Diterbitkan pada 25 Ogos 2025, 06:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

PENDAHULUAN

Cerpen Remaja yang tergolong dalam Kategori B: Karya Eceran merupakan karya perseorangan yang disiarkan buat kali pertama dalam akhbar, majalah, jurnal, buku, atau antologi dalam tempoh tahun penilaian. Penilaian terhadap cerpen eceran berpandukan kriteria umum yang disediakan urus setia perlulah menekankan keunikan dan kemampuan karya untuk mewakili era serta latar zamannya. Selain itu, cerpen yang dinilai perlu mempamerkan kepelbagaian dalam corak penceritaan, subjek pengisahan dan pemikiran, menjadikannya lebih dinamik dan relevan dengan khalayak remaja masa kini. Cerpen-cerpen yang dikemukakan juga harus menampilkan persoalan yang bersifat semasa, menyentuh sisi kehidupan masyarakat dengan pendekatan yang segar dan bermakna.

Di samping itu, kriteria umum urus setia juga menyatakan bahawa cerpen eceran remaja diharapkan dapat menggambarkan citra remaja yang unggul dengan watak-watak dinamis serta berdaya tahan dalam menghadapi cabaran kehidupan. Elemen pendidikan dan pengajaran turut menjadi komponen penting dalam penilaian bagi memastikan bahawa setiap karya bukan sahaja berperanan sebagai hiburan, tetapi juga menyumbang kepada pembentukan pemikiran kritis dan moral pembaca. Dengan ini, cerpen yang dihasilkan bukan sahaja memenuhi tuntutan estetika sastera, tetapi juga berfungsi sebagai wadah pembinaan nilai dan pemikiran yang bermakna bagi golongan remaja.

Panel penilai telah memperincikan kriteria yang disediakan dan berpandangan bahawa menilai cerpen remaja yang baik dan berkualiti memerlukan kriteria yang jelas dan berfokus kepada elemen penceritaan yang sesuai dengan khalayak sasaran serta menonjolkan kualiti sastera. Kriteria utama yang penting ialah watak yang menarik dan suara yang autentik. Cerpen remaja perlu menampilkan watak yang boleh diterima, bersifat pelbagai dimensi dan mencerminkan cabaran, aspirasi serta emosi remaja. Sama ada protagonis sedang menghadapi isu identiti, hubungan atau tekanan sosial, suara mereka mesti memaparkan sifat tulen dan sesuai dengan usia. Keaslian ini penting bagi mewujudkan hubungan antara pembaca dengan cerita serta menarik mereka ke dalam naratif.

Panel penilai juga berpandangan bahawa cerpen remaja yang baik mesti mempunyai naratif yang jelas dan mempunyai tumpuan tertentu, yang disampaikan dengan kata-kata yang persis, tanpa kompleksiti yang sia-sia dan mampu mengangkat mesej dengan mendalam. Plot yang dibina dengan baik mengimbangi kelajuan dan ketegangan, membawa kepada penyelesaian yang memuaskan atau memprovokasi pemikiran. Naratif yang kukuh dan ringkas dianggap sebagai kunci untuk mengekalkan perhatian pembaca muda.

Akhir sekali, penggunaan bahasa dan gaya yang kreatif menjadikan cerpen remaja istimewa. Penulisan haruslah mudah difahami tetapi tetap kaya dengan imejan deskriptif, dialog yang menarik, serta nada yang selaras dengan tema cerita. Kreativiti dalam penceritaan—sama ada melalui perspektif naratif yang unik, plot twist atau kebalikan plot yang mengejutkan, atau latar yang inovatif boleh meningkatkan kualiti cerita dan menjadikannya berkesan. Demikianlah, panel berpendapat bahawa gabungan watak yang dapat diterima, plot yang bermakna dan bahasa yang kreatif memastikan cerpen remaja bukan sahaja mampu memikat pembaca, tetapi juga meninggalkan kesan mendalam.

PENCALONAN CERPEN REMAJA

Bagi Kategori Cerpen Remaja, pihak urus setia telah mencalonkan sebanyak 200 karya; 73 bagi tahun 2021 dan 127 bagi tahun 2022 untuk diadili oleh panel penilai.

PENILAIAN CERPEN REMAJA

Membaca dan menilai 200 cerpen, tugas yang mencabar dan memerlukan kesabaran yang luar biasa serta komitmen yang tidak berbelah bagi. Setiap cerita yang dibaca membawa pelbagai emosi – ada yang memenatkan, ada yang menggembirakan dan ada pula yang menyentuh perasaan. Panel penilai telah menelaah setiap baris, setiap perkataan, setiap naskhah, dengan harapan untuk menemukan karya yang benar-benar istimewa. Namun, di tengah kepenatan, panel penilai juga merasai kepuasan apabila bertemu dengan cerita-cerita yang memikat hati dan menyentuh jiwa. Dengan penuh pertimbangan dan ketelitian, panel penilai akhirnya berjaya menyenaraikan sebilangan karya terbaik, meskipun hanya lima yang akhirnya layak dicadangkan sebagai pemenang. Setiap pilihan ialah hasil daripada perjalanan emosi yang mendalam, usaha yang penuh dedikasi dan penghargaan terhadap seni penulisan. Cerpen Remaja yang layak diangkat sebagai pemenang adalah seperti yang berikut:

  1. “Jaguh Ayah”, Roslan Daud (Tunas Cipta, Ogos 2021).
  2. “Katak yang Terpenjara”, Afif Zulhusni (Tunas Cipta, April 2021).
  3. “Menenun Kasih”, Clariessa Kesulai (Tunas Cipta, April 2021).
  4. “Lelaki yang Mengutip Serpihan Hatinya yang Berkecai”, Nadhirah Ghani (Tunas Cipta, Disember 2021).
  5. “Hujan Luruh di Fukushima”, Hafizul Osman (Dewan Siswa, Mac 2022).


1. “Jaguh Ayah” (Roslan Daud)

Cerpen “Jaguh Ayah” karya Roslan Daud memaparkan kisah menyentuh hati tentang keluarga, pengorbanan dan patriotisme yang berpusat pada hubungan tegang, tetapi penuh kasih sayang antara Emir dengan ayahnya. Melalui perjalanan Emir, daripada rasa kesal kepada perdamaian, cerpen ini menekankan pentingnya menghargai ibu bapa dan mengakui pengorbanan mereka yang sering tidak terlihat. Kebanggaan ayah terhadap Proton Saga, kereta nasional pertama Malaysia, menjadi simbol identiti negara dan kemajuan, menghubungkan cita-cita peribadi dengan semangat kebangsaan. Cerpen ini juga menampilkan cabaran hidup yang mengajarkan ketabahan dan keredaan melalui penggunaan metafora pendakian Bukit Keplu.

Dari segi teknik penceritaan, cerpen ini menggunakan imbas kembali dengan berkesan untuk menghubungkan konflik semasa Emir dengan kenangan masa kecilnya, memberikan kedalaman emosi kepada naratif. Simbolisme digunakan secara kreatif, seperti Jaguh (Proton Saga) yang melambangkan kebanggaan negara dan hubungan antara generasi. Dialog realistik antara watak memperkukuh naratif, menjadikan hubungan keluarga dan konflik mereka lebih hidup dan “relatable”. Kontras suasana kampung yang berubah daripada kawasan desa kepada destinasi pelancongan moden menggambarkan perubahan emosi dan perkembangan peribadi Emir.

Kekuatan cerpen ini terletak pada temanya yang universal dan relevan, terutamanya bagi remaja yang menghadapi konflik generasi dan tekanan demi memenuhi harapan keluarga. Transformasi Emir daripada seorang anak yang penuh dendam kepada seorang yang insaf dan menghargai keluarganya digarap dengan teliti. Namun, plotnya agak mudah dijangka dan watak sampingan seperti ibu kurang diberikan perhatian. Secara keseluruhan, “Jaguh Ayah” yang menggunakan teknik naratif yang berkesan, menampilkan mesej yang mendalam dan pengaruh budaya tempatan bukan sahaja menarik, tetapi juga menginspirasikan pembaca untuk menghargai keluarga dan warisan negara.

2. “Katak yang Terpenjara” (Afif Zulhusni)

Cerpen “Katak yang Terpenjara” oleh Afif Zulhusni memaparkan mesej penting yang mendorong pembaca untuk merenung tentang penjagaan alam sekitar dan integriti moral dalam kehidupan. Melalui teknik alegori, cerpen ini meneroka tema tanggungjawab terhadap alam sekitar, kepimpinan bermoral dan penebusan dosa melalui perjalanan wataknya, Tak, seekor katak yang bijak dan berani. Latar belakang cerpen ini ialah dunia yang menghadapi kemusnahan ekologi akibat kerakusan dan kejahilan yang dilambangkan oleh Tuan Presiden, makhluk berkepala dua seperti ular yang mewakili kepimpinan korup. Walaupun dipenjarakan, Tak menggunakan kebijaksanaan dan keberaniannya untuk mencabar tindakan Tuan Presiden serta membawa perhatian terhadap kesan buruk keputusan pemimpin tersebut seperti banjir besar dan kemusnahan alam.

Kekuatan cerpen ini terletak pada penggunaan watak-watak simbolik yang kreatif dan kebolehannya menyampaikan mesej yang kompleks dengan cara yang dapat difahami oleh pembaca muda. Namun, penyelesaian cerita terasa tergesa-gesa kerana transformasi Tuan Presiden berlaku secara mendadak tanpa huraian yang berkesan. Selain itu, rujukan kepada mitologi Yunani, walaupun menarik, mungkin kelihatan janggal. Latar tempat seperti penjara dan planet Soria juga boleh diperincikan lagi untuk meningkatkan imaginasi pembaca.

3. “Menenun Kasih” (Clariessa Kesulai)

Cerpen karya Clariessa Kesulai, “Menenun Kasih”, dengan berkesan meneroka tema identiti budaya, keluarga dan toleransi melalui naratif yang berlapis. Cerita ini memaparkan konflik antara tradisi masyarakat Iban dengan nilai Islam dalam konteks dua perkahwinan. Kesediaan Jessie menerima amalan budaya suaminya seperti ngepan dan nguai menjadi simbol penghormatan terhadap warisan tradisi, manakala perkahwinan Raudhah dengan lelaki Muslim mencetuskan ketegangan dalam keluarganya kerana dianggap menyimpang daripada adat. Kontras ini menyerlahkan cabaran menyeimbangkan pemeliharaan budaya dengan pilihan peribadi, menjadikan cerpen ini relevan dan membangkitkan pemikiran untuk pembaca remaja.

Kekuatan utama cerita ini terletak pada nukilan terperinci adat resam masyarakat Iban yang memperkaya naratif serta memperkenalkan pembaca kepada warisan budaya tempatan. Watak-watak seperti Jessie dan Aidil menjadi lambang penerimaan dan kompromi, dengan Aidil memainkan peranan penting sebagai penghubung yang menyatukan Raudhah dan bapanya, menonjolkan nilai kefahaman dan keharmonian dalam menyelesaikan konflik keluarga. Dialog yang realistik antara watak-watak turut memperdalam emosi cerita dan menambahkan keaslian penceritaan.

Namun begitu, penyelesaian cerita terasa agak tergesa-gesa, terutamanya dalam proses perdamaian antara Raudhah dengan bapanya, yang boleh diperhalus untuk memberikan impak emosi yang lebih mendalam. Walaupun begitu, mesej cerita tentang keharmonian budaya dan penghormatan terhadap tradisi tetap terserlah. Dengan konteks budaya yang kaya dan tema yang bermakna, cerpen ini memberikan inspirasi dan pengajaran yang bermakna kepada pembaca.

4. “Lelaki yang Mengutip Serpihan Hatinya yang Berkecai” (Nadhirah Ghani)

Cerpen karya Nadhirah Ghani, “Lelaki yang Mengutip Serpihan Hatinya yang Berkecai” mengangkat tema kemanusiaan dengan mesej mendalam tentang empati, harapan dan tanggungjawab sosial. Kisahnya berfokus pada seorang lelaki muda yang “mengutip serpihan hatinya” sebagai metafora terhadap kehilangan dan kesedihan, lalu menemukan kembali makna hidup melalui bantuan seorang asing. Mesej ini sangat menyentuh hati, relevan dan universal, menjadikannya mudah difahami dan sesuai untuk khalayak remaja.

Dari sudut teknik, cerpen ini menggunakan naratif linear dengan sudut pandang orang pertama yang membolehkan pembaca merasai emosi narator. Simbolisme “serpihan hati” memberikan lapisan interpretasi yang menarik, menonjolkan kedalaman cerita. Gaya bahasa yang mudah dan dialog yang jelas menjadikannya sesuai untuk pembaca muda. Namun, jalan ceritanya agak lurus dan kurang dramatik tanpa konflik besar yang boleh meningkatkan ketegangan atau minat pembaca. Perenggan yang panjang juga boleh mempengaruhi perhatian remaja yang gemarkan cerita lebih ringkas dan visual. Kekuatan utama cerpen ini terletak pada mesej dan tema yang mencetuskan renungan tentang nilai kemanusiaan. Pengakhiran yang positif memberikan kesan mendalam dan meninggalkan pembaca dengan pengajaran moral yang jelas. Namun, ketiadaan elemen konflik yang kompleks atau inovasi dalam plot sedikit sebanyak mengurangkan daya tarikannya.

5. “Hujan Luruh di Fukushima” (Hafizul Osman)

“Hujan Luruh di Fukushima” mengetengahkan nilai kemanusiaan, tanggungjawab sosial dan persoalan teologi melalui perbualan e-mel antara pengirim dengan rakannya, Nobutada Hiro, seorang jurutera di Loji Nuklear Fukushima. Mesej utamanya adalah tentang kerentanan manusia di hadapan bencana semula jadi seperti gempa bumi dan krisis nuklear, selain menekankan pentingnya empati serta penjagaan alam sekitar.

Penulis menggunakan gaya naratif peribadi, mengadunkan fakta dengan emosi, menjadikan penceritaan mendalam dan dramatik. Teknik surat-menyurat memberikan perspektif introspektif, mendorong pembaca untuk merenung isu-isu besar seperti etika, agama dan cabaran teknologi. Plot berkembang melalui situasi kritikal di Fukushima, di mana Nobutada tetap bertanggungjawab meskipun berhadapan risiko maut.

Cerpen ini memaparkan penyampaian emosi yang berkesan, penggunaan konteks sejarah seperti tragedi Chernobyl dan Kobe, serta refleksi mendalam tentang tanggungjawab sosial. Cerpen ini, oleh itu, tidak hanya menyentuh isu sains dan teknologi, tetapi juga aspek-aspek kemanusiaan dan spiritual. Namun begitu, dialog teologi kurang seimbang dan penjelasan teknikal tentang reaktor nuklear memerlukan kejelasan.

SEBUTAN ISTIMEWA

Selain lima cerpen yang terpilih, terdapat lagi cerpen-cerpen menarik yang wajar diberikan penghargaan. Kami sebutkan beberapa di sini kerana karya-karya tersebut berjaya mewakili isu dan persoalan tertentu seperti pandemik COVID-19, isu inklusiviti tentang remaja kurang upaya atau persoalan-persoalan tentang warisan budaya, kesihatan mental dan pergolakan peribadi, pertentangan generasi atau tema-tema humor, kisah seram dan ngeri atau fiksyen sains dan distopia.

Pandemik COVID-19 yang berlaku sepanjang tempoh terbitan 2020 – 2022 diwakili oleh beberapa karya dan salah satu yang menonjol ialah “Cerita Yasin: Saringan dan Vaksin” oleh Wan Marzuki Wan Ramli. Karya terbitan Dewan Siswa ini memberikan pandangan segar tentang ketakutan masyarakat terhadap pandemik COVID-19 melalui pendekatan humor yang menyentuh isu serius. Ketakutan Yasin terhadap ujian saringan dan vaksinasi mencerminkan kebimbangan sebenar yang dialami masyarakat. Penulis berjaya memasukkan unsur komedi dan kritikan sosial, memberikan sentuhan ringan tetapi realistik terhadap situasi yang berat dan mencabar tanpa meremehkan kepentingannya. Penyuntikan vaksin secara tidak sengaja semasa Yasin disahkan menghidap denggi menambah dimensi menarik kepada cerita ini, menjadikannya bukan sahaja menghibur tetapi juga bermakna. Meskipun humor melalui watak lurus bendul Yasin menjadi keistimewaan cerita ini, kekuatannya terletak pada kemampuan menangani tema penting seperti kesihatan awam dan kerjasama komuniti secara santai. Nada ringan tetapi beremosi memastikan cerita ini mudah dijiwai, lantas menjadikan karya menarik dan layak diberikan sebutan istimewa.

Cerpen “Sayang Angah” oleh Ain Firdaus dalam Tunas Cipta dengan indah menggambarkan ikatan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi antara adik-beradik, terutama apabila salah seorang daripadanya merupakan insan istimewa. Melalui imbasan kembali, pembaca dapat melihat bagaimana Aliah walaupun menghadapi cabarannya sendiri, tetap mempertahankan Angah daripada pembuli dan prasangka masyarakat. Kisah ini telah berjaya menghubungkan peristiwa lalu dengan kehidupannya kini sebagai seorang guru pendidikan khas, menunjukkan pengalaman masa lalu membentuk misi hidupnya. Tema cinta kepada kakak yang kurang bernasib baik, pengorbanan dan ketabahan yang disampaikan begitu menyentuh hati, menjadikan cerpen ini sebuah karya yang sangat berkesan. Butiran yang terperinci dan kedalaman emosi memperkukuh naratifnya, menjadikannya layak diberikan sebutan khas.

Cerpen ini turut menyentuh stigma masyarakat terhadap insan kurang upaya secara halus tetapi autentik. Sikap tegas ibu Aliah dalam mempertahankan anak-anaknya daripada penghinaan memberikan lapisan kekuatan dan kasih sayang yang mendalam. Perubahan Aliah daripada seorang adik yang agak lemah kepada seorang pendidik yang yakin amat menginspirasi dan menyentuh jiwa pembaca. Naratif ini membawa mesej universal tentang empati, kasih sayang dan kemenangan melalui ketabahan, menjadikan cerpen ini mempunyai kekuatan yang tersendiri.

Cerpen “Tongkat Wak Jani” karya Nordin Saad dan “Memorabilia” oleh Zalina Samsudin dalam Dewan Siswa mewakili persoalan identiti dan warisan. Tongkat Wak Jani menjadi metafora yang kuat bagi kehilangan warisan budaya akibat mengejar keuntungan material. Keterikatan Wak Jani terhadap tongkatnya, simbol tradisi dan identiti, sangat berbeza dengan kegagalan anaknya menghargai nilai tersebut. Naratif ini dengan berkesan menyerlahkan perbezaan generasi dalam memahami kebanggaan budaya dengan kekayaan material. Cerpen “Memorabilia” mengetengahkan subjek pohon hujan yang menjadi simbol kenangan dan identiti sebuah bandar kecil. Pohon ini bukan sekadar tumbuhan biasa, tetapi telah menjadi sebahagian daripada sejarah dan warisan tempat tersebut. Konflik utama cerpen ini berpusat pada cadangan untuk menebang pohon tersebut demi memberikan ruang kepada pembangunan komersial yang mencetuskan reaksi beremosi daripada pelbagai pihak, terutamanya watak utama.

Potret” oleh Azmeer Shah dalam Tunas Cipta dapat memikat pembaca dengan gambaran yang jelas dan peristiwa-peristiwa menyeramkan. Potret wanita terkutuk yang memerangkap mangsanya dalam kitaran kengerian merupakan ‘trope’ klasik yang diolah dengan baik. Pembangunan saspens daripada minat Joseph terhadap barangan antik hingga pertemuannya yang menyeramkan dengan makhluk ghaib, mengekalkan perhatian pembaca. Penamatnya yang menunjukkan Joseph menjadi sebahagian daripada potret, meninggalkan kesan yang mendalam. Walaupun cerita ini dapat mencipta suasana menyeramkan, pergantungan kepada elemen seram konvensional menjadikannya kurang inovatif. Sebagai karya genre fiksyen, cerpen ini memenuhi tujuan tetapi kurang kedalaman tematik. Namun, penceritaannya tetap menghibur dan layak mendapat sebutan istimewa.

PENUTUP

Secara keseluruhannya, penilaian cerpen eceran remaja bagi HSPM 2021/2022 telah memperlihatkan kekayaan dan kepelbagaian karya sastera yang dapat mencerminkan kehidupan serta pemikiran golongan remaja masa kini. Panel penilai mendapati bahawa kelima-lima cerpen terbaik bukan sahaja menampilkan naratif yang segar dan berkesan, tetapi juga mengandungi nilai estetika serta mesej yang relevan walaupun mempunyai kelemahan tertentu. Pemilihan lima orang pemenang mencerminkan keberhasilan karya yang mengangkat tema kekeluargaan, identiti budaya, tanggungjawab sosial, serta cabaran peribadi dan moral.

Selain itu, karya-karya yang menerima sebutan istimewa turut memainkan peranan penting dalam memperkaya wacana sastera remaja dengan mengetengahkan isu-isu semasa yang menyentuh perasaan dan mengajak pembaca untuk berfikir secara kritis.

Bagi memperkukuh perkembangan sastera remaja, para penulis digalakkan untuk terus meneroka tema-tema baharu yang relevan dengan realiti generasi muda. Identiti dan penemuan diri, keadilan sosial, kesihatan mental, serta cabaran teknologi digital merupakan antara isu yang semakin penting untuk diketengahkan dalam karya sastera bagi memberikan cerminan yang lebih mendalam terhadap dunia remaja. Selain itu, pendekatan kreatif dalam genre fantasi dan fiksyen sains yang berakar dalam realiti juga boleh membuka ruang bagi naratif yang lebih inovatif dan mencabar minda pembaca. Dengan penulisan yang lebih kritis, imaginatif dan reflektif, cerpen eceran remaja dapat terus berkembang sebagai wadah penting dalam membentuk pemikiran dan nilai moral generasi muda.

PANEL PENILAI

Profesor Dr. Md. Sidin Ishak
Dr. Madiawati Mamat@Mustaffa
Dr. Maharam Mamat

Baca Laporan Berkaitan |
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Utama)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Novel)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Cerpen)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Puisi)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Drama)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Buku Kajian Sastera, Kumpulan Esei/Kritikan Sastera, Buku Biografi/Autobiografi/Memoir dan Esei/Kritikan Sastera Eceran)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Kesusasteraan Kanak-kanak)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Kesusasteraan Remaja)

_________________________

Laporan ini disediakan oleh sekretariat Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 di bawah penyelenggaraan Bahagian Promosi dan Pengiktirafan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi