31 Mei 2023, 10:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Buku ialah aset yang melambangkan ketamadunan bangsa. Apabila menerbitkan buku, usaha sebegini dapat menghidupkan hayat penulis dan kebudayaan bangsa kita”.

Demikian jelas Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, iaitu Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dalam Majlis Pelancaran Buku Terbitan GAPENA, “Antologi Puisi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan: Ke Sarang Cenderawasih” dan “Antologi Puisi Penyair Wanita Malaysia: Cinta di Pintu Mihrab” bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 kali ke-40 di Kuala Lumpur pada 29 Mei 2023 yang lalu.

Dr. Saleeh Rahamad menjelaskan penerbitan antologi ini ketika berucap di Majlis Pelancaran Antologi Puisi di PBAKL 2023, baru-baru ini.

Antologi Puisi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan: Ke Sarang Cenderawasih merupakan himpunan puisi yang dicipta khusus untuk Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SPDK) 2023. Para penulis terdiri daripada pelbagai peringkat generasi dengan tema khas, iaitu “Peneguhan Negara Merdeka”.

Manakala, “Antologi Puisi Penyair Wanita Malaysia: Cinta di Pintu Mihrab” pula memuatkan sebanyak 210 karya penyair wanita Malaysia dari tahun 1950 hingga 2020. Judul antologi ini diangkat daripada puisi nukilan Nor Afliza Arshad yang merupakan Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Tahun 1999.

Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Hajah Saraya Arbi. Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah Sasterawan Negara (SN) Zurinah Hassan, SN Siti Zainon Ismail, SN Dato’ Rahman Shaari dan Tuan Haji Mohd Khair Ngadiron, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2023 serta penggiat-penggiat sastera tanah air.

Sebelum berakhir, majlis diserikan lagi dengan persembahan deklamasi sajak oleh Zaen Kasturi dan Nor Afliza Arshad menggunakan karya-karya yang dimuatkan dalam antologi tersebut.

Zaen Kasturi sedang mendeklamasikan puisi di Pentas Utama PBAKL bersempena dengan Majlis Pelancaran Antologi Puisi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan: Ke Sarang Cenderawasih dan Antologi Puisi Penyair Wanita Malaysia: Cinta di Pintu Mihrab.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.