31 Oktober 2024, 07:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Ketibaan TYT YDP Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan tetamu kenamaan lain di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri Sarawak diiringi oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dato Dr. Jeniri Amir dan Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Abang Julai.

Kuching – Malam kemuncak Anugerah Sastera Sarawak ke-11 diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua (YDP) Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam majlis penuh berprestij yang berlangsung di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri Sarawak, Kuching.

Anugerah ini merupakan satu pengiktirafan kepada penulis di Sarawak yang sentiasa berusaha mengembangkan sastera kebangsaan.

Pemberian anugerah tersebut membuktikan kesungguhan dan komiten Kerajaan Sarawak untuk sama-sama membangunkan dan memantapkan sastera kebangsaan di negeri ini seiring dengan pembangunan dalam bidang lain.

Menerusi anugerah ini, Kerajaan Sarawak telah menyediakan peruntukan khas bagi membiayai anugerah ini temasuklah pemberian hadiah dalam lima kategori yang dipertandingkan.

Dalam majlis tersebut, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Anugerah Sastera Sarawak ke-11, Yang Berhormat (YB) Datuk Dr. Annuar Rappa’ee berkata, para penulis perlu meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai masa hadapan pengkaryaan.

Jelas beliau, penulis perlu memanfaatkan masa depan sebagai satu daripada cara untuk meningkatkan anjakan paradigma dalam usaha membentuk peradaban masyarakat majmuk pada masa akan datang sebagai pandangan sejagat yang dinamik dan progresif.

“Penulisan yang menjadi persuratan perlu mempunyai nilai sastera yang tinggi.” -Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Anugerah Sastera Sarawak ke-11.

Tambah beliau,

“Karya yang terhasil berkemampuan menjadi sebuah persuratan dan peradaban berdasarkan pelibatan dalam sistem pentadbiran, keadilan sosial serta modal insan dalam kalangan masyarakat berasaskan pengetahuan dengan konsep negara bangsa yang dididamkan bersama.”

Beliau turut menyifatkan penulisan yang menjadi persuratan perlu mempunyai nilai sastera yang tinggi kerana bahan penulisan bersifat persuratan akan menjadi rujukan pada masa hadapan, lebih-lebih lagi tentang peradaban.

Bagi beliau, penulisan kini tidak lagi merakam peristiwa semata-mata, malah perlu mempunyai nilai kemasyarakatan dalam usaha membina negara bangsa.

Penyampaian anugerah itu disempurnakan oleh TYT YDP Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan turut dihadiri oleh isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi; Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, serta Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari.

“Komitmen Kerajaan Negeri Sarawak dalam menyokong usaha memartabatkan bahasa, kesusasteraan dan persuratasn amat dihargai oleh DBP.” – Dr. Hazami Jahari

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari menyatakan bahawa pelbagai strategi telah dilakukan bagi memastikan pelbagai program kebahasaan dan kesusasteraan terancang dan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya dengan pelibatan pelbagai etnik tanpa memikirkan jurang yang wujud. Beliau juga turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen Kerajaan Negeri Sarawak terhadap bahasa dan sastera kebangsaan.

Menurut beliau,

“Sejak awal 90-an, DBP Cawangan Sarawak bermula dengan penubuhan Unit Bahasa Melayu dan komitmen Kerajaan Negeri Sarawak di bawah kepimpinan Primier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg terhadap bahasa dan usaha memartabatkan sastera sangat istimewa dan berterusan hingga kini.”

Pada masa yang sama, beliau turut menjelaskan bahawa DBP Cawangan Sarawak yang berpusat di Kuching pastinya mengalami cabaran yang besar dalam memenuhi tanggungjawabnya.

“Maka acara yang dilaksanakan ini merupakan satu daripada program terancang untuk memastikan kelahiran penulis muda yang akhirnya dapat diketengahkan pada peringkat kebangsaan,” ulas beliau.

Beliau berpandangan dengan menyatakan bahawa DBP turut menetapkan sasaran untuk memastikan kelahiran Sasterawan Sarawak dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Sebanyak enam kategori anugerah disampaikan pada malam ini merangkumi Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Genre (Puisi), Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Genre (Cerpen), Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Genre (Esei Kritikan), Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Genre (Novel), Anugerah Khas Bahasa dan Sastera serta anugerah tertinggi, Anugerah Sasterawan Sarawak.

Pengiktirafan tersebut melalui proses penilaian panel khas dengan mengambil kira beberapa aspek penting untuk memastikan penerima anugerah terdiri daripada karyawan yang telah memberikan sumbangan, jasa dan bakti dalam dunia pengkaryaan.

Jelas Ketua Pengarah DBP, Sumbangan, jasa dan bakti amat berharga dan bermutu dalam pembangunan pemikiran masyarakat selain kejayaan serta pencapaian mereka pada peringkat negeri mahupun kebangsaan.”

Rakaman kenang-kenangan sejurus majlis berakhir.

Sebagai rekod, pengiktirafan ini dilakukan oleh Kerajaan Sarawak melalui Pejabat Timbalan Menteri Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, dan DBP Cawangan Sarawak selaku urus setia sejak tahun 1994. Menerusi perkembangan yang membanggakan, projek ini terus dilaksanakan dengan peruntukan yang berterusan oleh Kerajaan Sarawak.

Kredit Foto: DBP Cawangan Sarawak
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.