Oleh Rasoul Manan
7 Januari 2023, 15:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  Buku antologi puisi Mengukir Nama di Atas Peta yang diterbitkan oleh Pejuang Hartanah dengan kerjasama Persatuan PENYAIR Malaysia telah dilancarkan di The Grand Campbell Hotel, Kuala Lumpur pada pagi tadi.

Antologi yang terhasil daripada garapan idea 40 penyair Malaysia dan 47 pengkarya komuniti pejuang hartanah ini juga telah diberikan sijil penghargaan oleh Malaysia Book of Records sebagai buku puisi bertemakan hartanah yang pertama di Malaysia.

Dalam ucapan perasmian yang disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, beliau menyatakan bahawa antologi puisi yang menyentuh perihal hartanah dalam konteks tanah rizab Melayu ini wajar disokong oleh semua pihak, termasuklah golongan profesional yang tidak terlibat secara langsung dalam dunia bahasa dan kesusasteraan negara.

YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan semasa menyampaikan ucapan perasmian dalam Majlis Pelancaran Buku Antologi Puisi Mengukir Nama di Atas Peta.

Sementara itu, penyelenggara buku antologi puisi Mengukir Nama di Atas Peta, YBhg. Datin Barupawati Utamaju Baharum menyatakan bahawa antologi puisi ini dihasilkan untuk menyuntik nafas sastera dalam dunia perjuangan penyair tanah air di persada perjuangan hartanah.

YBhg. Datin Barupawati Utamaju.

Presiden PENYAIR Malaysia, Sasterawan Negara (SN), YBhg. Dato’ Rahman Shaari pula turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Pejuang Hartanah atas kerjasama yang julung-julung kali dilakukan ini. “Pelbagai tema dan mesej terdapat dalam sesebuah puisi. Dalam penghasilan buku puisi ini, sesuatu yang amat membanggakan saya ialah puisi patriotik ini bertemakan perjuangan hartanah,” tambahnya lagi. 

SN YBhg. Dato’ Rahman Shaari semasa mendeklamasikan sajak dalam majlis tersebut.

Pengasas Pejuang Hartanah, YBhg. Dato’ Haji Ahyat Khalissabri atau nama penanya Ahyat Ishak turut merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir. Beliau berkata:

Antologi ini dihasilkan atas perasaan cinta. Cinta kepada hartanah dan bangsa, malah cinta kepada puisi kerana sayang seorang ibu. Ibu menjadi inspirasi saya dan banyak memberikan sokongan kepada diri ini. Saya dilahirkan dalam keluarga yang biasa dengan puisi. Buku ini juga terhasil kerana cinta kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW.

YBhg. Dato’ Haji Ahyat Ishak, pengasas Pejuang Hartanah.
YBhg. Kapt. Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob semasa mendeklamasikan sebuah sajak dengan gayanya yang tersendiri.

 

Zaen Kasturi semasa mendeklamasikan puisi.
Dr. Saleeh Rahamad turut menceriakan majlis dengan deklamasi puisi.

Majlis pelancaran ini turut diserikan dengan beberapa persembahan deklamasi puisi oleh penyair tanah air seperti SN Dato’ Rahman Shaari; mantan Naib Canselor Universiti Malaya ke-8, YBhg. Kapt. Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob; penerima SEA Write Award 2010, Zaen Kasturi; dan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.

Tetamu yang turut memeriahkan majlis ini ialah Pengerusi Majlis Penasihat Warisan Peradaban Melayu Lembaga Bahasa Melayu, YBhg. Tan Sri. Profesor Datuk Wira Abdul Latiff Abu Bakar; Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), iaitu Encik Khair Ngadiron, pasukan Pejuang Hartanah dan ahli persatuan PENYAIR Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.