13 Januari 2023, 16:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nilai – Program Baca Naskhah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck karya HAMKA telah diadakan pada 7 Januari 2023 yang lepas. Bertempat di Fakulti Pengajian al-Quran as-Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga USIM, khususnya para pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, USIM.

Prof. Madya Dr. Hishomuddin Ahmad iaitu Ketua Program Sarjana Muda Bahasa Arab dan Kesusasteraan Islam, Fakulti Pengajian Bahasa Utama diundang sebagai perasmi program ini. Turut hadir memeriahkan acara adalah Puan Nisah Haron selaku Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) dan Puan Mahaya Mohd Yassin sebagai Ibu Soko PEN yang dimuliakan.

Menurut Puan Nor Azah Abd Aziz selaku Pengerusi Teknikal Program, bermula tahun 2023 ini, PEN meletakkan  “Jerayawara Nikmat Budaya Tinggi” sebagai motto utama persatuan dalam mengorak langkah yang lebih proaktif dan berhasrat untuk menganjurkan program seumpama ini di seluruh Negeri Sembilan. USIM telah dipilih sebagai lokasi pertama program ini. Antara tujuan program sebegini diwujudkan adalah untuk memasyarakatkan sastera secara kreatif, mengasah kemahiran melalui penulisan, dan merangsang kemahiran menulis warkah yang sudah semakin dilupakan terutamanya dalam kalangan mahasiswa akibat arus kemodenan dan kepesatan teknologi.

Program ini dimulakan dengan segmen Baca Naskhah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck Karya HAMKA daripada lapan kumpulan yang terdiri daripada pelajar kursus Penulisan Kreatif, Sarjana Muda Bahasa Arab dan Kesusasteraan Islam, USIM dibawah bimbingan Dr. Mohamad Yazid Abdul Majid. Para pelajar membaca dengan penuh emosi menyerlahkan bakat masing -masing dan menghayati setiap mesej yang ingin disampaikan oleh penulis dalam karya tersebut.

Para pelajar yang menjayakan program Baca Naskhah Tenggelam Kapal Van Der Wicjk.

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck merupakan novel tulisan Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai HAMKA. Karya malar segar ini telah menjadi fenomena dan kekal menjadi pilihan pembaca hingga ke hari ini. HAMKA yang dikenali sebagai seorang tokoh ulama tersohor telah dikritik hebat pada ketika itu disebabkan beliau telah menulis sebuah novel ‘roman’ cinta remaja walhal HAMKA sebenarnya membuat kritikan sosial terhadap adat dan masyarakat Minangkabau pada waktu itu.

Program ini seterusnya dimeriahkan dengan sisipan Lagu Warisan Nismilan oleh Pak Lang Anjung yang telah mendendangkan sebuah lagu berjudul Anak Bocek. Persembahan ini telah menarik hati para penonton sehingga mereka bagaikan dipaku untuk terus mendengar sampai ke habis lagu tersebut.

Sesi akhir program dimeriahkan dengan segmen Cabaran Menulis Warkah Cinta Yang Terputus Di Pertengahan Jalan. Peserta diberikan masa sebanyak 20 minit untuk menghasilkan sebuah warkah cinta secara berkumpulan dan dikehendaki membacakan warkah tersebut di hadapan khayalak pada akhir program. Antara aspek yang ditekankan oleh juri adalah kandungan isi surat yang positif, seni berbahasa, kesan romantik dan pemilihan kata yang penuh kesantunan walaupun hati patah dan kecewa.

Menurut Prof. Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad, Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, salah satu medium yang dapat disebarluaskan penggunaan bahasa Melayu ialah penulisan warkah. Sayangnya, generasi hari ini kurang terdedah dengan penulisan warkah disebabkan wujudnya aplikasi yang lebih mudah untuk berhubung dalam media sosial. Oleh itu, tujuan pertandingan ini adalah untuk merangsang kembali kemahiran menulis warkah yang sudah semakin terabai akibat arus kemodenan dan kepesatan teknologi.

Program ini akan terus diadakan pada masa akan datang dalam membangkitkan dan memupuk rasa cinta terhadap karya sastera.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.