dilaporkan berkata, majlis tersebut akan diadakan di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 30 Oktober 2024.
Anugerah tersebut menyaksikan bekas Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Abang Patdeli Abang Muhi dipilih sebagai penerima anugerah Sasterawan Sarawak yang keenam.
Sebelum itu, Anugerah Sasterawan Sarawak pernah menobatkan Allahyarham Muhammad Bujang pada tahun 1994, Muhammad Rakawi Yusuf (1995), Dr. Adi Badiozaman Tuah (2009), Jong Chian Lai (2014), dan Zainal Abidin Suhaili (2020).
Selain itu, lapan individu diumum sebagai penerima tujuh anugerah lain yang diperkenalkan, iaitu Anugerah Khas Bahasa dan Sastera yang dianugerahkan kepada Jantan Umbat; Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Genre (Puisi) kepada Abang Median Abang Said, dan penerima Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Genre (Cerpen) pula ialah Jaya Ramba.
Seterusnya, Dr. Dilah Tuah menerima Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Genre (Esei Kritikan), Jaya Ramba pula diberikan Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Genre (Novel), Jantan Umbat menerima Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Kategori Bahasa (Bahasa Iban), manakala Lokman Hakim Abdul Wahid dan Frankie Latit dianugerahi Anugerah Penulis Harapan Sarawak.