Oleh Fadli al-Akiti
19 Disember 2022, 10:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

PENDAHULUAN

Pada tahun penilaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2019/2020, panel menerima sejumlah enam kumpulan cerpen dan 15 buah cerpen eceran untuk dinilai pada peringkat akhir. Penilaian berdasarkan kriteria ujaran subjek atau pemikiran, strategi naratif termasuk keberkesanan teknik, kekemasan binaan bentuknya, langgam gaya bahasa yang bersesuaian dengan bentuk naratif, kehalusan nilai, dan penelitian terhadap kesepaduan kesemua aspek tersebut untuk saling mengukuh kekuatan sesebuah karya cerpen. Cerpen-cerpen yang dinilai mengungkapkan subjek yang berkaitan dengan isu kelestarian bahasa sebagai identiti sesebuah negara, kemanusiaan sejagat, keprihatinan ummah sejagat, kelangsungan bangsa dan ketamadunannya, gejala kuasa dan kekuasaan serta kesannya terhadap permasalahan sosioekonomi dan sosiobudaya.

 KRITERIA PENILAIAN

Laporan Panel Penilai HSPM 2019/2020 membuat pemilihan cerpen mengikut beberapa kriteria yang meliputi pemikiran, kreativiti, gaya bahasa dan keseimbangan antara ketiga-tiga kriteria itu. Panel mengambil kira kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan sama ada persoalan yang bersifat semasa ataupun mengangkat sejarah atau persoalan lampau tentang masyarakat tempatan mahupun antarabangsa. Karya mampu mengerakkan pemikiran dan menyentuh emosi pembaca dalam masa yang sama mementingkan moral dan etika yang tinggi. Dalam konteks bahasa karya-karya haruslah memperlihatkan bahasa yang indah, kreatif, imaginatif, berkesan; kuat menunjang tema; bukan sahaja membawa makna cerita, bahkan bahasa itu sendiri merupakan idea, pemikiran dan ideologi. Seterusnya karya harus mempunyai kekuatan kesatuan organik dalam kepengarangannya.

 ULASAN KESELURUHAN

Panel penilai menerima enam naskhah buku kumpulan cerpen yang telah disenaraipendekkan seperti di bawah:

  1. Ruhaini Matdarin, 2020. Cerita Orang-orang Sunyi. Kuala Lumpur: Nusa Centre.
  2. Hafizah Iszahanid,2020. Mulieres. Kuala Lumpur: Nusa Centre.
  3. Malim Ghozali, 2020. Cerita Sarah Leong. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  4. Jasni Matlani, 2020. Perempuan Aneh yang Meletupkan Diri di dalam Gelas. Kota Kinabalu: Iris Publishing & Distributor.
  5. Saifullizan Yahaya, 2020. Memberikan Telinga. Kuala lumpur: Studio Anai-anai.
  6. Zainal Rashid Ahmad, 2019. Sekuntum Bunga Neraka. Kuala Lumpur: Roman Buku.

PEMENANG KATEGORI KUMPULAN CERPEN

Perempuan Aneh yang Meletupkan Diri di dalam Gelas – Jasni Matlani

KUMPULAN CERPEN PEREMPUAN ANEH YANG MELETUPKAN DIRI DI DALAM GELAS

Panel menggunakan kriteria umum dan kriteria khusus bagi membuat pemilihan. Panel Penilai mencapai keputusan bahawa kumpulan cerpen Perempuan Aneh yang Meletupkan Diri di dalam Gelas, karya Jasni Matlani diberikan hadiah bagi kategori Kumpulan Cerpen, Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020.

Kumpulan cerpen Perempuan Aneh yang Meletupkan Diri di dalam Gelas mengandungi 22 buah cerpen yang bersifat bukan konvensional, diwarnai aliran pascamoden dan realisme magis, aliran yang sejak mutakhir ini begitu popular dalam kalangan para cerpenis Malaysia. Kelainan Jasni Matlani menggarap cerpen-cerpen realisme magisnya menyebabkan karya-karyanya jauh ke hadapan karya-karya lain yang juga mempunyai kekuatan mereka yang tersendiri. Karya-karya Jasni menimbulkan juga isu-isu besar yang dihadapi ummah masa kini.

ULASAN PENILAIAN PEMENANG BUKU KUMPULAN CERPEN

  1. “Penulis yang Menunggang Kuda Perkasa dan Terbang ke Langit”

Cerpen ini mengusulkan bahawa perbezaan pendapat itu perlu diraikan dan punca kejatuhan sesuatu bangsa atau peradaban itu adalah kerana faham kejumudan yang terlalu keterlaluan. Penulis mempunyai peranan yang besar untuk memimpin kelompoknya ke masa hadapan yang lebih mantap.

  1. “Perempuan Aneh yang Meletupkan Diri di dalam Gelas”

Cerpen ini diangkat sebagai tajuk buku kumpulan cerpen ini membawa cerita yang penuh misteri. Kisahnya bercampur baur tentang seorang wanita yang cantik jelita di sebuah hotel lima bintang di bulan Ramadan di mana orang ramai sibuk ingin berbuka puasa dengan kepelbagaian makanan tempatan. Sang protagonis juga menunggu teman sepengajian berbangsa Palestin yang berjanji menemuinya di hotel yang sama. Maka kita disuakan tentang pejuangan Palestin – mereka yang terbunuh dan mereka yang berjaya menyelamatkan diri tetapi bukan sebagai pengecut tetapi strategis pejuang yang akan kembali. Muhammad Abdul, Doktor Palestin dari Dubai yang singgah di Kuala Lumpur, teman sepengajian sang protagonist tidak juga muncul. Apabila berlaku pengeboman di hotel lima bintang kepunyaan Amerika, dianggap boneka Yahudi, maka protagonis melalui kata-kata seorang mangsa yang terselamat mengatakan wanita cantik bertudung biru meletupkan dirinya dengan lelaki Arab berjambang nipis. Muhammad Abdul.

Keperihatinan pengarang akan isu  keangkuhan Yahudi terus digarap di dalam cerpen “Sebatang Pohon, Narcissus dan Rumah Kaca di dalam Hutan”. Namun, cerpen ini mungkin juga bersifat satirikal kerana rumah kaca kebiasaannya akan memantulkan imej diri kita sendiri. Cerpen ini sebagai hasil refleksi diri, iaitu, sewaktu kita ingin menghukum kejahatan orang lain, kejahatan kita juga akan dilantunkan balik oleh imej dari rumah kaca ini. Dengan menamakan pemuda kacak di rumah kaca itu sebagai Narcissus, mungkinkah protagonis itu sendiri yang Narcissus? Dalam hasil karya pascamoden, dunia yang real dan imagined itu bersifat tiada batas.

  1. “Cerita Ayah Kami yang Tidak Dilaporkan Pihak Berkuasa”

Cerpen ini membawa satu lagi paparan satira politik tentang sikap hipokrasi pemimpin negara yang hanya berminat mengaut keuntungan untuk dirinya sendiri. Anehnya, tidak juga untuk kepentingan anak-anak. Kecuali untuk isterinya sahaja. Suara naratif adalah suara si anak yang menyatakan betapa malunya dia dan adik beradiknya akan sikap kedua ibu bapa mereka yang berpura-pura, tamak dan haloba. Sebagaimana sifat dan sikap seperti kaum peribumi yang telah diberi makan daging lembu beracun sehingga mereka semua menjadi seperti lembu, anak-anak pemimpin ini hanya dapat meratapi nasib malang mereka, tanpa berkemampuan berbuat apa-apa dan pasrah.

Cerpen-cerpen dalam kumpulan cerpen ini rentaknya lebih kurang sama, penyampaian yang menarik kerana kepelbagaian gaya garapan ceritanya dan subjeknya. Mesej yang berkesan, bahasa yang mudah dan teknik penulisan yang kontemporari menjadikan kumpulan cerpen ini sentiasa segar untuk dibaca dan mengundang penaakulan pembacaan.

KATEGORI CERPEN ECERAN

Berdasarkan penilaian awal, sebanyak 15 cerpen dinilai pada peringkat akhir. Panel menggunakan kriteria umum dan kriteria khusus bagi membuat pemilihan.

  1. “Perahu Tua Teras Bitanggor”, Malim Ghozali PK, Dewan Budaya, April 2019
  2. “Keno: Bayang-bayang di Sumur Diri”, Frankie Latit, Dewan Sastera, Februari 2019
  3. “Di Bawah Pohon Maple”, Amelia Hashim, Dewan Sastera, April 2019
  4. “Bintang yang Satu di Langit Dini”, Mawar Shafei, Berita Harian, 19 Jun 2019
  5. “Perempuan Bumi”, Nor Suhada Sayuti, Tamadun Islam, April 2020
  6. “Gadis Berkebaya Merah dengan Langau Van De Straat”, Rahimah Muda, Dewan Sastera, Mei 2020
  7. “Jiran Rumah Sebelah dan Tiga Ekor Anjing di Lorong 16”, Saifullizan Yahaya, Dewan Sastera, Mei 2020
  8. “Kutemu Khadijah pada Wajah Ibrahim”, Siti Nurzulaikha Adam, Berita Harian, 27 September 2020
  9. “Racau Kemacar”, Abang Median Abang Said, Utusan Borneo, 2 Mac 2020
  10. “Sebutir Batu Nilam dan Musim Padi Angin yang Panjang “, Zainal Rashid Ahmad, Mykepochi.com, 26 Julai 2020
  11. “Kraken”, S.M. Zakir”, Dewan Sastera, Oktober 2020
  12. “Tiga Cerita tentang Bahasa”, Lokman Hakim, Dewan Bahasa, Jun 2020
  13. “Lelaki dan Kitab Terakhir”, Husna Nazri, Pelita Bahasa, Januari 2020
  14. “Kasut”, Rebecca Ilham, Dewan Sastera, Februari 2020
  15. “Lelaki Sudah Mati yang Dikunjungi Ibunya”, Jasni Matlani, Dewan Sastera, Jun 2020

SENARAI PEMENANG KATEGORI CERPEN ECERAN

Setelah memperhalusi setiap cerpen tersebut berdasarkan kriteria yang ditetapkan, panel mencapai keputusan bahawa 10 cerpen berikut layak diberikan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020:

  1. “Perahu Tua Teras Bitanggor”, Malim Ghozali PK, Dewan Sastera, April 2019
  2. “Di Bawah Pohon Maple”, Amelia Hashim, Dewan Sastera, April 2019
  3. “Bintang yang Satu di Langit Dini”, Mawar Safei, Berita Harian, 19 Jun 2019
  4. “Gadis Berkebaya Merah dengan Langau Van De Straat”, Rahimah Muda, Dewan Sastera, Mei 2020
  5. “Jiran Rumah Sebelah dan Tiga Ekor Anjing di Lorong 16”, Saifullizan Yahaya, Dewan Sastera, Mei 2020
  6. “Racau Kemacar”, Abang Median Abang Said, Utusan Borneo, 2 Mac 2020
  7. “Sebutir Batu Nilam dan Musim Padi Angin yang Panjang “, Zainal Rashid Ahmad, Mykepochi.com, 26 Julai 2020
  8. “Kraken”, S.M. Zakir”, Dewan Sastera, Oktober 2020
  9. “Tiga Cerita tentang Bahasa”, Lokman Hakim, Dewan Bahasa, Jun 2020
  10. “Lelaki dan Kitab Terakhir”, Husna Nazri, Pelita Bahasa, Januari 2020

ULASAN PENILAIAN PEMENANG CERPEN ECERAN

  1. “Perahu Tua Teras Bitanggor” – Malim Ghozali PK

Cerpen ini mengungkapkan perihal pelestarian seni pembuatan perahu tebuk yang diancam kepupusan. Perahu ini dibuat daripada teras pokok Bintangor yang memiliki ketahanan. Strukturnya tetap utuh, meskipun telah berusia seabad lamanya. Pesona perahu itu terletak pada kepandaian penukangan Melayu untuk memilih jenis teras kayunya yang bersifat ringan tetapi urat kayunya halus dan tidak resap air. Kayu Bintangor juga sesuai digunakan sebagai alu kapal untuk  belayar di laut. Konflik tercetus apabila selepas kematian bapa, persoalan tentang siapakah pewaris yang berhak mewarisinya. Kebiasaannya pewarisan ini diberikan kepada anak lelaki paling tua.  Watak aku seorang yang bekerjaya dalam perkhidmatan pengurusan kontrak, mengambil alih tanggung jawab tersebut selepas kerjayanya terjejas oleh kemelesetan ekonomi, menyebabkan dia mengalih merencanakan kehidupannya di desa.

Cerpen ini memiliki kekuatan dari segi pengujaran subjek kearifan lokal.  Seni penukangan perahu memperlihatkan kebijaksanaan seni warisan bangsa apabila pembuatannya menggunakan ukuran dan nilai tasawwur Melayu.  Cerpen ini memiliki keistimewaan dari segi kesan ekspresif naratifnya. Keberkesannya mengungkapkan subjeknya  dengan menggunakan langgam bahasa yang melankolik, menimbulkan kesan nostalgik pasa keperibadian bapa, serta kaguman terhadap nilai warisan.  Hubungan bapa dan anak dalam institusi keluarga dibina dalam tautan yang akrab dan syahdu.

  1. “Di Bawah Pohon Maple” – Amelia Hashim

Cerpen ini memiliki kelebihan pada ujaran subjeknya yang mengolah perihal kepengarangan dan hasil kesusasteraan merentas sempadan kebudayaan. Karya agung Jepun, Monogatari Genji atau Tales of Genji dan pengarangnya telah ditelusuri dengan perinci dalam naratif. Keistimewaan karya agung tersebut dapat disingkapi dengan baik, apabila semangat zaman dan peradaban sosiobudaya, sebagaimana terkandung dalam karya kanon tersebut dapat dijelmakan bagi memberi kefahaman akan substansi teks tersebut dalam ruang naratif yang kreatif.

Cerpen ini membawa suatu bentuk yang agak berbeza apabila menggunakan teknik rentasan identiti atau transworld identity apabila watak dalam fiksyen dapat bertemu dan berdialog dengan identiti atau figura yang pernah hadir dalam sesebuah peradaban dalam naratif. Watak aku secara fiksyen, seakan-akan bertemu dengan pengarang, Murasaki Shikibu. Kedua-duanya saling berdialog, seterusnya dapat mencungkil misteri kehidupan sebenar pengarangnya sewaktu mengarang karya agung yang merentas zaman.  Binaan bentuk cerpen ini juga memiliki kelebihan dari segi bentuk ujarannya yang biografikal sifatnya. Ujaran subjek feminisme juga dijalin secara lunak untuk memperlihatkan hubungan gender dalam lingkungan milieu penghasilan karya kanon tersebut.

  1. “Bintang yang Satu di Langit Dini” – Mawar Safei

Cerpen ini mendalami persoalan kemanusiaan sejagat, apabila ehwal penindasan kalangan umat Islam diungkap.  Kalangan umat Islam dizalimi secara berleluasa ketika berada di bawah kuasa dan penguasaan pihak yang menjarah tanah air mereka. Kalangan umat Islam ditegah untuk mengamalkan amalan dan kepercayaan agama yang dianuti.  Jika didapati melanggar larangan yang ditetapkan, kalangan umat Islam ditangkap dan nasibnya tidak diketahui selepas itu. Laungan azan  tidak dibolehkan sama sekali, namun demikian sebagai penganut yang setia untuk mengamalkan ajaran agamanya, ada kalangan yang terus istiqamah atas keyakinannya kepada Tuhannya dan menuntun kemanusiaan yang sedang diratah di tanah airnya.

Kekuatan cerpen ini adalah pada langgam bahasanya yang dibina dalam frasa yang puitis, ujarannya lunak tetapi ada penegasannya sehingga dapat membawa pesan yang nyata terhadap isu pencabulan kemanusiaan yang berleluasa di bahagian dunia yang tidak diperhatikan oleh kuasa yang besar yang melaungkan slogan demokrasi dan keadilan sejagat. Cerpen ini juga  memiliki kelebihan dari segi penggunaan  simbol dan lambang yang berfungsi untuk menjelaskan perlakuan penindasan yang menimpa umat Islam dan mencalar kemanusiaan.

  1. “Gadis Berkebaya Merah dengan Langau Van De Straat” – Rahimah Muda

 Cerpen ini menggunakan latar sejarah empayar Melaka pada tahun 1511, sewaktu Melaka berhadapan dengan ancaman Portugis. Kejatuhan Melaka diperihalkan sebagai berpunca daripada pengkhiatan dalaman, oleh kalangan pedagang asing dan juga kalangan pembesar istana yang menikam dari belakang.

Keistimewaan cepen ini adalah pada binaan bentuknya yang memfiksyenkan sejarah. Sejarah kegemilangan dan keruntuhan empayar Melaka diujarkan secara interteks dengan karya historiografi Melayu. Masukan watak-watak seperti Kesuma, Sarah sebagai watak fiktif yang tiada nilainya dari segi sejarah dan karya historiografi, namun tetap berperanan untuk memerihalkan sejarah berdasarkan pemerhatian dari perspektif orang kebanyakan. Isu berkaitan dengan nilai kewiraan serta pengkhianatan dalaman oleh kalangan pedagang asing sehingga membawa kejatuhan empayar Melaka adalah motif sebenar cerpen ini. Penggunaan perkataan langau, secara simboliknya berfungsi membawa kesan makna, bahawa sifat dan sikap manusia yang mungkar itu lambat laun akan dapat dihidu juga.

  1. “Jiran Rumah Sebelah dan Tiga Ekor Anjing di Lorong 16” – Saifullizan Yahaya

Cerpen ini sebuah cerpen bernada misteri, tentang keanehan sisi manusia yang hidup bersendirian dan mengalami kecamuk personaliti dan kemelut kehilangan tiga ekor anjing di kawasan kejiranan di lorong 16. Cerpen ini pada suatu sisi memperlihatkan kerukunan hubungan kejiranan yang saling bersifat peduli antara satu sama lain. Namun demikian dalam persekitaran tersebut, berlaku kejadian yang di luar duga dengan kehadiran jiran baru yang bersikap aneh. Berlaku kejadian di luar duga yang memerlukan penyelesaian segera yang boleh meredakan dan mengharmonikan semula keadaan.

Cerpen ini mempunyai lapis makna ganda yang harfiah dan yang tersirat. Secara harfiah pembunuhan anjing yang selama ini dianggap sebagai penjaga keselamatan kejiranan di lorong 16 itu mati dibunuh oleh penghuni yang mengalami gangguan identiti boleh merupakan insiden yang benar-benar berlaku. Secara tersirat pula hal ini boleh membawa agenda “pembunuhan karakter’ individu tertentu bagi memenuhi tujuan yang tersembunyi. Kekuatan cerpen ini juga pada strategi naratifnya yang menggerakkan subjek dan alur plot dengan teknik tegangan atau suspens. Teknik ini mengekalkan momentum pembacaan untuk memecahkan tanda tanya akan misteri yang berlaku.

  1. “Racau Kemacar” – Abang Median Abang Said

Cerpen ini sebuah cerpen retrospektif, suatu bentuk renungan dan ujaran realiti kehidupan yang kontemporari sifatnya dalam keadaan kemelut sosioekonomi. Seorang mahasiswa menganggur telah mencuba memohon pelbagai pekerjaan, tetapi setiap kali berusaha, sering menemui kegagalan. Kegagalan itu berlaku disebabkan perbuatan merasuah dan melibatkan orang dalam sebagai kabel. Usahanya untuk berniaga buku pensyarahnya juga gagal kerana ilmu dan buku sentiasa menjadi pilihan keutamaan yang terakhir. Sikap sedemikian tidak menggambarkan suasana sebuah kota yang dicanangkan sebagai Kota Buku Dunia. Perbuatan dengki khianat oleh kalangan sebangsa juga mengakibatkan kegagalan.

Binaan naratif cerpen ini dalam bentuk struktural yang kemas. Kekuatannya adalah pada nadanya yang sinikal dan kritikannya yang lunak tetapi menyengat terhadap gejala yang mesum berlaku dalam masyarakat. Sikap sedemikian merosakkan keperibadian mulia, apabila halal dan haram itu tidak lagi menjadi pertimbangan akhlak dan moral.

  1. “Sebutir Batu Nilam dan Musim Padi Angin yang Panjang” – Zainal Rashid Ahmad

“Sebutir Batu Nilam dan Musim Padi Angin yang Panjang “ merupakan sebuah kisah ibrah yang menghidupkan pengalaman rohani. Seorang musafir pemain silap mata berkeadaan daif, singgah di sebuah perkampungan untuk mengharapkan simpati penduduk setempat bagi mendapatkan bekalan makanan dan minuman. Lelaki itu menawarkan tukaran batu nilam cemburi yang bermutu dan berharga dengan makanan bagi tujuan meneruskan perjalanan. Tukaran yang mahal itu tidak bermakna bagi penduduknya yang miskin, akibat musim padi yang tidak menjadi di banjaran, sementara musim buah di kaki bukit juga tidak berhasil. Dalam keadaan sedemikian, penduduk yang hidup dalam keadaan kemiskinan, dengan sifat ihsan, tetap membekalkan sedikit beras, setabung susu lembu dan beberapa uncang teh.  Selang beberapa tahun uncang nilam cemburi musafir itu ditemui penebang pokok ketapang, di tempat musafir berteduh. Dalam usaha untuk membeli benih padi yang terbaik, seorang anak berkelana ke bandar sambil berharap menemui pesilap mata untuk dipulangkan uncangnya yang tercicir. Ternyata, uncang berharga itu sengaja ditinggalkan untuk membalas budi baik penduduk yang pernah membantunya.

Cerpen ini memiliki kekuatan pada ujaran nilai kemanusiaan, dan juga pendidikan akhlak dan nilai kebenaran yang sarat. Garapan nilai ini dialirkan dalam binaan bentuk yang simplistik yang menjadi kekuatan pada cerpen ini kerana ketinggian nilai yang ditampungnya. Pergerakan peristiwa dalam alur plot lancar dan berfungsi untuk menggerakkan penaakulan.

  1. “Kraken” – S.M.Zakir

“Kraken” membawa suatu isu yang cukup mencengkam sosioekonomi dan sosiobudaya masyarakat akibat penjajahan dalam bentuk baharu melalui ekonomi pemodal. Masyarakat pinggiran yang menghuni di kampung tradisinya di sebuah kota, mengalami penindasan, apabila tanah mereka dirampas dengan pemberian pampasan yang tidak sepadan. Penduduk asal itu akhirnya tersisih ke luar bandar dan hidup miskin.

Cerpen ini memiliki kekuatan pada penggunaan simbol dan lambang yang fungsional. “Kraken” sejenis raksasa dari laut yang naik ke darat dan menelan segala-galanya ialah kalangan pemodal yang rakus melaksanakan muslihat dan tipu daya melalui agenda pembangunan. Penguasaan mereka itu, bukan sekadar mengaut keuntungan dan kekayaan yang maksimum, tetapi juga mempunyai agenda tersembunyi untuk menyingkirkan sesetengah entiti masyarakat asal setempat sehingga nisbahnya semakin mengecil. “Kraken” sebagai penjajah bentuk baharu ialah perulangan sejarah yang menimpa kelangsungan hayat orang Melayu.

  1. “Tiga Cerita tentang Bahasa” – Lokman Hakim

Cerpen “Tiga Cerita tentang Bahasa” ialah fragmen kelestarian bahasa Melayu sebagai keperibadian sebuah bangsa. Ancaman yang sedang dihadapi oleh Bahasa dianggap sebagai suasana darurat Bahasa apabila ia tidak lagi digunakan secara berkesan dalam pelbagai lapangan hidup seperti bidang perniagaan. Bahasa hanya dianggap sebagai bahan perantara berkomunikasi, tetapi tidak mempunyai nilai termasuk aspek puitikanya kerana bahasa dianggap sudah mati. Kemasukan ramai orang asing secara berleluasa menyebabkan suasana majmuk, dengan penggunaan bahasa yang semakin berkecamuk mengakibatkan Bahasa semakin terpinggir sebagai wahana perhubungan yang berkesan.

Keistimewaan cerpen ini adalah pada ujaran subjeknya sesuai dengan permasalahan yang dihadapi oleh bahasa Melayu yang terancam oleh bentuk komposisi masyarakatnya yang semakin melebar kemajmukannya. Langgam bahasanya yang kompleks, berculang-caling membawa makna harfiah dan siratannya. Hal ini memperlihatkankan gejala yang kompleks sedang dihadapi bahasa Melayu yang semakin terancam. Nada sinikalnya juga memberikan kelebihan pada naratif ini.

  1. “Lelaki dan Kitab Terakhir” – Husna Nazri

Cerpen “Lelaki dan KItab Terakhir” merupakan suatu naratif yang mewacanakan premis-premis keberadaan orang Melayu sebagai bangsa asal di tanah airnya. Hujahan balas ini ada kaitannya dengan pandangan liberal kalangan bukan Melayu yang mempertikaikan bangsa Melayu sebagai penduduk asal. Hujahan balas untuk menafikan pandangan tersebut ialah berdasarkan kajian genetik, perjanjian dan penggubalan akta-akta bagi  menandakan tanah asal dan ketuanan orang Melayu.

Cerpen ini memiliki kelainan daripada cerpen-cerpen yang terpilih kerana dibina dalam bentuk wacana untuk mengungkapkan subjeknya. Ujaran dan hujahannya adalah dalam bentuk premis-premis dan bukti-bukti yang dapat menyokong medan wacananya.

PANEL PENILAI

Prof. Dr. Nor Faridah Abdul Manaf
Dr. Mohd Hanafi Ibrahim

Baca Laporan Berkaitan |
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Utama)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Novel)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Cerpen Remaja Eceran)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Puisi)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Drama)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Buku Kajian Sastera, Kumpulan Esei/Kritikan Sastera, Buku Biografi/Autobiografi dan Esei/Kritikan Sastera Eceran)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Kesusasteraan Kanak-kanak)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 (Kesusasteraan Remaja)

_________________________

Laporan ini disediakan oleh sekretariat Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 di bawah penyelenggaraan Bahagian Promosi dan Pengiktirafan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.