Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPENDAHULUAN
Sebanyak 129 buah karya sastera kategori kanak-kanak daripada empat genre telah dinilai oleh para penilai. Kesemua karya tersebut ialah terbitan dari tahun 2021 dan 2022. Kesemua karya ini merupakan terbitan daripada pelbagai penerbit tanah air. Menerusi kesemua karya tersebut, sebanyak 28 buah novel kanak-kanak, tiga buah kumpulan puisi kanak-kanak, empat buah kumpulan cerpen kanak-kanak dan 94 buah buku bergambar kanak-kanak. Kesemua karya yang dinilai ini sesuai sebagai bahan bacaan kanak-kanak bagi peringkat umur lima hingga 12 tahun.
Secara umumnya, karya-karya yang dinilai ini menunjukkan keupayaan dalam penghasilan karya yang bermutu dari segi idea, pemikiran, tema, bahasa dan strategi naratif masing-masing. Sebagai contoh, kumpulan cerpen dan kumpulan novel yang dinilai didapati mencapai tahap kreativiti sebagai hasil karya yang bersifat kontemporari, selain menerapkan pelbagai pendekatan dan aliran di dalamnya. Selain itu, cerpen-cerpen dan novel-novel yang dipertandingkan ini juga didapati memaparkan pelbagai persoalan yang dekat dengan jiwa kanak-kanak, khasnya isu pendidikan, sosial, budaya, kekeluargaan, jati diri, fantasi, agama, dan juga isu-isu semasa.
Begitu juga dengan buku cerita bergambar kanak-kanak, penilai mendapati buku cerita bergambar kanak-kanak menunjukkan perkembangan yang semakin baik dari aspek ilustrasi, isi cerita dan keberkesanan dalam menyampaikan mesej kepada kanak-kanak. Dalam hal ini dapat dikesan pertama, buku cerita bergambar merangkumi pelbagai tema dan persoalan yang menyentuh kesedaran emosi, nilai budaya dan alam sekitar yang dapat membantu kanak-kanak memahami dunia dengan lebih luas dan mendalam. Kedua, ilustrasi yang interaktif dan menarik. Dalam buku bergambar bukan sekadar hiasan, tetapi berperanan besar dalam menyampaikan cerita dan emosi. Penggunaan warna yang ceria, gaya seni yang kreatif menjadikan pengalaman membaca lebih menyeronokkan. Kesemua elemen ini dapat membantu membina empati dan kefahaman dalam kalangan kanak-kanak. Ketiga penulisan kreatif dan berseni. Penggunaan bahasa kreatif yang mudah difahami oleh kanak-kanak.
Namun begitu, hanya terdapat tiga buah puisi kanak-kanak yang telah dinilai. Oleh itu, diharapkan terdapat pertambahan dalam bilangan karya yang diterbitkan pada masa hadapan bagi memperkaya bahan bacaan yang sesuai untuk kanak-kanak. Dengan adanya lebih banyak koleksi puisi kanak-kanak, hal ini bukan sahaja dapat memperkukuh budaya membaca dalam kalangan generasi muda, tetapi juga membantu dalam pembinaan kemahiran bahasa dan emosi mereka secara lebih menyeluruh.
KRITERIA PENILAIAN
Penilaian bagi karya Kesusasteraan Kanak-kanak meliputi:
NOVEL KANAK-KANAK
Panel penilai menerima 28 buah novel untuk dinilai. Daripada 28 ini, lima buah novel kanak-kanak disenarai pendek oleh panel penilai, iaitu:
ULASAN PEMENANG NOVEL KANAK-KANAK
Johan Jani (MK Miza)
Daripada lima buah novel yang disenarai pendek ini, maka semua penilai bersetuju memilih karya Johan Jani karya MK Miza. Novel Johan Jani karya MK Miza merupakan kisah kecekalan seorang kanak-kanak bernama Johan, berumur 11 tahun yang membantu keluarganya menambah pendapatan. Ibunya, bekerja sebagai penjual karipap, manakala bapanya pula lumpuh dan tidak bekerja. Selain menjual karipap, Johan juga rajin mencari barang-barang yang boleh dijual semula di tempat pembuangan sampah dan mengambil upah membuang sampah jiran jirannya yang tinggal di pangsapuri. Upah yang diperoleh diharapkan untuk membeli kerusi roda bapanya dan membantu mengurangkan beban ibunya. Selain itu, Jani yang merupakan rakan karib Johan mula menjauhkan diri daripadanya dan melibatkan diri dalam aktiviti tidak sihat. Johan sedar dan cuba membantu Jani untuk melakukan kerja-kerja yang lebih baik dan tidak menyalahi undang-undang. Menerusi isi cerita dalam novel ini, pengarang telah menunjukkan bahawa hubungan persahabatan yang terjalin dapat memberikan ruang kepada kedua-dua watak ini berkongsi kisah dan saling melengkapi dalam meneruskan kelangsungan hidup.
Selain itu, pengarang novel ini juga menerapkan unsur psikologi yang berhubung dengan nilai kasih sayang, penghargaan kendiri, jaminan keselamatan diri dan emosi kanak-kanak disusun dengan baik melibatkan peristiwa dan pengalaman dua orang watak kanak-kanak yang memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada orang dewasa. Malah, moral yang ditekankan dalam novel ini berkait dengan keperluan dan kehendak psikologi kanak-kanak, iaitu pengharapan kanak-kanak untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik dan selamat.
Jika diteliti menerusi sudut struktur, pembinaan novel ini dikatakan sangat baik dan sesuai dijadikan bahan bacaan buat kanak-kanak. Pada keseluruhannya, novel ini baik dari segi tema, binaan plot, watak dan perwatakan dan nilai pengajaran (nilai didaktik) yang diketengahkan. Bahkan itu juga, pemikiran yang dikemukakan dalam novel ini juga merupakan persoalan yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan kanak-kanak seperti isu ekonomi, kerisauan, jaminan keselamatan, pelukan kasih sayang dan pengawasan daripada orang dewasa melingkari dunia kanak-kanak pada masa kini.
Penerapan unsur positif di dalam novel ini juga memberikan satu kelebihan bagi karya ini. Malah unsur positif ini boleh didapati melalui unsur kasih sayang sesama makhluk ciptaan Tuhan, semangat jati diri yang tinggi untuk berjaya dalam kehidupan dan pengorbanan yang dilakukan demi kasih dan sayang kepada ahli keluarga. Sebagai contoh, dapat digambarkan pergolakan rasa yang dipaparkan melalui watak Johan dan Jani. Pengarang novel ini memilih menggunakan pendekatan realisme dalam menyampaikan mesej (nilai pengajaran) dalam karyanya. Sehubungan dengan itu, persoalan yang diutarakan oleh pengarang novel ini merupakan persoalan semasa dalam dunia kanak-kanak.
Selain itu, struktur binaan plot yang digunakan oleh pengarang novel ini mengikut kronologi, iaitu menghubungkan antara satu peristiwa dengan peristiwa seterusnya. Plot cerita disusun dengan rapi dan mudah difahami oleh kanak-kanak. Peristiwa yang digambarkan dari mula hingga akhir dalam novel ini juga sejelasnya menunjukkan unsur sebab dan akibat yang mudah difahami oleh kanak-kanak. Malah, keseimbangan antara isi cerita dengan gaya penyampaian serta penggunaan gaya bahasa yang menarik menjadikan cerita dalam novel ini sesuai dijadikan sebagai bahan bacaan kanak-kanak masa kini.
Secara umumnya, novel ini menzahirkan watak kanak-kanak yang unggul melalui watak Johan dan Jani yang diperagakan sebagai seorang kanak-kanak yang berfikiran matang, sabar dan tabah dalam menghadapi cabaran yang tidak terjangka dan diperlihatkan sebagai seorang kanak-kanak yang mempunyai prinsip (wawasan). Konflik-konflik yang disampaikan melalui watak kanak-kanak yang bertenaga dan plot yang jelas menyerlahkan hasrat dan kecenderungan pengarang untuk menarik khalayak kanak-kanak (pembaca) terhadap isu dan persoalan mutakhir pada masa kini yang diketengahkan dalam novel ini. Karya ini juga digarap dalam bahasa yang mudah, sarat dengan nilai dan pengajaran yang membolehkan kanak-kanak memahami nilai-nilai positif dan negatif melaluinya.
Pada asasnya, novel ini menyerlah usaha pengarang untuk menimbulkan dan menggambarkan isu-isu baharu/semasa yang berupaya melonjakkan rasa ingin tahu dalam kalangan khalayak kanak-kanak. Hal ini dilakukan dengan menyisipkan fakta-fakta semasa dalam bidang-bidang ilmu yang berkaitan mengikut kesesuaian cerita. Contohnya, pekerjaan baharu Johan yang mengambil upah mengutip sampah dari rumah ke rumah. Idea ini datangnya daripada Johan yang pada mulanya merungut untuk membuang sampah kerana perlu turun naik lif, selain niat membantu jirannya, iaitu warga emas. Keduanya ialah bagaimana kanak-kanak dijadikan keldai dadah atau pengantara antara pengedar dengan pembeli dadah. Hal ini semestinya akan memberikan panduan kepada pembaca kanak-kanak agar sentiasa berhati-hati dan menjauhi najis dadah. Tema yang dibangkitkan dalam novel ini disampaikan pada tahap pemahaman khalayak kanak-kanak dan kerap berkisar tentang hal-hal kasih sayang keluarga, persahabatan, hubungan erat berbilang kaum dan masyarakat setempat.
Seterusnya ialah gabungan antara teknik pemerian, dialog, monolog, monolog dalaman, kejutan dan imbas kembali menjadikan cerita dalam novel ini menarik. Pengarang novel ini juga telah menyusun penggunaan dialog secara bijak dan bersahaja bagi menyampaikan peristiwa dengan realistik dan memperkukuh watak dan perwatakan kanak-kanak dalam novel ini. Dalam konteks bahasa pula, pengarang novel ini telah menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh kanak-kanak. Justeru, kekuatan novel ini ialah penggunaan bahasa yang segar dan realistik disertai oleh teknik penceritaan yang mantap menjadikan novel ini menarik untuk dibaca.
KUMPULAN CERPEN KANAK-KANAK
Empat buah kumpulan cerpen yang diterima untuk dinilai adalah seperti yang berikut:
ULASAN PEMENANG CERPEN KANAK-KANAK
Tekad Beregu RZ (Zurhan Bakar)
Daripada empat buah kumpulan cerpen kanak-kanak yang dikemukakan ini, panel penilai telah sebulat suara memilih kumpulan cerpen Tekad Beregu RZ karya Zurhan Bakar sebagai pemenang. Kumpulan cerpen kanak-kanak Tekad Beregu RZ memuatkan 10 buah cerpen, iaitu “Harapan Basri”, “Hati yang Ikhlas”, “Naim dan Ikan Lumba-lumba”, “Percikan Bunga Api”, “Nasib Ukka”, “Tekad Beregu RZ”, “Akar Pohon Bakau”, “Rabun”, “Rumah Usang” dan “Ingatan Nenek yang Hilang”. Persoalan yang diutarakan dalam keseluruhan kumpulan cerpen ini masih lagi relevan dengan dunia kanak-kanak masa kini. Keseimbangan antara isi cerita dengan gaya penyampaian serta penggunaan gaya bahasa yang menarik berkisar tentang kekeluargaan, sukan dan permainan, persahabatan, hubungan sesama manusia dan hidupan (alam), menjadikan cerita-cerita dalam kumpulan cerpen ini sesuai dijadikan bahan bacaan kanak-kanak.
Selain itu, nilai didaktik atau nilai moral yang ditekankan dalam kumpulan cerpen ini berkaitan dengan keperluan psikologi kanak-kanak, iaitu pengharapan kanak-kanak untuk menjalani kehidupan yang lebih selamat dan memerlukan penghargaan kendiri, iaitu kasih sayang daripada orang yang lebih dekat dengan mereka. Malah, jika diteliti menerusi keseluruhan isi cerita dalam cerpen ini memperlihatkan keberjayaan pengarang dengan menonjolkan pelbagai ragam kehidupan kanak-kanak. Sebagai contoh, ditonjolkan adanya kanak-kanak yang memiliki kehidupan yang selesa dan mewah, kanak-kanak yang tidak bernasib baik dalam hidup, kanak-kanak yang tidak mendapat perhatian dan kasih sayang secukupnya dan ada juga kanak-kanak yang terlalu dimanjakan. Persoalan ini semua digarap oleh pengarang melalui watak kanak-kanak melalui penggambaran kehidupan seharian kanak-kanak dengan menggunakan bahasa yang dapat difahami oleh kanak-kanak.
Dalam konteks bahasa pula, pengarang kumpulan cerpen ini menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh kanak-kanak. Bahasa yang segar, realistik dan standard telah menjadikan kumpulan cerpen ini menarik dan mudah untuk dibaca dan difahami oleh kanak-kanak. Selain itu, teknik penceritaan yang menarik dengan menggunakan bahasa yang mantap mampu mencerminkan pemikiran yang diutarakan oleh pengarang menerusi isi cerita dalam cerpen-cerpen tersebut. Antara pemikiran yang dikemukakan oleh pengarang dalam kumpulan cerpen ini termasuklah pemikiran keagamaan, pemikiran budaya, pemikiran pendidikan, pemikiran ekonomi dan pemikiran politik. Kesemua pemikiran ini merupakan persoalan yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan kanak-kanak masa kini seperti persoalan kasih sayang, kekeluargaan, kemasyarakatan, keberanian, keagamaan, persahabatan, keagamaan dan psikologi.
Melalui penelitian dari aspek latar pula, terdapat pelbagai latar kehidupan kanak-kanak yang digambarkan melalui kumpulan cerpen ini. Antaranya yang digambarkan termasuklah persekitaran kanak-kanak yang miskin, sederhana dan berada. Malah, turut diperlihatkan juga menerusi persekitaran kanak-kanak yang berada di kawasan perkampungan (desa) dan kawasan bandar. Melalui gambaran ini, membolehkan kanak-kanak (pembaca) dapat mengetahui selok-belok kehidupan realiti kanak-kanak yang digambarkan itu dengan lebih jelas dan mendalam. Malah, aspek latar ini juga merangkumi pelbagai aspek kehidupan kanak-kanak seperti berkait dengan aspek kekeluargaan, kemasyarakatan, kasih sayang, dan psikologi kanak-kanak yang mana hal itu dilihat masih lagi relevan dan melingkari dunia kanak-kanak pada masa kini. Aspek ini diangkat secara realistik dan mampu menyentuh psikologi kanak-kanak, iaitu kehendak kanak-kanak yang mahukan perhatian daripada orang dewasa, mahu mencuba sesuatu yang baharu, inginkan teman atau rakan sebaya, inginkan jaminan keselamatan sama ada dari segi emosi mahupun fizikal, mahu diri mereka disayangi dan dihargai oleh orang yang terdekat, terutama ibu bapa, kawan-kawan dan masyarakat sekeliling.
Selain itu, pengarang kumpulan cerpen ini juga telah menggunakan plot penceritaan yang mengikut kronologi yang menghubungkan antara satu peristiwa dengan peristiwa yang lain melalui hukum sebab dan akibat. Malah, pengarang kumpulan cerpen ini juga berjaya menggunakan gaya penyampaian yang mudah supaya kanak-kanak dapat memahami keseluruhan isi cerita yang hendak disampaikan. Bukan itu sahaja, teknik penceritaan yang disampaikan juga menarik dan memberi rasa keterujaan kepada kanak-kanak untuk meneruskan sesi pembacaan bagi kesemua isi cerita dalam kumpulan cerpen ini. Justeru, kekuatan kumpulan cerpen ini adalah melalui penerapan kepelbagaian unsur emosi yang terdapat di dalam kesemua cerpen yang dihasilkan ini. Hal ini membolehkan kanak-kanak melepaskan emosi dan memperluas pengalaman mereka melalui isi cerita yang diketengahkan dalam kumpulan cerpen ini. Oleh yang demikian, kanak-kanak (pembaca) secara tidak langsung dapat menjiwai dan merasai sendiri perkara yang disampaikan dalam cerita tersebut. Hal ini sangat penting untuk pertumbuhan rohani kanak-kanak.
BUKU BERGAMBAR KANAK-KANAK
Buku bergambar menyampaikan mesej menerusi dua media, iaitu seni ilustrasi dan seni penulisan. Buku yang dihasilkan dengan baik formatnya memberikan gambaran makna pada cerita, ilustrasi dan teks yang mesti menyokong bebanan penceritaan. Buku cerita bergambar memberikan keseluruhan makna seni lukis dan teks. Ilustrasi bukan sahaja refleksi tindakan pada halaman, tetapi berkongsi dalam pergerakan cerita seterusnya. Setiap aras penceritaan gambar perlu menyatakan makna di sebalik cerita. Hal ini penting dalam pemilihan buku cerita bergambar yang berkualiti mengambil kira format buku yang pelbagai mengikut kesesuaian cerita. Format buku memberikan gambaran akan konsep penghasilan buku dan cara menyampaikan cerita.
ULASAN PEMENANG BUKU BERGAMBAR KANAK-KANAK
Tuty Si Anak Penyu (Nor Azhar Ishak)
Panel penilai menerima 24 pencalonan terbitan tahun 2021 dan 70 pencalonan penerbitan tahun 2022. Panel juri memutuskan bahawa buku cerita bergambar berjudul Tuty Si Anak Penyu, cerita dan ilustrasi oleh Nor Azhar Ishak dipilih untuk memenangi hadiah kategori Buku Bergambar Kanak-kanak. Tuty Si Anak Penyu paling menyerlah dalam kalangan penyertaan dari segi ilustrasi dan teksnya. Buku ini mengandungi 328 perkataan dan 24 halaman. Dari segi teknikal, buku ini memenuhi kriteria buku bergambar. Ilustrasi pada kulit buku diilhamkan secara tersusun kerana bermula dari muka depan kulit buku hingga kulit belakang, buku ini dihiasi dengan ilustrasi yang menggambarkan perjalanan cerita.


Ilustrasi pada tajuk kulit buku menggambarkan cerita, manakala tajuk pada halaman judul memberikan isyarat permulaan cerita. Tuty, anak penyu yang baru menetas mencari ibunya. Tuty berenang merentas lautan dengan menempuh berbagai-bagai cabaran. Akhirnya, Tuty berjumpa ibunya. Plot cerita dibina dengan mudah dan pengakhiran ceritanya juga mudah diduga. Pembinaan plot terdapat unsur saspens sebagai klimaks ketika Tuty menemui ibunya. Tuty melarikan diri dari pantai ke laut. Ketika diperhatikan burung pada halaman 5, Tuty dilambung ombak besar pada halaman 8 dan 9, keadaan yang menyeramkan pada halaman 12 dan 13. Unsur pencemaran alam sekitar juga diselitkan dalam plot cerita mengisahkan Tuty hampir tercekik cuba makan beg plastik pada halaman 19.
Pemilihan anak penyu sangat sesuai dengan kanak-kanak dan ilustrator berjaya menambat hati kanak-kanak untuk terus menatap buku bergambar hingga akhir cerita. Penyu merupakan haiwan yang tidak membahayakan dengan wajah simpati dapat memberikan kesan belas kasihan khalayak kanak-kanak.
Buku ini berjaya menyampaikan mesej jalinan ilustrasi dan teks. Gaya bahasa mudah difahami dan menepati sasaran pembaca. Teks dapat disesuaikan dengan keadaan ilustrasi. Ilustrasi malam, siang, suasana tenang, situasi bahaya, dan situasi selamat. Jalinan teks dan ilustrasi ini dapat mengukuhkan plot cerita dengan lebih berkesan. Pemilihan warna sangat sesuai dengan mesej yang hendak disampaikan kepada pembaca.

Perkataan menjadi sebahagian ilustrasi beralun seperti ombak mengukuhkan kesan mendalam keadaan laut yang bergelora berserta petir dan kilat di langit dan ombak besar sehingga Tuty melambung. Gaya membacakan buku ini turut dipengaruhi alunan pergerakan perkataan yang berombak untuk memberikan kesan pendengar kanak-kanak. Ilustrator cuba bermain dengan kesan deria dengar menerusi alunan perkataan yang berombak dan kesan deria penglihatan menerusi warna gelap ketika laut sedang bergelora.

Apabila laut tenang warna air pun berubah. Ilustrator berjaya menggambarkan ketenangan air menggunakan warna biru lembut. Bermula dari permukaan air hingga ke lebih dalam laut dengan menggunakan warna biru agak pekat halaman 10 dan halaman 11. Penyusunan perkataan juga memberikan kesan reaksi pembaca halaman 10. Perkataan disusun secara menurun anak tangga pembaca merasakan ke dalaman air yang berperingkat-peringkat halaman 11. Intonasi membaca turut mempengaruhi sekiranya buku ini dibacakan kepada kanak-kanak untuk memberikan kesan imaginasi kedalaman air.

Semakin dalam ke dasar laut keadaan air turut berubah semakin gelap kerana kekurangan cahaya untuk menembusi kedalaman air. Ilustrator cuba menunjukkan keadaan hidupan haiwan di dasar laut menggunakan warna gelap. Sedikit warna terang digambarkan di penjuru, kelihatan Tuty menjauhkan diri dari tempat yang tidak menjamin keselamatannya. Pemilihan perkataan yang menyulami ilustrasi hidupan dasar laut yang ganas kelihatannya juga dapat menimbulkan rasa seram kepada pendengar mahu pun pembaca.
“Tetapi jauh di dasar laut, semuanya kelihatan lebih menakutkan dan makhluk laut di situ tidak kelihatan begitu mesra.”

Sudut pandangan atau perspektif menggunakan sudut pandangan mata burung, sudut pandangan mata cacing dan sudut pandangan mata ikan. Sesuai dengan cerita kehidupan di dalam air bermula dengan kulit depan sudah digambarkan ilustrasi menggunakan sudut pandangan mata ikan. Ilustrator menggunakan perspektif pandangan mata ikan untuk menceritakan keadaan hidupan di dalam air seperti jenis ikan, tumbuhan dan karang laut.

Sudut pandangan mata burung memberikan kesan Tuty cuba berlari dengan cepat menuju laut menyelamatkan diri daripada ditangkap burung. Kelihatan jejak kaki Tuty di pasir yang seolah-olah cuba mengelakkan diri daripada ditangkap burung besar. Sudut pandangan mata burung ini berjaya menunjukkan kejauhan dari udara ke bawah pantai kelihatan Tuty sedang berlari-lari menuju ke bibir air laut. Keadaan seolah-olah begitu mencemaskan kerana Tuty hampir-hampir menjadi mangsa burung besar.

Sudut pandangan mata cacing menggambarkan Tuty terselamat daripada ditangkap burung. Ilustrator berjaya menggambarkan dua keadaan Tuty di dalam air dan di permukaan air burung besar berterbangan di udara. Ilustrator menggunakan warna harmoni menggambarkan keadaan dalam air, permukaan air keadaan di udara.

Gaya ilustrasi motif batik menggunakan teknik warna pastel dan warna air. Ilustrator cuba memaparkan hidupan laut dengan motif batik. Unsur saspens dipaparkan menerusi warna gelap. Warna cerah menggambarkan suasana tenang dan keceriaan. Motif batik menjadi kekuatan buku bergambar ini untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih jauh lagi.
Begitu juga elemen dan reka bentuk buku memainkan peranan penting dalam menghasilkan buku cerita bergambar. Garisan dalam ilustrasi memberi makna dalam mod cerita dan perkembangan plot. Kelihatan Tuty yang baru menetas garisan di pasir dan garisan air laut memukul pantai.

Fakta dalam cerita yang hendak disampaikan perlu betul. Biasanya digambarkan dalam ilustrasi. Buku cerita bergambar ilustrasinya perlu bersandarkan fakta bukan sekadar imaginasi ilustrator. Contoh warna air laut memperlihatkan perbezaan mengikut kedalaman dan hidupan dalam air juga turut berbeza. Begitu juga keadaan laut yang bergelora dapat digambarkan dengan berkesan ketika Tuty dilambung ombak di langit kelihatan kilat.
Isu pencemaran alam sekitar juga diketengahkan dalam buku ini. Tuty menyangka beg plastik obor-obor yang enak untuk dimakan. Tuty hampir tercekik memakan beg plastik. Pengajaran yang hendak disampaikan tentang pembuangan beg plastik dan sampah ke laut bukan sahaja mencemarkan air laut, tetapi menimbulkan bahaya kepada hidupan dan haiwan di laut.

Kesimpulannya, buku ini dapat memberikan pendedahan kanak-kanak tentang pengalaman hidupan laut, warna kedalaman air, kehidupan penyu, survival anak penyu dan kasih sayang. Kanak-kanak didedahkan dengan persembahan ilustrasi pelbagai sudut pandangan yang berbeza dan ilustrasi yang berkualiti. Motif batik juga diperkenalkan kepada kanak-kanak terhadap penghasilan ilustrasi buku. Buku ini seumpama filem yang terdapat kejelasan untuk diikuti sehingga akhir cerita.
KUMPULAN PUISI KANAK-KANAK
Puisi merupakan salah satu saluran pengucapan hati nurani yang jujur dan puitis. Dua unsur ini menjadikan puisi salah satu daripada genre sastera yang sangat dekat dalam hati kanak-kanak walaupun untuk penciptaannya sesuatu yang memerlukan daya taakulan dan kreativiti yang istimewa. Puisi kanak-kanak merupakan bentuk puisi yang ditulis khas untuk kanak-kanak dengan gaya bahasa yang mudah, berirama dan menarik. Puisi ini biasanya mengandungi unsur keindahan bahasa, imaginasi, serta nilai-nilai murni yang sesuai dengan tahap pemahaman kanak-kanak.
Panel penilai mendapati terdapat beberapa perkara perlu diberikan perhatian dalam penilaian puisi kanak-kanak seperti:
KRITERIA PUISI KANAK-KANAK
Panel penilai telah menerima tiga buah kumpulan puisi yang kesemuanya diterbitkan pada tahun 2022, iaitu:
Unduk-unduk Si Kuda Laut (Marzuki Ali)
Buku puisi Unduk-unduk Si Kuda Laut karya Marzuki Ali memuatkan 50 buah puisi yang berkisarkan hidupan di sungai dan laut. Mesej dan persoalan dalam kumpulan puisi ini mengajak kanak-kanak membuat kebaikan. Contohnya, terdapat sajak-sajak yang sarat dengan mesej positif seperti nilai persahabatan, kejujuran, tolong-menolong, dan kasih sayang. Melalui penggunaan sajak, penulis berjaya menyentuh perasaan kanak-kanak dan menanamkan aspirasi untuk menjadi individu yang lebih baik. Unsur-unsur puitis seperti rima dan irama turut menambah daya tarikan pada pembacaan sajak tersebut. Walau bagaimanapun, sesetengah sajak dalam kumpulan puisi ini didapati dibina dengan aras yang tinggi. Persoalan yang hendak disampaikan tidak sesuai untuk insan kanak-kanak. Ini dapat dilihat dalam petikan di bawah.
>>>>>Sepasang Belangkas
>>>>>Sepasang belangkas di air
>>>>>Berdakap berenang bersama
>>>>>Yang betina di hadapan besar badannya
>>>>>Yang kecil jantan berpaut di belakangnya
>>>>>Hidup dari zaman purba
>>>>>sehingga kini tetap berenang kembara
>>>>>anak-anak meleraikannya apabila berjumpa
>>>>>antara jantan dengan betinanya
>>>>>tetapi apabila di air
>>>>>ia kembali bersatu semula
>>>>>Dari kehidupan belangkas
>>>>>dibuat orang peribahasa
>>>>>pasangan berdua ke mana sahaja
>>>>>ibarat belangkas diusik sahaja
Aras persoalan yang hendak dipaparkan kepada kanak-kanak adalah tinggi, iaitu kehidupan belangkas. Penerapan persoalan yang terlalu kompleks boleh menjejaskan keupayaan kanak-kanak untuk memahami isi kandungan dan inti pati sajak tersebut. Kanak-kanak pada usia tertentu belum cukup mahir untuk menangkap maksud tersirat atau menganalisis metafora yang terlalu mendalam. Oleh itu, terdapat risiko mesej kebaikan dalam sajak tersebut tidak dapat diterjemahkan sepenuhnya kepada tindakan atau pemahaman kanak-kanak.
Bermain Gerimis (Lim Swee Tin)
Buku puisi Bermain Gerimis karya Lim Swee Tin memuatkan 51 buah puisi. Pada keseluruhan, penyajak memaparkan persoalan yang berlegar di persekitaran kanak-kanak. Kumpulan puisi ini mempunyai potensi dalam membimbing kanak-kanak kepada kebaikan, namun penggunaan gaya bahasa dan teknik yang cenderung stereotaip membatasi impak puisi terhadap perkembangan imaginasi dan pemikiran kanak-kanak. Dengan memperkaya teknik dan variasi tema, kumpulan puisi kanak-kanak ini dapat ditingkatkan untuk memberikan pengalaman pembacaan yang lebih berkesan dan menarik.
Planet Gergasi (Baseri Mat Yasit)
Buku puisi Planet Gergasi karya Baseri Mat Yasit memuatkan 10 buah sajak. Kumpulan sajak ini menunjukkan kelainan apabila penyajaknya mengemukakan puisi kanak-kanak yang bertemakan alam angkasa seperti “Planet Gergasi”, “Alien”, “UFO”, “Sinarmu”, “Ozonku”, “Meteor”, “Sampah Angkasa”, “Serpihan Maut”, “Jaluran Asteroid”, “Dinosaur”, “Muka Bulan” dan “Hujan Meteor”. Puisi yang mengangkat tema angkasa lepas atau dunia kosmik membawa pembaca kepada dimensi yang lebih jauh dan menarik. Dalam konteks penerokaan baharu terhadap dunia angkasa, puisi bukan sahaja membuka imaginasi pembaca terhadap alam semesta tetapi juga menekankan rasa ingin tahu, kekaguman dan ketakjuban terhadap keajaiban angkasa. Hal ini menjadikan puisi sebagai medium yang kuat untuk mendorong pemikiran ilmiah, inspirasi, serta rasa kagum terhadap keluasan dan keindahan alam semesta yang belum sepenuhnya diterokai oleh manusia. Namun begitu, kesilapan penyajak dalam kumpulan puisi ini ialah kesilapan ejaan. Perkara ini dapat dilihat dalam rangkap yang berikut: “Munkingkah ia bahaya/Bagi makhluk Bumi…” (“Hujan Meteor”)
Kesilapan ejaan dalam puisi kanak-kanak boleh memberikan pelbagai kesan negatif kepada kanak-kanak yang sedang belajar memahami bahasa. Kanak-kanak berada pada tahap perkembangan yang sensitif terhadap bahasa, di mana mereka mudah menyerap dan mengingati perkara yang mereka baca. Oleh itu, ketepatan ejaan adalah penting dalam membantu mereka memperoleh asas bahasa yang betul dan kukuh. Selain itu, kumpulan puisi tersebut akan menjadi lebih menarik jika dimuatkan dengan kepelbagaian tema tentang alam semesta.
Hasil perbincangan pada peringkat akhir dapat dirumuskan bahawa ketiga-tiga kumpulan ini memiliki gaya tersendiri. Walau bagaimanapun, panel mendapati terdapat beberapa kelemahan dalam kumpulan puisi tersebut seperti persoalan yang dikemukakan kepada kanak-kanak berada pada aras tinggi, gaya dan persoalan sajak yang stereotaip dan terdapat juga kesilapan ejaan. Justeru, panel penilai memutuskan tiada penerima untuk genre puisi.
PENUTUP
Pemenang HSPM kali ini menunjukkan kualiti terbaik dalam kandungan karya yang tersenarai. Panel penilai memperakui bahawa karya pemenang kali ini memperlihatkan muatan pemikiran yang kukuh dan berkualiti tinggi dalam pengaplikasian sarana sastera. Justeru, karya-karya pemenang kali ini dapat menjadi petanda yang baik dalam usaha meyakinkan perkembangan pemikiran dan keperluan psikologi kanak-kanak mutakhir dalam sastera Melayu kanak-kanak di Malaysia.
PANEL PENILAI
Profesor Dr. Bustam Kamri
Datin Profesor Madya Dr. Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi
Dr. Farra Humairah Mohd

Baca Laporan Berkaitan |
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Utama)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Novel)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Cerpen)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Cerpen Remaja Eceran)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Puisi)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Drama)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Buku Kajian Sastera, Kumpulan Esei/Kritikan Sastera, Buku Biografi/Autobiografi/Memoir dan Esei/Kritikan Sastera Eceran)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Kesusasteraan Remaja)
_________________________
Laporan ini disediakan oleh sekretariat Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 di bawah penyelenggaraan Bahagian Promosi dan Pengiktirafan Dewan Bahasa dan Pustaka.