Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBangi – YBrs. Encik Muhammad Kamil Abdul Munim, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, mengatakan bahawa RM2.5 juta yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia MADANI kepada Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) untuk Penerbitan 123 Buku PENA-Malaysia MADANI merupakan suatu jumlah yang kecil.
“Jumlah tersebut adalah kecil bagi sebuah kerajaan. Walau bagaimanapun, ia sumbangan yang amat bermakna sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Malaysia MADANI pimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri terhadap sastera negara,” tegas beliau.
Hal itu dibuktikan lagi, tambah Muhammad Kamil, apabila Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM50 juta kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2025 untuk membantu segala usaha memartabatkan sastera budaya negara.
Berucap sebelum menyempurnakan pelancaran Penerbitan 123 Buku PENA-Malaysia MADANI di Hotel Royal Park pada 19 Disember lalu, beliau turut mengingatkan, selain penulisan boleh menjadi alat menentang penjajahan, isi tulisan yang dihasilkan mestilah asli dan boleh dipertanggungjawabkan.
“Cerita palsu yang merosakkan perlu dibanteras. Oleh sebab itu, Kerajaan MADANI cuba membawa kebaikan dalam segala aspek, termasuklah bidang penulisan. YAB Perdana Menteri mahu penulisan yang membawa kebaikan diteruskan,” ujar Kamil.
Beliau juga memetik kata-kata penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 2011 dan Sasterawan Kelantan 2023, S.M. Zakir bahawa penulis perlu menguasai teknologi, di samping tidak terpedaya dengan dakyah, dan jangan sesekali melupakan adab ketika berkarya.
Sebelum itu, YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Penasihat Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) – Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) 2024 menegaskan bahawa PENA meraikan semua penulis di seluruh negara, dan sama sekali tidak mengamalkan sikap kenegerian.
Beliau yang juga Presiden PENA mewakili pihaknya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kerajaan atas sumbangan RM2.5 juta tersebut.
“Alhamdulillah, dana tersebut telah digunakan sebaiknya, dan dikembalikan kepada para penulis yang terlibat,” ujar Saleeh.
Barisan buku dalam projek pertama PENA-Malaysia MADANI ini merangkumi penerbitan kumpulan esei, cerpen, puisi, cerita kanak-kanak, serta koleksi ucapan Presiden PENA 2010 – 2024.
Majlis pelancaran tersebut mengisi Malam Kemuncak Penulis Malaysia, yang merupakan sebahagian daripada atur cara SKPM-PPMN 2024 di tempat yang sama, dari 18 hingga 20 Disember lalu.
SKPM III dan PPMN IV ini disertai oleh kira-kira 300 orang penulis pelbagai genre.
SKPM/PPMN 2024 dianjurkan oleh PENA bersama-sama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Inisiatif Belanjawan 2024 GAPENA, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Perbadanan Kota Buku (PKB), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, serta Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).
Acara turut diserikan dengan persembahan syair oleh Roslan Madun, nyanyian lagu puisi oleh kumpulan Dewangga Sakti, dan deklamasi sajak oleh Dr. Norzuraina Mohd. Nor.
Turut hadir ialah YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP; YBrs. Encik Noor Amin Ahmad, Pengerusi ITBM; YBrs. Puan Adibah Omar, Ketua Pegawai Eksekutif PKB; YBrs. Prof. Dr. Haji Hashim Ismail, Naib Presiden GAPENA; wakil JKKN; YBrs. Encik Mohd. Khair Ngadiron, Pengarah SKPM; YBrs. Encik Zaifulnizam Wagiran, Pengarah PPMN, serta ahli jawatankuasa kerja SKPM/PPMN 2024.
YBhg. Datuk Dr. Zurinah Hassan, Sasterawan Negara (SN) ke-14, YBhg. Dato’ Rahman Shaari, SN ke-15, serta pelakon/pengarah Sabri Yunus dan U-Wei HajiSaari turut hadir sebagai tetamu khas.
Antara penulis yang terlibat dengan projek ini yang turut hadir termasuklah A. Ghani Abdullah, Djazlam Zainal, Marsli N.O, Amelia Hashim, Ratna Laila Shahidin, Abdullah Shuib, dan Mamu MK Hasny.