Oleh Karmila Azmi
20 Jun 2023, 14:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seremban 2 – Teknologi ruang sembang yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI) ChatGPT bukan sekadar menjadi perbualan dalam bidang akademik malah turut mencabar penghasilan karya sastera.

Selain isu hak cipta dan plagiarisme, ChatGPT turut memungkinkan beberapa jenis pekerjaan lenyap.

Dalam sesi forum anjuran Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) Sabtu lalu, tiga panel diundang bagi mendiskusikan topik itu menerusi tajuk “Karya Asli Berlaga dengan Kepintaran Buatan”.

Tiga panel berkenaan, Editor Dewan Sastera Fadli al-Akiti, Pengarang Muhammad Lutfi Ishak dan Pensyarah Jabatan Pendidikan dan Teknikal Universiti Putra Malaysia Dr. Othman Talib dengan sesi itu dimudahcarakan oleh Nor Azzah Aziz dari PEN.

Othman dalam forum itu menyebut, ChatGPT ialah teknologi terkini yang membantu masyarakat tetapi kehadirannya mencabar kedudukan karya asli dan seni.

Katanya, jika 10 tahun lalu hal sebegini sukar dibayangkan hari ini, ChatGPT boleh memberi segala fakta dan saranan berdasarkan permintaan pengguna.

“Soal keaslian sudah tidak timbul, malah karya seperti sastera sudah dilihat oleh anak muda sebagai hal yang mudah dihasilkan.

“Jadi mereka akan melihatnya remeh dan tidak melihat perlunya sastera dihargai kerana penghargaan itu diberi kepada populariti,” katanya.

Muhammad Lutfi pula melihat, apa-apa teknologi yang dibangunkan, jika tidak memberikan kesejahteraan kepada kehidupan, maka apakah maknanya?

“Alat tidak ada nilai. Nilai baik dan buruk itu hanyalah pada orang yang mengendalikannya,” katanya.

Sementara itu, Fadli al-Akiti berkata, ChatGPT membuka ruang kepada plagiat dan isu hak cipta, tetapi hal sebegitu turut berlaku meskipun tidak ada teknologi canggih seperti ChatGPT.

“Dalam dunia sastera sendiri, wujudnya penulis upahan yang sedia menuliskan karya sastera kepada mereka yang hendak mengejar nama.

“Malah perkongsian saya dengan media lain mendapati ada penulis yang menterjemah lirik lagu Taylor Swift sebagai puisi dan menghantarnya kepada media,” katanya.

Kredit Foto: Hakim Bahaman/PEN

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.