14 Mac 2024, 09:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Selepas terlibat dengan antologi Citra Kebenaran, Raja Yusoff Ariffin merasakan dirinya bertuah kerana diundang berkarya untuk sebuah lagi antologi puisi bertemakan Rukun Negara, Membaca Mimpimu Ibunda, Kami Pun Merangkai Puisi-puisi Cinta.

Membaca Mimpimu Ibunda, Kami Pun Merangkai Puisi-puisi Cinta dapat merakyatkan Rukun Negara sebagai pegangan hidup berukun yang mesti didakap.

Rukun Negara telah diisytiharkan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Keempat, Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin pada 31 Ogos 1970, bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-13 kemerdekaan tanah air, dan kesan daripada peristiwa hitam 13 Mei 1969.

Rukun Negara merupakan sebuah dokumen yang cukup lengkap sebagai asas kukuh untuk memperkasa semangat perpaduan dan muhibah dalam kalangan rakyat Malaysia.

YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pernah menegaskan bahawa sebagai sebuah negara merdeka yang sudah matang serta dewasa, wajar kita perkasakan semua rakyat dan semua kaum di Malaysia yang tercinta.

Rukun hidup bernegara telah digubah oleh pemimpin terdahulu secara bijaksana. Antara matlamat Rukun Negara ialah mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan masyarakat dan mencipta sebuah masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama-sama dengan adil dan saksama.

Masyarakat umum turut merangkumi golongan penulis sastera, khususnya penyair, yang perlu dan wajar turut terlibat berperanan menyemarakkan Rukun Negara menerusi karya mereka, seperti sajak atau pantun, gurindam dan lain-lain.

Di samping terbit secara eceran dalam media elektronik atau bercetak seperti akhbar, majalah dan portal, karya mereka turut diterbitkan secara kolektif dalam kumpulan atau antologi puisi. Hal menarik ini juga menuntut kerjasama erat antara penyair dengan penerbit.

Secara peribadi, penulis sendiri pernah terlibat dalam penerbitan antologi puisi bertemakan Rukun Negara.

Selepas Citra Kebenaran setebal 235 halaman, yang diterbitkan oleh Komuniti Buku Pengkarya Johor dan Warung Buku pada 31 Ogos 2020, penulis terlibat untuk penerbitan Membaca Mimpimu Ibunda, Kami Pun Merangkai Puisi-puisi Cinta (MMIKPMPC) oleh Nuha Creative Resources dengan kerjasama Yayasan Rukun Negara, serta sokongan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dan Mimbar Pemuafakatan Ibu Bapa Malaysia Selangor pada awal tahun 2024.

Penulis menulis sebuah sajak berjudul “Ikutlah Pintu Hadapan” yang dimuatkan pada halaman 92, dalam Buku 3 MMIKPMPC. Buku 3 setebal 139 halaman ini mengumpulkan 103 orang penyumbang atau 103 buah karya.

Tegas Menteri Perpaduan Negara, Dato’ Sri Aaron Ago Dagang, penerbitan antologi terbaharu bertemakan Rukun Negara ini tepat pada masanya yang selari dengan komitmen kementerian beliau dalam meningkatkan penghayatan Rukun Negara.

Beliau berharap agar MMIKPMPC dapat merakyatkan Rukun Negara sebagai pegangan hidup berukun yang mesti didakap. Rukun Negara harus dibudayakan dalam setiap aspek kehidupan demi melahirkan masyarakat MADANI yang mempunyai jati diri dan semangat patriotik tinggi.

Menerusi tiga buah jilid, iaitu Buku 1, Buku 2 dan Buku 3, MMIKPMPC menghimpunkan lebih 320 buah puisi di bawah selenggaraan Datuk Dr. Lim Swee Tin, Sdr. Rozan Azen Mat Rasip dan Dr. Noor Azam yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rukun Negara, dengan editor perundingnya, Sdr. Mohamed Nasser Mohamed (Nuha Creative Resources).

Sebenarnya, ketika bercadang menerbitkan MMIKPMPC, penerbit hanya mengharapkan kira-kira 100 buah puisi sahaja. Jumlah yang disasarkan itu merangkumi karya daripada penyair undangan. Namun demikian, dalam perjalanan ke arah penerbitan itu, tercetus pelbagai idea baharu untuk memantapkannya.

Rozan Azen turut menulis sebuah sajak berjudul “Kebanggaan Kita” (halaman 37, Buku 3). Noor Azam pula menghasilkan sajak bertajuk “Lima Rukun Pengikat Bangsa dan Negara” (halaman 26, Buku 3).

Lim Swee Tin menyatakan kesedihan beliau kerana selepas 53 tahun, Rukun Negara semakin terpinggir daripada jurus kehidupan masyarakat, dan warganegara. Kerajaan, tambahnya, menggubalnya setelah berlaku tragedi 13 Mei 1969 yang jika berulang boleh menghancurkan negara.

Katanya, prakarsa mencetuskan idea, kemudian menggerakkan usaha penerbitan antologi ini terbit daripada impian kerajaan yang mengoborkan semula semangat anak-anak bangsa menghargai prinsip-prinsip Rukun Negara setelah melihat terdapat semacam defisit sosial sedang dihadapi oleh negara saat ini.

Lim juga sedar bahawa tanggungjawab tidak hanya dipikul oleh kerajaan sahaja. Pelbagai pihak, baik pertubuhan bukan kerajaan, pertubuhan, orang perseorangan atau individu juga, turut mempunyai peranan serupa untuk menangani isu, seterusnya berikhtiar membantu menangkis apa-apa sahaja unsur yang bergerak cergas dan boleh memudaratkan negara.

Beliau seterusnya menghargai usaha Nuha yang dinamik bekerjasama dengan Yayasan Rukun Negara, pihak pengurusan Kebun Puisi, serta gerakan kesenian massa dalam menerbitkan antologi MMIKPMPC ini.

MMIKPMPC juga memilih para penyair tamu daripada pelbagai latar merangkumi suri rumah, pesara, penjawat awam, guru, ahli politik, birokrat, teknokrat, pentadbir, dan personaliti televisyen.

Oleh sebab para pelajar sekolah menengah dan rendah juga turut serta, hasilnya antologi ini perlu ditigajilidkan. MMIKPMPC menarik kerana memuatkan karya pelajar berusia tujuh tahun hingga Sasterawan Negara (SN) berumur 81 tahun, menjadi suara bicara bangsa yang memenuhi hasrat menyampaikan kepada segenap lapisan masyarakat mengenai isi Rukun Negara.

Elok jika kita menghayati sebahagian daripada suara anak kecil, Zayyan Eiman Mohd. Zulkifli yang mengakui: Aku generasi Malaysia baharu/Meniti di tanah tumpah darahku/Di sini berikrar dan berjanji/Memahami makna Rukun Negara.

SN Muhammad Haji Salleh pula menyeru: dipersilakan,/bukalah pintu rumah kemanusiaan,/nyanyikan bahasa yang membawa/kita ke sini, … dan masuklah,/di sini kita menimbang belahan dunia/dan ingin jujur kepada kenyataannya,/bersama budi bahasa,/dan faham perasaan bangsa.

Antara penyair mapan tanah air yang turut menyumbangkan karya mereka termasuklah Amaruszati Noor Rahim, Azli Lee Abdullah, Djazlam Zainal, Hasan Baseri Budiman, Hasyuda Abadi, Mahaya Mohd. Yassin, Maroof Seman, Puzi Hadi, Rosmiaty Shaari, dan Zaidin Abadi.

Menurut Mohamed Nasser, semua persatuan penulis juga dipastikan diwakili sejajar dengan pentingnya Rukun Negara sebagai piagam sebuah negara merdeka dan berdaulat. Penerbit dan penyelenggara cuba mengisi kelompangan seperti kemungkinan terdapat persatuan yang kurang dikenali, sama ada berpusat di Semenanjung, apatah lagi yang berpangkalan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Penerbit MMIKPMPC, tambah Nasser, turut memberikan penghormatan khusus kepada tokoh-tokoh yang termuat dalam Pangkalan Data Seni Budaya dalam laman sesawang Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

MMIKPMPC juga memilih para penyair tamu daripada pelbagai latar merangkumi suri rumah, pesara, penjawat awam, guru, ahli politik, birokrat, teknokrat, pentadbir, dan personaliti televisyen.

Antara ahli politik yang terlibat termasuklah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli Abdul Halim (Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya), dan YB Syahredzan Johan (Ahli Parlimen Bangi, anak kepada Tokoh Wartawan Malaysia, Tan Sri Johan Jaaffar).

YB Adam menulis sajak berjudul “Rukun Buat Jelata” (halaman 59, Buku 3), sementara YB Syahredzan pula dengan “Usah Kita Lupa” (halaman 97, Buku 3).

Tokoh bahasa, mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), serta mantan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP yang kini Senator/Ahli Dewan Negara, YB Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan tidak ketinggalan.

Prof. Awang yang juga banyak menulis esei sastera dan bahasa menulis sajak berjudul “Memugar Pancang” (halaman 66, Buku 3).

Sementara itu, personaliti atau selebriti televisyen terkenal, Sdr. Ahmad Fedtri Yahya menghasilkan sebuah sajak panjang bertajuk “Cinta dan Cita” (halaman 61, Buku 3).

Selain Prof. Emeritus Dr. Muhammad, Dato’ Rahman Shaari yang juga SN ke-15 turut memuatkan karya beliau untuk MMIKPMPC, iaitu “Prinsip Padat Tersusun” (halaman 89, Buku 3).

Antara bait ciptaan Rahman Shaari: Katakan iya kepada rukun/hidup perlu bersantun/langkah jangan sembarangan/ukuran tindakan ialah pegangan. …Katakan iya kepada rukun/hidup perlu bersantun/bersopan dan bersusila/insan terus berharga, mulia. … Katakan iya kepada rukun/lima prinsip padat bersusun.

Seperkara yang menarik, judul antologi ini, jelas Nasser, dipilih daripada tiga judul yang dicadangkan oleh Lim. Beliau dan pihaknya berharap judul yang dianggap puitis dan mengujakan ini akan menjadi ingatan kepada semua yang terlibat dalam projek penerbitan MMIKPMPC.

Beli Membaca Mimpimu Ibunda, Kami Pun Merangkai Puisi-puisi Cinta di sini.

Kredit Foto: Cikgu Wan/Pixabay

______________________________

Raja Yusoff Ariffin merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM), mantan rakan Tajulmedia Melayu dan mantan ahli Seniman Paksi Rakyat (PAKSI). Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), dan kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016). Raja Yusoff pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun “Beraya di Kampung Warisan Melayu” Satu Property (2020).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.