2 Disember 2024, 08:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka, Rohana Abdul Rahman melaporkan Majlis Pengurniaan SEA Write Award bagi tahun 2022 dan 2023 di Bangkok, Thailand.

Seramai 17 orang penerima SEA Write Award dari tahun 2022 dan 2023 hadir dalam majlis ini yang mewakili 10 buah negara rantau Asia Tenggara.

Tanggal 25 November 2024 merupakan detik sejarah bagi Osman Ayob dan Siti Zaleha M. Hashim atas pengurniaan Anugerah Penulis Asia Tenggara atau SEA Write Award (Malaysia) tahun 2022 dan 2023. Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada mereka yang terpilih mewakili Malaysia untuk menerima pengurniaan anugerah tersebut daripada Yang Teramat Mulia Puteri Sirivannavari Nariratana Rajakanya, Puteri Raja Thailand Maha Vajiralongkorn di Istana Sukhotai, Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Penerima tahun 2022, Osman Ayob merupakan penerima anugerah ke-44 manakala Siti Zaleha M. Hashim pula penerima ke-45 untuk penerimaan anugerah yang berprestij ini. Mereka berdua menerima hadiah berupa wang tunai, trofi, tiket penerbangan, serta penginapan yang dibiayai oleh pihak penganjur.

Seramai 17 orang penerima SEA Write Award dari tahun 2022 dan 2023 hadir dalam majlis ini yang mewakili 10 buah negara rantau Asia Tenggara. Semua penerima anugerah diraikan dalam majlis penuh meriah selama dua hari (25 – 26 November 2024) dengan pelbagai aktiviti yang diaturkan oleh Sekretariat SEA Write Award, Thailand.

Anugerah ini telah diwujudkan sejak tahun 1979 oleh Kerajaan Thailand yang bertujuan untuk memberikan penghargaan dan pengiktirafan tertinggi kepada penulis, sasterawan dan seniman dari setiap negara ASEAN yang banyak menyumbang dalam penghasilan karya kreatif terbaik, sekali gus layak mendapat pengiktirafan pada peringkat Asia Tenggara.

Sememangnya majlis ini secara tidak langsung dapat mempertemukan para penulis terkemuka di setiap ceruk Asia Tenggara, yang berkongsi pengalaman dan perkembangan kesusasteraan, kesenian dan kebudayaan negara masing-masing. Semoga dengan pengurniaan anugerah ini kepada penerima, diharap agar kedua-dua penerimanya akan terus tekal berkarya sekali gus menghasilkan karya yang memberikan impak besar kepada masyarakat dan negara.

Penerima SEA Write Award (Malaysia) 2022 menerima trofi penghargaan daripada Yang Teramat Mulia Puteri Sirivannavari Nariratana Rajakanya.
Penerima SEA Write Award (Malaysia) 2023 menerima trofi penghargaan daripada Yang Teramat Mulia Puteri Sirivannavari Nariratana Rajakanya.

_________________________

Rohana Abdul Rahman ialah pegawai di Bahagain Promosi dan Pengiktirafan, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kredit Foto: Rohana Abdul Rahman dan Sekretariat S.E.A. Write
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.