Oleh Fadli al-Akiti
19 Disember 2022, 11:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

PENDAHULUAN

Penilaian ini adalah untuk cerpen-cerpen berbahasa Melayu bagi bacaan golongan remaja yang pernah terbit pada tahun 2019/2020 dalam pelbagai wadah penerbitan di seluruh negara, sama ada penerbitan bercetak atau digital. Sebanyak 263 buah cerpen telah diteliti oleh panel penilai. Cerpen tersebut tersiar antara lain dalam Dewan Siswa, Dewan Budaya, Dewan Tamadun Islam, Tunas Cipta, Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Pendidik, dan Mingguan Wanita.

KRITERIA PENILAIAN

Penilaian karya adalah berdasarkan kriteria utama yang lazim dalam pembinaan fiksyen seperti berikut:

  1. Keaslian: Idea dan penceritaan yang menunjukkan kesegaran imaginasi, kreativiti dan individualiti yang sesuai untuk bacaan pembaca remaja.
  2. Struktur Plot: Cerita yang lengkap dengan permulaan dan pertengahan yang menark serta kesimpulan yang memberi kesan kepuasan.
  3. Perwatakan dan Dialog/monolog: watak-watak yang jelas dan menarik serta “relatable”, aksi dan interaksi yang konsisten serta “well-motivated”. Dialog/monolog memperlihatkan diri sebenar watak.
  4. Kualiti Penulisan: Persembahan penulisan dengan organisasi yang logikal dan berkesan, suara (voice) yang bersifat individual dan sesuai dengan penggunaan ayat-ayat yang jelas dan ekspresif.

Selain penekanan kepada kriteria yang disebutkan di atas, setiap cerpen dinilai berdasarkan meritnya yang tersendiri dan secara keseluruhan kerana cerpen secara individual berbeza antara satu sama lain dan sukar untuk dinilainya berdasarkan suatu set kriteria yang tetap.

ULASAN PENILAIAN KESELURUHAN

Secara keseluruhannya, cerpen-cerpen yang dikemukakan bersifat sederhana dari segi imaginasi, kreativiti dan individualiti. Terdapat kekuatan dan kelemahan masing-masing dari segi struktur plot, karakterisasi, dialog dan monolog serta kelancaran penulisan.

Para penulis telah berusaha untuk menggarap tema masing-masing melalui pelbagai watak dan sudut pandang serta latar cerita. Cerita tentang penagih dadah, jasa orang tua, kematian ahli keluarga, masalah persahabatan, kenakalan anak, kemiskinan keluarga, perjuangan kebebasan, perjuangan mengejar cita-cita, antaranya telah ditampilkan.

Setiap panel penilai telah menyenaraikan pilihan masing-masing sebagai senarai pendek. Memandangkan prestasi dan kualiti secara umumnya tidak begitu menonjol dan tidak banyak berbeza antara satu karya dengan karya yang lain, setiap panel mempunyai senarai pilihan yang tersendiri. Hal ini menunjukkan bahawa tiada cerpen yang telah menonjolkan keistimewaan yang jelas yang dapat diterima secara bersama oleh kesemua panel.

SENARAI PEMENANG CERPEN REMAJA ECERAN

  1. “Dalam Jaringan” – Salina Ibrahim
  2. “Mengusung Rumah” – Ahmad Safarman Dollah
  3. “Amarah Atuk” – MK Riza

ULASAN PENILAIAN PEMENANG CERPEN REMAJA ECERAN

  1. Dalam Jaringan” oleh Salina Ibrahim

Cerpen ini memaparkan seorang gadis introvert yang amat teruja apabila unggahan-unggahan videonya semakin mendapat perhatian ramai dengan bilangan penyukanya bertamah dari sehari ke sehari. Hal ini menjadikan gadis itu ketagih dengan pengunggahannya dan berkeinginan mengecapi status selebriti seperti sesetengah pengguna yang lain. Namun salah satu unggahannya yang tular di Facebook telah mendapat kecaman hebat dan dia terpukul teruk dengan komen-komen negative daripada netizen sehingga mengganggu emosinya dan menimbulkan kebimbangan ahli keluargannya. Dengan pujukan dan nasihat orang yang rapat dengannya, dia sedar bahawa penggunaan media sosial perlu dilakukan dengan berhikmah kerana terdapat etika yang perlu dipatuhi dan tanggungjawab yang perlu dipikul.

Penulis berjaya mengangkat isu semasa yang dihadapi remaja khususnya dalam penggunaan media sosial dengan memaparkan suatu ironi dalam penggunaan atau ketagihan terhadap penggunaan media sosial: walaupun peminat/pengikut/penyuka meningkat dengan tinggi, iaitu objektif utama pengguna namun perasaan yang timbul, bukan lagi kegembiraan atau kepuasan tetapi kebimbangan, kegelisahan dan tekanan perasaan.

Cerpen ini juga telah memaparkan kepentingan amalan beretika dan bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial untuk memastikan bahawa kebaikan dan manfaat yang diperoleh daripada penggunaan tersebut; bukan keburukan dan kesan negatif daripadanya kerana mengejar kepentingan diri, populariti dan pemujaan.

  1. Mengusung Rumah” oleh Ahmad Safarman Dollah

Cerpen ini memaparkan pemindahan bangunan rumah kampung yang didirikan pada tahun 1950-an yang kini dimiliki oleh Pak Cik Anuar dan Mak Cik Lely. Perancangan rapi dibuat bersama ketua kampung dan beberapa penduduk kampung yang lain. Pada hari perpindahan semua orang kampung, yang besar, gemuk dan sasa datang membawa tali, buluh dan batang pinang untuk bekerjasama mengangkut rumah kayu dengan diketuai oleh seorang tekong yang memberi arahan untuk bergerak melintasi parit, jalan kecil dan sawah menuju ke kawasan tanah lapang yang lain yang ditetapkan. Perpindahan itu yang dikatakan berdasarkan panduan daripada kitab Tajul Muluk dihuraikan dengan peraturan dan pantang larangnya.

Naratif yang sederhana tetapi berjaya mengangkat suatu amalan tradisi Melayu yang kini sangat jarang dapat disaksikan oleh generasi muda, iaitu mengangkat dan mengalihkan bangunan rumah secara beramai-ramai dari satu tapak tanah ke satu tapak yang lain. Dalam proses pemindahan itu, digambarkan semangat perpaduan penduduk kampung dan kerjasama yang erat dengan peranan ketua kampung, tekong dan ahli masyarakat yang lain, iaitu ciri penting dalam amalan perpindahan rumah.

Cerpen ini juga mengangkat tema kecintaan serta kebanggaan terhadap rumah pusaka dan adat tradisi dan warisan tradisi ini perlu dipelihara dan diturunkan ke anak cucu. Melalui watak aku, Hizral yang berusia 12 tahun ketika perpindahan itu memperlihatkan kesediaan dan kegembiraan untuk menerima warisan yang diturunkan oleh ayah daripada datuknya.

Melalui watak ayah, digambarkan nilai hidup sederhana yang tidak mengutamakan wang ringgit tetapi artifak warisan Melayu dalam bentuk bajak sawah, beliung, paip candu, acuan kuih, senjata lama, alat pertanian dan pertukangan untuk diwariskan kepada anak cucu.

  1. “Amarah Atuk” oleh MK Riza

Cerpen ini mengutarakan konflik jurang generasi antara Atuk dengan cucunya tentang penggunaan alat teknologi, khususnya media sosial. Atuk terlalu marah kepada cucunya Sufi yang dilihatnya membuang masa dengan penggunaan telefon dan komputer riba. Selain itu Atuk marah kerana wang simpanan hasil titik peluhnya bertahun-tahun tidak dipulangkan oleh keluarga Sufi. Hakikatnya, Sufi menggunakan media media sosial untuk menjana pendapatan kerana dia sedar bahawa keluarganya miskin dan tidak mampu menampung pengajiannya. Sufi melalui inisiatif dan kreativitinya telah menggunakan media sosial untuk membuat crowd-funding bagi membayar keperluan hospital seorang cucu Atuk. Dia juga bertekad untuk membuat pemasaran dalam talian bagi hasil-hasil pertanian yang diusahakan oleh “Aku” yang juga cucu Atuk. Bagi memberi kefahaman kepada Atuk tentang penggunaan telefon bimbit dan manfaat-manfaatnya, Sufi akhirnya membelikan Atuk telefon pintar melalui pendapatannya hasil usaha penggunaan media teknologi baru tersebut.

Cerpen ini telah mengungkapkan dengan jelas kebimbangan generasi tua yang melihat bahawa anak-anak muda terlalu terpengaruh dan obsess dengan gajet-gajet teknologi. Kesannya, pada pandangan mereka adalah kerugian akibat daripada aktiviti yang membuang masa dengan sia-sia, selain daripada hilang adab sopan dan rasa hormat terhadap orang tua.

Daripada golongan muda, diungkapkan kepentingan dan manfaat teknologi baru yang boleh diekploit untuk menjana pendapatan melalui aktiviti publisiti, pemasaran, dan penghasilan produk. Penceritaan secara umumnya sederhana tetapi dapat memaparkan konflik antara golongan tua dan golongan muda dengan jelas dan menarik tentang penggunaan media sosial dan alat teknologi baharu.

KESIMPULAN

Secara umumnya, tiga cerpen yang dipilih bagi memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 mempunyai kualiti yang memuaskan. Setiap satu mempunyai keistimewaan dan kelebihan termasuk dari segi bahasa, tema, pemikiran dan nilai. Karya-karya memperlihatkan persaingan sengit dengan peningkatan mutu pengkaryaan, baik dari segi subjek mahu pun teknik penyampaian. Manusia dan masyarakat sebagai subjek diungkapkan secara kreatif dan sarat dengan pemikiran. Hal ini menunjukkan penulis semakin matang sejajar dengan transformasi negara.

PANEL PENILAI

Prof. Dr. Md. Sidin Ahmad Ishak
Prof. Madya Dr. Halis Azhan Mohd. Hanafiah
Dr. Rosnidar Ain

Baca Laporan Berkaitan |
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Utama)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Novel)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Cerpen)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Puisi)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Drama)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Buku Kajian Sastera, Kumpulan Esei/Kritikan Sastera, Buku Biografi/Autobiografi dan Esei/Kritikan Sastera Eceran)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Kesusasteraan Kanak-kanak)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Kesusasteraan Remaja)

_________________________

Laporan ini disediakan oleh sekretariat Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 di bawah penyelenggaraan Bahagian Promosi dan Pengiktirafan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.