Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSeremban – Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR), Pusat Rujukan dan Penyelidikan Ketamadunan Adat Perpatih Sedunia (PRADAKAPS), dan Institut Pendidikan Guru Raja Melewar (IPGRM) bakal menganjurkan Petang Condong di Pulau Ilmu: Nurani Dharmawijaya pada 19 April ini di Seremban.
Dharmawijaya atau nama sebenarnya Kamaruzzaman Abdul Kadir yang merupakan tokoh penyair dan pengkaji kesusasteraan tanah air telah dilahirkan pada 23 Jun 1937 dan meninggal dunia akibat barah paru-paru pada 21 April 2005.
Antara karya beliau termasuklah Warna Maya (1974), Di Penjuru Matamu (1975), Nasionalisme dalam Puisi Melayu Moden 1933-1957 (1982), Lagu Kehidupan (1983), Bintang Mengerdip (1984), Bunga Gerimis (1986), Derita Buana (1992), dan Gurindam Alam (1994).
Dengan sokongan daripada Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) di bawah dana inisiatif Belanjawan 2024 dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), program ini khusus untuk mengenang dan menghargai kepenyairan beliau yang mempunyai sumbangan besar terhadap perkembangan sastera Malaysia.
Bermula dari pukul 10.00 pagi, antara pengisian program ialah Slot 1: Permata Puisi bersama-sama Sasterawan Negara Rahman Shaari, Slot 2: Bicara Tokoh dengan Dr. Mohamad Shahidan, Zaen Kasturi, dan Nor Azah Abd. Aziz dan Slot 3: Malam Puisi – Air Mata Kampung Talang. Upacara perasmian akan disempurnakan oleh Presiden GAPENA, YBhg. Datuk Zainal Abidin Borhan.
Pada 20 April pula, Slot 4: Di Telapak Dharma – Kampung Talang, Tanjung Ipoh, Kuala Pilah akan diadakan di rumah peninggalan Dharmawijaya. Maklumat lanjut boleh didapatkan melalui laman Facebook Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN).
