Oleh Avatar photo Fadli al-Akiti
19 Disember 2022, 09:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

PENDAHULUAN

Panel penilai peringkat akhir Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) Kategori Novel Dewasa telah menerima 11 buah novel untuk penelitian, dan penilaian. Novel-novel tersebut ialah:

  1. Merahnya Luka (2020) karya Rohani Deraman
  2. Jejak Hilang yang Pulang (2020) karya Abang Median Abang Said
  3. Gunung Cha (2020) karya Malim Ghozali PK
  4. Jangan Menangis, Teja (2020) karya Rahimah Muda
  5. Kenangan Melankolik Perempuan Pendamping Waktu (2020) karya Ruhaini Matdarin
  6. Gelemat (2020) karya Tiras Raduan
  7. Tetamu Tuhan 50 Hari (2019) karya Hilal Asyraf
  8. Tuan Rumah (2020) karya Radzemah Bolhassan
  9. Yang Mendekat dan Menjauh (2020) karya Ruhaini Matdarin
  10. Komuniti Al-Jabbar (2020) karya Mohd Khairy Haji Halimi
  11. Kirana (2020) karya Salina Ibrahim.

 KRITERIA PENILAIAN

Kami telah melakukan pembacaan dan penilaian berdasarkan tiga kriteria yang telah ditentukan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku penganjur, iaitu:

  1. Keberhasilan aspek penampilan watak positif dan bersifat dinamik dalam lingkungan masyarakat majmuk.
  2. Setiap persoalan dan penampilan watak dalam novel perlu disertai dengan pemikiran etika dan visi hidup yang positif.
  3. Memaparkan kemampuan pengarang menggunakan teknik penulisan aliran baharu bagi menyerlahkan tema dan persoalan yang dikemukakan.

Berdasarkan tiga kriteria tersebut kami menilai novel-novel yang telah disaring oleh panel penilai peringkat saringan. Antara kelemahan yang dapat dikesan termasuklah fakta sejarah yang mengelirukan dalam novel Jangan Menangis Teja, pilihan diksi yang tidak menepati semangat zaman dalam Yang Mendekat dan Menjauh. Bahasa terkini untuk novel berlatar belakangkan zaman awal abad ke-20. Konsep novel satira yang tidak tepat dalam novel Komuniti Al-Jabar, persoalan serius yang diremajakan dalam novel Kirana, pemikiran simbolik dalam naratif yang biasa dalam novel Tuan Rumah. Terdapat pemaparan persoalan serius namun akhirnya pengarang kehilangan hala tuju dalam novel Gelemat dan Kenangan Melankolik Perempuan Pendamping Waktu. Dua buah novel dalam bentuk konvensional, iaitu Merahnya Luka dan Tetamu Tuhan 50 Hari. Selain terdapat plot yang tidak sesuai sebagai bacaan umum lantaran perilaku isteri curang yang jatuh cinta terhadap lelaki asing sehingga melahirkan anak haram dalam novel Jejak Hilang yang Pulang.

ULASAN PENILAIAN NOVEL PEMENANG

Berdasarkan tiga kriteria yang menjadi dasar dalam penilaian, kami mencadangkan novel Gunung Cha karya Malim Ghozali Pk sebagai layak untuk diperakukan sebagai penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 Kategori Novel Dewasa.

Novel ini memerihalkan tiga elemen utama yang mendasari kehidupan manusia, iaitu hubungan manusia dengan Yang Maha Pencipta (habl min Allah), hubungan manusia dengan manusia (habl min al-Nas) dan hubungan manusia dengan alam (habl min al-alam). Fokus utama novel ini ialah pencarian diri dalam memahami makna rohani dan jasmani seterusnya mengajak pembaca membongkar lapisan-lapisan yang sarat “rahsia” untuk berfikir dan bermuhasabah. Pencarian batiniah diberikan gambaran menerusi “Gunung Cha” yang mengundang pelbagai persoalan pada awal bab demi bab, namun diberikan jalan penyelesaian pada akhir pembacaan. Novel ini sarat dengan nilai falsafah yang membuka ruang untuk pembaca meneroka makna kehidupan secara tersurat dan tersirat. “Gunung Cha” yang dijadikan judul novel ini turut merungkai lorong pencarian manusia bukan sahaja dalam mencari diri, bahkan mencari agama yang hakiki. Gunung Cha merupakan simbol keagungan Tuhan Ya Quddus Yang Maha Suci Ya Khaliq Yang Maha Pencipta Ya Aliyy Yang Maha Tinggi atas segala kejadian di muka bumi ini. Pembaca disaran merenung setiap konflik yang dihidangkan dalam plot untuk merungkai siri permasalahan dalam bab demi bab. Ternyata walaupun lokasi Gunung Cha tidak wujud, namun pembaca diheret untuk memahami “Cha” daripada perspektif hubungan manusia dengan Yang Maha Pencipta, hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan alam dalam lingkaran yang utuh.

Pemaparan tentang ranah hutan yang kaya dengan flora dan fauna dibangunkan pengarang dalam novel ini selain menyelami selok-belok dunia pelukis dan penyair yang menghargai khazanah alam. Novel ini mengemukakan watak Muhammad atau dimesrai dengan panggilan Mad merupakan anak kelahiran Perak yang berpeluang menyambung pengajian di London, namun tetap teguh dengan keperibadiannya sebagai anak Melayu yang sangat cintakan asal usul ranah kelahiran. Walaupun merantau dan menetap di Eropah, malahan berkenalan dengan Cha, dan akhirnya mereka bernikah, Muhammad memiliki kewibawaan unggul sebagai anak Malaysia yang tidak sesekali melupakan tanah air. Malahan Muhammad berusaha memberikan keyakinan kepada isterinya, Cha warga Perancis bahawa nusantara kaya dengan seni dan keindahan alam yang akhirnya wanita itu turut mencintai leluhur warisan ketamadunan Melayu.

Cha ditampilkan sebagai seorang wanita Eropah yang telah meneroka dan menyelengkor seterusnya mencintai warisan alam Melayu sama ada dari segi bahasa dan budaya, malahan alam flora dan fauna. Novel ini menyuguhkan lapisan makna dalam kehidupan dengan menjadikan alam sebagai simbol dan falsafah yang mempertautkan manusia kepada penciptaan yang hakiki. Penaklukan terhadap sumber alam yang terdiri daripada gunung-ganang, sungai, tasik, hutan, burung, unggas dan mergastua diadun dalam sebuah novel yang dapat menyuntik semangat pembaca untuk mengetahui tentang selok-belok dunia rimba. Novel ini mempertalikan keindahan sumber alam yang terdapat di tanah air, selain yang terdapat di Eropah. Banjaran Titiwangsa, Gunung Korbu, Gunung Tebu, kayu cengal, maranti, ramin, kembang semangkuk merupakan antara sumber alam yang terdapat di tanah air, manakala di Perancis diutarakan tentang pohon noyer, bouleau, chene, pommes au curry dan Sungai Seinne yang mengujakan dan daya ingin tahu pembaca. Keunikan alam dan warisan Melayu disejajarkan dengan keistimewaan latar budaya Perancis menjadikan novel ini dapat membangunkan pengetahuan pembaca tentang lingkaran persamaan dan perbezaan kemanusiaan dan kemasyarakatan sejagat.

Nilai persahabatan, dan keikhlasan diketengahkan pengarang dalam novel ini menerusi watak Muhammad dengan Ramdin, yang mempunyai minat yang sama, iaitu kembara ke dalam hutan, dan mencintai alam rimba. Konflik terjalin apabila Ramdin meninggal dunia ketika kedua-duanya berada dalam hutan, dan Muhammad terpaksa memenuhi wasiat sahabatnya itu supaya menikahi isterinya, Rusida yang sedang mengandung anak sulung. Nilai kasih-sayang dan pengorbanan digalur pengarang berdasarkan keupayaan Muhammad menjaga anak Rusida dan Ramdin, iaitu Rusdin setelah kematian Rusida. Muhammad dipotretkan sebagai seorang lelaki yang cekal berhadapan dengan risiko setelah mengahwini Rusida lantaran berlaku konflik antara dirinya dengan Cha. Pada peringkat awal, Cha turut bersimpati terhadap Rusida dan telah menghulurkan bantuan wang ringgit, namun setelah Cha mengetahui Muhammad menikahi Rusida, wanita itu merajuk dan memutuskan semua alat perhubungan dengan suaminya itu. Telefon, dan surat tidak dibalasnya yang menyebabkan Muhammad sangat tertekan dengan tindakan Cha yang mempunyai minat yang sama dalam dunia lukisan dan seni sastera. Namun, novel ini berakhir dengan satu penyelesaian yang membugar semangat pembaca bahawa keperibadian mulia Cha sebagai seorang isteri yang berusaha merungkai dendam terhadap suaminya setelah 17 tahun terpisah. Anak mereka, Nuraini dijadikan penyambung silaturrahim dalam mengikat harga seraut kasih-sayang. Nuraini diberikan pendidikan agama dan pengetahuan tentang budaya Melayu sebagai legasi anak muda yang bukan sahaja pintar dalam pembelajaran bahkan bijaksana dalam menguruskan emosi dan kematangan.

Selain itu, watak Cikgu Halimah sebagai guru melukis Muhammad juga ditampilkan sebagai seorang wanita yang memiliki sahsiah terpuji lantaran sanggup mengorbankan rasa cintanya terhadap lelaki demi kasihnya pada kedua-dua ibu bapanya yang lanjut usia. Cikgu Halimah menolak lamaran Syed Khairul secara baik kerana memberikan keutamaan terhadap kedua-dua ibu bapanya yang telah uzur dan memerlukan perhatian. Ternyata pengorbanan Cikgu Halimah yang di hujung usianya meninggal dunia di tanah Suci Makkah sewaktu menunaikan ibadah umrah memperlihatkan kesempurnaan sebagai seorang Muslimah yang memperhamba diri pada ibu bapa, dan patuh pada agama yang boleh dijadikan suri tauladan kepada pembaca. Pengorbanan Cikgu Halimah tidak sia-sia lantaran Syed Khairul walaupun tidak dapat mengahwini wanita idaman, pun tetap melaburkan wang untuk mendirikan galeri seni lukis sebagai momen yang bermakna setelah wanita itu pulang bertemu Tuhan. Penubuhan galeri seni lukis merupakan pengabadian cinta yang tidak kesampaian antara mereka, namun Syed Khairul sangat memahami minat dan perjuangan Cikgu Halimah dalam bidang seni lukis dan berusaha membangunkannya demi kemakmuran masyarakat.

Novel ini turut merakamkan beberapa terjemahan ayat al-Quran yang bersesuaian dengan plot seperti Surah al-Mukminun Ayat 12, 13 dan 14 tentang kewujudan manusia, Surah al-Baqarah Ayat 224 tentang penyusuan bayi, dan Surah al-Isra Ayat 44 tentang penciptaan langit dan bumi jelas memperlihatkan hubungan manusia dengan Allah Ya Mutakabbir Yang Maha Agung Ya Aziz Yang Maha Perkasa Ya Kabir Yang Maha Besar mentadbir urus alam ini. Latar tempat yang diutarakan, iaitu Perak (Malaysia) dan Avignon (Perancis) turut membuktikan bahawa dunia ini sarat dengan persamaan dan perbezaan budaya yang perlu diteroka dan dicari gali demi kemaslahatan sejagat. Berdasarkan anyaman bahasa dan gaya bahasa yang sederhana namun segar, selain terungkap unsur kecindan menerusi dialek Utara dan bahasa Perancis, novel ini berupaya membekalkan pembaca dengan kelainan dan keistimewaan yang tersendiri. Lantaran disediakan glosari pada bahagian akhir bab turut menyerlahkan penghayatan ilmu dalam memahami sesuatu perkara amat dituntut dalam sebuah kehidupan.

Oleh itu, berdasarkan tiga elemen utama, iaitu habl min Allah, habl min al-Nas dan habl al-alam jelas menunjukkan bahawa novel ini berada di persada tinggi yang mengajak pembaca bermuhasabah tentang sebuah kehidupan, dan tuntutan perjalanan sebagai hamba Tuhan di muka bumi. Garapan yang memuatkan unsur imbas kembali, selain petikan novel Merantau Ke Deli karya Hamka dan lakaran sajak yang bersesuaian dengan jalan cerita turut menjadikan novel ini ramuan yang dapat menjentik daya taakulan pembaca untuk berterusan berfikir bagi memperoleh sekarung iktibar. Jadi, secara keseluruhannya dapatlah dikatakan bahawa Gunung Cha merupakan novel yang menyuguh pembaca untuk membongkar makna sebuah falsafah, dan simbol dalam tradisi silam dan masa kini. Walaupun dunia diamuk gelombang modenisasi dan teknologi, namun sosok keperibadian dalam pembikinan watak dan perwatakan dalam novel ini menjadi tunjang pengkisahan yang dapat mengasuh nurani. Hubungan nusantara dan Eropah digembleng dengan jalinan berhemah yang menunjukkan jati diri bangsa dan kerukunan nusa diikat secara berhikmah demi kelestarian keunggulan generasi mendatang.

PANEL PENILAI

Profesor Dr. Abdul Halim Ali
Profesor Madya Dr. Kamariah Kamarudin
Tuan Haji Hamzah Hamdani

Baca Laporan Berkaitan |
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Utama)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Cerpen)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Cerpen Remaja Eceran)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Puisi)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Drama)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Buku Kajian Sastera, Kumpulan Esei/Kritikan Sastera, Buku Biografi/Autobiografi dan Esei/Kritikan Sastera Eceran)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Kesusasteraan Kanak-kanak)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Kesusasteraan Remaja)

_________________________

Laporan ini disediakan oleh sekretariat Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 di bawah penyelenggaraan Bahagian Promosi dan Pengiktirafan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.