Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPENDAHULUAN
Sebanyak 102 buah karya sastera kategori kanak-kanak daripada empat genre telah dinilai. Kesemua karya tersebut ialah terbitan tahun 2019 dan 2020 daripada pelbagai penerbit tanah air. Daripada jumlah tersebut 15 buah novel kanak-kanak, 41 buah kumpulan puisi kanak-kanak, 12 buah kumpulan cerpen kanak-kanak, sebuah kumpulan drama kanak-kanak dan 23 buah buku bergambar kanak-kanak. Kesemua karya yang dinilai ini sesuai untuk bacaan kanak-kanak pada peringkat umur 5 hingga 12 tahun.
Umumnya, karya yang dinilai menunjukkan keupayaan dalam penghasilan karya yang bermutu dari segi idea, pemikiran, bahasa dan strategi naratif masing-masing. Cerpen-cerpen yang dinilai didapati mencapai tahap kreativiti sebagai hasil karya yang bersifat kontemporari selain menerapkan pelbagai pendekatan dan aliran. Cerpen-cerpen yang dipertandingkan juga didapati memaparkan pelbagai subjek seperti isu sosial, pendidikan, fantasi, budaya, jati diri, dan hal yang menyentuh isu-isu semasa.
KRITERIA PENILAIAN
Penilaian bagi karya meliputi:
NOVEL KANAK-KANAK
Dua buah buku yang telah disenarai pendek adalah seperti yang berikut:
Daripada dua senarai pendek yang dipilih, semua penilai bersetuju memilih karya Ini Kisah Adham, Saya & Awan Shiro karya Mazny M.R.
ULASAN PENILAIAN PEMENANG NOVEL KANAK-KANAK KISAH ADHAM, SAYA & AWAN SHIRO KARYA MAZNY M.R
Ini kisah Adham, Saya & Awan Shiro (2019) karya Mazny M.R merupakan kisah Hiro dan Adham yang kehilangan keluarga tetapi dengan cara yang berbeza. Hiro kehilangan ibu bapa dalam nahas udara manakala Adham pula kehilangan ibu bapa akibat penceraian. Mereka mengalami tekanan emosi namun hubungan persahabatan yang terjalin memberikan ruang kepada mereka berkongsi kisah dan saling melengkapi dalam meneruskan kelangsungan hidup. Penerapan unsur psikologi yang berhubung dengan nilai kasih sayang, keselamatan diri dan emosi, penghargaan diri disusun dengan baik melibatkan pengalaman dua orang kanak-kanak yang memerlukan perhatian orang dewasa. Moral yang ditekankan dalam novel ini berkait dengan keperluan psikologi kanak-kanak, iaitu pengharapan kanak-kanak untuk menjalani kehidupan dengan lebih selamat.
Dari sudut struktur pembinaan, novel ini baik dan sesuai untuk bacaan kanak-kanak. Pada keseluruhannya novel ini dianggap baik dari segi tema, binaan plot, watak dan perwatakan. Pemikiran yang dikemukakan dalam novel ini merupakan persoalan yang merangkumi pebagai aspek kehidupan kanak-kanak seperti kerisauan, rasa tidak selamat, memerlukan kasih sayang melingkari dunia kanak-kanak pada hari ini.
Pergolakan rasa ini dapat dikesan melalui watak Hiro dan Adham, pengarang novel memilih menggunakan pendekatan realisme dalam menyampaikan mesej dalam karya. Persoalan yang diutarakan oleh pengarang merupakan persoalan semasa. Plot yang digunakan oleh pengarang mengikut kronologi yang menghubungkan antara satu peristiwa dengan peristiwa yang lain. Plot cerita disusun dengan rapi dan mudah difahami oleh kanak-kanak. Peristiwa yang digambarkan dari mula sehinggai akhir dalam novel ini jelas dengan penjelasan unsur sebab-akibat yang mudah difahami oleh kanak-kanak.
Gabungan antara teknik pemerian, dialog, monolog, monolog dalaman, kejutan dan imbas kembali menjadikan cerita ini menarik. Penggunaan dialog yang disusun secara bijak dan bersahaja dapat menyampaikan peristiwa dengan realistik dan memperkukuhkan watak kanak-kanak dalam novel ini. Dalam konteks bahasa, pengarang menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh kanak-kanak. Bahasa yang segar dan realistik disertai oleh teknik penceritaan yang mantap menjadikan novel ini menarik untuk dibaca.
KUMPULAN PUISI KANAK-KANAK
Panel penilai peringkat akhir telah memilih senarai pendek, seperti yang berikut:
Daripada tiga kumpulan cerpen yang disenarai pendek yang dikemukakan, panel penilai telah memilih karya Kupetik Bintang-bintang karya Basari Mat Yasit.
ULASAN PENILAIAN PEMENANG KUMPULAN PUISI KANAK-KANAK KUPETIK BINTANG-BINTANG KARYA BASARI MAT YASIT
Kumpulan puisi ini memuatkan 12 buah puisi, antaranya termasuklah “Bumi”, “Matahari”, “Ku Ingin Bebas”, “Kejayaan”, “Angkasawan”, “Secawan Mimpi”, “Tanya Sama Bulan”, “Ku Petik Bintang-Bintang”, “Langit Malam”, “Makhluk Asing”, dan “Zuhal”. Persoalan yang dikemukakan dalam kumpulan puisi ini tidak klise dan dapat difahami oleh generasi kanak-kanak seperti persoalan yang menyentuh tentang pencemaran alam yang disebabkan sikap manusia. Selain itu, kanak-kanak juga diperkenalkan dengan alam semesta yang lain seperti bumi, matahari, bulan, bintang dan planet Zuhal.
Kumpulan puisi ini juga menggunakan ilustrasi untuk memberi gambaran yang jelas kepada kanak-kanak. Penggunaan ilustrasi tanpa warna, iaitu konsep “hitam-putih” dapat membawa kanak-kanak supaya berfikir tentang kejadian alam dan perkara-perkara lain di persekitaran mereka. Penerapan unsur positif antaranya termasuklah sayang terhadap alam sekitar, menghargai keindahan alam, mempunyai semangat jati diri yang tinggi untuk berjaya adalah penting untuk kanak-kanak meneruskan kelangsungan hidup.
Pemilihan diksi yang mudah dan sesuai untuk kanak-kanak dapat meninggalkan kesan estetik yang mampu memberi keriangan kepada kanak-kanak. Kesimpulannya kumpulan puisi ini mengandungi mesej yang bersesuaian dengan perkembangan psikologi kanak-kanak tahap dua, iaitu antara 9 hingga 12 tahun. Pada peringkat umur ini, mereka sudah boleh berfikir secara abstrak.
KUMPULAN CERPEN KANAK-KANAK
Tiga buah kumpulan yang telah disenarai pendek adalah seperti yang berikut:
Daripada tiga senarai pendek yang dikemukakan, panel penilai telah memilih karya Misi Mengintip karya Ab. Jalil Alimon
ULASAN PENILAIAN PEMENANG KUMPULAN CERPEN KANAK-KANAK MISI MENGINTIP KARYA AB. JALIL ALIMON
Kumpulan cerpen kanak-kanak Misi Mengintip memuatkan 12 cerpen, iaitu “Mengorak Langkah”, “Murai Kesayangan”, “Inap Desa”, “Pokok Rambutan”, “Warung Kita”, “Kasut Sukan”, “Misi Mengintip”, “Di Kebun Durian Ayah 70”, “Janji Adik Amri”, “Aku Anak Banduan”, “Muk Kerbau Jantanku”, dan “Berkhatan”. Persoalan yang diutarakan dalam cerpen ini masih lagi relevan dengan dunia kanak-kanak pada hari ini. Keseimbangan antara isi cerita dengan gaya penyampaian serta penggunaan gaya bahasa yang menarik menjadikan cerita-cerita dalam kumpulan cerpen ini sesuai dijadikan sebagai bahan bacaan kanak-kanak.
Pengamatan keseluruhan cerpen ini memperlihatkan pengarang berjaya memperlihatkan pelbagai ragam kehidupan kanak-kanak. Ada kanak-kanak yang lembut pertuturannya, ada kanak-kanak yang kasar pertuturannya, ada kanak-kanak yang berdisiplin, ada kanak-kanak yang nakal, ada kanak-kanak yang tidak cukup kasih sayang, ada juga kanak-kanak yang terlebih kasih sayang, ada kanak-kanak yang bernasib baik dalam hidupnya dan ada kanak-kanak yang tidak bernasib baik. Persoalan ini digarapkan oleh pengarang melalui watak kanak-kanak melalui penggambaran hidup dan pemikiran yang imaginatif terjalin dengan menggunakan bahasa yang dapat difahami oleh kanak-kanak.
Penelitian dari aspek latar pula terdapat latar kehidupan kanak-kanak seperti kanak-kanak miskin, sederhana dan berada. Pemikiran yang dikemukakan dalam kumpulan cerpen ini merupakan persoalan yang merangkumi pelbagai aspek dalam kehidupan kanak-kanak seperti menghargai alam sekitar, jati diri, kekeluargaan, kemasyarakatan, kasih sayang, keberanian, keagamaan, psikologi, iaitu perkara yang masih lagi relevan dan melingkari dunia kanak-kanak pada hari ini Persoalan ini diangkat secara realistik dan mampu menyentuh psikologi kanak-kanak (kehendak kanak-kanak seperti mahukan perhatian daripada orang dewasa, mahu mencuba sesuatu yang baru, suka bersebaya, mahu diri mereka dihargai oleh kawan-kawan, orang dewasa atau masyarakat sekeliling dan ingin jaminan keselamatan sama ada dari aspek emosi atau fizikal). Kekuatan penerapan kepelbagaian unsur emosi yang terdapat dalam kumpulan cerpen ini membolehkan kanak-kanak melepaskan emosi dan memperluaskan pengalaman dan hal ini sangat penting untuk pertumbuhan kanak-kanak itu sendiri.
Dalam konteks bahasa, pengarang menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh kanak-kanak. Bahasa yang segar dan realistik disertai oleh teknik penceritaan yang mantap menjadikan kumpulan cerpen ini menarik untuk dibaca. Malah penggunaan bahasa dalam kumpulan cerpen ini juga mampu mencerminkan pemikiran yang diutarakan oleh pengarang. Pengarang memilih menggunakan pendekatan realisme dalam menyampaikan mesej karya. Plot yang digunakan oleh pengarang mengikut kronologi yang menghubungkan antara satu peristiwa dengan peristiwa yang lain melalui hukum sebab akibat. Pengarang menggunakan gaya penyampaian yang mudah. Teknik penceritaan yang menarik memberi rasa keterujaan kepada kanak-kanak untuk meneruskan pembacaan.
KUMPULAN DRAMA KANAK-KANAK
Hanya sebuah karya yang dinilai, iaitu Drama Kanak-kanak Gedembai karya Fauziah Sulaiman.
Drama kanak-kanak Gedembai memuatkan enam judul, iaitu “Budi”, “Harta Karun”, “Kotak-kotak”, “Ini Rumah Kami”, “Belalang yang Suka Bernyanyi” dan “Gedembai”. Pada keseluruhannya, isi cerita berada pada tahap yang sangat sederhana.
Ahli panel mengambil keputusan kategori ini TIADA PEMENANG.
BUKU BERGAMBAR KANAK-KANAK
Buku bergambar menyatakan mesej menerusi dua media, iaitu seni ilustrasi dan seni penulisan. Ilustrasi dan teks bertindak untuk menjelaskan penceritaan.
Tiga buah buku yang telah disenarai pendek ialah:
Sebanyak tiga karya yang disenarai pendek, dan penilai telah bersepakat memilih Hendak ke Mana Gagak? karya Azalan Hussain sebagai pemenang kategori Buku Bergambar Kanak-kanak.
ULASAN PENILAIAN PEMENANG BUKU BERGAMBAR KANAK-KANAK HENDAK KE MANA GAGAK? KARYA AZALAN HUSSAIN
Hendak Ke Mana Gagak? karya Azalan Hussain merupakan sebuah buku bergambar yang disesuaikan untuk kanak-kanak tahap umur 5 tahun hingga 6 tahun. Buku ini sesuai untuk kategori kanak-kanak yang baru belajar membaca sebelum ke peringkat membaca sepenuhnya. Ayat mudah dan ringkas diiringi ilustrasi menerangkan perkara yang tidak dapat digambarkan menerusi teks. Peranan teks untuk menyatakan bunyi suara gagak seperti “AK! AK! AK!” dan najis gagak jatuh “PRET! PRET! PRET!”. Pemilihan bunyi menjadi kekuatan buku ini boleh dijadikan aktiviti semasa dibacakan atau selepas membaca. Kanak-kanak sememangnya gemar aktiviti membaca kuat dengan penglibatan semasa membaca.
Selain itu, buku ini boleh dilakonkan semula oleh kanak-kanak kerana kekuatan buku ini pada urutan ilustrasi yang memberi penerangan plot cerita yang berkesan. Buku ini menepati ciri buku kanak-kanak, watak harus cerita binatang, watak manusia tidak diminati. Buku ini sesuai untuk kanak-kanak ikuti, sangat menarik serta dekat dengan jiwa kanak-kanak, selain dapat membawa kanak-kanak berfikir, kesudahan boleh merangsang pemikiran kanak-kanak.
Isu alam sekitar diperkenalkan kepada kanak-kanak secara mudah untuk difahami. Kediaman gagak di hutan telah diceroboh oleh pembangunan dengan menebang pokok buah-buahan makanan gagak. Gagak terpaksa berhijrah ke bandar. Gagak dan anak-anaknya mencari makanan di tempat pembuangan sampah. Di bandar gagak dianggap haiwan pengotor dan mengotorkan tempat kerana membuang najis di merata tempat. Gagak dihalau. Gagak tidak tahu ke mana hendak pergi. Pembaca diajak berfikir dan menghayati perasaan burung gagak yang terpaksa berpindah randah kerana tiada tempat/sesiapa yang menginginkan kehadiran mereka Ianya mampu menarik perhatian pembaca untuk memikirkan perasaan gagak yang dihalau ke sana sini. Penghayatan nilai toleransi dapat diwujudkan melalui kisah ini.
Elemen seni yang sangat baik dan perlu diketengahkan dalam kalangan pembaca di Malaysia. Kekuatan buku ini ilustrasinya memaparkan refleksi aksi cerita pada setiap halaman. Ilustrasi menggerakkan plot cerita. Permainan warna yang berkesan memberikan gambaran suasana. Contohnya suasana penebangan hutan, suasana di pinggir bandar dan suasana gagak berehat di talian eletrik.
Kekuatan buku ini menampilkan perwatakan yang dilihat pada ilustrasi berbanding teks. Pemilihan watak gagak sangat sesuai kerana lebih dekat dengan kanak-kanak berjaya memberi refleksi kelakuan manusia. Walaupun dilihat seperti bertentangan tetapi watak gagak berkesan untuk pembaca melihat dirinya dan membolehkan kanak-kanak memberi pertimbangan mesej dengan cara yang lebih objektif, iaitu isu alam sekitar.
Diselitkan juga unsur konsep membilang bermula dari kulit depan buku hingga ke akhir cerita. Sekirannya buku ini dibacakan oleh orang dewasa, aktiviti meneka ke mana gagak pergi selepas dihalau dan aktiviti membilang sangat menarik selain menerapkan isu alam sekitar.
Format buku ini sangat baik. Teks tidak banyak sebaliknya ilustrasi memainkan peranan untuk menghidupkan plot cerita. Perkara yang tidak dapat dijelaskan teks digambarkan menerusi ilustrasi. Teks dilihat sebagai sebahagian ilustrasi, “PRET! PRET! PRET!” (hlm.10-11).
Teknik ilustrasi memperlihatkan aliran ekpresionisme secara tidak langsung memberi pendedahan kelainan daripada kebiasaan. Hal ini dapat dilihat menerusi penggunaan warna minyak yang mengejutkan, anggota watak yang tidak seimbang (watak gagak dan budak) dengan palitan berus yang kasar merupakan ekspresi illustrator sendiri bukan penghasilan yang dia lihat.
Hendak Ke Mana Gagak? mempunyai kekuatan dari aspek format, penceritaan, ilustrasi, konsep pendidikan, dan nilai moral. Pada keseluruhannya, penghasilan buku ini mempunyai kelainan ilustrasi daripada buku cerita bergambar yang biasa.
KESIMPULAN
Pemenang HSPM kali ini menunjukkan kualiti terbaik dalam kandungan karya yang tersenarai. Panel memperakui bahawa karya pemenang kali ini memperlihatkan muatan pemikiran yang kukuh dan kualiti yang tinggi dalam pengaplikasian sarana sastera. Dengan demikian, karya-karya pemenang kali ini dapat menjadi petanda yang meyakinkan dalam perkembangan pemikiran mutakhir Sastera Malaysia.
PANEL PENILAI
Profesor Madya Dr. Nik Rafidah Nik Muhammad
Profesor Madya Dr. Bahbibi Rahmatullah
Profesor Madya Dr. Bustam Kamri
Baca Laporan Berkaitan |
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Utama)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Novel)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Cerpen)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Cerpen Remaja Eceran)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Puisi)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Drama)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Buku Kajian Sastera, Kumpulan Esei/Kritikan Sastera, Buku Biografi/Autobiografi dan Esei/Kritikan Sastera Eceran)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Kesusasteraan Remaja)
_________________________
Laporan ini disediakan oleh sekretariat Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 di bawah penyelenggaraan Bahagian Promosi dan Pengiktirafan Dewan Bahasa dan Pustaka.