Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangNOVEL REMAJA
Panel telah menerima sebanyak 32 buah novel remaja untuk dinilai berdasarkan kriteria pemilihan yang telah ditetapkan oleh pihak urus setia Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2019/2020.
KRITERIA PENILAIAN
Penilaian terhadap karya-karya yang dipertandingkan dibuat berdasarkan pertimbangan-pertimbangan seperti yang berikut:
KEPUTUSAN
Selepas perbincangan yang rinci dan mendalam, panel mencapai kata sepakat untuk memperakukan novel remaja Selendang Merah Balukhali karya Sri Rahayu Mohd Yusop sebagai pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020.
ULASAN PENILAIAN PEMENANG NOVEL REMAJA SELENDANG MERAH BALUKHALI KARYA SRI RAHAYU MOHD YUSOP
Selendang Merah Balukhali mengisahkan perjalanan pendatang tanpa izin Rohingya ke Bangladesh untuk mengesan keberadaan keluarganya. Di Cox’s Bazar, Omar mengetahui bahawa kekejaman rejim pemerintah Myanmar menjadi asbab kematian ibu bapanya manakala adik perempuannya menjadi buta dalam kebakaran yang sama. Kejadian itu berlaku semasa ketiadaan Omar berkelana di Malaysia dan dia bertekad menebus rasa bersalah itu dengan mengusahakan rawatan Shahrezad. Keterdesakan Omar menemukan dia dengan al-Ahmadi, seorang ketua pengganas, yang melihat kemahiran Omar menguasai pelbagai bahasa sebagai aset untuk mencapai cita-cita politiknya. Omar menyedari akan hal ini, dan setelah menyelamatkan Shahrezad yang menjadi tawanan al-Ahmadi, memuktamadkan tekad untuk memisahkan diri daripada organisasi berkenaan.
Novel ini menzahirkan remaja unggul melalui watak Omar yang diperagakan sebagai seorang berfikiran positif, matang dalam membuat keputusan, dan sedar akan kepentingan kehadirannya dalam keluarga dan masyarakat. Di sebalik pelbagai kekurangannya, Omar terus dapat mempertahankan jati diri sebagai seorang remaja yang berprinsip, tabah mendepani cabaran yang tidak terjangka dan berani bertindak demi perkara yang benar. Pada masa yang sama, watak ini terjerat dalam konflik global berhubung dengan masalah pelarian perang yang memerlukan perlindungan antarabangsa, serta perang memerangi keganasan. Konflik-konflik ini yang disampaikan melalui watak-watak yang bertenaga dan plot yang jelas menyerlahkan hasrat dan kecenderungan penulis menarik perhatian khalayak terhadap isu dan persoalan mutakhir merentasi sempadan geografi dan bangsa. Karya juga digarap dalam bahasa yang lincah, sarat dengan nilai dan pengajaran dan memuatkan fakta-fakta terkini, sekali gus berupaya menjadi wahana yang dapat memperluas pandangan alam khalayak.
KUMPULAN CERPEN REMAJA
Secara umumnya, cerpen remaja ialah karya yang ditukangi pengarang untuk dihidangkan kepada golongan remaja dengan garapan yang bersesuaian dengan cita rasa remaja. Namun begitu, ciri utama cerpen remaja ialah pengutaraan tema dan persoalan yang bersesuain dengan dunia remaja dengan mengambil kira gubahan bahasa dan gaya bahasa sebagai tunjang kekuataannya. Selain itu, keutamaannya juga terhadap keseimbangan tema, keindahan moral dan aspirasi remaja yang terdapat dalam kumpulan cerpen tersebut.
Panel telah menerima dua buah kumpulan cerpen remaja untuk dinilai berdasarkan kriteria pemilihan yang telah ditetapkan oleh urus setia Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020. Dua buah buku tersebut ialah Mengutip Serpihan Rindu karya Bahtiar Omar dan Aku yang Kaupanggil Kinjeng karya Maskiah Haji Masrom.
KRITERIA PENILAIAN
Pemilihan pemenang bagi kategori kumpulan cerpen remaja dibuat berdasarkan pertimbangan-pertimbangan seperti yang berikut.
PENILAIAN KESELURUHAN
Mengutip Serpihan Rindu karya Bahtiar Omar
Kumpulan cerpen ini mengandungi sebanyak 15 buah cerpen remaja yang berkisar mengenai dunia remaja ataupun sisi-sisi kehidupan remaja daripada perspektif orang dewasa, seperti yang terkandung dalam cerpen “Mengutip Serpihan Rindu” dan “Seribu Hasrat di Bahu”. Tema-tema yang dibangkitkan juga disampaikan pada tahap pemahaman khalayak remaja, dan kerap berkisar tentang hal-hal kemiskinan, kegigihan dalam kehidupan, persahabatan, kerohanian dan sebagainya. Pada asasnya, cerpen-cerpen dalam buku ini menyerlahkan usaha penulis untuk menimbulkan isu-isu baharu yang berupaya melonjakkan rasa ingin tahu dalam kalangan khalayak. Hal ini dilakukan dengan menyisipkan fakta-fakta semasa dalam bidang-bidang ilmu yang berkaitan mengikut kesesuaian cerita. Akan tetapi, dalam kebanyakan karya ini, fakta-fakta ini lebih kerap berfungsi sebagai bahan tempelan dan tidak digemblengkan dengan sebaik-baiknya untuk mengayakan cerita. Selain itu, penggunaan kaedah memberitahu (to tell) yang dominan juga didapati menjejaskan kelancaran cerita kerana khalayak mendapat lebih banyak maklumat daripada penulis dan bukannya daripada watak-watak, sebagaimana yang dapat dijana melalui kaedah menunjukkan (to show). Sehubungan dengan itu, isu-isu baharu ini, seperti yang tertonjol dalam cerita gadis perenang OKU yang berkaliber dalam “Seribu Hasrat di Bahu” dan industri halal di Jepun dalam “Potret Syahadah Osaka”, didapati tidak dapat melonjakkan karya ke tahap yang lebih baik lagi.
Aku yang Kaupanggil Kinjeng karya Maskiah Haji Masrom
Kumpulan cerpen ini mengandungi sebanyak 20 buah cerpen yang rata-rata menghadirkan watak remaja dalam kalangan murid sekolah menengah, dan sebahagian yang lain tentang sisi remaja daripada perspektif orang dewasa. Kumpulan cerpen ini mengandungi pelbagai tema dan mencakupi pelbagai isu, seperti penderaan kanak-kanak, perjuangan di menara gading, pendidikan dan sebagainya. Isu-isu ini rata-ratanya dekat dengan khalayak, akan tetapi pada masa yang sama, kebanyakan cerpen tersiar dalam suatu rangkuman masa yang panjang, iaitu sejak mula berkarya pada usia remajanya sehingga mutakhir, dan dengan itu menyerlahkan kepelbagaian keupayaan penulis dalam menggarap karya-karyanya. Dengan kata lain, gaya persembahan penulis tidak konsisten apabila sebahagian cerita dapat disampaikan dengan baik, seperti “Sepanas Marrons Chauds”, “Lelaki Kotak”, “Nyanyi Sunyi” dan “Honoka”, manakala sebahagian cerita lagi adalah mendatar dan tidak memperagakan teknik-teknik penceritaan yang sesuai, seperti “Catatan dari menara Gading”, “Razi, Inilah Warkahku” dan “Tiga Cerita Srikandi”.
KEPUTUSAN
Setelah melakukan perbincangan secara menyeluruh, panel penilai dengan sepakat memperakukan bahawa TIADA PEMENANG untuk kategori ini berdasarkan kelemahan dan kekurangan yang telah dijelaskan.
KUMPULAN PUISI REMAJA
Panel telah menerima sebanyak empat buah kumpulan puisi remaja berdasarkan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh Urus setia Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020.
KRITERIA PENILAIAN
Penilaian terhadap karya dibuat berdasarkan beberapa pertimbangan dengan melihat kekuatan yang terdapat dalam karya seperti yang berikut:
KEPUTUSAN
Panel telah melakukan perbincangan yang rinci dan menyeluruh, dan dengan ini sepakat untuk memperakukan bahawa kumpulan puisi Apabila Tingkap Dibuka karya Hilmi Rindu diangkat sebagai pemenang bagi kategori ini.
ULASAN PENILAIAN PEMENANG KUMPULAN PUISI REMAJA APABILA TINGKAP DIBUKA KARYA HILMI RINDU
Kumpulan puisi ini mengandungi sebanyak 67 buah puisi dengan tema-tema yang mengakrabi dunia remaja. Sajak-sajak dalam buku ini terbentuk dalam bentuk pesanan kepada remaja tentang alam kedewasaan yang bakal dijejaki, di samping memberi ingatan bahawa jati diri mereka terbina daripada masa lampau yang sarat dengan unsur alam semula jadi dan kearifan tempatan. Sajak-sajak ini digarap dengan bahasa yang lincah, lembut dan berhemah, dan sarat juga dengan penggunaan gaya bahasa puisi yang lazim, seperti metafora, simile, personafikasi, hiperbola, simbol dan sebagainya, bagi tujuan mengindahkan makna yang tarkandung dalam sajak.
Dengan itu, garapan sajak-sajak ini berhasil dalam mengikat khalayak remaja dengan tema-tema kegigihan dalam kehidupan, kasih sayang, pendidikan, persahabatan, kerohanian, dan sebagainya, yang lazimnya menyeluruhi kehidupan mereka. Pada masa yang sama, setiap kata dalam sajak menyerlahkan nilai intelektual yang sewajarnya, sekali gus menjadikan karya ini sebagai wahana yang berkesan untuk menzahirkan pemikiran remaja yang konstruktif dan berdaya saing.
KATEGORI DRAMA REMAJA
Panel telah menerima sebuah buku yang mengandungi sebanyak sembilan buah drama remaja untuk dinilai berdasarkan kriteria pemilihan yang telah ditetapkan oleh pihak Urus setia Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020. Kesemua drama remaja dalam buku kumpulan drama pentas berjudul Kurnia ini dihasilkan oleh Zainatul Shuhaida Abdul Rahman.
KRITERIA PENILAIAN
Penilaian terhadap karya-karya dibuat dengan berpandukan beberapa pertimbangan seperti yang berikut:
PENILAIAN KESELURUHAN
Sembilan buah drama remaja yang dinilai dalam buku Kurnia ialah:
Pada dasarnya, karya-karya yang disenaraikan di atas bukanlah karya asli, sebaliknya karya yang diadaptasikan daripada cerita dongeng/mitos tempatan dan luar negara yang melingkari kehidupan masyarakat. Meskipun pada permukaannya kehadiran cerita-cerita seperti ini dapat menyuntik minat dalam kalangan khalayak untuk mengakrabi karya-karya lama, akan tetapi pada masa yang sama garapannya tidak mendepani isu dan persoalan baharu dan semasa yang dapat mencabar tahap intelektual khalayak. Dengan kata lain, karya-karya tidak membawa kebaharuan dari segi pemikiran, sebaliknya menyogokkan khalayak dengan hiburan yang sedia ada dalam karya-karya terdahulu sama ada dalam genre yang sama atau genre-genre yang lain.
Selain itu, karya-karya dalam buku ini juga didapati tidak memperagakan gaya penyampaian yang lancar, bertenaga dan mengujakan, malah pada tahap-tahap tertentu laras bahasa yang digunakan oleh watak-watak dalam setiap cerita tidak mencerminkan dunia fiktif yang diwakili mereka. Dalam drama “Lagenda Bukit Jernih”, penggunaan dialek Kedah dalam keseluruhan cerita bukanlah suatu tuntutan atau keperluan untuk melunaskan naluri ingin tahu khalayak tentang hal-hal setempat. Tuntasnya, tiadanya kebaharuan dalam nilai dan pemikiran, serta garapan yang sederhana sekadar menjadikan karya-karya dalam buku ini sebagai salinan baharu kepada naskhah-naskhah yang pernah diajukan kepada khalayak sebelum ini.
KEPUTUSAN
Setelah melakukan perbincangan secara menyeluruh, panel penilai dengan sepakat memperakukan bahawa TIADA PEMENANG untuk kategori ini berdasarkan kekurangan dan kelemahan yang telah dijelaskan.
PANEL PENILAI
Profesor Dr. Md. Sidin Ahmad Ishak
Profesor Madya Dr. Halis Azhan Mohd Hanafiah
Dr. Rosnidar Ain
Baca Laporan Berkaitan |
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Utama)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Novel)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Cerpen)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Cerpen Remaja Eceran)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Puisi)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Drama)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Buku Kajian Sastera, Kumpulan Esei/Kritikan Sastera, Buku Biografi/Autobiografi dan Esei/Kritikan Sastera Eceran)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Kesusasteraan Kanak-kanak)
_________________________
Laporan ini disediakan oleh sekretariat Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 di bawah penyelenggaraan Bahagian Promosi dan Pengiktirafan Dewan Bahasa dan Pustaka.