24 November 2021, 07:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Selain tarikh kemerdekaan tanah air, rakyat Malaysia juga perlu menghayati Rukun Negara yang mengandungi lima prinsip besar mengikut bidang, cara atau kemampuan masing-masing. Raja Yusoff Ariffin menghayatinya menerusi karya sastera. Beliau antara yang turut diundang oleh penerbit untuk menulis dalam antologi bersama Citra Kebenaran yang diterbitkan khusus untuk menghargai, dan menghayati Rukun Negara.

Seorang penulis era 1980-an dan juga mantan editor sebuah penerbitan, Mohd. Isnin Tawaf yang memimpin Karya Warisan Ledang, merasakan tarikh keramat tersebut tidak wajar dibiarkan berlalu tanpa sesuatu yang membekas di jiwa rakyat Malaysia.

Walaupun Citra Kebenaran ini muncul agak lewat daripada tarikh yang dirancang, tetapi yang lebih penting dan wajar dipuji ialah matlamat penerbitannya. Setebal 235 halaman, antologi ini diterbitkan bersempena dengan 50 tahun Rukun Negara pada 31 Ogos 2020.

Rukun Negara diisytiharkan oleh Kerajaan Malaysia pada 31 Ogos 1970, bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-13 kemerdekaan tanah air, dan kesan daripada peristiwa hitam 13 Mei 1969.

Lantaran perintah kawalan pergerakan akibat wabak pandemik COVID-19 yang mengekang, sebarang acara sambutan 50 tahun atau Jubli Emas Rukun Negara secara bersemuka tidak dapat diadakan.

Walau bagaimanapun, seorang penulis era 1980-an dan juga mantan editor sebuah penerbitan, Mohd. Isnin Tawaf yang memimpin Karya Warisan Ledang, merasakan tarikh keramat tersebut tidak wajar dibiarkan berlalu tanpa sesuatu yang membekas di jiwa rakyat Malaysia.

Justeru, komuniti penulisan, kegiatan dan penerbitan sastera tersebut mengorak langkah bekerjasama dengan Komuniti Buku Pengkarya Johor dan Warung Buku menerbitkan sebuah antologi yang menghimpunkan karya penulis Malaysia, dengan mengangkat tema mengenai Rukun Negara, dan kemerdekaan tanah air.

Siap diterbitkan pada Ogos 2021 yang lalu, antologi yang berjudul Citra Kebenaran ini tidak hanya menampilkan para penulis veteran/terkenal sahaja yang masih aktif dan telah menyepi, tetapi juga penulis baharu/tidak terkenal.

Sebagai pengarah projek penerbitan Citra Kebenaran, Mohd. Isnin yang juga merupakan peminat dunia sastera tanah air, serta mempunyai ramai kenalan dalam kalangan penulis sastera hebat dan mapan. Beliau dapat mengundang agak ramai daripada penulis veteran/terkenal untuk turut serta.

Rukun Negara, jelas Aripin lagi, menjadi kata kunci bagi hasrat kerajaan mencapai kesejahteraan, dan kemakmuran rakyat.

Antologi Citra Kebenaran dibahagikan kepada tiga segmen, iaitu Segmen Penulis Tamu, Segmen Karya Penulis, dan Segmen Penulis Anekdot. Dengan adanya Segmen Penulis Anekdot, bererti antologi ini tidak hanya diisi dengan sajak dan pantun sahaja. Biodata para penulis yang terlibat turut dipaparkan dalam 39 halaman.

Citra Kebenaran memuatkan 142 buah karya daripada 91 orang penulis, dengan pecahannya, iaitu 34 buah dalam Segmen Penulis Tamu, 96 buah dalam Segmen Karya Penulis, dan 12 buah anekdot. Mengambil kira Jubli Emas Rukun Negara, Citra Kebenaran menjadi lebih istimewa apabila didatangkan dengan sebuah kotak eksklusif.

Antara penulis veteran/terkenal yang mengisi Segmen Penulis Tamu termasuklah A. Ghani Abdullah, Aladin Mohamad, Dato’ Aripin Said, Chai Loon Guan, Darma Mohamad, Ehsan Jamily, dan Shapiai Muhammad Ramly, bersama-sama Abdullah Shuib, Chulan Chin, Mohd. Azli Lee Abdullah, dan Nazeri Nong Samah yang masih menulis walaupun telah lama menyepi, serta penyanyi/penulis lirik terkenal, Siso Kopratasa; penyanyi/komposer meningkat naik, Adiwangsa Sukma, dan Mohd. Rosli Bakir, Munsyi Dewan (Sastera), yang juga penyelenggara Citra Kebenaran.

Ab. Rani Embi, Hafizan Jamal, Ijamala MN, Ria Asmira, Siti Zaiton Ahmad, Sujata Wee, dan W.B. Rendra pula antara penulis lama/baharu terkenal dalam Segmen Karya Penulis. Mohd. Isnin turut menjemput Nur Dzahirdi untuk mengisi segmen berkenaan.

Dua belas anekdot dihasilkan oleh lapan orang pengkarya dengan Basri Zakaria paling banyak, iaitu menulis tiga buah.

Selain Mohd. Isnin, Aripin (Kata Pengantar) dan Mohd. Rosli (penyelenggara), penghasilan Citra Kebenaran turut didokong oleh Armin Azhari Salleh, seorang editor berpengalaman luas dari Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai penasihat penerbitan, Mohd. Khairul Azhar Mustapa (penyelaras), Abdul Karim Abdul Latip dan Mohd. Nasir Othman (urus setia), Mali Jaafar (ketua grafik), Somat Somrat (konsep kulit), dan Nor Anisah Abd. Halim (tipografi).

Dalam kata pengantarnya, antara lain Aripin mengakui para penyair sentiasa peka dan merasai apa-apa yang berlaku di sekeliling mereka. Katanya, itulah yang digarap oleh para penyair dalam melahirkan karya-karya mereka.

Tegas Aripin, para penyair masa silam merakam, malah meniupkan api semangat kebangsaan menerusi sajak-sajak ciptaan mereka. Katanya, penyair ada saham tersendjri dalam memajukan atau membangunkan negara. Rukun Negara, jelas Aripin lagi, menjadi kata kunci bagi hasrat kerajaan mencapai kesejahteraan, dan kemakmuran rakyat.

Aripin turut menulis dua buah sajak dalam antologi ini, iaitu “Sekali Merengkuh Dayung” dan “Citra Kebenaran”. Menerusi “Sekali Merengkuh Dayung”, antara lain, Aripin menyatakan: “Dirgahahayu negara bangsaku/sepakat di bawah satu naungan/sekali merengkuh dayung/dua tiga pulau terlepas/kita genggam seeratnya/kerukunan yang ditugukan”.

Lewat “Citra Kebenaran”, Aripin turut menegaskan: “Di zaman penuh kecelaruan ini;/Biarlah si luncai terjun dengan labu-labunya./Biarkan! Biarkan!/Namun kita selamanya tetap/membina peradaban; luhur pekerti;/meninggikan susila; menjunjung kesopanan;/Mendaulatkan keluhuran dan kerukunan/negara bangsa.

A. Ghani menulis sajak “Masihkah Ingat Malaysia” dan “50 dalam Kebun 63 (Tegaknya Rukun Negara)”, Aladin dengan sajak “Kuntum Bunga Rampai”, Loon Guan menghasilkan sajak “Ceritera Rukun Negara I” dan “Ceritera Rukun Negara II”, Darma pula sajak “Takrif” dan “Adab”, Ehsan dengan sajak “Demi Nusa Tercinta” dan “Pada Tanah Permai Ini”, dan Shapiai memberikan sajak “Rukun Kebenaran” dan “Enigma Mencari Arah”.

Menerusi “Ceritera Rukun Negara I”, Loon Guan menulis: “berkat muafakat rakyat/kebijaksanaan negarawan/termaktub falsafah negara/Rukun Negara, 31 Ogos 1970/memperteguh permuafakatan.”

Lewat “Ceritera Rukun Negara II” pula, Loon Guan menulis: “dirgahayu, tanah airku/aman makmur berdaya maju/bersekutu bertambah mutu/berdaulat bermartabat/di dunia sarwajagat!

Shapiai yang menerima Anugerah Penyair GAPENA 2021 pada 29 Oktober lalu, antara lain menulis: “Rukun kebenaran/menjadi samar/suara kepalsuan/meluaskan garis kekuasaan/merobek rasional/perpaduan dan kesusilaan/Telah kedengaran suara sinis/dari kubah kebatilan/suara Islam dikembalikan.” (“Rukun Kebenaran”).

Selain itu, Shapiai menulis: “Kebenaran politik adalah kebenaran kuasa/membasuh paradok fikiran lama/dengan mandi paradigma/kemenangan pragmatis/adalah kemenangan melawan idealis/tanpa pegangan ke mana tujuan harus kita halakan/Rukun Negara menjadi tunjang rujukan/mencari arah bukan sesuatu yang membingungkan.” (“Enigma Mencari Arah”).

Siso menulis pantun, iaitu “Pantun Semangat Rukun Negara” dan “Kemerdekaan Dalam Pantun”. Adiwangsa pula menghasilkan sajak “Saat Aku Menyanyikan Lagu Negaraku” dan “Menulis Sejarah itu Mudah”.

Sementara itu, Rani dengan sajak “Sepohon Rukun Negara” menulis: “Sepohon rukun/terbina dari akar kepercayaan/mencengkam pada dada bumi/menyegarkan pohon agar tumbuh kukuh/dengan kuasa Ilahi.”

Dalam sebuah lagi sajaknya, “Rumah Negara” beliau menulis: “Rumah ini dibina leluhur/dengan tiang tegak berlima/penguatnya kepercayaan/pengikatnya kesetiaan/pasaknya perlembagaan/pakunya kedaulatan undang-undang/tanggamnya susila/rabungnya kesopanan.”

Ijamala menulis sajak “Musim Demi Musim Kita Menyusur” dan “Daerah Kemerdekaan Ini”, Siti Zaiton dengan “Dinding Rukun Negara”, Sujata pula “Demi Ibu Pertiwi” dan “Laksana Emas Bertatah Permata”, dan Rendra menghasilkan “Nikmat Kemerdekaan (versi 20.20)”.

Dalam sajaknya, “Di Mana Penghayatan Kita”, Ria, salah seorang pemenang hadiah utama Sayembara Penulisan Puisi 50 Tahun GAPENA, antara lain menulis: “setelah sekian lama kita mendiami rumah pusaka ini/masih ada antara kita yang tergagap-gagap suaranya/masih antara kita tergaru-garu baru mengingati/bila disergah tanya apakah itu Rukun Negara/berkesankah sayangkan negara berkasih di hati/lupa di mana tonggak kehidupan kendiri negara sendiri/nipis semangat sirna jati diri tunjang kekuatan/tiada arti kemerdekaan ini dari asuhan poyang moyang/tanpa kenal Rukun Negara halaman pintu kesedaran.”

Dalam memenuhi undangan, saya menampilkan sajak “Sehingga Akhir Dunia” dan pantun “Pantun Keramat Rukun Negara” dalam Segmen Penulis Tamu. Antara lain, saya menulis: “hari terakhir Ogos/hari pertama usaha/tetap dan berterusan/sehingga akhir dunia./seiring lima dekad Rukun Negara/langkah mantap/lurus dan tetap.” (“Sehingga Akhir Dunia”).

_________________________

Raja Yusoff Ariffin atau Raja Yusoff Raja Ariffin dilahirkan pada 21 Ogos 1962 di Pulau Tiga Kanan, Parit, Perak. Beliau menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Raja Yusoff merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur, rakan Tajulmedia Melayu dan pernah menganggotai PAKSI. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), dan kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016). Pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun “Beraya di Kampung Warisan Melayu” Satu Property (2020).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.