Oleh Fadli al-Akiti
19 Disember 2022, 13:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

PENDAHULUAN

Secara keseluruhan, panel penilai menerima sebanyak dua naskhah karya bagi Kategori Buku Kajian Sastera, lima naskhah Kumpulan Esei/Kritikan Sastera, 18 naskhah buku bagi Kategori Autobiografi/Biografi, dan sejumlah 308 buah esei bagi Kategori Esei/Kritikan Sastera Eceran. Kesemua karya ini dinilai dan kemudiannya disenaraipendekkan bagi tujuan penilaian akhir.

KRITERIA PENILAIAN

Penilaian dilakukan berpandukan skop dan kriteria adalah seperti yang berikut:

  1. Keaslian idea dan penemuan baharu yang diperolehi melalui pentafsiran semula, atau pengemukaan fakta baharu.
  2. Penghujahan dan analisis kritis melalui komposisi ilmiah yang lengkap.
  3. Pemanfaatan teori/pendekatan/konsep kritikan yang relevan untuk tujuan penulisan ilmiah.
  4. Kesahihan dan kerincian fakta serta huraian yang dapat mendokong idea dan penghujahan.

ULASAN PENILAIAN PEMENANG BUKU ESEI/KRITIKAN SASTERA ANGIN PERUBAHAN: MEMPERKASAKAN SASTERA MELAYU DI SABAH OLEH JASNI MATLANI

Kelebihan buku antologi esei sastera ini rata-rata terletak pada temanya yang jelas dan mencakupi aspek-aspek yang relevan dengan judul yang diberikan. Buku ini dibahagikan kepada tiga tema, iaitu Gerakan Sastera dan Kegiatan Penulisan, Karya Kreatif dan Industri Penerbitan, dan Usaha Memperkasakan Sastera dan Penulis, yang kesemuanya memberikan fokus terhadap perkembangan serta kemajuan kegiatan sastera dan kreatif di Sabah, selain turut membicarakan beberapa topik umum berkaitan bahasa dan kesusasteraan bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga antarabangsa.

Sesuai dengan temanya, buku ini turut mendokumentasikan kegiatan-kegiatan penulisan sastera dan kreatif yang antaranya turut melibatkan para penulis muda Sabah, serta membicarakan pandangan tokoh dan penulis berkaitan perkembangan kegiatan sastera di Sabah. Beberapa esei turut memberikan idea serta buah fikiran bagi merancakkan lagi kegiatan sastera di negeri tersebut. Kaedah penulisan buku ini juga tersusun, terdapat idea yang bernas, menyatakan fakta dan mengulas dengan memberikan saranan-saranan idea untuk meningkatkan hasil penulisan khususnya di negeri Sabah. Gaya bahasanya terkawal, pernyataan secara deskriptif dan kritis, sebahagian esei meskipun berbentuk gaya laporan, namun tetap mempunyai idea bernas. Idea yang kritis serta padat disampaikan dengan gaya bahasa penulisan esei yang meyakinkan dengan mengemukakan fakta dan penghujahan.

Kesan bacaan yang meyakinkan dan menunjukkan kepentingan untuk menilai keseluruhan hasil sastera di Sabah sebagai penghasilan karya dan aktiviti kesusasteraan yang didokong oleh pelbagai pihak dalam memperkasakan sastera Melayu di Sabah khususnya, dan pada masa yang sama mampu meningkatkan kemajuan sastera kebangsaan.

KATEGORI KAJIAN SASTERA

Bagi kategori ini panel menerima sebuah karya untuk penilaian akhir, iaitu:

Ismail Abdullah, 2020. Puisi Konseptual. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ulasan Pemenang – TIADA PEMENANG.

 BUKU BIOGRAFI/AUTOBIOGRAFI

Bagi kategori ini, sebanyak dua karya telah disenarai pendek untuk penilaian akhir, iaitu:

Zabidin Haji Ismail, 2019. Sebuah Memoir Bersama Penulis Bercakap Dengan Jin – Tamar Jalis. Temoh, Perak: Penerbit KayaCipta.

Jasni Matlani, 2019. Angin Perubahan: Memoir Jasni Matlani. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

ULASAN PENILAIAN PEMENANG BUKU BIOGRAFI/AUTOBIOGRAFI ANGIN PERUBAHAN: MEMOIR JASNI MATLANI OLEH JASNI MATLANI

Buku autobiografi Jasni Matlani merakamkan pengalaman beliau sendiri sepanjang terlibat dalam kegiatan sastera. Karya ini dibahagikan kepada tiga bahagian dengan judul “Langkah Pertama”, “Menjadi Penulis”, dan “Sejauh Perjalanan” yang setiap satu diceritakan melalui topik-topik kecil. Sebagai sebuah autobiografi, buku ini dimulakan dengan cerita tentang latar belakang peribadi beliau termasuk zaman kanak-kanak dan persekolahan, selain pengalaman berkerjaya sebagai pegawai bank dan berkeluarga. Ini diikuti dengan kisah pengalaman menceburkan diri dalam dunia penulisan dan pengasahan bakat penulisan sehingga menerima S.E.A. Write Award pada tahun 2015, selain pelbagai hadiah dan pengiktirafan dalam penulisan puisi, esei, cerpen dan novel.

Turut diceritakan ialah pengalaman berkunjung ke luar negara sebagai proses yang mematangkan ilmu serta keperibadian penulis terutama dalam arena penulisan dan persatuan penulis. Karya ini dapat memberikan gambaran tentang sisi kehidupan seorang penulis yang berada di Sabah, selain jerih payah dalam mengharungi dunia kesusasteraan Melayu pada peringkat kebangsaan dan peringkat serantau. Kaedah penulisan yang berbentuk laporan peristiwa, deskriptif, bercerita dan analisis proses kepengarangan menunjukkan keupayaan penulis dalam mempelbagaikan gaya penulisannya. Kelebihan karya ini juga rata-rata terletak pada nilai sastera yang terkandung dalam kisah-kisah yang diceritakan yang turut menyisipkan buah-buah fikiran untuk memajukan dunia penulisan dan kesusasteraan.

ESEI/KRITIKAN SASTERA ECERAN (MAKALAH ILMIAH)

Bagi kategori ini, sebanyak sembilan karya telah disenaraipendekkan untuk penilaian akhir. Karya-karya tersebut ialah:

  1. “Didaktisme Islami dalam Cerpen Melayu Mutakhir” oleh Mawar Safei.
  2. “Hujan di Limun Pagi Membuktikan Malim Ghozali PK Penyair Bertaraf Dunia” oleh Victor Pogadaev.
  3. “Perkaitan Stail dan Perutusan Agama dengan Kebenaran Sejarah dalam Sajak-sajak Kemala” oleh Halim Ali.
  4. “Konsep Cinta dalam Cerpen-cerpen Kemala: Kajian Semiotik Konseptual Kata Kunci” oleh Raja Rajeswari Seetha Raman.
  5. “Sastera Popular dalam Jalur Kesusasteraan Melayu” oleh Mohd. Hanafi Ibrahim.
  6. “Sastera Popular dan Kritikan Sastera: Satu Pemahaman Konsep Sastera Popular” oleh Sohaimi Abdul Aziz.
  7. “Pemartabatan Wanita dalam Novel Matriark Dari Perspektif Feminis oleh Cheri Register” oleh Norhayati Ab. Rahman.
  8. “Hipoteks Sebagai Idea Penggaluran Naratif dalam Novel Berunsur Sejarah Tun Tuah” oleh Mohd Haniff Mohd. Yusoff et al.
  9. “Sastera Insklusif dalam Konteks Reproduksi Sosial” oleh S.M. Zakir.

 ULASAN PENILAIAN PEMENANG ESEI/KRITIKAN SASTERA ECERAN (MAKALAH ILMIAH)

  1. “Perkaitan Stail dan Perutusan Agama dengan Kebenaran Sejarah dalam Sajak-Sajak Kemala” oleh Halim Ali

Makalah ini diusahakan dengan pendirian untuk menegakkan pendirian bahawa nilai-nilai Islam dalam karya sastera hanya mampu dihayati berdasarkan kerangka pemikiran yang diasaskan pada pandangan hidup Islam. Dengan kerangka pemikiran yang sedemikian, makna “keindahan” menurut Islam dapat diterapkan bagi memahami maksud yang terkandung dalam karya sastera. Dalam konteks ini, makalah ini mengemukakan kerangka “Konsep Estetika Bersepadu” yang menggariskan dua aspek penting, iaitu kesepaduan antara aspek stail dengan perutusan dan perkaitan antara kedua-dua aspek tersebut dengan kebenaran di sisi Islam. Berteraskan kerangka ini, makalah ini menganalisis sajak-sajak Kemala yang terbit antara tahun 1987 hingga 2001. Analisis ini bertujuan untuk menyerlahkan perkaitan antara aspek stail dan perutusan dalam sajak-sajak Kemala dengan kebenaran menurut Islam. Kelebihan makalah ini banyak terletak pada premis penghujahan dan kerangka analisisnya yang jelas, yang kemudiannya diterapkan bagi menganalisis sajak-sajak Kemala yang dikaji. Selain bahan-bahan yang kajiannya mencukupi, analisis turut diperkukuhkan dengan dalil-dalil al-Quran dan Hadis sehingga menghasilkan kesimpulan tertentu.

  1. “Pemartabatan Wanita dalam Novel Matriark dari Perspektif Feminis oleh Cheri Register” oleh Norhayati Ab. Rahman

Makalah ini menyerlahkan kecenderungannya yang jelas, iaitu untuk memperlihatkan adanya usaha memartabatkan wanita dalam karya sastera Melayu moden. Kecenderungan ini jelas apabila makalah ini memilih untuk menganalisis novel Matriark karya Samsiah Mohd. Noor berdasarkan perspektif feminisme yang dicetuskan oleh Cheri Register. Analisis bertujuan untuk mengamati rakaman dunia wanita dalam novel yang dikaji, dengan menerapkan lima prinsip pemanfaatan karya sastera sebagai medan permartabatan kaum wanita yang digariskan oleh Cheri Register.

Hasil penerapan lima prinsip ini, makalah ini merumuskan bahawa teks yang dikaji itu menyerlahkan usaha-usaha untuk memartabatkan kaum wanita, antaranya melalui pemanfaatan karya sastera sebagai forum untuk membicarakan hal ehwal wanita, penokohan watak wanita yang layak dicontohi, pemupukan budaya persaudaraan wanita serta rasa saling hormat-menghormati antara lelaki dengan wanita, di samping kesedaran pembaca mengenai perjuangan wanita.

Penghujahan dalam makalah ini dibangunkan berasaskan satu pendirian yang diasaskan pada satu perspektif iaitu feminisme, yang dengan sendirinya membentuk tujuan analisisnya, yang diasaskan pula pada prinsip-prinsip yang dicetuskan daripada perspektif tersebut sehingga dapat menghasilkan satu kesimpulan yang jelas dan mencukupi. Dalam konteks ini, makalah ini menyerlahkan kelebihannya sebagai sebuah tulisan ilmiah.

ESEI/KRITIKAN SASTERA ECERAN (MAKALAH SEPARA ILMIAH)

Bagi kategori ini, sebanyak 13 karya telah disenarai pendek untuk penilaian akhir. Karya tersebut ialah:

  1. “Pemasaran Karya Sastera dalam Era IR 4.0” oleh Azman Ismail.
  2. “Menjenguk Nurani T. Alias Taib dari Perspektif Seorang Sahabat, Tukang Puisi: Dongeng Kota” oleh Sharif Putera.
  3. “Tinjauan Pendidikan Kesusasteraan Melayu di Malaysia” oleh Rahman Shaari.
  4. “Manusia, Kemanusiaan dan Ragamnya dalam Titipan Bahasa Puisi” oleh Sohaimi Abdul Aziz.
  5. “Kota Ilmu, Buku dan Sastera Kita” oleh Anwar Ridhwan.
  6. “Utopia atau Distopia” oleh Mohamad Saleeh Rahamad.
  7. “Futuristik Mencipta Fenomena” oleh S. M Zakir.
  8. “Cerpen Awal Sabda S dalam Daftar Karya Sastera Fiksyen Sains” oleh Fadli al-Akiti.
  9. “Menelan Rasuah atau Bertahan Prinsip?” oleh Roslan Jomel.
  10. “Dewan Bahasa dan Pustaka Igauan Ngeri Meremang di Matahari Malam, Meruap di Purnama Siang” oleh Ahmad Kamal Abdullah.
  11. “Kesusasteraan dan Kebiasaan Baharu dalam Dunia Digital” oleh Madiawati Mamat@Mustaffa.
  12. “Sajak Sebagai Medium Menyuarakan Perpaduan” oleh Lim Swee Tin.
  13. “Budaya Penulis Wanita Asia Tenggara: Siti Zainon Ismail Pengarang Pascakolonial” oleh Awang Azman Awang Pawi.

 ULASAN PENILAIAN PEMENANG ESEI/KRITIKAN SASTERA ECERAN (MAKALAH SEPARA ILMIAH)

  1. “Utopia atau Distopia” oleh Mohamad Saleeh Rahamad

Esei ini membicarakan “novel futuristik” sebagai satu genre sastera moden yang menekankan imaginasi tentang masa depan. Pembicaraan mengenainya diletakkan dalam konteks fungsi karya sastera sebagai wadah untuk memupuk semangat patriotisme dan nasionalisme. Dalam konteks ini, dua konsep yang menjadi focus, iaitu “utopia” dan “dystopia” dibicarakan sebagai bentuk-bentuk manifestasi kreatif yang dapat diterokai oleh para novelis dalam memanfaatkan genre “novel futuristik” sebagai wadah pemupukan semangat patriotisme dan nasionalisme. Lebih menarik apabila beberapa teks sastera baik sastera Melayu, mahu pun sastera Barat dimanfaatkan sebagai contoh guna menjelaskan dua konsep yang dibicarakan. Selain memberikan contoh-contoh yang relevan, usaha penulis memberikan takrifan yang jelas terhadap konsep serta istilah tertentu, menjadikan pembicaraan esei ini jelas, mudah diikuti dan menarik.

  1. “Futuristik Mencipta Fenomena” oleh S.M. Zakir

Esei ini membicarakan “fiksyen sains” sebagai satu kategori karya dalam sastera moden. “Fiksyen sains” dirumuskan sebagai karya fiksyen yang mengadunkan imaginasi dengan spekulasi berasaskan fakta saintifik yang tiada dalam realiti kehidupan semasa. Dengan pemahaman itu, pembicaraan dilanjutkan dengan kemunculan genre fiksyen sains Barat, yang kemudiannya tercetus di Malaysia pada dekad 1970-an.  Esei ini membincangkan pemahaman antara fiksyen sains dengan fiksyen fantasi dan fiksyen futuristik”, kerana ketiga-tiga kategori ini dikatakan kabur dan pembicaraan mengenainya sering dicampuradukkan. Kelebihan esei ini rata-rata terletak pada usahanya untuk menggariskan ciri-ciri yang dapat dijadikan sebagai garis yang menyempadani ketiga-tiga kategori, dan sekali gus dapat memberikan pemahaman yang lebih jelas kepada penulis yang berminat untuk menghasilkan karya-karya dalam kategori ini.

  1. “Cerpen Awal Sabda S dalam Daftar Karya Sastera Fiksyen Sains” oleh Fadli al-Akiti

Menarik dalam esei ini apabila nama Sabda S diketengahkan sebagai antara penulis awal yang meneroka genre fiksyen sains di Malaysia. Cerpen-cerpen Sabda S yang terbit sekitar tahun 1970-an dan 1980-an diketengahkan sebagai karya berunsurkan Islam yang dianggap turut menyuntik elemen-elemen fiksyen sains. Bagi memperkukuhkan tanggapannya, esei ini memberikan kupasan yang mencakupi terhadap cerpen karya Sabda S dengan tumpuan terhadap aspek-aspek yang dapat menyerlahkan cirinya sebagai sebuah karya sains fiksyen, selain mesej-mesej keislaman yang digendongnya. Dalam rumusannya, esei ini memahatkan nama Sabda S sebagai perintis kepada penulisan karya fiksyen sains di Malaysia. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pahatan ini dapat membuka gelanggang untuk perbahasan ilmiah yang selanjutnya.

  1. “Dewan Bahasa dan Pustaka Igauan Ngeri Meremang di Matahari Malam, Meruap di Purnama Siang” oleh Ahmad Khamal Abdullah/Kemala

Esei ini membahaskan isu-isu semasa berkaitan peranan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur dalam memperjuangkan martabat sastera dan bahasa Melayu. Pendekatan sejarah yang digunakan menjelaskan kepentingan fungsi Dewan Bahasa dan Pustaka selaku institusi yang ditubuhkan atas kesedaran zaman dan perjuangan bangsa. Sejarah ini dijadikan sebagai konteks dalam membahaskan tentang kedudukan dan permasalahan semasa bahasa dan sastera Melayu. Kritikan yang dipaparkan adalah bersifat kritis dan berfakta. Penghujahan berupaya menjelaskan secara lebih mendalam tentang isu dan fungsi yang dihadapi oleh para pelaksana dan aktivis Melayu yang berterusan memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu dengan dasar-dasar yang tidak berpihak kepada perjuangan mereka. Esei ini berhasil dalam menyerlahkan bahawa masalah yang timbul adalah realiti sebenar yang dihadapi oleh para sasterawan dan budayawan apabila berhadapan dengan karenah birokrasi dan pembuat dasar. Walaupun kritikan yang dikemukakan secara sinis dan tajam, tetapi penggunaan gaya bahasa pemujukan dengan nada simpati berupaya meraih semangat tentang idealisme sebenar perjuangan bahasa dan sastera kebangsaan.

  1. “Budaya Penulis Wanita Asia Tenggara: Siti Zainon Ismail Pengarang Pascakolonial” oleh Awang Azman Awang Pawi

Esei ini mengemukakan kajian terhadap kepengarangan Siti Zainon Ismail sebagai pengarang penting di Asia Tenggara. Pendekatan biografi digunakan sebagai metode analisis. Esei ini menghujahkan hipotesis bahawa Siti Zainon Ismail telah muncul sebagai pengarang zaman pascakolonial dalam perkembangan sastera Melayu moden, dan lantas membentuk ciri kepengarangannya. Pada bahagian akhir, esei ini merumuskan pandangan yang mendukung hipotesis terrsebut. Justeru, penghujahan tentang idealisme Siti Zainon Ismail terhadap keserlahan imej dan budaya wanita Nusantara diperkukuhkan dengan contoh dan fakta yang meyakinkan, juga menyerlahkan Siti Zainon Ismail sebagai penulis wanita yang berlatarkan biografi pengalaman seni dan kesarjanaan.

KESIMPULAN

Umumnya, karya-karya yang dipilih sebagai pemenang ialah karya yang menunjukkan keupayaan mengemukakan topik yang relevan dengan perkembangan sastera mutakhir serta topik yang jarang diperkatakan. Di samping itu, sebahagian karya yang lain, walaupun membincangkan tentang topik tradisional tetapi masih relevan dengan perkembangan sastera masa kini.

PANEL PENILAI

Profesor Dr. Hashim Ismail
Profesor Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani
Profesor Dr. Rahmah Ahmad H. Osman

Baca Laporan Berkaitan |
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Utama)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Novel)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Cerpen)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Cerpen Remaja Eceran)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Puisi)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Drama)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Kesusasteraan Kanak-kanak)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Kesusasteraan Remaja)

_________________________

Laporan ini disediakan oleh sekretariat Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 di bawah penyelenggaraan Bahagian Promosi dan Pengiktirafan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.