Oleh Avatar photo Suyuthi Yusuf
3 Ogos 2024, 19:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Siti Zaleha M. Hashim Sasterawan Negeri Perak 2024.

Ipoh – Siti Zaleha Bee Mohd. Hashim atau lebih dikenali sebagai Siti Zaleha M. Hashim diangkat sebagai Sasterawan Negeri Perak 2024 dalam majlis Hadiah Sastera Darul Ridzuan (HSDR) kali ke-8 pada petang tadi.

Anugerah Sasterawan Negeri Perak tersebut disampaikan oleh YB Khairudin Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak.

Siti Zaleha M. Hashim yang pernah berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selama 33 tahun (1978-2011) merupakan seorang penulis yang prolifik meliputi aneka genre penulisan seperti cerpen, puisi, rencana, drama radio, lirik lagu serta terjemahan cerpen dan novel.

Semasa berkhidmat di DBP, beliau memperoleh Ijazah Sarjana daripada University of Leeds, United Kingdom dan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan (Litt.D) daripada World Academy of Arts and Culture (WAAC), Amerika Syarikat.

Menurut panel penilai HSDR, genre puisi merupakan kecenderungan dan kekuatan penulisannya. Pencapaian dan mutu penghasilan puisi beliau banyak diiktiraf menerusi Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Kumpulan Puisi Kapal Kertas dan Lautan Api.

Antara kumpulan puisi yang dihasilkan oleh beliau termasuklah Camar di Cangkir Bumi (1999), Kristal di Laut Bulan (2006), Kapal Kertas dan Lautan Api (2012), dan Masuk ke Dalam Awan (2019).

Kumpulan Puisi Masuk ke Dalam Awan.

Selain itu, kebanyakan puisinya juga banyak dialih menjadi lirik lagu oleh penggubah muzik terkenal tanah air seperti Zubir Ali, Ahmad Ramli dan Kopratasa.

Menurut laporan panel penilai,

Puisi-puisi Siti Zaleha M. Hashim ada dengung suara mengasuh dan mengingatkan. Namun tidak pula sehingga rasa didesak untuk menerimanya.

Ketekalan beliau dalam berkarya sejak dekad 1970-an dan sepanjang lebih lima dekad ternyata menumbuhkan idiosinkrasi serta selanjutnya menebarkan pelestarian puisi Melayu.

Ketika ditemui oleh wartawan JendelaDBP, beliau menyatakan bahawa penganugerahan ini didekasikan kepada semua penulis tanah air termasuklah penulis baharu dan penulis yang seangkatan dengannya. Lanjutnya lagi,

Dunia penulisan ini merupakan dunia yang merapatkan sesama kita. Kita memberi apa yang kita rasa kepada masyarakat.

Menurut beliau, dunia kesusasteraan akan lebih berkembang jika para pelajar di sekolah lebih didekatkan dan didedahkan dengan kesusasteraan.

Segala keindahan sastera yang didapati sejak kecil akan membentuk diri kita menjadi orang yang lebih melihat sudut kemanusiaan dan bersifat prihatin.

Bercakap tentang projek penulisannya yang akan datang, beliau menyatakan bahawa pada masa ini beliau sedang menulis memoir tentang keterlibatannya dalam menulis lirik lagu dan pengalamannya dalam dunia muzik, termasuklah hubungan antara puisi dengan lirik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.