Oleh Fadli al-Akiti
19 Disember 2022, 12:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

PENDAHULUAN

Sekretariat Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) menerima banyak karya dalam kedua-dua bentuk; kumpulan puisi dan eceran, sepanjang tahun penilaian 2019/2020. Kumpulan puisi diterbitkan oleh beberapa penerbit, manakala puisi eceran pula tersiar dalam majalah, akhbar dan tidak terkecuali yang terkumpul dalam antologi (yang turut diperakui sekretariat sebagai tergolong dalam kategori eceran).

KRITERIA PENILAIAN

Penilaian bagi karya meliputi:

Penilaian Umum
a)    Kekuatan kesatuan organik karya.
b)    Kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan secara matang.
c)    Keseimbangan estetik bahasa dengan persoalan kemanusiaan.
d)    Aspek moral dan pemikiran yang diketengahkan.
e)    Inovasi dan kreativiti.
 Penilaian Puisi
a) Hasil dan kesan daripada renungan dan penghayatan yang mendalam, serta sebuah hasil kesenian yang harmonis.
b) Puisi yang menimbulkan kepekaan terhadap sensitiviti, persepsi, inovasi dan daya imaginasi, penghayatan dan daya sublimasi.

KUMPULAN PUISI

Sekretariat menerima sebanyak 49 buah kumpulan puisi yang diterbitkan sepanjang tahun 2019/2020. Setelah disaring, tujuh buah kumpulan puisi dibincangkan pada peringkat akhir. Buku tersebut ialah:

  1. Fajar Lingkung Lembayung – Zaen Kasturi
  2. Hari Terakhir di Tubuhmu – Syafiq Ghazali
  3. Momen – Qurratul ‘Ain
  4. Noir Kota – Ariff Mustaffa Hamzah
  5. Peneka Silang Kata – Alias Taib
  6. Sebuah Lembah Kunamakan Tanah Air – Muhammad Haji Salleh
  7. Sepasang Nila di Bahu – Syaheeda Hamdani

Buku Peneka Silang Kata memuatkan sajak-sajak T. Alias Taib yang telah dikenali gaya dan corak isinya. Kekuatannya telah diketahui, iaitu dengan stail dan kandungan yang telah terbina dalam dirinya sebagai penyair.

Sebuah Lembah Kunamakan Tanah Air ialah kumpulan sajak karya Muhammad Haji Salleh, yang dihasilkan dengan gaya yang enggan bertoleransi dengan gaya puisi sezaman. Muhammad Haji Salleh menolak aturan kata-kata yang  membina kemerduan secara yang sedia ada. Dengan kata lain, Muhammad ialah penyair pemikir yang bersikap anti bunga bahasa yang dianggap klise. Sandaran keindahannya  adalah tersendiri. Penyair ini memperoleh gelaran penyair intelektual kerana sikapnya  yang mengutamakan idea atau pemikiran, dan meletakkan emosi di belakangnya.

Zaen Kasturi menghasilkan buku Fajar Lingkung Lembayung yang menuntut pembaca mengulangi pembacaan bagi mendapatkan makna perenungannya terhadap diri dan perkelilingan. Imej-imej yang mengancam seperti serigala, belati, ular dan lain-lain, berselang seli dengan imej-imej yang menyenangkan seperti bunga, awan, burung dan seumpamanya.

Noir Kota merupakan satu kritikan sosiopolitik, sosioekonomi dan sosiobudaya yang sangat tajam dalam pergelutan masyarakat masa kini, sama ada pada peringkat individu mahupun kenegaraan. Sebuah Lembah Kunamakan Tanah Air merupakan satu himpunan hikmah (wisdom) yang indah, tentang bagaimana manusia harus menanggapi kehidupan, mencintai lingkungan (alam dan pertiwi), serta bagaimana berfungsi secara efektif dalam masyarakat. Fajar Lingkung Lembayung pula satu kembara peribadi, yang melontarkan banyak refleksi diri dalam mendepani pergelutan-pergelutan hidup.

Setelah dibincangkan dengan penuh teliti dan saksama, panel penilai memutuskan kumpulan puisi Sebuah Lembah Kunamakan Tanah Air oleh Muhammad Haji Salleh, terbitan UUM Press, 2019 sebagai pemenang kategori kumpulan puisi.

ULASAN PENILAIAN PEMENANG BUKU KUMPULAN PUISI SEBUAH LEMBAH KUNAMAKAN TANAH AIR OLEH MUHAMMAD HAJI SALLEH

Sebuah Lembah Kunamakan Tanah Air merupakan satu himpunan hikmah (wisdom) yang indah, tentang bagaimana manusia harus menanggapi kehidupan, mencintai lingkungan (alam dan pertiwi), serta bagaimana manusia berfungsi secara harmoni dalam masyarakat.

Ciri kesatuan idea buku ini sebagai satu kumpulan puisi yang organik – terpancar pada naratif keseluruhan yang diolah dengan perlambangan alam sekeliling. Hal ini memberikan pembaca satu dinamika pembacaan yang berkesinambungan, sekali gus meninggalkan kesan sentuhan emosi yang mendalam.

Dari segi gaya penyampaian mesej, Sebuah Lembah Kunamakan Tanah Air menampilkan pengucapan paling kuat dengan pemilihan kata-kata basahan yang sederhana dan unsur-unsur metafora yang ringan, tetapi amat segar. Kesegaran yang luar biasa ini bersebabkan Sebuah Lembah Kunamakan Tanah Air ditulis dengan gaya yang berpijak pada kaedah yang klasik dan matang. Ungkapan sajak-sajak dalam buku ini mudah, namun nilai simboliknya berupaya membawa makna yang berat, malah memuatkan falsafah. Sajak-sajak dalam buku ini membuktikan bahawa gaya yang lurus, iaitu tidak bersimpang siur, dapat menyampaikan isi yang sarat dengan pemikiran.

Ternyata penyair melangsungkan gaya yang diyakininya. Dia meletakkan pemikiran di hadapan perasaan. Oleh itu gambaran rasa dan idea berdiri kukuh dan pembaca merasakan keaslian pengucapan. Sajak “Aku Merenung Si Aku” misalnya, menyatakan hakikat bahawa dalam masyarakat, iaitu orang kini kian kurang membaca. Rangkap akhir sajak ini tidak melebih-lebihkan rasa kesal walaupun terdapat frasa hiperbolistik “dalam seribu tahun”.

                        tapi kau harus menulis jawabnya
                        kerana dalam seribu tahun mungkin
                        nanti akan ada seorang pembaca
                        yang akan mengutip maknanya!

(Sebuah Lembah Kunamakan Tanah Air, hlm. 4)

Dari sisi lain, gaya pengucapan buku ini amat mesra pembaca, dan pemikirannya sangat manis untuk dihadam. Sebuah Lembah Kunamakan Tanah Air sememangnya sebuah buku himpunan puisi bermutu tinggi, yang boleh dinikmati oleh khalayak, baik yang berpendikan tinggi ataupun sederhana.

PUISI ECERAN

Sekretariat menerima sejumlah 2 822 buah karya sepanjang tahun penilaian HSPM 2019/2020. Daripada jumlah tersebut, Panel Saringan memutuskan mencalonkan sejumlah 30 buah karya untuk dinilai pada peringkat akhir. Daripada jumlah ini, panel memutuskan sebanyak 10 buah puisi yang berikut diangkat sebagai pemenang:

  1. “Satu Lompatan”, Raihani Mohd. Saaid.
  2. “Sewaktu Hujan Melebat”, Mohamad Saleeh Rahamad
  3. “Kubiarkan Engkau Mutanabi Membawaku ke Dasarmu”, Malim Ghozali PK
  4. “Kuarantin” Fahd Razy
  5. “Akibat Orang Berdosa”, Zulaikha Adam
  6. “Rumah Pertama”, Qurratul ‘Ain
  7. “Merindui Buku”, A. Samad Said
  8. “Angin yang Meletakkan Kepalanya di Bantal”, Jasni Matlani
  9. “Tubuh Kota”, Syaheeda Hamdani
  10. “Kemarau”, ZO Daulae

ULASAN PENILAIAN PEMENANG PUISI ECERAN

  1. “Satu Lompatan” karya Siti Raihani Mohamed Saaid

Sajak ini mengungkapkan pergerakan usia dalam kehidupan. Memikirkan perjalanan usia penyair mengatakan hidup ini karya yang indah. Namun, penyair kemudiannya menyedarkan pembaca bahawa masa awal tetap menjadi kenangan, tidak akan ditemui lagi. Manusia mungkin bahagia dan mungkin sebaliknya, berbalik pada sikap, cara berfikir dan tindakan yang dilakukan.

  1. “Sewaktu Hujan Melebat” karya Mohamad Saleeh Rahamad

Penyair menyampaikan perasaan yang terpendam, dan ditahankan agar tidak meletus pada ketika yang salah. Dalam diri manusia, dalam keadaan tertentu, pasti akan ada nada rasa yang negatif akibat daripada satu-satu pengalaman.  Gaya sajak ini membawa atau menghasilkan kesan emotif yang tinggi.

  1. “Kubiarkan Engkau Mutanabi Membawaku ke Dasarmu” karya Malim Ghozali PK

Ini ialah sajak falsafah yang disampaikan secara alusi. Judulnya memasukkan nama Mutanabi, iaitu penyair Arab yang terkemuka pada zaman silam.  Penyair menyuarakan hasrat mahu turut merasi suka dan duka yang dirasi penyair tersebut.

  1. “Kuarantin” karya Fahd Razy

“Kuarantin” ialah sajak yang mengisahkan kehidupan dalam zaman rakyat berkurung akibat pandemik.  Secara umumnya, manusia tidak menikmati kebebasan, namun penyair dengan gaya sinis menyuarakan ketidakadilan.  Ini terlihat pada dua rangkap akhir, iaitu tentang “orang-orang kenyang” dan “orang-orang lapar”.

  1. “Akibat Orang Berdosa” karya Zulaikha Adam

Sajak ringkas ini memuatkan kiasan yang tajam tentang manusia yang sering membuat dosa. Penyampaiannya kemas dan padat. Apa-apa yang dibuat oleh pengamal dosa membawa kesan yang negatif. Oleh sebab terlalu banyak melakukan kejahatan, akhirnya kejahatan itu melekat pada dirinya.

  1. “Rumah Pertama” karya Qurratul ‘Ain

Sajak yang menyatakan cinta kepada setiap yang memberikan peluang kehidupan dan pencapaian dalam kehidupan.  Dengan gaya yang berseni, penyair menyenaraikan negara, ibu dan bidang puisi, ketiga-tiganya dilihat sebagai “rumah pertama” yang hadir dalam hidupnya.

  1. “Merindui Buku” karya A. Samad Said

Dilihat secara fizikal, kita dapati sajak ini mengikuti lenggok tradisi, iaitu terbina daripada empat baris serangkap, dan rima dijagai.  Namun, kandungannya tebal dengan mesej dan nasihat yang memberikan faedah kepada pembaca.  Seperti yang ketara pada judulnya, sajak ini bertujuan menyemai rasa cinta kepada buku kerana buku yang baik ialah alat untuk membina sahsiah dan mempertingkatkan pemikiran.

  1. “Angin yang Meletakkan Kepalanya di Bantal” karya Jasni Matlani

Sajak ini bergaya absurd, berkisah tentang angin yang sudah insaf, tidak lagi menyukai kegiatan sebagai ribut dan taufan. Gaya ini berkesan, kerana pembaca dapat menikmati perlakuan angin sebagai satu watak. Tajuknya sahaja telah menimbulkan tanda tanya tentang diri angin.  Ingin tidur dan tidak membuat huru hara lagi. Sajak ini membawa tema keinsafan.

  1. “Tubuh Kota (6)” karya Syaheeda Hamdani

Sajak ini membawa tema kemurungan (depresi).  Tema ini merupakan tema yang berlegar masa kini, iaitu terdapat dalam korpus sosial semasa. Penyair mengaplikasi kaedah berbahasa yang tebal dengan unsur semiotik. Oleh sebab terlalu murung, manusia keliru tentang angka satu atau dua.

  1. “Kemarau” karya ZO Daulae

Sajak ini secara mudah dan generik mengemukakan permasalahan dalam kehidupan.  Kemarau dapat ditanggapi sebagai keadaan yang benar-benar terjadi, dan boleh juga ditanggapi sebagai keadaan dalam jiwa seseorang, atau dalam kehidupan masyarakat.  Hal ini demikian kerana sajak ini tebal dengan elemen semiotik.

KESIMPULAN

Pemenang HSPM ini menunjukkan kualiti terbaik dalam kandungan karya yang tersenarai. Panel memperakui bahawa karya pemenang kali ini memperlihatkan muatan pemikiran yang kukuh, dan kualiti yang tinggi dalam pengaplikasian sarana sastera. Dengan demikian, karya-karya pemenang kali ini dapat menjadi petanda yang menyakinkan dalam perkembangan pemikiran mutakhir Sastera Malaysia.

PANEL PENILAI
SN Dato’ Rahman Shaari
Prof. Madya Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul

Baca Laporan Berkaitan |
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Utama)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Novel)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Cerpen)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Cerpen Remaja Eceran)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Drama)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Buku Kajian Sastera, Kumpulan Esei/Kritikan Sastera, Buku Biografi/Autobiografi dan Esei/Kritikan Sastera Eceran)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Kesusasteraan Kanak-kanak)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Kesusasteraan Remaja)

_________________________

Laporan ini disediakan oleh sekretariat Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 di bawah penyelenggaraan Bahagian Promosi dan Pengiktirafan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.