Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangZa’im Yusoff merasakan bahawa polemik sastera yang sedang berlaku baru-baru ini menimbulkan suatu percambahan intelektual yang positif dalam dunia sastera kita.
Maka, dalam contoh-contoh ini, sama ada di Paris mahupun di Kuala Lumpur, kita dapati satu kesamaan betapa sastera yang hidup bukanlah sastera yang sunyi daripada pertentangan, tetapi sastera yang sanggup menampung ketegangan dengan martabat intelek dan keberanian nurani.
Selepas pengumuman Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2021/2022, dunia sastera tempatan mengalami gegaran semantik yang tidak kecil. Gegaran ini bukan kerana siapa yang menang atau siapa yang tersisih, tetapi kerana satu perkara yang lebih mendasar, khalayak sastera sedang mencari makna.
Dan makna, bukanlah sesuatu yang disuap, tetapi sesuatu yang harus ditafsirkan secara jujur, berlapis dan terbuka. Lantas, adakah menjadi suatu kesalahan jika ramai yang mahu mentafsir, mempertahan, malah mempertikai penilaian HSPM itu?
Dalam sejarah panjang sastera dunia, polemik tidak pernah menjadi musuh kebenaran. Bahkan, dalam Dialogues Concerning Natural Religion, David Hume menyatakan bahawa hanya dalam pertelingkahan intelektual yang jujur, manusia dapat menghampiri kebenaran.
Dalam dunia sastera, perkara ini berulang. Lihatlah bagaimana Salman Rushdie menghadapi gelombang kebencian global berikutan penerbitan The Satanic Verses; polemiknya bukan sekadar antara teks dengan agama, tetapi antara kuasa, makna dengan kebebasan intelek.
Begitu juga di tanah air. Perbalahan antara Shahnon Ahmad dengan Kassim Ahmad dalam dekad 1980-an tentang sastera Islam telah menjadi batu tanda bagaimana sastera mampu menampung ketegangan ideologi dan spiritualiti. Perdebatan ini bukan sahaja memperlihatkan keberanian intelektual, tetapi mencetus suatu kesedaran bahawa sastera ialah ruang pertarungan makna yang paling jujur dan paling luhur jika ditangani dengan akal dan adab.
Malah, peristiwa ini bukanlah unik kepada kita. Pada peringkat antarabangsa, kita menyaksikan polemik yang tidak kurang sengit, misalnya pertembungan antara Jean-Paul Sartre dengan Albert Camus pasca-Perang Dunia Kedua. Pertikaian mereka bukan sahaja tentang eksistensialisme lawan humanisme, tetapi tentang tanggungjawab moral penulis terhadap kekuasaan, penderitaan dan penjajahan.
Camus enggan menyokong kekerasan revolusi, seperti yang dipertahankan oleh Sartre. Akibatnya, mereka putus persahabatan dan dunia sastera Eropah pun terbelah antara dua pendekatan falsafah yang sama-sama tajam dan jujur. Ironinya, mereka bukan hanya menulis, tetapi mereka hidup dalam tulisan mereka. Bahkan, perbezaan mereka tidak pula memusnahkan sastera Perancis, malah menyuburkannya dengan cabang-cabang pemikiran yang lebih rencam dan membumi.
Maka, dalam contoh-contoh ini, sama ada di Paris mahupun di Kuala Lumpur, kita dapati satu kesamaan betapa sastera yang hidup bukanlah sastera yang sunyi daripada pertentangan, tetapi sastera yang sanggup menampung ketegangan dengan martabat intelek dan keberanian nurani.
Oleh itu, menulis ulasan terhadap HSPM atau apa-apa jua bentuk penilaian pun, baik secara positif, kritikal mahupun neutral, bukanlah tanda kecewa atau iri hati. Usaha menulisnya ialah bentuk kebertanggungjawaban intelektual terhadap ekosistem yang mahu terus matang. Hakikatnya, tiada satu pun reaksi ini akan mengubah keputusan juri. Akan tetapi, hasil polemik ini boleh mengubah cara kita membaca, menulis dan menilai selepas ini. Itulah kuasa sebenar wacana.
Saya menyambut baik pandangan Fahd Razy dan Muhammad Lutfi Ishak yang menyarankan bahawa Dewan Sastera sebagai medan utama menyaring dan menyantuni polemik sastera dengan tertib dan berlapik. Hal ini bukan pujian kosong. Inilah pengiktirafan terhadap institusi yang sanggup menampung gemuruh suara tanpa mengusirnya.
Keterbukaan ini penting, kerana hanya masyarakat terbuka yang mampu mempertahankan dirinya daripada menjadi dogmatik dan beku. Oleh itu, keterbukaan itu perlu berjejak di medan yang rasmi, tuntas dan terbaca bukan semata-mata di ruangan peribadi yang akhirnya lenyap ditelan oleh algoritma digital.
Selain Dewan Sastera, kita turut gembira melihat keberanian portal Seni Malaya yang terus mengasah akal khalayak dengan ketajaman analisis dan MalaysiaKini yang tetap meletakkan sastera sebagai sebahagian daripada wacana masyarakat sivil. Dalam dunia yang makin mabuk imej dan sensasi, baik daripada aktor politik hinggalah tukang sulap kapitalis, mereka tetap memilih untuk mendengar kata dan makna daripada khalayak sastera dan hal itu satu keberanian yang jarang-jarang ada.
Kepada para penulis, saya ingin menyeru, termasuklah kepada diri sendiri, agar marilah sama-sama kita menulis, bukan hanya untuk melepaskan rasa, tetapi untuk menyusun suara. Suara yang tersusun ialah benih tamadun. Jangan biarkan pendapat kita hanya hidup di status Facebook, komen TikTok atau bebenang X.
Tulislah di tempat yang boleh diarkib, yang boleh disemak semula, yang boleh menjadi bahan rujuk para penikmat sastera 10 tahun akan datang. Jangan biar suara kita menjadi gema kosong di lorong maya. Biarlah pandangan kita menjadi ukiran makna di dinding zaman.
Kerencaman suara inilah yang menjadikan sebuah institusi itu hidup bukan kerana semua setuju, tetapi kerana semua sudi berdialog.
Institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang sekian lama menjadi tiang seri dalam pembinaan tamadun bahasa dan sastera kebangsaan, wajar terus diraikan atas keupayaannya menampung pelbagai suara, termasuk yang kritikal dan berbeza pandangan. Sebagai rumah ilmu yang dihormati, DBP telah dan sedang memainkan peranan penting dalam memayungi ekosistem pemikiran bangsa. Rumah ilmu yang hebat bukan kerana rumah itu senyap dan sunyi, tetapi kerana rumah itu terbuka menerima kunjungan minda di mana ada yang datang bertanya, ada yang berselisih secara beradab, ada yang mahu menambah bata makna pada binaan yang sedia ada.
Kerencaman suara inilah yang menjadikan sebuah institusi itu hidup bukan kerana semua setuju, tetapi kerana semua sudi berdialog. Seperti rumah yang tidak pernah sepi daripada derapan tapak kaki, daripada suara bertukar fikir, daripada debu yang membekas pada lantai ilmu, maka, jika DBP terus memelihara keterbukaan ini, DBP bukan sahaja membuktikan kewibawaannya sebagai penjaga khazanah bahasa dan budaya, tetapi juga sebagai pemimpin wacana yang mengakar dalam realiti dan berpucuk pada masa depan.
Kita harus akui bahawa hari ini bukan lagi zaman polemik satu arah. Dahulu, satu artikel sebulan sudah cukup untuk menyambung siri perdebatan. Kini, satu sajak disiarkan, dalam 10 saat sudah ada komentar, 20 saat kemudian muncul ulasan, sejam selepas itu muncul kritikan balas. Hal ini bukan kelemahan. Inilah kekuatan yang menunggu kita untuk mengurusnya dengan tertib. Di sinilah pentingnya platform rasmi seperti Dewan Sastera sebagai pemeta arah agar tsunami makna ini tidak menenggelamkan perahu akal.
Akhirnya, kita harus faham bahawa polemik bukan musuh. Polemik ialah seismograf pada gegaran zaman. Polemik memberitahu kita bahawa sesuatu sedang hidup, sedang bergerak, sedang mencari bentuknya. Maka, jangan takut pada bunyi pahat selepas rumah siap. Pahat ialah degupan nadi pada bangunan budaya kita. Jika kita mahu rumah itu terus berdiri megah, kita harus benarkan suara-suara itu terus berbunyi. Asalkan tidak sewenang-wenangnya merobohkan bahkan memperkuatkan yang bukan sahaja boleh diperoleh melalui cadangan dan sumbang saran, bahkan menerusi kritikan juga bangkangan.
Namun dalam keghairahan kita meraikan keterbukaan, perlu juga kita membezakan antara reaksi pantas dengan respons intelektual. Tidak semua yang lantang itu kritis dan tidak semua yang senyap itu lemah. Dalam era pascamedia sosial, kita makin terdedah pada “pendapat segera” yang lebih dekat dengan impuls emosi daripada pertimbangan intelektual. Seperti kopi segera, hal ini mungkin menghangatkan sebentar, tetapi jarang-jarang menyuburkan. Sastera dan kritik memerlukan masa, seperti menyeduh teh daun yang perlahan lalu mengeluarkan warna dan aroma.
Jika tidak, kita hanya akan menyaksikan ledakan-ledakan retorik yang cepat padam, tanpa sempat menyinari apa-apa. Maka, di sinilah nilai respons berfikir itu perlu ditegakkan sebagai benteng antara kritik yang membina dengan kecam yang membinasakan. Tugas penulis bukan hanya menyuarakan, tetapi juga memaknai.
Tuntasnya, tulislah dan simpanlah tulisanmu di tempat yang boleh dijumpai esok. Bukan hanya oleh kita, tetapi oleh anak cucu yang ingin tahu bagaimana bangsa ini pernah berfikir, berselisih dan akhirnya, berjiwa.
_________________________
Za’im Yusoff yang kini bertugas dalam dunia perbankan juga merupakan seorang penulis yang banyak menyumbangkan puisi dan esei, baik dalam media maya mahupun media bercetak.