Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangProf. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah menyampaikan rintihan peribadi sebagai seorang “penulis pemula” dalam dunia sastera; menyentuh hal pemilihan genre dan menghadapi kebangkitan teknologi kecerdasan buatan dalam urusan penulisan.
Apakah permulaan terbaik bagi penulis pemula, puisi atau cerpen?
Sejak kecil, saya tidak pernah tergolong dalam kalangan pelajar yang menghirup sastera. Saya tidak mengambil KOMSAS (Komponen Sastera) sewaktu di sekolah, subjek yang sinonim dengan puisi, cerpen dan novel. Sebaliknya, saya lebih selesa dengan teks berfakta dan analitis. Saya menulis untuk menyampaikan maklumat, bukan untuk mencari estetika atau pengalaman batin. Namun, dalam dua tahun kebelakangan ini, cara saya melihat bahasa dan pengalaman manusia mula berubah. Langkah pertama saya ke dunia sastera bukan melalui puisi, tetapi melalui cerpen, yakni prosa pendek yang memberikan ruang ekspresi tanpa terikat pada struktur fakta yang biasa saya tulis. Cerpen membuka pintu kepada pengalaman manusia yang bukan sekadar faktual, tetapi juga emosi, simbolik dan batin, iaitu sesuatu yang tidak dilatih melalui penulisan formal semata-mata. Hal ini membawa saya kepada persoalan asas: apakah permulaan terbaik bagi penulis pemula, puisi atau cerpen?
Terdapat pandangan yang meletakkan puisi sebagai pintu masuk kepada dunia sastera. “Puisi Gerbang Dunia Sastera bagi Penulis Pemula” menjelaskan bahawa puisi sering dianggap sebagai bentuk yang mesra dan mudah diakses kerana tidak seketat esei dan tidak memerlukan plot yang kompleks seperti cerpen. Puisi memberikan ruang kebebasan ekspresi yang mudah ditafsirkan oleh penulis baharu. Namun begitu, adakah penulis mesti bermula dengan satu bentuk tertentu? Tidak semestinya. Puisi dan cerpen masing-masing mempunyai fungsi dalam perkembangan penulisan kreatif. Dalam “Tiga Jenis Dusta dalam Puisi”, sastera dilihat melangkaui genre. Apa-apa karya yang membicarakan pengalaman manusia dengan bahasa yang indah dan bermakna juga ialah sastera, sama ada sajak, cerpen, esei, atau novel.
Sepanjang dua tahun menerokai sastera, cerpen menjadi ruang saya membina naratif. Cerpen memberikan peluang membentuk watak, konflik, tema, dan mesej yang lebih kompleks berbanding struktur puisi yang padat. Melaluinya, pengalaman hidup dapat disampaikan bukan sahaja sebagai fakta, tetapi sebagai tafsiran batin. Majalah Dewan Sastera turut memperlihatkan bahawa penulis datang daripada latar berbeza. Ada yang bermula dengan sajak, ada yang memilih cerpen sebagai medium pertama. “Puisi Ada Tempatnya dan Bukan Semata-mata Jalan Pintas” menegaskan bahawa tiada aturan baku dalam memulakan perjalanan sastera, iaitu semuanya bergantung pada pengalaman, minat dan kecenderungan individu. Apabila saya hendak mula memberikan perhatian kepada puisi, saya menyedari bahawa puisi membentuk kepekaan bahasa yang lebih halus, dan hal itu bukan jiwa saya setakat ini. “Eksploitasi Bahasa dalam Sajak: Suatu Usaha Mencapai Kesempurnaan Pengucapan (Bhg.1)” menyatakan bahawa sajak merupakan aspek utama pengucapan berseni sastera Melayu moden dan setiap sajak terbuka kepada pelbagai tafsiran. Sastera bukan sekadar hiburan, tetapi cerminan pengalaman manusia yang membolehkan kita melihat dunia melalui perasaan dan naratif, bukan fakta semata-mata. Perkembangan minat ini membuktikan bahawa sastera tidak jauh daripada kehidupan; ia dekat, asalkan kita terbuka untuk memahaminya.
Selain cabaran dalaman penulis pemula, dunia sastera kini berdepan dengan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI). Dalam “Keburukan AI Terletak pada Pengendalinya”, dinyatakan bahawa teknologi seperti ChatGPT mencetuskan perbincangan hangat kerana kemampuannya menghasilkan teks secara automatik. Hal ini menimbulkan persoalan tentang keaslian karya, hak cipta dan kualiti kreatif. “Kecerdasan Buatan dalam Garapan Karya Kreatif: Suatu Ancaman atau Peluang” pula menegaskan bahawa walaupun AI mampu menghasilkan ayat yang gramatis, karya tersebut sering kurang jiwa dan sentuhan peribadi. Dalam “AI, Cabaran Persepsi terhadap Penulis Muda” (kecuali saya yang usianya tidak begitu muda) dibincangkan kebimbangan bahawa pergantungan kepada AI boleh menjejaskan keupayaan asli penulis. Namun begitu, AI juga boleh dilihat sebagai alat kolaboratif yang memperkaya idea jika digunakan secara bijak dan beretika. Maka, cabaran AI bukan sekadar teknikal, tetapi turut menyentuh keaslian, kreativiti dan persepsi terhadap peranan penulis dalam era digital.
Dua tahun terakhir membuka mata saya terhadap keindahan bahasa sebagai pembentuk pengalaman, bukan sekadar pembawa fakta. Cerpen membawa saya menyelami naratif kehidupan, manakala puisi mengajar saya tentang kedalaman rasa dalam setiap perkataan. Dunia sastera, sebagaimana yang dipamerkan oleh Dewan Sastera, ialah ruang yang luas dengan pelbagai pintu masuk sama ada puisi, cerpen atau bentuk lain, dan setiap satunya memberikan nilai yang tersendiri kepada penulis sastera pemula seperti saya, meskipun usia bukan lagi terlalu “muda”.

_________________________
Abdul Halim Abdullah (Prof. Madya Dr.) merupakan ahli akademik sepenuh masa di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang sangat cinta pada bahasa ibundanya. Beliau pernah dinobatkan sebagai Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu pada tahun 2022 oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Tokoh Penerbitan (Kategori Sains Sosial) Majlis Citra Karisma UTM 2025.