Oleh Ilhami Hisham
8 November 2023, 10:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ilhami Hisham menyambung polemik yang sedang berlangsung mutakhir ini dengan menumpukan persoalan yang diangkat oleh Lokman Hakim dan Nimoiz T.Y tentang kepentingan berpersatuan.

Hal ini menarik perhatian saya untuk turut serta, bukan sekadar memeriahkan suasana sahaja namun dengan hasrat bermanfaat untuk sama-sama saling berkongsi maklumat.

Menjadi seorang penulis terkenal dengan banyaknya karya tanpa menyertai mana-mana persatuan penulis memang mengagumkan, kerana kemampuannya begitu menakjubkan tanpa perlu kepada mana-mana sumber sokongan.

Namun begitu, sudah pasti situasi ini juga mengundang banyak kekurangan dalam kehidupannya sendiri. Ada ruang lompong atau lompang dalam kehidupan sehariannya. Terdapat perkara yang dirasai dan dinikmati oleh penulis yang berpersatuan tetapi tidak dirasai oleh penulis bersendirian.

Bagi saya, hampir pasti tiada penulis yang mampu berkarya secara bersendirian di atas muka bumi ini yang karyanya bermanfaat kepada manusia lain. Sebab hendak menyiarkan tulisan beliau dalam majalah ini sahaja pun memerlukan seseorang yang lain, begitu juga dengan sejumlah pembaca buku atau peminat tulisannya. Mereka ialah kumpulan khalayak manusia ramai yang bukan dirinya seorang diri sahaja.

Dalam satu sabda Nabi SAW bermaksud, “Sebaik-baik kamu ialah mereka yang bermanfaat kepada manusia lain.”

Latar Belakang

Mutakhir ini, pembaca dapat mengikuti siri polemik sihat dan amat baik untuk disertai bersama. Polemik ini dimulai oleh penulis Salman Sulaiman dari Kelantan. Hal ini berlaku seusai Pertemuan Penyair Nusantara XII (PPN XII) pada 13–15 Oktober 2023 lalu.

Salman muncul bergaya pada 16 Oktober 2023 dengan artikelnya bertajuk “Ke Mana Menghilangnya Penulis Muda Kita?”. Artikel ini ditulisnya ketika menyertai PPN XII yang katanya, amat sedikit penyertaan golongan muda.

Berikutnya terdapat artikel bertajuk “Penulis Muda Ada di Sini” tulisan Jack Malik. Setelah itu, muncul pula respons Ramlee Wahab pada 19 Oktober 2023 dengan tajuk “Penulis Muda Menyepi daripada PPN XII 2023?”. Ada lagi beberapa artikel lain menyusul dengan hujah-hujah yang tersendiri dan menarik selain membuka minda.

Tidak semena-mena, tersiar artikel penulis Naim al-Kelantani bertajuk “Sebuah Gumam …”. [] Artikel ahli persatuan Lan Sinaganaga pula muncul pada 20 Oktober 2023.

Setakat ini, polemik bermanfaat ini diakhiri dengan artikel oleh Mana Sikana dalam Sinar Harian bertajuk “Dilema Didepani Penulis Muda” pada 5 November 2023. Hal ini menarik perhatian saya untuk turut serta, bukan sekadar memeriahkan suasana sahaja namun dengan hasrat bermanfaat untuk sama-sama saling berkongsi maklumat.

Penulis Tua Atau Muda?

Bagi menjawab soalan yang tidak perlu ini, sukalah saya menyatakan begini sahaja:

Seseorang itu dianggap sebagai penulis muda berdasarkan perkiraan karya dan tulisannya yang tersiar di media. Golongan penulis tua pula dilihat pada bilangan usianya yang berada dalam sekitar setengah abad ini.

Jadi saya ini amat cocok jika tergolong dalam kelompok penulis pertengahan atau sederhana. Tidak terlalu keras dan tidak terlalu lembut. Apatah lagi Nabi SAW pernah bersabda, “Sebaik-baik perkara itu adalah sederhana sahaja sifatnya.”

Dalam hal ini, saya teringat pesanan orang tua-tua, yakni “Jangan terlalu keras nanti dipatah-patahkan orang. Jangan terlalu lembik nanti dikunyah-kunyahkan orang. Jangan jadi kayu yang betul lurus nanti dijadikan bendul. Jangan jadi kayu yang terlalu bengkok nanti dijadikan kayu api. Jadilah kamu kayu yang lurus tetapi sedikit bengkok, orang akan jadikan kamu sebagai senduk untuk mengelokkan nasi di dalam periuk.”

Setelah meneliti semua artikel berkaitan polemik yang dimulakan oleh Sdr. Salman, dapatlah disimpulkan bahawa memang berlaku hal seperti yang diungkapkan.

Ganjilnya, semua tulisan yang ditulis itu tidak pasti dan sudah pasti ingin mengundang jawapan dan seperti sengaja dipolemikkan. Kebanyakan daripada mereka meletakkan tanda soal (?) di hujung tajuk artikel mereka. Bentuk soalan seperti ini seperti mengacah-acah pembaca untuk cuba menjawabnya.

Sebenarnya, saya sudah lama ingin menyiapkan tulisan kecil ini, namun kerana terpaksa menulis dengan dua jari sahaja ekoran terkena strok minor, saya ingat saya akan berhenti sahaja menulis, kerana sudah terlambat dan polemik telah terlepas tempohnya, namun apabila terbaca peluang menulis isu ini masih terbuka, saya pun berusaha menyelesaikan hujah secara ringkas.

Perlu diingatkan bahawa artikel ini bukan bertujuan untuk menjawab tulisan Sdr. Nimoiz T.Y, justeru beliau sendiri telah menjelaskan secara terperinci mengenai persoalan itu.

Cuma, tulisan ini lebih kepada melebarkan lagi perbincangan untuk menambahkan dan memperluas mauduk ini dengan lebih mendalam, tetapi huraiannya dilakukan secara ringkas sahaja.

Bagi saya, terdapat 12 kebaikan apabila kita menyertai persatuan, kolektif atau perkumpulan tertentu.

(1) Menambah Bilangan Sahabat – Dengan berpersatuan dalam apa-apa sahaja bidang khusus yang diminati, penulis akan menambah bilangan sahabat seperjuangan. Sudahlah jumlah penulis itu ramai, malah mereka pula datang dari pelbagai daerah dan negeri. Bukan sahaja gaya cakapnya berbeza, istilah terhadap sesuatu panggilan peralatan atau perkataan juga sudah tentu berbeza.

Dengan perbezaan itu, sudah pasti hal ini dapat memperkenalkan dan memperkayakan seseorang terhadap sesuatu istilah baharu. Hal ini berguna untuk dicurahkan ke dalam karya kita. Sudah pasti banyak program dan acara dapat dirangka untuk dilaksanakan dalam setahun.

Itulah yang secara realitinya berlaku. Dengan sebab itu, keberuntungan akan kembali kepada penyertaan ahli-ahli juga. Sebagai contoh, Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) akan menganjurkan program Dialog Puncak yang diadakan saban tahun pada 17–18 November 2023 di Baling, Kedah, dengan penyertaan ramai peserta melebihi 40 orang.

(2) Pelbagai Pengalaman – Apabila sudah ramai penulis berkumpul dalam sesuatu persatuan, timbullah idea cadangan program yang dapat dirancang dan dilaksanakan dengan dukungan semua ahli. Maka banyaklah pengalaman dapat dinukilkan selepas itu.

Sambutan terhadap program juga pasti memberangsangkan kerana kehadiran ahli-ahli sahaja sudah mampu memenuhi dewan. Tokoh-tokoh hebat juga mampu dijemput kerana banyak pula jumlah wang yang dapat dikumpulkan dengan pendaftaran.

(3) Terus Belajar secara Berkumpulan – Dengan menyertai persatuan penulis, para ahli akan berpeluang untuk mengikuti pengajian pelbagai ilmu yang berkaitan selain dapat menimba ilmu baharu dengan semangat yang lebih tekun lagi.

Dengan mendapat ilmu sah dan bimbingan terus daripada tokoh berwibawa yang dijemput menjadikan kesatuan bertindak dalam kalangan ahli khususnya bidang penulisan dapat dijelmakan dengan sebaik-baiknya.

(4) Motivasi – Apabila sudah berada dalam suatu kumpulan, pasti motivasi kita juga turut melonjak tinggi. Misalnya, motivasi ahli persatuan melonjak untuk menulis apabila mendapati karya daripada ahli-ahli lain tersiar dalam media. Masing-masing akan berusaha bersungguh-sungguh untuk berkarya dengan lebih baik lagi.

(5) Diskusi – Sifat untuk berdiskusi juga mudah berlaku jika ahli-ahli dalam kumpulan itu sudah saling kenal-mengenali antara satu sama lain. Dalam kalangan mereka, sudah tiada perasaan malu atau segan sekiranya ingin tahu tentang suatu kemusykilan yang timbul. Malah, orang bertanya itu mendapat dua ganjaran. Satu, beliau sendiri akan lebih memahami isu yang ditimbulkan, dan kedua, ganjaran kerana menimbulkan soalan tersebut yang menyebabkan peserta-peserta lain juga turut mendapat ilmu dan perkongsian.

(6) Kerjasama – Banyak perkara dapat dilaksanakan dengan cara kerjasama. Sifat ini agak sukar untuk berlaku jika tidak berada dalam suatu kumpulan bersama. Sebagai contoh, sekarang ini banyak buku antologi bersama diterbitkan dalam kalangan persatuan, karya-karya yang kebanyakannya disumbangkan oleh para ahli persatuan, dengan kos penerbitannya yang dikongsi bersama.

(7) Gotong-royong – Satu acara yang sayugia dilaksanakan secara berkumpulan. Penganjuran lebih mudah dilaksanakan jika sudah berada dalam satu persatuan. Kerja bergerak dan dikoordinasi hanya dengan mesej dalam grup pesanan dalam telefon pintar. Ramai ahli sudah bersedia untuk menjayakan sesuatu acara itu.

(8) Belajar Memahami Perasaan Orang Lain – Sifat ini akan mudah tercapai apabila sudah berada dalam suatu kumpulan. Contohnya, jika seseorang ahli secara tiba-tiba ditimpa kesusahan atau malapetaka, cara segera untuk mendapatkan bantuan, sudah pasti daripada sumbangan ahli-ahli.

(9) Ziarah-menziarahi – Kesudian untuk saling ziarah-menziarahi timbul dalam aktiviti seharian dan tindakan ahli-ahli. Urusan sebegini tidak mengharapkan apa-apa balasan melainkan sama-sama mendoakan ahli sahabat kita segera sembuh.

(10) Urusan Wang – Ada kalanya secara terdesak, sumber wang menjadi tuntutan dan keperluan dalam kehidupan kita. Selalunya, hal ini datang secara tiba-tiba. Mahu tidak mahu, sahabat yang memahami kita perlu dihubungi atau dikunjungi untuk mencapai tujuan tersebut.

(11) Membeli Karya – Selalunya, kawan-kawan seperjuanganlah yang mudah untuk membeli buku, khususnya buku hasil tulisan kawan mereka, terutamanya mereka yang berada dalam sebuah persatuan atau kolektif yang sama.

(12) Persaudaraan – Perasaan persaudaraan akan lebih mudah tumbuh sesama ahli persatuan, ekoran banyak sebab yang telah digariskan di atas.

Semoga tulisan kecil ini dapat dimanfaatkan. Bolehlah dikiaskan dengan persoalan yang lebih besar dan bermanfaat.

Kredit Foto: Sincerely Media/Unsplash

______________________________

Ilhami Hisham merupakan ahli Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI). Beliau ialah mantan wartawan yang pernah menulis artikel untuk akhbar Brunei Darussalam. Ilhami kini pemilik Trak Buku IBH untuk program sekolah dan turut menganjur pelbagai bengkel penulisan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.