Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangAdib MN merenung kembali detik penting peristiwa sastera di Malaysia pada tahun 2024, detik-detik yang membanggakan dan tidak kurang juga kontroversi dalam landasan perkembangan sastera kita.
Sudah tentu pengiktirafan UNESCO ini bukan murah, malah curahan wang ringgit semata-mata tidak cukup untuk dijadikan ‘bahan lobi’ kepada badan dunia itu. Kita perlu belajar daripada usaha Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia yang malangnya terencat akibat pandemik COVID-19.
JANUARI |
Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) membentangkan empat inisiatif untuk merakyatkan sastera melalui penterjemahan kepada Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, iaitu (1) Penterjemahan dan Penerbitan Karya Sasterawan Negara (SN) ke dalam Bahasa Utama Dunia, (2) Penterjemahan Karya Agung Dunia atau Popular ke dalam Bahasa Melayu, (3) Penubuhan Pusat Penyelidikan Antarabangsa Karya SN dalam Terjemahan Pelbagai Bahasa Dunia, dan (4) Menjadikan Terjemahan Sastera sebagai Kegiatan Popular pada Peringkat Akar Umbi.
Hal ini dimaklumkan dalam kenyataan yang disiarkan dalam BERNAMA, yang turut menjelaskannya sebelum hal itu dibentangkan pada sesi pertemuan dan percambahan minda bersama-sama SN, dipengerusikan oleh Pengerusi ITBM YB Tuan Noor Amin Ahmad.
Hal ini menjadi satu kewajaran untuk khalayak sastera meminta, setakat mana perkembangan empat inisiatif yang dikemukakan itu kepada Perdana Menteri dapat direalisasikan, selain mungkin meminta agar inisiatif itu turut diperluaskan daripada hanya memfokuskan pada karya SN semata-mata.
Dalam bulan sama, pengkaji sastera, YBrs. Dr. Abdul Rahman Napiah atau lebih dikenali sebagai Mana Sikana dalam kolum di Sinar Harian menyarankan agar tiga SN, Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, Datuk Seri A. Samad Said dan Dato’ Anwar Ridhwan layak diangkat untuk “menduduki” kerusi Hadiah Nobel Kesusasteraan.
Beliau bagaimanapun memilih Muhammad Haji Salleh, dengan menyifatkannya sebagai “penyair terkenal pelanggar puisi Melayu daripada rendaman perasaan dan terlazim dengan sifat puitik romantik, kepada teks yang menganut faham intelektualisme.” Penyifatan itu rasanya terlalu bersifat ambiguiti sehingga mungkin ramai tercengang-cengang, apakah kelebihan penyair yang terkenal dengan karya Perjalanan Si Tanggang II itu.
Hal ini pasti sukar untuk “dijual” kepada panel penilai Hadiah Nobel Kesusasteraan, sementelah pula kriteria penilaian hadiah sastera yang dianggap paling berprestij itu sendiri samar dan kabur, bahkan cenderung kepada mencetuskan kontroversi, malah sering didakwa bersifat politikal dan Eurosentrik.
Sebenarnya, berbanding menggembleng institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ITBM, universiti tempatan, dan persatuan penulis untuk mengusahakan projek “pelobian” itu, adalah lebih realistik untuk kita menghabiskan duit untuk usaha penterjemahan karya bukan sahaja karya SN, bahkan para pengarang tanah air ke dalam bahasa utama, terutamanya bahasa Inggeris serta menjalinkan hubungan dengan institusi luar yang sudi memerhati perkembangan sastera Malaysia.
FEBRUARI |
DBP membuka pencalonan bagi Anugerah Sastera Negara (ASN) yang membawa kepada penobatan gelaran SN kepada penerimanya. Tokoh itu, kata Ketua Pengarah YBrs. Dr. Hazami Jahari, “(mestilah) yang menurut penelitian dan penilaian panel memberikan sumbangan cemerlang dan berterusan terhadap perkembangan kesusasteraan kebangsaan melalui ciptaan kreatif dan sastera bermutu tinggi.”
Hadiah diterima juga bukan kecil anak tetapi wang tunai RM60,000, penerbitan 50,000 naskhah buku untuk dibeli oleh kerajaan serta kemudahan perubatan percuma dalam wad kelas satu di hospital kerajaan. Namun begitu, tidak dapat dipastikan sama ada elaun bulanan yang pernah diberikan kerajaan pada tahun 2018 akan menjadi milik penerima atau tidak.
Turut dibuka ialah pencalonan untuk Anugerah Penulis Asia Tenggara atau SEA Write Awards (Malaysia) 2023 yang sebenarnya anugerah yang disediakan oleh Yayasan Jim Thompson tetapi menjadi “sakral” kerana membabitkan institusi diraja Thai. Formula ini sebenarnya bukanlah sukar untuk diwujudkan di Malaysia tetapi entah mengapa, tidak ada yang mahu menggalas usaha ini.
Secara kasarnya, kriteria yang diterangkan sangat jelas berpusat pada ciptaan kreatif dan sastera bermutu tinggi, tetapi seperti biasa, polemik yang sekian lama menghantui negara ini akan kembali berulang seperti berlaku pada hujung tahun yang akan diulas dalam siri kedua artikel ini.
Wajar disebutkan, tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan sastera dan budaya di negara ini, iaitu Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Pertubuhan Kraf Malaysia dan Pusat Budaya Pusaka (PUSAKA) diiktiraf sebagai Warisan Kebudayaan Tidak Ketara Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Kita perlu mengucapkan tahniah kepada ketiga-tiga NGO ini, sekali gus berharap agar mereka dapat memenuhi pengiktirafan ini dengan pelaksanaan aktiviti dan program yang dapat memenuhi keperluan, sekali gus tidak berpada dengan apa-apa yang dilakukan selama ini.
Februari juga dianggap sebagai bulan “pemanas badan” bagi pesta buku terutama di Lembah Klang apabila Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur (KLAB) berlangsung di Pasar Seni dengan 49 pempamer dalam kalangan penerbit buku kecil dan sederhana. Asalnya diadakan untuk menempatkan golongan penerbit bukan arus perdana dan subbudaya, namun garis pemisahnya semakin kabur kerana hakikatnya, industri buku tanah air terlalu kecil untuk dipetak-petakkan sebegitu.
Bulan ini juga menyaksikan sasterawan Singapura, Suratman Markasan yang sinonim dengan perjuangan Angkatan Sasterawan 1950 (ASAS 50), tetapi pastinya sudah menjadi sangat asing dalam konteks Malaysia. Di sini, ASAS 50 hanya terselit dalam naskhah sejarah sastera yang sesekali dibangkitkan ketika menyebut tentang pertembungan seni untuk seni dengan seni untuk masyarakat. Namun begitu, ASAS 50 masih lagi dibicarakan di negara kosmopolitan di hujung Semenanjung, meskipun sasteranya semakin bervariasi dengan kemunculan watak-watak dan aliran-aliran baharu.
MEI |
Penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 pastinya ditunggu-tunggukan, bukan sahaja sektor buku untuk membuat jualan berlipat ganda, bahkan pembaca dan khalayak sastera kerana PBAKL menjadi antara lokasi meraikan pengarang serta merayakan kesusasteraan bersama-sama penggiat dan penulis buku dalam genre lain.
PBAKL 2024 yang pada awalnya mengalami “ribut dalam cawan” membabitkan proses pendaftaran hingga turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek, yang turut hadir dalam sesi yang dikendalikan oleh Urus Setia PBAKL, Encik Mohd Khair Ngadiron, akhirnya dapat diselesaikan dan kelancaran perjalanannya serta keuntungan dicatatkan sepanjang 24 Mei hingga 2 Jun mungkin boleh mengubat rasa tidak puas hati sebahagian pempamer sebelumnya.
Walau bagaimanapun seperti biasa, timbul juga cakap-cakap mengenai “di mana status antarabangsa”, meskipun negara seperti Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iran, dan China turut serta. Mungkin sahaja disebabkan setiap reruai terletak secara berserak-serak dan berpencar-pencar, maka tidak ramai dapat mengamati kerencaman negara-negara berkenaan, selain mungkin kuantiti buku yang dibawa belum cukup memuaskan hati bagi pembaca buku tekal.
Dari satu sisi, elemen antarabangsa juga patut dilihat daripada kualiti karya dan pengarangnya yang mencapai status antarabangsa. Hal ini boleh diusahakan, tentunya, dengan pembiayaan mencukupi termasuk dari segi penterjemahan buku tempatan ke dalam bahasa asing, sehingga boleh menarik perhatian pedagang buku antarabangsa.
Pada penghujung bulan ini juga, Perdana Menteri mengumumkan berita baik kepada pembaca dan industri buku apabila mengisytiharkan pemberian baucar buku bernilai RM100 kepada pelajar sekolah rendah bermula Tahun Empat hingga institusi pengajian tinggi (IPT) yang boleh ditebus segera.
Walaupun ada yang mengharapkan agar baucar buku diberikan dalam bentuk sebelum ini, mekanisme baharu diperkenalkan adalah dengan melalui portal yang dikendalikan oleh Perbadanan Kota Buku (PKB). Mekanisme ini dipilih mungkin untuk mengelakkan berulangnya kes salah guna baucar buku dahulu, apabila ada yang menggunakannya bukan untuk pembelian buku.
Walau bagaimanapun, ketika melayari portal ini, mungkin perlu ada penambahbaikan lagi, terutama dalam pencarian buku yang lebih memudahkan pelayar untuk mencari buku-buku dalam genre atau subgenre serta kata kunci tertentu.
JUN |
Pada penghujung penganjuran PBAKL 2024 juga, ada syor menarik yang wajar dibincangkan tetapi mungkin kurang mendapat sambutan. Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), YBhg. Datuk Jasni Matlani dalam Forum bertajuk “Pembinaan Sastera Sabah: Apakah Jalan Terbaik” mengesyorkan agar Kota Kinabalu diangkat sebagai Kota Sastera UNESCO, seperti dilaporkan oleh Berita Harian.
Hasrat itu membara, terutama bagi penggiat sastera Negeri di Bawah Bayu susulan pengiktirafan Jakarta, Indonesia, yang menerima penobatan berkenaan pada tahun 2021, selain faktor kewujudan 33 etnik di Sabah yang bertutur dalam 50 bahasa dan 80 dialek.
Sudah tentu pengiktirafan UNESCO ini bukan murah, malah curahan wang ringgit semata-mata tidak cukup untuk dijadikan “bahan lobi” kepada badan dunia itu. Kita perlu belajar daripada usaha Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia yang malangnya terencat akibat pandemik COVID-19.
Tentu antara cabaran terbesar adalah untuk menggembleng entiti yang sekian lama buat tidak kisah kepada sastera kerana kejayaannya tidak hanya bergantung pada institusi berkaitan sastera dan bahasa. Dalam hal ini, Sabah memerlukan lebih daripada peruntukan, sebaliknya komitmen dan kesedaran daripada pelbagai pemegang taruh.
Di sebalik hasrat Kota Kinabalu itu, sepatutnya pemegang taruh di Kuala Lumpur patut berasa lebih terpanggil untuk “melobi” status itu, apatah lagi sebagai galang ganti kepada ketidakupayaan untuk meneruskan penganjuran Kota Buku Dunia akibat wabak yang melanda global itu.
Pada bulan ini juga, Perdana Menteri bertemu dan mengadakan dialog dengan tujuh SN, iaitu Datuk Seri A. Samad Said, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Datuk Dr. Zurinah Hassan, dan Dato’ Dr. Siti Zainon lsmail yang turut dihadiri oleh Pengerusi ITBM dan Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Sakri Abdullah.
Perdana Menteri selepas pertemuan itu menegaskan bahawa kerajaan akan memberikan perhatian serius terhadap usaha mengangkat martabat seni, budaya dan sastera negara yang antara lain sebenarnya ditunjukkan dalam pembentangan Belanjawan 2025 yang sekali lagi akan disorot dalam siri kedua artikel ini.
Walau bagaimanapun, ada baiknya juga pertemuan dengan Perdana Menteri atau menteri yang memiliki autoriti dalam bidang kesusasteraan atau buku seperti Menteri Pendidikan, diperluaskan kepada lebih banyak segmen dalam khalayak sastera, bukan hanya SN. Hal ini untuk memastikan agar sebarang syor yang dikemukakan pada sesi yang penting dengan pemimpin negara lebih mencakupi semua aspek, agar hasilnya lebih meluas.
Bulan sama juga menyaksikan Pyanhabib kembali ke rahmatullah. Beliau yang terkenal dengan pengucapan puisi yang unik kesan daripada masalah pendengaran dialaminya, turut diingati melalui watak Osman Tikus dalam filem Kembara Seniman Jalanan. Pyanhabib juga antara watak yang lahir daripada “sekolah” Anak Alam, selain juga pembaca puisi di bawah tiang lampu dalam era kegemilangan Pasar Seni atau Central Market (CM) 1980-an.
Baca Bahagian Kedua Refleksi |
______________________________
Adib MN ialah eseis dan pengarang kreatif yang mengamati sastera dari jarak dekat.