Oleh Karmila Azmi
27 Februari 2024, 07:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seremban – Perkembangan dunia penerbitan tanah air mula berubah corak sesudah wabak COVID-19 melanda apabila lebih ramai penulis mengambil langkah menerbitkan buku sendiri berbanding dahulu yang bergantung kepada penerbit.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari berkata, hal ini berlaku disebabkan dua perkara iaitu selepas pandemik berakhir, tidak ramai penerbit berani hendak melabur menerbitkan buku kerana takut tidak pulang modal.

“Sebab yang kedua, penulis mahu karya mereka diterbitkan dengan cepat sedangkan penerbit misalnya DBP mengambil masa untuk menerbitkan karya.

“Hal ini disokong pula dengan kos penerbitan hari ini yang lebih mudah terbitkan buku dalam jumlah kecil, misalnya 100 naskhah atau kurang,” katanya ketika merasmikan Forum Industri 3.0, Penjanaan Karya, Lesen Penerbitan dan Hak Cipta sempena Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) kali ke-47 pada 24 Februari.

Tegas Hazami, penerbitan sendiri ini ada isu tersendiri, misalnya sesetengah orang melihatnya ada isu dari segi kandungan yang tidak boleh dikawal dan khusus untuk satu golongan saja.

Hal ini tegasnya mungkin baik dan tidak ada masalah, namun dari satu segi mungkin memberikan kesan kepada industri secara keseluruhan.

“Dalam hal ini, ada yang melihatnya baik dan ada yang melihatnya tidak. Buku seperti itu sebenarnya memberi peluang penulis berkarya, sedang dalam masa sama DBP memberi ruang kepada karya yang terkawal bahasa dan kandungannya,” katanya.

Terdahulu Hazami berkata, tamadun menjadi kuat dari pelbagai sudut dan antaranya boleh dilihat melalui keilmuan melalui sastera dan budaya.

Justeru tegasnya, kita perlu menetapkan kembali peranan sastera dan budaya, jadi adakah masih relevan kepada sastera di negara ini yang dikatakan sudah menuju ke arah Revolusi Industri 4.0?

Dalam hal ini katanya, untuk memastikan sastera dan budaya kekal dan relevan berfungsi dalam peranan melestarikan sastera ialah individu penulis itu sendiri.

“Bukan DBP di depan atau dana, tapi kepengarangan yang boleh menjawab pada soalan semasa.

“Jangan marah kalau orang tak baca sastera, jangan tertekan kerana orang tidak pedulikan sastera.

“Mereka tidak lagi rasa nikmat membaca sastera, jadi cabaran kita ialah menghasilkan karya untuk lestarikan dan menjawab soalan semasa.

“Bagaimana kita boleh lahirkan pengarang besar? Ini juga peranan persatuan penulis dan persekitaran,” tambahnya.

Dalam hal membina pengarang katanya, selain persatuan dan DBP, penerbit swasta juga membantu perkembangannya dengan menerbitkan karya yang baik, antaranya termasuk Nusa Centre dan Kata Pilar.

Kredit Foto: Khairul Azhar Baharuddin

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.