Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAtas kekerapan mengunjungi muzium, terutamanya Muzium Negara, Muzium Petaling Jaya serta Muzium Sultan Alam Shah, Raja Yusoff Ariffin terfikir akan penubuhan Muzium Sastera. Walaupun ada alasan dan cadangannya sendiri, tetapi beliau turut mendapatkan pandangan beberapa orang rakan sastera.
Buat permulaan, saya fikir, bangunan Chartered Bank Lama yang pernah dijadikan sebagai Restoran Warisan di Jalan Raja, Kuala Lumpur sesuai dijadikan Muzium Sastera.
Sejak sekian lama, karya sastera serta karyawan dan penggiatnya dengan segala kegiatan sasteranya hanya menumpang di sudut-sudut pameran di beberapa muzium mengikut musim, termasuklah di Muzium Negara atau muzium negeri tertentu.
Tidak wajarkah karya sastera, karyawan dan penggiatnya dipamerkan di dalam sebuah muzium khas yang diberikan nama: Muzium Sastera?
Bagi saya, sudah sampai masanya Muzium Sastera ditubuhkan. Antara yang wajar dipamerkan di muzium berkenaan ialah paparan pengertian sebenar sastera, termasuklah kesemua genrenya, seperti puisi, cerpen, novel, teater, dan bangsawan. Eloklah kesemuanya dipamerkan pada bahagian awal muzium berkenaan.
Selain itu, hal yang juga penting ialah senarai Sasterawan Negara (SN) dengan gambar, biodata dan gambar semua karya masing-masing. Pamerkan juga wajah tokoh-tokoh sastera tanah air lain walaupun belum menerima anugerah SN, serta senarai penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Awards) dari negara kita, Tokoh Puisi Kebangsaan pusat dan negeri, johan Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan, juara dendangan syair, dan pertandingan pantun peringkat kebangsaan.
Dari semasa ke semasa pada hari yang sesuai, adakan pula acara yang berkaitan dan bermanfaat, seperti forum atau bual bicara sastera di ruangan khas.
Memanglah harapan dan cadangan ini memerlukan kos yang tidak sedikit. Namun begitu, setiap yang besar bermula daripada yang kecil. Sesuatu untuk terus menjadi besar sememangnya sukar atau hampir mustahil. Memang payah mencari dana untuk terus berskala besar.
Begitu juga dengan Muzium Sastera. Jadi, dari sekarang, usaha secara kecil-kecilan boleh dimulakan. Saya fikir, kesungguhan menubuhkannya daripada skala kecil boleh menarik minat pihak yang berwewenang untuk menyokong aspek pendanaan.
Buat permulaan, saya fikir, bangunan Chartered Bank Lama yang pernah dijadikan sebagai Restoran Warisan di Jalan Raja, Kuala Lumpur sesuai dijadikan Muzium Sastera kerana terletak berhadapan dengan Dataran Merdeka, tempat pertemuan Sungai Gombak–Sungai Kelang, Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni dan Masjid Jamek, Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Pasar Seni, serta Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dekat Daya Bumi.
Penyair veteran Hamid Jemain bersetuju dengan cadangan penubuhan Muzium Sastera kerana usaha itu merupakan antara kaedah untuk membina negara bangsa. Khazanah penulis atau sasterawan, katanya, perlu diselamatkan dan diabadikan untuk merakamkan kebijaksanaan dan kemanusiaan rakyat sesebuah negara yang bertamadun.

“Walau bagaimanapun, usaha menubuhkannya memerlukan kerjasama agensi kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), persatuan-persatuan penulis di bawah GAPENA yang aktif, universiti awam, serta setiap organisasi yang ada kaitan dengan sastera, selain individu yang berminat secara sukarela,” jelas beliau yang sependapat dengan saya dalam soal pengisian muzium berkenaan.
“Tempat yang paling strategik ialah negeri yang menjadi sasaran pelancongan domestik atau luar negara. Bahan pameran bukan sahaja hasil penulisan pelbagai genre, tokoh, institusi yang bertanggungjawab, dan pelbagai bahan sama ada visual dan lisan. Pelbagai kegiatan sastera boleh juga dilaksanakan di sini,” tambah Hamid yang mengatakan banyak perkara yang boleh difikirkan, dan bagi beliau, Muzium Sastera sepatutnya telah lama wujud.
Cuba bayangkan, jumlah besar dana bagi membina sebuah muzium untuk memindahkan semua koleksi 15 orang SN, jikalau pun ahli keluarganya bersetuju.
Sementara itu, mantan pengamal media yang kini penulis bebas, Letfee Ahmad, amat tertarik dan memuji cadangan penubuhan Muzium Sastera ini.
Sebagaimana cadangan saya, beliau turut menegaskan bahawa Muzium Sastera perlu mengadakan ruangan khas SN, dengan mempamerkan sejarah dan karya mereka.

“Sesuai dengan peranan serta tanggungjawabnya memelihara dan menyemarakkan sastera tanah air, DBP semestinya terlibat. Justeru, Muzium Sastera memang wajar ditempatkan di Wisma DBP yang penuh nostalgia,” kata Letfee yang juga giat sebagai penceramah dan penganjur acara sastera budaya.
Walaupun turut bersetuju dengan penubuhan Muzium Sastera, tetapi Dr. Mohammad Alinor Abdul Kadir mengatakan bahawa muzium berkenaan jangan mengikut konsep terasing seperti di Muzium Negara.
“Kaedah paling mudah untuk melaksanakannya adalah terarah kepada susuk sasterawan terbabit. Koleksi sastera mereka dijadikan sebagai Muzium Sastera,” ujar mantan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia itu yang memahami hasrat saya apabila merujuk kesusasteraan teks dan material, serta bibliografi sasterawan.
Apa yang pasti, tambah beliau, tulisan material sastera dan perpustakaan sasterawan terpelihara di rumah masing-masing. Cuma, katanya lagi, hubungan dengan badan berwajib seperti Perpustakaan Negara Malaysia ataupun Muzium Negara amat perlu.

Dr. Alinor turut memberitahu bahawa Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor telah melaksanakan muzium seperti yang dicadangkan untuk SN ke-6, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, dan penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 2011/Sasterawan Kelantan 2023, S.M. Zakir.
Namun demikian, beliau menarik perhatian mengenai perbelanjaan besar yang diperlukan untuk memenuhi cadangan memindahkan semua koleksi tersebut. Cuba bayangkan, katanya, jumlah besar dana bagi membina sebuah muzium untuk memindahkan semua koleksi 15 orang SN, jikalau pun ahli keluarganya bersetuju.
“Konsep Muzium Sastera di rumah sasterawan sudah lama wujud di Eropah, seperti Muzium William Shakespeare dan Muzium T.S. Elliot. Malangnya di negara kita, pemeliharaan khazanah ilmuwan tidak dilakukan pun. Ahli keluarga sendiri kelihatan sukar memeliharanya. Sebagai contoh, perpustakaan bagi karya Allahyarham Dato’ Dr. Hassan Ahmad terpisah-pisah,” ujar Alinor lagi.
Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman, pensyarah bebas, penulis, pengkaji, dan penterjemah bertauliah berpendapat yang Muzium Sastera mesti ditubuhkan kerana ia menjadi jambatan yang menghubungkan sastera tempatan dengan sastera dunia.
“Dengan kewujudannya, warisan kebangsaan kita dapat ditelusuri, dipelajari, dihayati dan dikaji, bukan sahaja oleh anak watan, tetapi juga pelancong dari seluruh dunia. Ia bukan sahaja berfungsi sebagai institusi penyelidikan yang memaparkan sejarah, budaya dan warisan bangsa Malaysia yang tidak ternilai, malah turut mengabadikan pemikiran, perjuangan dan pengorbanan wira bangsa melalui tinta dan pena, untuk renungan insan zaman-berzaman. Membaca khazanah silam dapat membangkitkan patriotisme dalam nubari insani,” tegas beliau.
Penubuhan Muzium Sastera, tambah Dr. Raja Rajeswari, ialah tanggungjawab Kerajaan Malaysia dengan kerjasama DBP; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, institusi pendidikan, organisasi sastera, dan agensi lain yang ada hubungan secara langsung dengan bahasa, budaya dan sastera kebangsaan.

“Saya cadangkan Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan pengunjung dan pelancong sebagai lokasi Muzium Sastera, kerana ia wajar dibina di tempat yang strategik agar pengunjung boleh mengunjunginya pada bila-bila masa dengan pengangkutan awam atau perkhidmatan lain, mengikut keselesaan masing-masing,” jelas beliau yang menerima Hadiah Sastera Darul Ridzuan 8 kategori rencana sastera di Ipoh, 3 Ogos lalu.
Mengenai bahan pameran, Raja Rajeswari mencadangkan agar karya sastera dalam bentuk buku perseorangan, antologi terbitan DBP, GAPENA, Persatuan Penulis Nasional Malaysia, dan persatuan penulis lain, kertas prosiding, kertas kerja simposium sastera, majalah terbitan DBP, tesis sastera, buku terjemahan sastera dalam bahasa Melayu, cakera padat dan koleksi kreatif (semua genre) dalam bahasa kebangsaan wajar diabadikan di Muzium Sastera, sama ada dalam bentuk cetakan, digital, atau kedua-dua versi sebagai tanda menghargai jasa dan sumbangan SN, Sasterawan Negeri dan penulis Malaysia yang telah menyumbang daya fikir dalam memperkaya khazanah sastera negara.
“Satu ruangan khas boleh disediakan untuk kegiatan sastera atau acara sastera peringkat kebangsaan ataupun antarabangsa untuk membuka laluan kepada penyair antarabangsa menghayati khazanah sastera tempatan. Muzium Sastera akan menjadi tumpuan peminat sastera dengan adanya kegiatan yang relevan dari semasa ke semasa,” tambah beliau.
Selain itu, kata Rajeswari, alat muzik dan busana yang berkaitan dengan warisan kebangsaan juga boleh dipamerkan kerana sastera, budaya dan bahasa saling melengkapi.
Beliau berharap agar penubuhan Muzium Sastera akan memudahkan pengantarabangsaan warisan dan persuratan kebangsaan Malaysia.
Kredit Foto: Raja Yusoff Ariffin
______________________________
Raja Yusoff Ariffin merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM), mantan rakan Tajulmedia Melayu dan mantan ahli Seniman Paksi Rakyat (PAKSI). Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), dan kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016). Raja Yusoff pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun “Beraya di Kampung Warisan Melayu” Satu Property (2020).