24 Mei 2023, 09:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Miri – Program Wacana Sasterawan yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Pustaka Negeri Sarawak, Miri memfokuskan tentang Sastera Pelancongan dan Malaysia MADANI sebagai topik perbincangan pada 19 Mei yang lalu di Auditorium, Pustaka Negeri Sarawak.

Wacana ini menampilkan Sasterawan Negeri Sarawak, Zainal Abidin Suhaili atau lebih dikenali dengan nama penanya, Abizai. Tuan Haji Sukor Husin (Hasyuda Abadi) yang baru-baru ini diangkat sebagai Sasterawan Negeri Sabah turut diundang sebagai panel.

Sasterawan Negeri Sarawak, Encik Zainal Abidin Suhaili (Abizai), Puan Saidatul Faiqah Samasu sebagai moderator dan Sasterawan Negeri Sabah, Tuan Haji Sukor Husin (Hasyuda Abadi) dalam Wacana Sasterawan: Sastera Pelancongan dan Malaysia Madani di Pustaka Negeri Sarawak, Miri pada 19 Mei yang lalu.

Abizai berpendapat bahawa sastera dan pelancongan memiliki hubungan timbal balik, iaitu kedua-duanya saling mendapat manfaat. Pihak yang berautoriti dan agensi berkaitan haruslah memainkan peranan yang penting. Sebagai contoh, bagi memperlihatkan peranan sastera, beliau mencadangkan supaya diwujudkan muzium sastera dan galeri sasterawan untuk tatapan masyarakat.

Hasyuda Abadi pula berpandangan bahawa pelancongan dan sastera sememangnya tidak dapat dipisahkan. Perkara ini dapat dilihat melalui tiga elemen, iaitu tokoh, tempat dan karya. Beliau berkata bahawa pada realitinya wujud sastera dalam elemen pelancongan dan wujudnya pelancongan dalam elemen sastera.

Namun demikian, sastera seperti kurang dilibatkan dalam sektor pelancongan dan seperti tidak ditonjolkan sebagai elemen penting dalam memperkasakan industri pelancongan. Kedua-dua panel berharap beberapa daerah di Sarawak serta Sabah diangkat sebagai Kota Sastera seperti Miri dan Kota Kinabalu.

Menyentuh akan hal Malaysia MADANI, Abizai serta Hasyuda Abadi mengatakan sastera sebagai komponen utama dalam mengisi gagasan tersebut. Gagasan yang diperkatakan ini dapat dikaitkan dengan sastera sekiranya pandangan dan perspektif masyarakat mengenai sastera adalah optimis sekali gus sebagai acuan asas dalam membentuk kepada gagasan Malaysia MADANI.

Tokoh sasterawan dan moderator wacana bersama-sama tetamu jemputan selepas penyampaian cenderamata. Kedua dari kanan, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai; dan ketiga dari kiri, Ketua Bahagian Perkhidmatan Teknikal Pustaka Negeri Sarawak, Miri, Puan Lillian Baun Pulo.

Wacana yang dihadiri oleh Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai dan Ketua Bahagian Perkhidmatan Teknikal Pustaka Negeri Sarawak, Miri, Puan Lillian Baun Pulo ini merupakan kesinambungan daripada program Pengucapan Puisi Bandar Raya Miri 2023 bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-18 Hari Bandar Raya Miri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.