3 Ogos 2024, 23:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ipoh – Dr. Adib Vincent Tung Abdullah dinobatkan sebagai Ilmuwan Negeri Perak 2024 dalam majlis Hadiah Sastera Darul Ridzuan (HSDR) kali ke-8 yang berlangsung pada petang tadi.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Kedoktoran daripada Phoenix International University, Amerika Syarikat merupakan seorang intelektual yang produktif kerana menghasilkan buku dalam pelbagai bidang ilmu.

Antara buku penting dalam bidang keilmuan yang ditulisnya termasuklah buku Adat Pusaka Raja-raja dan Orang Besar-besar Negeri Perak Darul Ridzuan, Titles and Ceremonial Traditions of The Royalty and Nobility of the State of Perak, Tumbuhan dan Pepohon Pinggir Jalan dan Know the Wayside Tress of Malaysia.

Menariknya, beliau juga pernah menghadiri jamuan teh diraja bersama-sama Quen Elizabeth II pada tahun 1985 di bawah naungan Royal Entomological Society of London atas kapasiti beliau sebagai pakar muda pengkaji serangga selepas menghasilkan buku berjudul Common Malaysian Beetles.

Menurut panel penilai HSDR 2024:

Kepelbagaian karya beliau terutamanya yang berkaitan dengan sejarah negeri, tradisi, adat istiadat dan salasilah Kesultanan Perak memberikan sumbangan penting kepada negeri Perak. Pendekatan penyelidikannya dan kaedah penerbitan buku yang dihasilkannya dapat menjadi dorongan dan seterusnya mengilhamkan penulis lain.

Ketika ditemu bual oleh wartawan JendelaDBP, beliau menyatakan bahawa dirinya tidak berniat untuk mengejar apa-apa anugerah, sebaliknya suka menulis kerana minat.

Dalam masa yang sama, beliau juga komited dalam memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta beranggapan bahawa penulisan buku ilmiah wajar dan seharusnya ditulis dalam bahasa Melayu.

Saya berasa bangga kerana walaupun saya berbangsa Cina, namun saya mampu menghasilkan buku dalam bahasa Melayu. Jadi, saya berharap agar penganugerahan ini menjadi teladan dan dorongan kepada orang bukan Melayu bahawa mereka juga boleh menulis buku dalam bahasa Melayu berdasarkan pelbagai bidang ilmu.

Beliau juga turut mendedikasikan penganugerahan ini kepada ibu bapanya kerana sentiasa menggalakkan dirinya menulis dan juga kepada Dato’ Seri Azizul, mantan Orang Besar Jajahan Kinta kerana sentiasa memberikan bantuan ketika menulis buku tentang adat istiadat.

Dr. Adib Vincent Tung Abdullah bersama-sama isterinya.

Anugerah Ilmuwan Negeri tersebut disampaikan oleh YB Khairudin Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.