Diterbitkan pada 14 Ogos 2025, 09:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Irfan Fikri mengemukakan pandangan balas yang terperinci terhadap tulisan balas Jack Malik, “Keluar dari Gua”, sebagai kesinambungan wacana kritikal mengenai polemik sastera mutakhir.

Bagi meraikan telahan Jack yang begitu mahu berbahas soal agama dan wahyu dalam seni, demikian ayuh, kita fahamkan serba ringkas faham seni dalam diri seorang Muslim …

Saya tertanya-tanya kenapa tiba-tiba Jack Malik begitu beria-ia memperingatkan kita semua sampai dua kali bahawa seni bukan wahyu, seni bukan agama? Kenapa Jack begitu terasa walhal saya tidak pernah menyentuh pun wacana religi dalam tulisan balas sebelum ini.

Sepanjang pengalaman, nada sebegini hanya didapati apabila berhadapan dengan mereka yang cenderung ke arah faham sekularisme yang mengkultuskan agama itu hanya di ruang sembahyang, bukan dalam ruang bekerja, berfikir, berseni, bahkan bersembang? Saya tidak pasti bagi agama lain, tetapi setidak-tidaknya ini bukan Islam yang saya faham.

Dalam tradisi Islam, seni bukan sekadar ekspresi subjektif, sebaliknya objektif. Dalam Islam, akal tidak dibiarkan berjalan tanpa panduan, sebagaimana estetika tidak dibiarkan berenang tanpa batas, hal ini bagi mana-mana Muslim adalah terlalu asas. Oleh itu, bagi meraikan telahan Jack yang begitu mahu berbahas soal agama dan wahyu dalam seni, demikian ayuh, kita fahamkan serba ringkas faham seni dalam diri seorang Muslim.

Dalam kerangka seorang Muslim yang sedar akan taklif dirinya sebagai hamba Allah sembari khalifah, karya bukanlah wilayah bebas nilai, apatah lagi jika pengkaryaannya itu pula sekadar menurut hawa nafsu. Dengan demikian, apa-apa jua karya pastinya tertakluk pada ruang pertanggungjawaban, yakni mas’uliyyah adabiyyah (rujuk Abdel‑Rahman Badawi, Nizar Qabbani, Malek Bennabi dan ramai lagi) yang membawa tanggungjawab makna dan kesan terhadap masyarakat, zaman dan ketamadunan di dunia, lantas si pengkarya amat memahami apa-apa yang ditulisnya akan dikira hitung atas mizan amal di akhirat kelak.

Justeru, jika kenyataan seni bukan wahyu, bukan agama, maka hal itu bermaksud kita harus menjarakkan seni daripada nilai. Demikian hal ini ibarat cuba membersihkan cermin dengan menambah kabus dengan tidak menjernihkan apa-apa, bahkan menjauhkan kita daripada memahami peranan sastera dalam membentuk peradaban sejak sekian lama.

Dalam sejarah sastera Melayu dan dunia, kita melihat bagaimana para penyair dan pengarang besar tidak pernah memisahkan nilai daripada karya. Chairil Anwar bukanlah figura yang kekosongan nilai pada sajaknya “Aku” bukan sekadar pengisytiharan individualisme, tetapi pemberontakan terhadap feudal mentaliti dan pendogmaan akal. Maka tidak hairanlah, T.S. Eliot dalam esei “Tradition and the Individual Talent” (1919) turut merumuskan bahawa karya agung sastera mestilah menggabungkan “kepekaan peribadi dengan tradisi intelektual peradaban”, bukan sekadar mempamerkan emosi atau kebebasan artistik yang liar.

Bahkan dalam tradisi persuratan Melayu sendiri, kita tidak boleh melupakan Hamzah Fansuri dan Raja Ali Haji yang menulis dengan denyut wahyu di hujung pena atau Sasterawan Negara Usman Awang yang menjadikan puisinya alat pembela nasib bangsa dan kemanusiaan. Maka, mengapa kini kita meraikan sebuah puisi yang sekadar mengulang-ulang dongeng lama tanpa nilai tambah wacana yang absah, bahkan mengelirukan khalayak pula?

Jack sepertinya cuba memposisikan dirinya sebagai suara tengah antara relativisme dengan objektivisme, seolah-olah mahu menyelamatkan dunia sastera daripada dua kutub yang ekstrem. Namun dalam penghujahannya, kita melihat retakan besar antara apa yang dikatakan dengan apa yang dimaksudkan.

Contohnya, Jack mendakwa cita rasa bukanlah hujah utama, tetapi terus-terusan menerusi pelbagai metafora daripadanya semata-mata mempertahankan cita rasa sebagai elemen yang “berpengaruh” dalam keputusan juri dalam kebanyakan esei polemiknya. Ini falasi logik yang nyata. Jika selera tidak berpengaruh, mengapa harus diperkatakan malah dibela sakan? Jika selera berpengaruh pula, maka hal itu telah pun menjadi sebahagian daripada penilaian, walaupun tidak diakui secara rasmi.

Di sinilah letaknya kekeliruan Jack apabila beliau bukan memperjuangkan pluraliti gaya, tetapi sedang menyeludup relativisme nilai dalam bungkusan estetika di bawah lembayung istilah “heirloom variety”. Kita tidak menolak kepelbagaian bentuk, tetapi kita wajib menolak idea bahawa semua bentuk dan isi itu setara nilainya, hanya kerana hal itu diiktiraf oleh juri. Nilai, bukan selera, harus menjadi neraca.

Malangnya, Jack juga telah menuduh saya menganjurkan “absolutisme” hanya kerana saya tegas mempertahankan bahawa penilaian karya perlu berpaksikan pandangan sarwa nilai. Namun beliau tampaknya gagal membezakan antara absolutisme tafsiran dengan keteguhan prinsip. Sedangkan, apa yang saya perjuangkan ialah: agar karya sastera, terutama yang dinobatkan peringkat nasional, dinilai berdasarkan ukuran yang jelas dari segi bentuk, isi, kekuatan simbolik, keberanian wacana, dan sumbangan kepada tamadun, bukan sekadar kerana karya itu disukai oleh panel juri tertentu.

Vladimir Nabokov pernah mengingatkan, dalam kuliahnya yang dikumpulkan dalam Lectures on Literature (1980) bahawa pembaca yang baik bukanlah mereka yang hanya mengangguk atau menggeleng pada karya kerana rasa suka atau tidak suka. Pembaca yang baik menurutnya ialah mereka yang mengukur karya melalui bentuknya yang terjaga, ketepatan bahasanya dan keupayaan strukturnya memegang teguh keseluruhan makna.

Dalam syarahannya, Nabokov menegaskan bahawa keindahan yang sejati bukanlah kesan sementara seperti rasa manis di lidah, seperti yang Jack hujahkan, tetapi sesuatu yang bertahan, dapat dibaca semula dan tetap memberikan gegaran yang sama atau lebih mendalam dari satu zaman ke zaman yang lain. Itulah sebabnya beliau sering berseteru dengan pembaca yang hanya menilai novel-novelnya seperti Lolita dari segi moral atau rasa peribadi, sambil mengabaikan lapisan bentuk, permainan struktur dan seni bahasa yang membinanya sebagai sebuah magnum opus.

Inilah yang Jack malah mereka yang seangkatan dengannya gagal tangkap apabila mereka tidak pernah penat membawa analogi kulinari ke medan kritikan sastera. Tidakkah mereka sedar betapa rasa dalam kulinari bersifat seketika, ia hilang selepas ditelan. Manakala nilai dalam sastera ialah sesuatu yang bertahan, sesuatu yang boleh diulang-ulang, diuji zaman, dan dicerna semula dalam ruang waktu yang berbeza.

Jack cuba menyamakan kedua-duanya, lalu terperangkap dalam kekeliruan yang tidak disebutnya dengan nama. Kekeliruan itu halus bukan sekadar kesalahan kategori, tetapi juga penukaran hakikat (baca : misrepresentation) apabila sifat yang sementara dianggap mewakili yang kekal. Hal ini juga membawa bias rasa peribadi sebagai ukuran yang seolah-olah sah, padahal tanpa kriteria yang jelas, ia hanyalah kecondongan perasaan yang sedaya-upaya dihalalkan dengan hujah bertele cantik, tetapi hakikatnya berpusing di fulkrum hujah yang statik.

Sejarah kesusasteraan sarat dengan karya yang pada awalnya ditolak kerana “rasanya” hambar atau mengelirukan, namun kelak diangkat sebagai mercu pencapaian. Ulysses karya James Joyce, misalnya, dikecam kerana bahasanya berbelit, penuh monolog dalaman dan memecah konvensi naratif, tetapi dek inovasi strukturnya akhirnya novel ini diiktiraf sebagai revolusi bentuk novel moden. Begitu juga Rimbaud dengan A Season in Hell, yang pada zamannya dianggap keterlaluan dan sukar dicerna, namun sejarah kini melihatnya sebagai titik peralihan besar dalam puisi Perancis, membuka jalan kepada simbolisme dan surealisme.

Analogi dapur Jack demikian gagal membaca hakikat ini, apabila penilaian karya melalui “lidah” yang fana bererti menundukkan seni pada selera semasa, bukan pada nilai bentuk, struktur dan ketahanan makna. Karya sejati ialah jam pasir yang terus menitis gema makna yang merentas zaman, sementara karya yang hanya bergantung pada rasa akan mati di pinggan peradaban.

Apabila saya mengangkat kelemahan-kelemahan dalam puisi Zurinah bahkan puisi-puisi lain yang menang itu, saya lakukannya bukan sebagai “penjaga mutlak kebenaran”, tetapi sebagai pengamat sastera yang cuba berkongsi dengan khalayak untuk melihat bahawa mutu bukanlah sesuatu yang bebas dan kabur, bahkan dapat dihuraikan secara bernas lagi jujur.

Maka, jika ada yang ingin membidas hujah-hujah saya, sama ada ketika memperkatakan baik kekuatan mahupun kelemahan, saya amat alu-alukan. Asalkan penghujah sedar ruang penghujahannya baik dari sudut struktur, simbolisme, gaya bahasa, daya wacana, dan ketajaman retorik, kerana kita sedang menguji kelayakan serta keabsahan karya-karya itu sebagai representasi zaman lantaran telah diangkat sebagai karya-karya puncak sastera negara melalui Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM).

Karya sejati ialah jam pasir yang terus menitis gema makna yang merentas zaman, sementara karya yang hanya bergantung pada rasa akan mati di pinggan peradaban.

Saya sebenarnya tidak faham mengapa wujud semacam alergi terhadap penggunaan teori kritikan atau pandangan tokoh sastera, sama ada dari Timur atau Barat, seolah-olah menyebut Barthes, Bloom atau Bachelard itu satu dosa intelektual. Dalam polemik, kita mesti membezakan antara alat hujah dengan inti hujah. Demikian, yang wajar dibidas ialah intinya, dan penghujah yang bijak akan meneliti dahulu sama ada alat itu sahih atau tidak. Setelah sahih, sesuai atau tidak pula.

Sejarah membuktikan bahawa karya agung sentiasa dibaca dan salah satunya melalui kerangka. Shakespeare difahami semula melalui New Historicism Stephen Greenblatt sementelahan Rumi dihidupkan kembali oleh pembacaan hermeneutik yang berakar pada teori. Menolak teori hanya kerana ia “luar” atau “tidak perlu” ialah alasan murahan yang sering digunakan untuk melindungi karya yang tidak tahan diuji, apatah lagi karya-karya yang dinilai tinggi telah mengatasi ribuan karya seperti penjurian HSPM.

Pada akhir, jika setelah disaring semua, kebenaran lawan itu nyata, orang waras akan mengakuinya. Yang enggan berbuat demikian hanyalah mereka yang tidak berniat atau tidak minat pada kebenaran, cuma ghairah mahu menang perbalahan atau paling kurang menunjuk-nunjuk tulisan.

Berhubung pembelaan Jack terhadap puisi Zurinah dengan memetik Matthew Zapruder itu pula, saya tidak menolak pandangan bahawa puisi bukan medan khutbah atau ceramah. Namun apabila hujah itu digunakan untuk mengaburi kelemahan tafsiran dalam puisi Zurinah, hal itu merupakan pengalihan wacana yang tidak jujur.

Saya tidak pernah mendesak puisi agar menjadi mimbar moral; yang saya persoalkan ialah bagaimana puisi Zurinah, dengan struktur longgar dan diksi klise, gagal mempersegar alegori klasik yang digunakannya dengan falsafah nilai yang berkecamuk. Jack khilaf memandangkan menurut saya, versi Marwilis lebih dramatik bukan kerana ia prosa, tetapi kerana ia hadir dengan kelainan yang mencetus, baik dari segi naratif mahupun konflik psikologi watak. Zurinah pula tenggelam dalam moral yang pincang dan tafsiran yang songsang.

Maka, tidak benar jika saya dituduh menyahfungsikan puisi; saya mempertahankan bahawa puisi mesti dan mampu melampaui prosa jika ditukangi dengan ketajaman bentuk dan kejujuran makna. Dalam hal ini, yang tempang bukan potensi puisi, tetapi pelaksanaan oleh Zurinah, seperti yang telah saya buktikan dalam tiga hujah utama dalam tulisan saya terdahulu, yang jika tidak mahu ditolak oleh Jack, demikian menjustifikasikan mengapa menurut pandangan saya, puisi itu gagal.

Tambahan pula, apabila Jack menyifatkan baris puisi Zurinah sebagai “prophetic”, saya tidak nampak di mana letaknya gegaran puisinya. Hanya kerana menyebut “erti lalai dan leka” tidak menjadikan sesuatu puisi itu agung, lebih-lebih lagi jika nilainya sekadar dihampar tanpa dramatik, konflik,atau renjatan bentuk yang menggugat rasa.

Bagaimana hendak dikatakan begitu bernilai, sudahlah watak arnab dijulang sebagai subjek yang bersifat self-glorifying, wujud pula ungkapan “lebih bermanfaat” dalam puisi itu yang menambahkan lagi tanggapan bahawa wujud paksaan kepada khalayak untuk menerima tafsiran alternatif dalam puisi Zurinah sebagai moral yang lebih agung ketimbang kefahaman moral selama ini yang jauh lebih terang lagi bersuluh.

Jack turut menggunakan analogi Wynton Marsalis dari dunia muzik, kononnya “pendengar pertama ialah pemainnya”, untuk membela puisi Zurinah. Namun sejarah muzik jelas menolak hujah ini. Sejak era Baroque, Bach dengan Brandenburg Concertos dan Vivaldi dengan The Four Seasons membentuk suara mereka sendiri bukan dengan memutuskan warisan, tetapi dengan memperhalus dan memperkaya bentuk muzik yang sudah mapan. Bach mengangkat concerto grosso ke puncak seni kontrapuntal, sementara Vivaldi memanfaatkan solo concerto warisan Corelli dan Torelli, lalu menyuntik unsur naratif dan imejan bunyi yang segar, menjadikan karya mereka bukan sekadar lanjutan tradisi, tetapi tonggak yang mendefinisikan zamannya.

Stravinsky pula menggoncang dunia dengan The Rite of Spring kerana pendengar sudah mengenal bentuk yang dirombaknya; Armstrong, Davis dan Coltrane dalam seni jaz yang dicuplik Jack itu lahir daripada akar ragtime, blues dan swing yang telah mereka dengar, hadam dan kembangkan. Bahkan Beethoven, walaupun pekak di hujung usia, mencipta Symphony No.9 hasil latihan seumur hidupnya dalam dialog dengan tradisi muzik dan khalayak.

Sejarah seni membuktikan bahawa karya agung tidak lahir daripada gema kepala sendiri, tetapi melalui interaksi berterusan dengan zaman dan pendengar, termasuklah para pengulas dan pengkritik. Maka, menggunakan analogi muzik untuk membenarkan puisi hambar tidak ubah seperti menabalkan gema bilik kosong sebagai simfoni agung, sebuah ilusi yang runtuh apabila disemak di hadapan sejarah.

Apabila menganggap nilai, moral, kebenaran, dan pandangan sarwa sebagai “barang luar” yang dibawa masuk ke dalam sastera pula satu sikap mengabaikan hakikat bahawa sejak Homer hingga Rumi, karya agung tidak pernah wujud dalam vakum moral atau pandangan dunia yang terpisah daripada teks. Divina Commedia Dante dibina di atas teologi Katolik, Shahnameh Ferdowsi menyulam sejarah, mitos dan moral bangsa Parsi, bahkan Hikayat Hang Tuah bukan sekadar hiburan, tetapi medan pergelutan nilai kesetiaan dan keadilan.

Plato sendiri dalam Republic menggunakan alegori dan mitos untuk memikul beban falsafah, kerana beliau sedar, apa yang Jack cuba nafikan bahawa sastera sering kali menjadi obor yang menyalakan jalan keluar dari gua. Memang benar sastera bukan “kitab samawi” dalam erti wahyu, tetapi menyindir usaha menjadikannya penerang ketamadunan seolah-olah itu beban yang tidak wajar, ialah hujah yang mengabaikan peranan sejarah sastera sebagai penentu haluan nilai dan makna hidup.

Demikianlah kehairanan mengapa puisi Zurinah yang hambar itu dipilih untuk menang adalah wajar. Jangan pula dikatakan kita menafikan jasa tokoh, sebaliknya yang dipersoalkan ialah karya, dan dalam dunia intelektual yang waras, itulah tugas paling jujur seorang pengkritik. Oleh itu, apakah benar kita sudah keluar dari gua, atau cuma berpindah dari satu sudut bayang ke bayang yang lain, lalu menyangka cahaya itu milik kita hanya kerana pantulannya tampak molek di dinding yang menipu?

Sastera bukan tempat bersembunyi dalam selimut relativisme. Ini medan keberanian. Dan keberanian itu pula bukan pada kelenturan gaya, tetapi kejujuran menamakan yang pincang itu pincang, yang lemah itu lemah; bukan “boleh jadi itu, boleh jadi ini”. Relativisme yang dikunyah tanpa sempadan hanya akan melahirkan sastera yang lembik, takut ditegur, kabur nilai, kehilangan maruah, bahkan lebih teruk lagi jika pendiriannya tidak ubah seperti sesumpah, asal boleh semua boleh, seakan-akan apa yang kita karyakan terlepas daripada neraca mahsyar.

Walhasil, kalau benar kita ingin keluar dari gua, jangan cuma berdamai dengan bayang-bayang. Selagi masih diberikan nikmat untuk bernafas, bakar saja gua itu dan biarkan cahayanya menelanjangi segala yang selama ini kita sembunyikan atas nama selera atau cita rasa.

_________________________

Irfan Fikri, susuk generasi baharu yang belum mencecah empat dekad usia, membesar bersama-sama helaian Dewan Sastera dan Tunas Cipta, dua bacaan utama yang menumbuhkan minat hingga menggerakkannya berkongsi pemerhatian tentang denyut nadi kesusasteraan tanah air.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi