Oleh Nasir Hamid
16 Disember 2022, 10:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Miri – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak telah mengadakan kunjungan hormat kepada YB Datuk Adam Yii Siew Sang, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) pada 15 Disember lepas. Kunjungan itu bertujuan untuk memaklumkan tentang pencapaian program yang telah dilaksanakan pada tahun ini dan hasrat bagi meneruskan jalinan kerjasama dengan memperkenalkan program baharu pada tahun hadapan.

YB Datuk Adam Yii Siew Sang dalam ucapan alu-aluannya merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak DBP Cawangan Sarawak kerana sentiasa memberikan komitmen dan sudi untuk menjalinkan kerjasama dengan MBM. Beliau turut melahirkan rasa gembira kerana kerjasama yang dimulakan pada tahun 2021 telah menunjukkan hasil dan memberi impak positif kepada masyarakat Miri, terutamanya dalam penganjuran Hari Pengucapan Puisi Bandaraya. Atas komitmen tersebut, beliau telah menyumbang peruntukan bagi penerbitan buku puisi yang bertemakan “Miri Kota Inspirasi”.

Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak sedang membincangkan kerangka program tahun 2023 bersama-sama dengan Majlis Bandaraya Miri (MBM).

Selanjutnya, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Abang Haliman Haji Abang Julai turut merakamkan penghargaan kepada YB Datuk Bandar dan pengurusan MBM. Beliau turut memaklumkan beberapa program baharu yang akan dilaksanakan di bahagian Miri dengan mengambil kira sambutan dan keunikan bandar tersebut yang mempunyai lebih daripada 30 suku kaum.

Antara program 2023 yang telah dirancang ialah Wacana Citra Bandaraya Miri, Sayembara Deklamasi Puisi Bahasa Melayu, Hari Pengucapan Puisi, penerbitan buku khas, program pemerkasaan Jawi, Pertandingan Forum Remaja, Bengkel Bimbingan Lagu Puisi dan program deklamasi puisi.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak bersetuju untuk menganjurkan Festival Sastera Pelancongan sebagai suatu tarikan baharu kepada pelancong tempatan dan antarabangsa yang berkunjung ke Bandaraya Miri. Festival itu nanti akan melibatkan penyertaan negara seperti Brunei, Singapura, Indonesia, Taiwan dan China. DBP Cawangan Sarawak akan merangka program berkenaan dengan kerjasama penuh pihak MBM.

Dalam meningkatkan kemahiran warganya, pihak MBM juga telah mencadangkan supaya dianjurkan kursus pengucapan awam dan penulisan dokumen rasmi dalam bahasa kebangsaan.

Pada hari yang sama, kunjungan tersebut diteruskan ke Pustaka Negeri Sarawak, Miri. Perbincangan dengan pihak tersebut lebih terarah kepada program yang akan dilaksanakan di Miri dan mengundang pihak Pustaka Miri untuk menjalinkan kerjasama dalam program yang dianjurkan.

Seterusnya, rombongan DBP Cawangan Sarawak berkunjung ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Miri. Kunjungan ini turut disertai oleh Ja’afar Haji Hamdan, Timbalan Pengarah Pengembangan Bahasa dan Sastera, dan Stephanie Lenya Chaong, Ketua Unit Promosi dan Pengiktirafan.

Pertemuan yang dihadiri oleh Mariam Haji Monek, Pegawai PPD Miri bersama-sama pegawai lain telah menyarankan supaya pihak DBP Cawangan Sarawak mengadakan jualan buku di Miri dan mengadakan bengkel penulisan kepada golongan guru. Selain itu, kedua-dua pihak juga mengambil peluang dalam berkongsi pandangan dalam isu-isu kebahasaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.