Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSeremban – “Sastera bukan sekadar rakaman pengalaman dan imaginasi, tetapi satu aset budaya yang membentuk jati diri bangsa dan menyumbang kepada ekonomi negara,” ujar Penyunting Kanan Akademi Jawi Malaysia, Puan Norziati Mohd Rosman dalam sesi kedua Sidang Forum Industri 4.0 yang bertemakan Minda Generasi Pewaris pada pagi tadi.
Forum ini merupakan sebahagian daripada Wacana Setengah Abad Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) yang berlangsung di Klana Resort, Seremban.
Dalam pembentangan beliau bertajuk Sastera sebagai Aset Budaya dan Ekonomi, beliau menegaskan bahawa sastera bukan hanya terhad kepada penghasilan buku, tetapi turut merangkumi pelbagai bentuk seperti lirik lagu, skrip drama, filem dan animasi. Malah, menurut beliau, sastera boleh dimanfaatkan dalam pelancongan budaya, sebagaimana yang telah dilakukan di beberapa negara lain.
“Di Jepun, misalnya, manga berkembang menjadi aset budaya yang membawa pulangan ekonomi besar. Ia bukan sekadar bacaan tetapi juga diadaptasi menjadi persembahan kabuki, anime, permainan video, muzik, novel, filem, cosplay (peragaan kostum) dan persembahan muzikal. Di Malaysia, kita juga mempunyai khazanah sastera yang boleh dikembangkan dalam pelbagai bentuk bagi menarik minat masyarakat dan menjana ekonomi,” jelas beliau.
Beliau turut menyentuh aspek sastera dalam membentuk identiti kebangsaan. Menurut beliau, karya-karya besar seperti Hikayat Hang Tuah, Bedar Sukma Bisu dan Hujan Pagi tidak hanya menghiburkan tetapi juga memperkaya pemahaman pembaca terhadap budaya dan sejarah.
“Karya sastera mengandungi nilai-nilai yang membentuk pemikiran generasi pewaris. Membaca Hikayat Hang Tuah memperlihatkan bagaimana seorang pahlawan bukan sekadar bertempur tetapi juga menjadi utusan raja, penasihat dan kawan yang setia. Bedar Sukma Bisu pula mengangkat warisan pertukangan kapal Melayu, satu identiti penting dalam sejarah bangsa kita,” kata beliau lagi.
“Tatkala membaca Hujan Pagi pula, kita akan mendapat gambaran tentang kehidupan seorang wartawan serta cabaran yang dihadapinya. Kita juga akan terpesona dengan Syair Siti Zubaidah yang memaparkan semangat, keberanian dan ketaatan Siti Zubaidah dalam usaha membebaskan suaminya, Sultan Zainal Abidin, yang ditawan oleh puteri-puteri Cina,” tambah beliau.
Menurut beliau, semua contoh ini membuktikan bahawa sastera berperanan sebagai satu daripada daya penting untuk memupuk identiti negara Malaysia yang berbilang tradisi dan menjadi alat pengikat yang kuat dalam masyarakatnya yang pelbagai.
Puan Norziati menambah bahawa pengarangan sastera boleh melukiskan pelbagai kemungkinan dalam karyanya, sama ada yang baik atau buruk dan bebas dalam membuat penerokaan baru. “Ini memberikan peluang kepada pengarang untuk memperkembangkan daya kreativiti yang terhasil daripada daya kemahiran dan daya akal yang tinggi,” ujar beliau.
Dalam konteks ekonomi, beliau mencadangkan agar lebih banyak usaha dilakukan untuk menjadikan sastera sebagai tarikan pelancongan, misalnya melalui pembangunan rumah kelahiran sasterawan sebagai pusat lawatan.
“Jika kita boleh mengunjungi rumah kelahiran Shakespeare di England atau rumah Buya Hamka di Sumatera, mengapa kita tidak melakukan perkara yang sama untuk sasterawan kita? Rumah kelahiran Usman Awang di Tanjung Lembu, Shahnon Ahmad di Banggol Derdap dan Pak Samad Said di Belimbing Dalam boleh dijadikan pusat lawatan sastera yang lengkap dengan koleksi karya mereka,” katanya.
Beliau turut menegur penerbitan novel yang tidak selari dengan norma masyarakat, dengan bahasa kesat dan jalan cerita yang tidak memberikan manfaat kepada pembaca.
“Sastera yang menjadi aset budaya ialah sastera yang mengangkat nilai-nilai murni, memperkukuh jati diri dan membawa manfaat kepada masyarakat. Jika sastera itu hanya menyajikan hiburan kosong tanpa nilai, ia tidak boleh dianggap sebagai aset, sebaliknya sekadar produk komersial yang tidak meninggalkan kesan mendalam kepada pembaca,” tegas beliau.
Sebagai penutup, beliau menggesa agar sastera terus dihargai dan dikembangkan, bukan hanya sebagai seni, tetapi juga sebagai elemen penting dalam pembangunan negara.
“Sastera merupakan cerminan peradaban. Jika kita mahu membina sebuah masyarakat yang berbudaya tinggi dan ekonomi yang kukuh, kita harus melihat sastera bukan sekadar warisan, tetapi sebagai satu kekuatan yang boleh dimanfaatkan,” kata beliau mengakhiri pembentangan.
Sidang Forum Industri 4.0 ini turut disertai oleh panel daripada pelbagai bidang termasuklah akademik, penerbitan dan industri kreatif, dengan tujuan merangka masa depan sastera dan industri berasaskan kreativiti.