Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHidayyah AT Mizi menulis tentang autoriti makna, milik penulis atau pembaca; atau sebenarnya makna dalam teks melalui rundingan dinamik yang berterusan antara penulis dengan pembaca.
Pengkritik berperanan dalam mengungkapkan lapisan makna yang mungkin tersembunyi atau tidak disedari oleh penulis. Jika autoriti makna diserahkan hanya kepada pengarang, sastera akan terperangkap dalam monolog.
Persoalan tentang siapa yang berhak menentukan makna dalam teks sastera merupakan perdebatan lama dalam tradisi kritikan dan teori kesusasteraan. Isu ini bukan sahaja melibatkan hubungan antara pengarang dengan pembaca, tetapi juga menyinggung aspek linguistik, semiotik serta dimensi sosial yang membentuk pemaknaan teks.
Polemik ini pada asasnya dapat diringkaskan kepada dua kutub: di satu pihak, pengarang dianggap sebagai pencipta dan pemilik mutlak makna; di pihak lain, teks dilihat sebagai entiti autonom yang terbuka kepada pelbagai kemungkinan tafsiran oleh pembaca dan pengkritik. Perdebatan ini menjadi semakin kompleks apabila digabungkan dengan wacana linguistik moden yang menekankan sifat tanda bahasa sebagai sistem terbuka, polisemi dan sentiasa dinegosiasikan dalam konteks sosial.
Esei ini membalas tulisan Ramzah Dambul untuk meneliti isu keakuan penulis dan autoriti makna dengan menggabungkan perspektif teori kesusasteraan dan linguistik. Fokus diberikan kepada bagaimana pengarang, teks dan pembaca saling berinteraksi dalam menghasilkan makna, serta bagaimana teori semiotik, pragmatik dan wacana memberi landasan baharu untuk memahami perdebatan ini.
Akhirnya, hujah utama yang diketengahkan ialah makna sastera tidak pernah tunggal atau mutlak, sebaliknya terbentuk melalui rundingan dinamik yang melibatkan penulis, teks, pembaca, dan konteks.
Keakuan Penulis: Intentionalism dan Integriti Karya
Keakuan penulis merujuk kecenderungan pengarang untuk mempertahankan makna asal yang diyakininya terkandung dalam teks. Dalam tradisi intentionalism (niatisme?), pengarang dianggap sebagai pusat autoriti makna. Segala niat, pengalaman dan visi kreatifnya dilihat sebagai benih yang melahirkan teks. Oleh itu, apabila pengkritik atau pembaca menawarkan tafsiran yang bertentangan dengan maksud asal, pengarang mungkin menolak tafsiran tersebut atas alasan mempertahankan integriti karya.
Namun begitu, terdapat persoalan epistemi (epistemic) yang sukar dielakkan, iaitu sejauh manakah pembaca benar-benar mampu menyingkap niat pengarang? Bahasa sebagai medium komunikasi sentiasa bersifat terbuka dan tidak sepenuhnya dapat menyalurkan maksud batin seseorang. Lebih daripada itu, jarang-jarang pengarang sendiri tidak menyedari makna implisit yang lahir daripada pemilihan kata atau struktur naratif yang digunakannya. Dalam hal ini, keakuan penulis meskipun wajar dari sudut keperibadian kreatif, tetap berhadapan dengan batas epistemi yang menjadikan autoriti makna tidak mutlak.
Autonomi Teks: Daripada Kritikan Baharu kepada Respons Pembaca
Kritikan Baharu (New Criticism) membawa gagasan bahawa teks sastera mempunyai struktur dan makna dalaman yang dapat dianalisis tanpa merujuk biografi atau niat penulis. Prinsip close reading menekankan bahawa teks itu sendiri sudah mengandungi makna yang boleh diteliti melalui simbol, ironi, metafora, dan struktur formal. Dalam kerangka ini, penolakan pengarang terhadap tafsiran alternatif tidak dapat menafikan hakikat bahawa teks tetap terbuka kepada pelbagai bacaan.
Seterusnya, teori respons pembaca menegaskan bahawa pembaca ialah subjek aktif dalam membentuk makna. Wolfgang Iser, Stanley Fish dan pelopor lain menekankan bahawa konsep horizon harapan, komuniti interpretatif serta peranan pengalaman individu diguna pakai dalam menentukan pemaknaan. Menurut pandangan ini, makna tidak hanya lahir daripada teks, tetapi juga daripada interaksi antara teks dengan pembaca yang membawa latar budaya, pengalaman hidup dan kerangka pemikiran yang tersendiri. Maka, jika kita menolak tafsiran pembaca, hal itu sama dengan kita menolak sifat dialogik karya sastera.
Fungsi Kritikan: Bakhtin dan Dialogisme
Pengkritik berperanan dalam mengungkapkan lapisan makna yang mungkin tersembunyi atau tidak disedari oleh penulis. Jika autoriti makna diserahkan hanya kepada pengarang, sastera akan terperangkap dalam monolog (bercakap dengan diri sendiri). Mikhail Bakhtin memperkenalkan konsep dialogisme yang melihat teks sebagai medan pertembungan suara, perspektif dan wacana yang berbeza. Dari sudut ini, pengkritik dan pembaca tidak sekadar mentafsir, tetapi juga menyumbang pada perluasan makna. Oleh itu, autoriti makna wajar dilihat sebagai hasil rundingan dinamik, bukan milik mutlak penulis.
Perspektif Linguistik: Bahasa sebagai Medium Kuasa Semiotik Saussure dan Peirce
Ferdinand de Saussure memahami bahasa sebagai sistem tanda yang terdiri daripada penanda (signifier) dan petanda (signified). Makna wujud melalui perbezaan antara tanda dalam sistem, bukan semata-mata melalui niat pengarang. Charles Sanders Peirce memperluas model ini dengan konsep interpretant, iaitu makna sentiasa lahir melalui proses tafsiran tanpa henti. Perspektif semiotik ini menunjukkan bahawa walaupun pengarang memilih tanda, makna yang muncul tetap dipengaruhi oleh jaringan sosial dan budaya yang dikongsi.

Strukturalisme dan Kod Barthes
Roland Barthes melalui analisis S/Z memperkenalkan pelbagai kod (hermeneutik, proairetik, semik, simbolik, dan budaya) yang mengawal pembacaan. Walaupun Barthes menolak autoriti pengarang dengan gagasan kematian pengarang, ideanya tentang kod memperlihatkan bahawa penulis boleh “memasang perangkap” semiotik untuk mengiring pembaca ke arah tertentu. Makna teks, dalam hal ini, merupakan hasil interaksi antara strategi pengarang dengan kod budaya yang diaktifkan oleh pembaca.
Pragmatik dan Teori Tindak Tutur
John L. Austin dan John Searle memperlihatkan bahawa ujaran bukan sekadar menyampaikan makna, tetapi juga melakukan tindakan. Dalam sastera, ujaran naratif membawa dimensi ilokusi (niat) dan perlokusi (kesan). Penulis boleh merancang gaya penceritaan yang mempengaruhi emosi pembaca, membentuk simpati atau menimbulkan kejutan. Walaupun kesan ini tidak dapat dikawal sepenuhnya, pengarang tetap memiliki kuasa tidak langsung melalui pilihan ujaran.
Wacana, Kuasa dan Ideologi
Michel Foucault mengingatkan bahawa bahasa bukan sekadar medium neutral, tetapi instrumen kuasa. Melalui analisis wacana kritis (Fairclough dan van Dijk), dapat dilihat bagaimana pilihan kata, struktur naratif dan gaya retorik membentuk horizon pemikiran pembaca. Walaupun pembaca boleh menolak tafsiran dominan, mereka tetap beroperasi dalam ruang wacana yang sudah dipasang oleh penulis.
Pandangan ini disokong oleh Rohaizah Karim (2014) yang menyatakan bahawa setiap ucapan yang disampaikan berperanan mengukuhkan kuasa, mempertahankan idea serta, menyampaikan ideologi dan kepentingan lain. Pengucapan ialah salah satu komunikasi yang mampu untuk menjadi medium penyampai kepada para pendengar (dalam konteks esei ini merujuk pembaca).
Umberto Eco dan Pembaca Model
Umberto Eco mengemukakan konsep pembaca model, iaitu pembaca ideal yang diunjurkan oleh teks. Penulis melalui strategi semiotik tertentu mencipta rangkaian petunjuk yang mengiringi pembaca ke arah tafsiran tertentu. Walaupun karya bersifat terbuka dan membenarkan polisemi, teks tetap mempunyai mekanisme dalaman yang mengehadkan keterbukaan tersebut. Hal ini menunjukkan bahawa pengarang masih berkuasa, meskipun secara halus dan tidak mutlak.
Rundingan Dinamik antara Penulis, Teks dengan Pembaca
Perdebatan tentang autoriti makna juga menunjukkan bahawa sastera bukanlah produk statik, sebaliknya medan dialog yang sentiasa segar …
Berdasarkan gabungan perspektif kesusasteraan dan linguistik, jelas bahawa autoriti makna tidak pernah bersifat mutlak. Pengarang mencipta teks dengan visi dan strategi tertentu, namun teks itu sendiri memiliki struktur autonomi yang membuka ruang pelbagai tafsiran. Pembaca pula membawa latar belakang, horizon harapan dan kerangka budaya yang mempengaruhi cara mereka membaca. Keseluruhan proses ini menjadikan makna sebagai hasil rundingan yang sentiasa berubah dan berkembang.
Perdebatan tentang autoriti makna juga menunjukkan bahawa sastera bukanlah produk statik, sebaliknya medan dialog yang sentiasa segar. Karya sastera klasik tetap boleh ditafsir semula dalam konteks kontemporari kerana sifat polisemi dan keterbukaannya. Penolakan pengarang terhadap tafsiran baharu mungkin sah sebagai hak peribadi, tetapi dari sudut epistemi, makna tidak boleh dipenjarakan dalam niat asal.
Perdebatan tentang keakuan penulis dan autoriti makna memperlihatkan bahawa makna sastera ialah fenomena kompleks yang melibatkan interaksi pelbagai faktor. Intentionalism menekankan hak pengarang, Kritikan Baharu menekankan autonomi teks, manakala teori respons pembaca dan dialogisme Bakhtin mengutamakan pembaca. Sementara itu, linguistik semiotik, pragmatik dan wacana memperlihatkan bahawa bahasa itu sendiri sudah menjadi medan kuasa yang membentuk tafsiran.
Oleh itu, autoriti makna paling wajar difahami sebagai proses dialogik yang melibatkan pengarang, teks, pembaca, dan konteks sosial. Makna sastera sentiasa bersifat polisemi, terbuka dan berlapis. Keakuan penulis mungkin mencerminkan usaha mempertahankan integriti, tetapi hakikatnya, makna hidup dalam interaksi kolektif inilah yang menjadikan sastera terus relevan sepanjang zaman.

_________________________
Hidayyah AT Mizi ialah penulis dari Perak. Beliau banyak menyumbangkan puisinya di beberapa media massa. Kata-kata yang Muncul di Cermin (Kata-Pilar, 2021) merupakan kumpulan puisi sulungnya.