Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangIpoh – Dr. Zabidin Haji Ismail diiktiraf sebagai Karyawan Sepanjang Hayat Perak 2024 dalam majlis Hadiah Sastera Darul Ridzuan (HSDR) Ke-8 yang berlangsung pada petang tadi.
Anugerah tersebut disampaikan oleh YB Khairudin Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak.
Anugerah ini diberikan sebagai menghargai sasterawan yang telah berkarya sepanjang sebahagian besar usianya dalam pelbagai genre sastera serta dinilai dari segi pemikiran dan kualiti karya-karyanya.
Pemilihan tokoh dalam anugerah ini juga melibatkan aspek sumbangannya dalam pembinaan dan pengembangan dunia kesusasteraan, khususnya dalam menggerakkan kemajuan kesusasteraan di negeri Perak dan juga pelibatannya dalam dunia persuratan kebangsaan.
Dr. Zabidin, penerima anugerah tersebut pada kali ini telah menulis secara aktif sejak tahun 1976. Beliau telah menghasilkan tujuh buah buku biografi, dua buah novel, sebuah kumpulan cerpen, empat buah kumpulan sajak, empat buah buku kritikan sastera, dan tiga buah buku sejarah.
Menurut panel penilai HSDR, kekuatan beliau tertumpu pada penulisan biografi dan karya kreatif yang berlatarkan sejarah.
Kelebihan beliau dalam penulisan biografi ialah bentuk penulisannya selain kemampuannya dalam menguasai bahasa puitis yang indah.
Antara buku yang pernah dihasilkannya termasuklah SuperMokh Legenda Bola Negara, Biografi Tokoh Rao, 30 Tokoh Perak Tersohor, Sungai Manik Berdarah, Malam Salju di Istanbul, Di Pelabuhan Senja, Puisi Salju Sarajevo, Tanah Seribu, dan Puigrafi.
Ketika ditemu bual oleh wartawan JendelaDBP, beliau menyatakan kesyukurannya kerana perjuangannya dalam bidang penulisan dan sastera telah dihargai dengan sewajarnya.
Ujarnya lagi:
Anugerah HSDR ini juga sebenarnya merupakan pendorong kepada penulis, khususnya penulis Perak untuk melahirkan karya yang bermutu.
Selain itu, beliau juga menitipkan pesanan dan nasihat kepada para penulis. Beliau menyarankan agar penulis lama dan baharu akan meneruskan penulisan mereka dalam pelbagai genre.
Hendak melahirkan karya mesti ada ilmu, dan untuk mendapatkan ilmu maka mestilah membaca. Kalau tidak banyak membaca, maka bagaimana kita hendak menulis?