24 Julai 2024, 15:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Muhammad Lutfi Ishak menyoal tentang dominasi fakta dan kuantiti dalam setiap pengesahan kualiti karya masa kini.

Sehingga sekarang, untuk mengenal kebudayaan sesuatu kaum, maka, puisi-puisi terbaik dalam wilayah kebudayaan tersebut, tidak boleh diketepikan.

Salah satu kegilaan modenisme yang begitu merasuk kehidupan kita sekarang ialah dominasi fakta dan kuantiti dalam mengesahkan pandangan. Tidaklah pelik pada hari ini jika timbul kehebohan, untuk memendekkannya, maka, ramai akan memunculkan fakta. Fakta, yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada pertimbangan, kini menjadi satu-satunya pertimbangan.

Begitu juga dengan kuantiti. Sekarang ini, dalam banyak perbincangan dan penilaian, kita dapat mengesan orang mengguna pakai ukuran yang berbentuk kuantiti untuk menentukan sesuatu kualiti. Hal ini tidaklah salah jika penilaian tersebut dikenakan pada sesuatu yang memang dari segi kejadiannya cuma benda. Misalnya, dalam menentukan kualiti kertas, kita meletakkan berat sebagai ukuran. Kertas yang beratnya 80 gm lebih berkualiti daripada kertas yang beratnya 70 gm.

Namun begitu, bagaimana pula jika sebaliknya? Maksudnya, adakah tepat apabila ukuran tersebut digunakan untuk menentukan nilai sesuatu yang kepentingan dan manfaatnya tidak terletak pada aspek kebendaan? Dalam konteks inilah saya ingin menarik perhatian pada syarat sebuah kelolaan sayembara untuk penulisan puisi. Dinyatakan di situ dengan jelas, puisi yang hendak dihantar mestilah tidak kurang daripada 25 baris dan tidak melebihi 30 baris. Apakah syarat tersebut perlu? Untuk menjawab persoalan ini, maka, kita perlu kembali kepada dua perkara. Yang pertama, definisi puisi. Dan yang kedua, tujuan puisi.

Alijah Izetbegović, ahli falsafah dan juga mantan Presiden Bosnia kala genosid Serbia pernah mengungkapkan hakikat sains dan puisi dalam konteks ilmu pengetahuan. Menurut beliau, puisi ialah pengetahuan tentang manusia sepertimana sains yang menjadi ilmu pengetahuan tentang alam tabii. Maksud beliau, jika kita mendalami sains, maka, pengetahuan kita tentang tabiat alam ini akan bertambah. Jika kita mendalami puisi, maka, pengetahuan kita terhadap insan dan pelbagai aspek keinsanannya akan turut bertambah.

Hal ini tidaklah sesuatu yang diperbesarkan jika puisi di sini bertolak daripada pengalaman sebenar penyair. Malah, dalam sejarahnya pun, puisi menjadi penting kerana merakamkan pengalaman terbaik manusia. Sehingga sekarang, untuk mengenal kebudayaan sesuatu kaum, maka, puisi-puisi terbaik dalam wilayah kebudayaan tersebut, tidak boleh diketepikan. Dengan membaca Shakespeare, maka, kita mengenali hati budi orang Inggeris. Dengan membaca Hamzah Fansuri, kita mengenali hakikat insan seperti yang difahami oleh orang Melayu.

Dengan bertolak daripada hakikat ini, maka, puisi pada intinya ialah ungkapan pengalaman. Prasyarat untuk pengalaman tersebut diungkapkan bukanlah hal-hal kuantitatif yang diada-adakan, seperti jumlah baris dan tema yang tertutup. Syaratnya yang sebenar ialah kebebasan. Selagi penyair menggunakan kebebasan tersebut untuk menyatakan kebaikan, mengapakah kita perlu hadir dan memberikan syarat-syarat yang menghalang kebebasan tersebut?

Kata T.S. Elliot, peranan sastera (khususnya puisi) adalah untuk menukar darah menjadi dakwat. Maksudnya sama dengan penjelasan di atas: penyair mesti mengungkapkan pengalamannya dalam kata-kata yang terbaik. Pandangan ini jika diletakkan dalam konteks penghayatan karya sastera, maka, tugas pembaca ialah menghayati isi dan menikmati kata-katanya. Jika diletakkan dalam konteks sayembara dan dihubungkan dengan penghayatan oleh para panel hakim, maka, hal tersebut berbalik kepada kebijaksanaan dan kearifan mereka untuk kemudiannya membuat penilaian.

Justeru, menetapkan suatu syarat seperti jumlah baris akan menyebabkan tiga keburukan: (1) Menghalang kebebasan penyair; (2) Pendek atau panjang tidak ada kaitan dengan penghayatan pembaca; dan (3) Tumpuan penilaian panel yang sepatutnya menilai aspek keelokan makna dan keindahan bentuk, akhirnya akan turut ditentukan oleh jumlah baris.

Meletakkan syarat yang begitu kuantitatif terhadap puisi adalah salah besar. Hal ini kemudiannya hanya menimbulkan pelbagai jenis dusta. Dalam dunia ilmu pengetahuan semasa, ada anekdot terkenal tentang tiga kategori dusta. Yang pertama, dusta kecil. Yang kedua, dusta besar. Dan yang ketiga, dusta statistik. Kepada sesiapa yang memahami asas anekdot ini, saya fikir, tidaklah susah untuk menghubungkan jenis dusta ketiga dan kaitannya terhadap kegilaan pada kuantiti dan hubungannya dengan jumlah baris pada puisi yang dibicarakan ini.

Kredit Foto: Ricardo Gomez Angel/Unsplash

_________________________

Muhammad Lutfi Ishak atau Lutfi Ishak dilahirkan di Kedah pada 27 Januari 1980. Selain mengarang puisi, beliau juga menulis cerpen dan esei. Buku karangan beliau ialah kumpulan puisi Kafe (2010), Dondang Pembukaan (2015), Senandika: Nyanyi Sunyi Sepanjang Jalan (2018), dan kumpulan cerpen Cerita Malam Pertama (2011). Dalam ruangan kolum ini, Muhammad Lutfi melihat sastera melangkaui novel, cerpen dan puisi. Baginya, apa-apa sahaja yang membicarakan pengalaman insan dengan pengantara bahasa yang elok dan indah sebagai sastera. Beliau kini menetap di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.