Oleh Firdaus Mul
25 Oktober 2022, 17:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Sesi pembentangan ketiga Seminar Sastera Borneo 2022 yang bertemakan “Pemerkasaan Pelancongan melalui Pelancongan Sastera” melibatkan pembentang dari negara Singapura iaitu Encik Abdul Samat Ali (ASAS 50 Singapura), Encik Mohd.Fairuz Mohd. Padoli (Universiti Utara Malaysia) dan Encik Dilah Tuah (Universiti Malaysia Sarawak). Sesi pembentangan kali ini pula dikendalikan oleh Puan Saidatul Faiqah daripada Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Negeri Sarawak.

Tirai pembentangan ini dibuka dengan penerangan ringkas berkaitan dengan negara Singapura oleh Encik Samat Ali (ASAS 50 Singapura) selaku pembentang pertama. Beliau mengaitkan sejarah Singapura dengan dapatan hasil penelitiannya berkaitan tema pembentangan. Beliau juga lebih menumpukan pembentangannya terhadap unsur sejarah yang terdapat dalam sesebuah karya sebagai daya tarikan pelancong. Jelasnya,

Unsur sejarah yang tercatat dalam penulisan seperti kisah pembukaan Singapura (Temasik) dan kisah Singapura Dilanggar Todak ialah faktor dominan yang membentuk daya tarikan pelancong untuk datang ke Singapura.

Encik Samat Ali (ASAS 50 Singapura) sedang membentangkan kertas kerjanya.

Selain dapat merancakkan lagi sektor pelancongan di Singapura, hal tersebut juga turut boleh membangunkan kawasan bersejarah seperti Tanjung Pagar, Khatib Camp, dan Stesen MRT Khatib. Ujar beliau lagi,

Sampai ke hari ini, kisah legenda, catatan sejarah, dan cerita lisan yang menjadi unsur dalam sesebuah karya akhirnya menjadi tarikan yang cukup kuat terhadap kehadiran pelancong di Singapura. Buktinya, pelancong daripada Asia, Eropah dan Timur Tengah datang ke Singapura mengkaji peninggalan sejarah yang tercatat dalam karya. Begitu juga dengan puisi dan lagu lama. Ia berupaya menjadi daya tarikan dan secara tidak langsung mempromosikan Singapura ke pentas dunia.

Beliau menyimpulkan bahawa pemeliharaan, pembangunan dan penyebaran karya atau tempat berunsurkan sejarah sememangnya berjaya mempromosikan Singapura sebagai salah satu destinasi menarik untuk dikunjungi oleh pelancong dari setiap pelosok dunia.

Pembentang kedua iaitu Encik Mohd Fairuz Mohd Padoli (UUM) pula berpendapat bahawa penerapan unsur pelancongan dalam sesebuah karya berupaya untuk menarik pelancongan. Premis pembentangan beliau ditandai dengan beberapa perkara, iaitu pelancongan sebagai industri kreatif, unsur pelancongan dalam filem di Malaysia, sastera dalam medium layar, dan kesejajaran (homology) pengarang dan karya.

Beliau berpendirian bahawa penerapan unsur pelancongan sebagai unsur utama atau sampingan dalam sesebuah karya, baik karya berbentuk pembacaan atau pementasan layar (perfileman) sememangnya mampu untuk membentuk daya ketertarikan. Namun, beliau lebih menekankan kepada sesebuah karya berunsurkan pelancongan yang kemudian dipentaskan atau difilemkan. Beliau percaya, hasil daripada penceritaan visual lebih menimbulkan kesan estetika yang lebih mendalam kepada khalayak berbanding daripada pembacaan. Jelas beliau lagi,

Dorongan pelancong asing ke negara kita adalah untuk melihat sesuatu yang tradisional ataupun sesuatu yang tidak ada di negara mereka. Dorongan ini berjaya diperolehi hasil daripada menonton hasil karya yang difilemkan. Karya kreatif yang diterapkan unsur pelancongan berjaya mempromosikan sesuatu tempat secara tidak langsung. Keberhasilan karya kreatif berunsurkan pelancongan juga dapat dilihat menerusi beberapa filem Korea dan filem antarabangsa lain. Filem yang popular mampu meningkatkan kedatangan 25 hingga 30 peratus pelancong ke destinasi yang menjadi lokasi filem.

Encik Mohd Fairuz Mohd Padoli (UUM) sedang menerangkan tentang unsur pelancongan dalam karya.

Keberhasilan perfileman karya kreatif yang berunsurkan lokasi pelancongan, ditambah pula dengan unsur pelancongan dalam filem di Malaysia berjaya membentuk kesejajaran antara pengarang, karya dan khalayak. Selain itu, ia juga mampu menarik pelancong untuk melihat sesebuah kawasan tersebut, dan menggamit penggiat dan penerbit filem untuk menjalankan aktiviti pengambaraan di negara ini.

Seterusnya, beliau mencadangkan agar DBP dan penulis bersama-sama mencari, menghasilkan, atau memilih karya untuk dipentaskan ke dalam medium layar. Bengkel-bengkel penulisan dan adaptasi pula harus dibuat untuk melahirkan ramai penulis. Kerajaan negeri juga boleh membantu dalam memberikan pelbagai dana berkaitan hal ini.

Encik Dilah Tuah (UNIMAS) yang merupakan pembentang ketiga juga senada dalam menyatakan bahawa unsur sejarah atau unsur pelancongan dalam sesebuah karya berupaya untuk membentuk daya tarikan kepada pelancong. Melalui kerta kerja yang bertajuk “Penghasilan Karya Sastera Berunsurkan Pelancongan di Sarawak: Satu Tinjauan”, beliau mendapati perkembangan yang berlaku kini menjadikan karya sastera tidak lagi hanya dinikmati dalam proses pembacaan, bahkan dapat dinikmati secara perfileman.

 

Encik Dilah Tuah (Universiti Malaysia Sarawak).

Berdasarkan hasil tinjauan beliau, kebanyakan karya sastera yang dihasilkan yang berunsurkan sesuatu lokasi berjaya menarik perhatian pelancong untuk datang ke Sarawak. Ujarnya,

Kesan daripada karya A. Samad Said yang banyak memaparkan citra sosiobudaya dan keindahan sesuatu tempat berjaya menjadikan lokasi yang dimasukkan dalam karya sebagai lokasi popular. Selepas 23 tahun menghasilkan skrip Lantai T. Pinkie, Telok Melano berubah menjadi destinasi paling popular di Lundu selepas pembukaan Lebuh Raya Pan Borno.

Beliau juga percaya bahawa karya-karya penulis Sarawak yang berlatarkan lokasi tempatan jika berjaya dipromosikan secara konsisten di setiap pelosok akan membentuk daya tarikan kepada pelancong dari serata dunia.

Sesi pembentangan ini secara tidak langsung membuktikan keupayaan yang dimiliki oleh karya sastera dalam menjadi penyumbang kepada pertambahan kehadiran pelancong di negara ini. Maka, sastera yang ingin dijadikan sebagai produk pelancongan bukanlah angan-angan kosong.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.