Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKUMPULAN DRAMA
Penilai menerima tiga buah buku drama seperti yang berikut:
Daripada tiga naskhah tersebut, panel berpendapat hanya sebuah buku mencapai tahap kualiti karya yang boleh dipertimbangkan untuk menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2019/2020 bagi genre drama.
KRITERIA PENILAIAN
Antara kriteria penilaian yang dilihat oleh panel termasuklah kekuatan kesatuan organik karya yang merangkumi plot atau struktur dramatik, watak dan perwatakan, latar dan elemen-elemen dramatik serta kekaguman. Selain itu, panel juga mencari kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan secara bermakna yang memperlihatkan kematangan pemikiran pengarang. Turut diberikan perhatian ialah keseimbangan estetika dan kesesuaian bahasa yang digunakan dalam drama (melalui dialog), untuk menggerakkan cerita dan membina watak/perwatakan secara berkesan. Akhirnya, panel memerhatikan aspek nilai dan keindahan moral dalam karya, di samping kemampuan penulis dalam berkreatif secara inovatif dalam konteks penciptaan drama.
ULASAN PENILAIAN PEMENANG KUMPULAN DRAMA NEO KARYA SITI JASMINA IBRAHIM
Kumpulan drama ini mengandungi empat buah skrip seperti yang berikut:
Membaca naskhah ini dan membayangkan pementasannya, seolah-olah dapat melihat sebuah karya “noir”, atau “neo-noir”. Genre filem yang memaparkan sebahagian besar visualnya dalam suasana gelap/hitam, dengan kelazimannya mengungkapkan kisah penyiasatan dan jenayah. Walaupun tanpa watak femme fatale, imej dan warna “noir” dapat diserapi melalui unsur-unsur gelap di sebuah kelab malam, dendangan lagu jazz, ada kematian/pembunuhan, ada detektif dan penyiasatan, ada saksi-saksi, ada diari berkunci dan akhiran luar duga. Sally, si penyanyi mati dibunuh di kelab tempatnya menyanyi, pada malam terakhir dia bekerja di situ. Dia mengambil keputusan untuk berhenti menyanyi dan kembali mahu menjadi “dirinya” yang sebenar. Detektif datang menyiasat (dia juga sering di kelab itu menikmati nyanyian Sally). Tuan Q – pemilik kelab yang mencintai Sally dan Ravindran – pekerja kelab, antara yang disyaki sebagai pembunuh. Akhirnya, diari yang ditinggalkan Sally mendedahkan segala rahsia tentang Sally dan pembunuh sebenar juga dapat dikenalpasti.
Naskhah ini pernah memenangi HSPM 2015/2016 bagi Kategori B: Eceran. Berkisar tentang pewaris perguruan agama setelah kematian pemimpinnya – Ustaz Haji Al-Rashid. Secara logiknya, tentulah Sali, anak lelaki tuan guru itu yang akan menggantikan tempatnya. Namun, Sali yang baru pulang dari luar negeri dilihat cuba membawa para pengikut ayahnya ke arah yang meragukan. Dia bersama-sama kumpulan berjubah merah dalam usaha membentuk satu perguruan baharu (neo) dengan pegangan dan kepercayaan yang diragui sama sekali. Sebaliknya, anak-anak murid yang dipercayai Ustaz Haji Al-Rashid – Waris dan Aman pula bersungguh-sungguh mahu mempertahankan perguruan tokoh tersebut. Kumpulan Jubah Merah berjaya mengheret dan menawan beberapa orang ke markas mereka dan didakyah dengan doktrin yang jelas sesat. Akhirnya, Waris dan Aman berjihad untuk menentang anak tuan guru dan kumpulannya itu, sebelum lebih ramai terpedaya dengan ajaran songsang mereka. Satu percubaan yang berbeza daripada penulis dengan meneroka tema dan persoalan-persoalan yang tidak lazim disentuh oleh pengarang drama pentas sebelum ini.
Drama ini cuba mengemukakan persoalan neo-kolonialisme dalam bentuk penjajahan ekonomi. Wai, Sazam, Dawud, Daman, Sufiah adalah sebahagian daripada “warga” Jalan Bintang yang makmur dan mewah. Mereka mencari rezeki di situ, sebagai pemuzik jalanan dan peniaga kecil. Mereka memperkatakan yang “kita dah moden sangat”. Kita kini hidup dalam dunia tanpa garis sempadan. Kuasa/kapitalis luar dengan mudah boleh menjajah atau menjarah ekonomi negara ini secara halal atas nama pelaburan atau perkongsian perniagaan. Apabila Jalan Bintang dikuasai oleh Milion Big, ada yang melihatnya sebagai peluang untuk turut maju dalam arus globalisasi. Wai hampir terperangkap dengan helah kapitalis yang boleh membekukan masa depannya. Nasiblah dia sempat diselamatkan. Satu imaginasi besar yang melihat pro dan kontra apabila peluang pelaburan dibuka seluas-luasnya kepada syarikat gergasi dari luar negara. Penulis melontarkan kebimbangan terhadap kemungkinan warga tempatan menjadi mangsa dan hamba kepada penjajahan ekonomi seperti ini. Ditelan oleh kerakusan kuasa kapitalisme sebagai kolonialis moden.
Drama yang diinspirasi daripada tragedi Brutus karya William Shakespeare. Sebuah lagi karya dalam kumpulan ini yang membawa aura “noir” atau “neo-noir” melalui visual pentas yang digambarkan. Lebih-lebih lagi keseluruhan drama memaparkan sekitar dunia mafia – tentang perebutan kuasa antara sesama anggota. Walaupun diinspirasi daripada sebuah naskhah agung, kita dapat melihat karya ini memancarkan satu interpretasi baharu terhadap tragedi terkemuka itu. Dunia mafia juga tidak jauh bezanya dengan dunia politik. Satu ketika seorang pemimpin disanjung tinggi, satu ketika lain dia dibenci dan dijatuhkan, kadang-kadang oleh rakan seperjuangan sendiri. Orang kanan bermuka dua, musuh dalam selimut, perlakuan tikam belakang, sentiasa wujud dalam kedua-dua dunia tersebut. Satu penerokaan berani oleh penulis terhadap isu dan persoalan-persoalan sensitif serta tabu bagi sesetengah pihak. Sebuah karya yang menjanjikan persembahan dan pengalaman teaterikal yang maksimum apabila dipentaskan. Naskhah yang kaya dan mewah dengan gerak dan aksi, watak dan perwatakan yang bervariasi, dialog yang bertenaga dan bermotivasi, plot yang berkelok dan sukar diramal, eksploitasi kesan bunyi dan muzik tanpa had, serta pelbagai lagi. Berpotensi sebagai “teater noir” yang memukau dan menggegarkan.
Kesemua naskhah di atas menjadikan Neo sebagai sebuah kumpulan drama yang sangat luar biasa baik dari segi pemaparan naratifnya, juga dari aspek kesatuan temanya. Judul Neo dengan maksud “baharu” atau “sesuatu yang baharu” terpancar dalam kesemua karya. Setiap naskhah jelas memperlihatkan kewajaran yang meyakinkan dari segala aspek pembinaan sebuah skrip drama. Premis, struktur dramatik dengan konflik dan klimaks yang memikat lagi memukau, watak dan perwatakan yang bervariasi dan memiliki latar yang ketara dan isu serta persoalan yang tidak berulang. Penulis mempersembahkan setiap karyanya dengan menggunakan gaya bahasa yang bersesuaian dengan naratif, tanpa mengabaikan tatabahasa dan hukum linguistik. Neo menjadi contoh bagaimana menghasilkan drama dalam pelbagai genre dengan pendekatan yang mengangkat nilai susastera, seimbang dengan elemen-elemen teaterikal. Ia boleh sahaja dinikmati melalui pembacaan yang kasual, tetapi semestinya visual pentas yang dibayangkan dalam naskhahnya tetap meruntun minat untuk menyaksikan pementasannya.
ULASAN PENILAIAN PEMENANG DRAMA ECERAN
Panel menerima 29 skrip drama pentas eceran yang tersiar dalam pelbagai sumber. Setelah melalui proses penelitian, akhirnya panel memberikan perhatian yang khusus kepada lima buah drama berikut, untuk dipertimbangkan bagi diberikan hadiah:
Konflik pendirian antara watak Darwis, pengamal reyok (kuda kepang) mabuk dengan Dr. Rono, bekas pemain barongan. Darwis cuba mempertahankan reyok mabuk sebagai tarikan penonton/pelancong. Baginya kuda kepang biasa sekadar tarian yang tidak menarik penonton. Dr. Rono tidak bersetuju kerana terdapatnya unsur-unsur yang bertentangan dengan ajaran Islam dalam persembahan reyok mabuk itu. Skrip ini bergenre melodrama. Watak dan perwatakan protagonis dan antagonisnya sangat jelas, mengikut keperluan sebuah melodrama. Pertentangan matlamat antara Dr. Rono dengan Darwis dalam konteks memelihara warisan seni persembahan kuda kepang jelas memperlihatkan krisis-krisis yang membentuk konflik hingga memuncak kepada klimaks. Persoalan drama ini jelas, iaitu warisan dan khazanah budaya perlu dipelihara dan dipertahankan. Namun matlamat ke arah komersialisme sama sekali tidak boleh menafikan soal akidah atau hakikat pegangan dan ajaran agama.
Skrip ini berciri drama eksperimental. Antara ciri drama bentuk ini yang agak ketara termasuklah dialog-dialognya yang pendek dengan perulangan kata dan frasa secara berurutan. Namun begitu, kandungan drama ini bersifat Islamik. Secara umum drama ini mengutarakan persoalan kritikal terhadap tanggungjawab pemimpin dengan membuat rujukan kepada kisah Nabi Yusuf dan Zulaikha, nama-nama wanita Islam tersohor seperti Maryam, Masyitah, Aishah, Fatimah dan Khadijah, serta istilah-istilah berorientasi nilai Islami seperti tahajud, zikrullah, Al-Quran, pemuda al-Kahfi, hanya Engkau Yang Esa, al-Khautsar dan bertasbih. Selain itu, drama ini kaya dengan simbolisme mirip drama Melayu eksperimental tahun 1970-an. “Hablur” memaparkan kesan atau impak mikro terhadap aspek sosial sebuah negara dalam beberapa segmen di bawah persoalan utamanya. Drama ini mengajak pemimpin untuk berpegang kepada ajaran Islam dalam melaksanakan tanggungjawab.
Kisah seorang wanita warga emas (72 tahun), calon bebas pilihan raya umum. Kononnya beliau menang dan menjadi penentu majoriti bagi dua parti besar yang berkedudukan seri. Keputusan terletak di tangannya. Namun segala-galanya hanya berlaku di dalam mimpi. Idea dan premis yang menarik kerana ia bersumberkan konteks budaya serta suasana politik semasa. Sebuah drama bergenre tragedi dengan pemaparan protagonis (Bonda) yang jelas. Sepanjang drama, khalayak akan berasa bimbang dan kasihan terhadap nasib Bonda yang terpaksa menghadapi pelbagai krisis sebagai seorang calon bebas yang telah memenangi pilihan raya. Krisis hadir dalam bentuk desakan, sogokan dan pujukan pelbagai pihak seperti wakil parti politik dan anak-anak Bonda sendiri untuk membuat satu keputusan yang tepat.
Drama ini memaparkan tiga babak yang berbeza. Setiap babak mengemukakan watak utama yang berlainan dalam situasi dan latar waktu yang berbeza tetapi membincangkan isu yang sama, iaitu kuasa. “Bangku” bersifat eksperimental dan memiliki nilai serta potensi teaterikal yang sangat menarik. Drama ini menuntut daya imaginasi tinggi dari khalayak pembaca serta warga produksinya kerana ia tiada ciri “unity of time, place and action”. Watak drama ini hanya dua orang bagi setiap babak dengan memaparkan krisis yang jelas. Penulis juga tidak mencatatkan sebarang arahan pentas untuk setnya tetapi menekankan bahawa setiap babak berlaku pada zaman berbeza, iaitu selang 30 tahun antara setiap satunya. Namun keunikan drama ini ialah daya kreativiti kepengarangan penulisnya yang mengikat ketiga-tiga babaknya melalui set yang sama, iaitu sebuah bangku.
Penglipur Lara disiasat oleh Tok Ampu dan Wakil Tuan Presiden kerana dituduh menyampaikan cerita yang tidak dibenarkan. Keistimewaan drama ini adalah pemaparan watak penglipur lara dan nasib seni persembahan lipur lara yang semakin kurang dikenali dengan mengaitkannya kepada konteks politik semasa. Walaupun drama ini mengemukakan ciri-ciri protagonis yang jelas bagi sebuah genre tragik-komedi, namun penulis tidak menentukan perubahan nasib bagi watak utamanya. Dramatis memberikan dua pilihan bagi nasib penglipur lara dan menyerahkan pilihan tersebut kepada khalayak untuk menentukannya. Selain khalayak dipaksa berfikir, drama ini membendung perasaan bimbang dan kasihan khalayak terhadap watak penglipur lara dari awal sehingga penghujung drama. Teknik penulisan plot tragedi tanpa katarsis, atau pelepasan emosi bimbang dan kasihan khalayak ini mampu dilaksanakan kerana penulis menyelitkan unsur komedi dalam drama ini.
PANEL PENILAI
Dr. Nur Afifah Vanitha Abdullah
Dr. Rosminah Tahir
Encik Zakaria Ariffin
Baca Laporan Berkaitan |
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Utama)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Novel)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Cerpen)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Cerpen Remaja Eceran)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Puisi)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Buku Kajian Sastera, Kumpulan Esei/Kritikan Sastera, Buku Biografi/Autobiografi dan Esei/Kritikan Sastera Eceran)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Kesusasteraan Kanak-kanak)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Kesusasteraan Remaja)
_________________________
Laporan ini disediakan oleh sekretariat Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 di bawah penyelenggaraan Bahagian Promosi dan Pengiktirafan Dewan Bahasa dan Pustaka.