Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuching – Mantan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Abang Patdeli Abang Muhi dianugerahi Anugerah Sasterawan Sarawak keenam bersempena dengan Anugerah Sastera Sarawak ke-11.
Berita penganugerahan tersebut disampaikan oleh YBhg. Datuk Dr. Adi Badiozaman Tuah, Pengerusi Panel Penilai Anugerah Sastera Sarawak ke-11, iaitu anugerah yang sebelum ini dikenali sebagai Anugerah Sastera Negeri Sarawak (ASNS).
Anugerah tersebut merupakan projek terulung kegiatan kesusasteraan dan kebahasaan di Sarawak.
Anugerah tersebut diberikan untuk mengiktiraf komitmen, kepakaran serta ketokohan Dr. Abang Patdeli sebagai penulis yang berwibawa.
Anak kelahiran Kampung Sebangan, Simunjan itu juga mendapat pengiktirafan sedemikian atas penglibatan cemerlangnya dalam menghasilkan karya-karya bermutu, dan menyumbang kepada pembangunan pemikiran masyarakat.
Abang Patdeli juga pernah bertugas sebagai Timbalan Pengarah di DBP Cawangan Sarawak, Ketua Unit Sosiobudaya di Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik DBP, dan Ketua Unit Muzium Bahasa dan Sastera di Pusat Dokumentasi Melayu, DBP Kuala Lumpur.
Beliau juga mantan pensyarah sambilan di Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak, selain giat menganggotai lebih 50 jawatankuasa yang merangkumi pelbagai aktiviti bahasa dan sastera peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Projek ini, jelas Datuk Dr. Adi, telah dimulakan pada tahun 1994, dan sejak tempoh tersebut, majlis Anugerah Sastera Sarawak telah dilangsungkan pada tahun 1995, 1997, 1998, 1999, 2001, 2009, 2014, dan 2018.
Setakat ini, sudah ada lima orang penerima Anugerah Sasterawan Sarawak. Antara pemenang anugerah tersebut termasuklah Allahyarham Muhammad Bujang pada tahun 1994, Muhammad Rakawi Yusuf (1995), Dr. Adi Badiozaman Tuah (2009), Jong Chian Lai (2014), dan Zainal Abidin Suhaili atau Abizai (2020).
Sementara itu, Dr. Adi turut mengumumkan barisan pemenang lain, termasuk Anugerah Khas Bahasa dan Sastera yang dianugerahkan kepada Jantan Umbat; Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Genre (Puisi) kepada Abang Median Abang Said, dan penerima Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Genre (Cerpen) pula ialah Jaya Ramba.
Seterusnya, Dr. Dilah Tuah menerima Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Genre (Esei Kritikan), Jaya Ramba pula diberikan Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Genre (Novel), Jantan Umbat menerima Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Kategori Bahasa (Bahasa Iban), manakala Lokman Hakim Abdul Wahid dan Frankie Latit dianugerahi Anugerah Penulis Harapan Sarawak.